Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 9 April 2016

BAHASA JIWA BANGSA



Bahasa jiwa bangsa.  Kita mengenali sesuatu bangsa itu dengan bahasa.  Kita bertutur pun menggunakan bahasa.  Negara ini bernama Malaysia, peratus penduduknya berbangsa Melayu. Penduduk asalnya juga berbangsa Melayu dan  bercakap menggunakan Bahasa Melayu.  Dalam  Bahasa Melayu ada dailek,  ada 14 buah negeri, ada berbelas-belas malah berpuluh bahasa dailek.  Itu belum termasuk bahasa asing yang ada di negara ini.  Kepelbagaian kaum melahirkan rumpun bahasa yang pelbagai juga. 

Bahasa kebangsaan negara ini BAHASA MELAYU, BAHASA MALAYSIA.  Sedekat ini, kita bagaikan hilang jati diri, kita bagaikan hilang halatuju dalam memartabatkan bahasa kita sendiri.  Sampai pelajaran Sains dan Matematik pun hendak diajar dalam dwi bahasa. Kenapa?  Kononnya agar anak-anak bangsa pandai berbahasa  Inggeris.  Betulkah?  Teringat zaman persekolah saya dahulu.  Waktu sekolah rendah, dalah darjah dua.  Guru BI saya seorang berbangsa India.  Setiap hari ada kelas BI, setiap minggu dia akan mengadakan kelas spelling.   10 perkataan seminggu.  Saya menjadi pandai BI hanya dengan belajar spelling dan mengetahui maknanya.  Naik tingkatan satu saya tiada masalah dalam pembelajaran BI. 

Melihat poster untuk membantah penggunaan dwi bahasa dalam pembelajaran di sekolah membuatkan saya bertanya kepada diri sendiri.  Saya berada di negara mana sebenarnya?  Kenapa kita tidak boleh mengekalkan BM dalam pembelajaran? Tidak kisahlah apapun alasan.  Kalau hendak para pelajar pandan berbahasa Inggeris, ajar mereka pertuturan, galakkan mereka bertutur dalam bahasa tersebut. Usah diubah apa yang sedia ada. 

Apakah ilmu yang kita perolehi di luar negara maka kita mengubah jati diri kita?  Kita menjadi bangsa yang hilang identiti.   Kita gadaikan maruah dan harga bahasa kita hanya kerana ingin dilihat hebat di mata negara luar. Hebatkah kita?  Hebat bercakap bahasa bercampur aduk, sudah seperti rojak petis.  Kita ubah tajuk novel kepada BI campur BM, alahai negaraku.  Apa sudah jadi dengan diri kita sebenarnya?  Kenapa kita sukar hendak mengubah keadaan yang dibawa oleh bangsa penjajah?  Kita belajar di luar negara, biarlah kita bawa balik ilmunya. Jika Jepun, Korea, Perancis bangga dengan bahasa mereka? Kenapa kita tidak menjadi seperti itu?  Adakah mereka kurang maju? Adakah mereka tertinggal dalam arus pembangunan? Adakah mereka menjadi negara miskin?  Tidak bukan? 
JIka bukan kita yang menjaga nilai, maruah dan harga diri bahasa kita sendiri. Siapa agak-agaknya yang akan menjaganya? Orang Amerika?  Orang Jepun?   Marilah kita sama-sama kembalilah semangat cintakan bahasa kita sendiri.  Marilah kita kembalikan kegemilangan bahasa kita.  Bukan menambah burukkan keadaan.  Semuanya kita nak rojaknya.  Baik dalam buku sehingga kepada tajuk sesebuah buku.  Tidak cantik lagikah bahasa kita? Tidak indahkah  makna dan perkataannya? 

Kita mengemis bahasa kita sendiri di negara kita sendiri?  Jika masa boleh dipusing kembali, saya inginkan sebuah negara yang rakyatnya tinggi nilai budaya bangsa sendiri.  Bukan seperti hari ini.  Kecintaan kita kepada bahasa kita sendiri semakin hari semakin pupus.  Semakin dipandang sepi.  Semakin dipinggirkan.  Adakah Bahasa Malaysia hanya untuk orang kampung? 

Diharap penggunaan dwi bahasa dalam pembelajaran tidak diteruskan.  Hanya kepada pemimpin kita, saya berharap kekalkan identiti sendiri. Sesuatu bangsa itu akan hilang jika hilang bahasanya.  Adakah kita ingin menjadi bangsa yang hilang identitinya? Kepada para cendiakawan yang budiman, kepada para novelis, penerbit yang  budiman kembalikanlah semangat BAHASA JIWA BANGSA dalam diri kita. Kekalkan identiti kita. Kekalkan BAHASA MELAYU sebagai bahasa pengantar. Biarlah semangat cintakan bahasa terus mekar dan subur di hati setiap rakyat negara ini.  Tidak kira apa pun bangsa.  Malaysia negara harmoni, biarlah BAHASA MALAYSIA terus menyatukan kita.

Isnin, 4 April 2016

ADUH PENING! - BAB 2



 Aleeya melangkah masuk ke dalam rumah. Keretanya diparkirkan di belakang kereta suaminya. Awal pula suaminya balik hari ini. Matanya meliar mencari kelibat seseorang. Ke mana pula? Mungkin bersantai di bilik agaknya. Langkahnya diayun laju mendaki tangga ke tingkat atas yang menempatkan barisan tiga bilik termasuk bilik utama. Dua bilik lagi dikhaskan untuk anak-anak tirinya jika mereka bermalam di rumah itu. Sebenarnya, belum pernah lagi mereka bermalam di rumah itu.

            Pintu bilik ditolak perlahan. Suaminya sedang berbaring sambil tangan diletakkan di atas dahi. Masalah meruncing agaknya. Dia mendekati dan melakarkan senyuman buat suami tercinta. Sayanglah siapa tak sayang. Biarlah duda anak lima sekalipun, tetap segak dan kacak di mata. Perutnya sedikit boroi, biarlah. Asalkan sihat sentiasa.
            “Abang!” panggil Aleeya sambil duduk menghadap Ikmal yang masih berbaring. Mata terpejam rapat. Tidurkah atau buat-buat tidur?
            “Dah balik?” Ikmal membuka mata perlahan-lahan lalu bingkas duduk bersila di atas katil.
            “Abang dah bayar bil-bil Nadia tu?” tanya Aleeya, ingin benar dia mengetahuinya. Eh, dia punya hak untuk tahu. Dia kan isteri lelaki itu.
            “Dah. Kalau tak, alamat bergelaplah budak-budak tu. Nadia tak nak bayar, bil kuning dah sampai. Mahu atau tak, kenalah abang bayarkan,” jelas Ikmal.
            “Hah! Sampai macam tu sekali? Kering hati betul Nadia tu.” Aleeya terkedu mendengarnya. Sampai hati seorang ibu sanggup biar anak-anaknya bergelap. Nasib baik tak sempat bergelap. Uh!
            “Biarlah, anak-anak saya juga. Mahu tak mahu kenalah bayar, kan?” Ikmal tersenyum.
            Aleeya turut tersenyum. Sabar sungguh suaminya. Kalau dia belum tentu sesabar itu. Memanglah anak-anak suaminya. Tapi, bekas isteri suaminya takkan tak boleh bayar bil-bil itu? Hei, Nadia tu pensyarah tahu! Gaji besarlah. Takkan kedekut kut? Aleeya mencebik. Sengaja nak menyusahkan suaminya. Ingat besar sangat gaji suaminya sebagai pengurus syarikat swasta? Bolehlah hidup walaupun tak mewah mana. Tapi, janganlah memeras macam ini. Aleeya mendengus sendiri.
            “Leya nak mandi dan solat dululah. Lepas tu nak masak. Abang nak tolong Leya memasak ke?” tanya Aleeya sambil melenggok manja.
            “Boleh jugalah,” jawab Ikmal sambil menyengih.
            Aleeya mengenyit mata. Masalah Nadia dan suaminya biarlah mereka selesaikan sendiri. Dia tidak mahu masuk campur. Nanti lain pula ceritanya. Boleh tahan juga mulut bekas isteri suaminya itu.  
            Usai memasak seringkas mungkin, janji kena dengan selera. Sawi masak bening, ikan selar goreng cili, sambal belacan dan ulam-ulaman, cukup menyelerakan. Air tangan sendiri. Kalau sendiri tak puji siapa lagi. Melihat suaminya berselera menjamah masakannya sudah cukup membuat hatinya berbunga riang. Sama-sama mengemas meja makan dan sama-sama perut kenyang. Baru sahaja melangkah beberapa tapak ke ruang tamu, telefon suaminya berbunyi. Masing-masing memandang ke arah meja kopi yang terletak di ruang tamu. Di situlah letaknya telefon bimbit mereka. Sudah berjanji, di meja makan tiada sesiapa pegang telefon. Kononya hendak menghabiskan masa bersama-sama. Sambil makan sambil berbual.
            “Nadia,” kata Ikmal sambil mengeluh perlahan.
            Aleeya menggeleng. Apa Nadia nak lagi ni? Aleeya terus melabuhkan punggung di sofa. Dia membiarkan suaminya berbual dengan Nadia di telefon. Manalah tahu ada masalah dengan anak-anak. Sesekali matanya menyinggah di wajah suami yang terpamer pelbagai reaksi. Risau pula tengok wajah cemberut suaminya. Kalau Nadia telefon sahaja, hilang kemanisan di wajah itu. Aleeya mengeluh dalam hati. Simpati bercampur bimbang.
            “Kenapa bang? Nadia nak apa?”
            “Anak-anak cuti sekolah minggu depan. Nadia suruh abang bawa mereka bercuti. Dia nak ikut sekali, tapi tak bagi bawa awak,” ujar Ikmal dengan muka sebal.
            “Kenapa pula? Saya ni kan isteri abang? Hisy…. Undang-undang mana dia pakai?” Aleeya terkejut mendengarnya. Bercuti dengan anak-anak dan jandanya? Biar kentang! Mana boleh macam tu? Hei, dia kan isteri yang sah pada Ikmal. Bukan perempuan simpanan! Macam-macamlah Nadia ini.
            “Jadi, saya tak boleh ikut abang bercutilah?” tanya Aleeya sedikit kesal.
            Laju anggukan Ikmal.
            Aleeya memeluk tubuh. Dia memandang tepat ke mata suaminya. Dia harus marah atau ikut sahaja kehendak mereka berdua?
            “Tak kira, nak ikut juga!” kata Aleeya berkeras.
            “Kalau awak ikut, anak-anak tak nak bercuti dengan abang,” jelas Ikmal serba salah.
          “Sejak bila anak-anak abang tak suka dengan saya ni? Sebelum ni, okey aje?” Aleeya mengetap bibir.
            “Entahlah… awak kan kerja. Takkan nak ambil cuti pula?” Ikmal memandang wajah Aleeya minta kepastian.
            “Saya rela ambil cuti tanpa gaji daripada membiarkan suami saya bercuti dengan anak-anak dan jandanya!” kata Aleeya keras. Dia mencebik.
            “Cemburu ke?” Ikmal menjeling manja. Terasa hendak ketawa. Takkan cemburu kot?
            “Ini bukan soal cemburu atau tak. Mana boleh abang ketepikan saya!” Aleeya berwajah serius. Memanglah cemburu, bisiknya dalam hati. Itukan janda suaminya. Mereka pernah hidup bersama. Buatnya menyulam kisah lama, apatah lagi mereka ada anak bersama, habislah dia. Uh! Memang tak boleh percayalah.
            “Alah, pergi dua tiga hari aje. Nanti penat pula awak,” kata Ikmal.
            “Helo… abang! Ingat saya dah tua sangat ke? Tua lagi Nadia tu tau!” Aleeya mencebik.  Bibirnya sudah mula memaparkan kemuncungan yang tidak boleh tidak terpaksa dipamerkan. Biar suaminya tahu, dia sedang berasa hati. 
            “Laa… janganlah banding-bandingkan. Abang tahulah, itu sebab abang cari yang muda.” Pecah gelak Ikmal.
            “Huh! Tak kelakar pun.” Semakin panjang muncung Aleeya. Dia tidak kira, tidak kisah, nak jadi apa pun jadilah. Dia tetap akan ikut. Kata putus daripadanya. Tak boleh pakai kata putus daripada suami dan bekas isteri suaminya itu. Memang mangkuk ayun betullah. Menggelegak pula hatinya nanti. Tidak pasal-pasal tercetus perang dingin.
            “Awak tak payah ikut ya?” pujuk Ikmal sambil mengerdipkan mata.
            “Tak tergoda pun!” Aleeya terus angkat kaki menuju ke bilik.
            Dia mundar-mandir di dalam bilik. Matanya pula asyik memandang ke pintu.  Apa alasannya untuk pergi? Apa yang harus dia lakukan? Kena ada strategi. Kena ada jalan. Biar Nadia tidak perasan yang dia datang secara sengaja. Uh! Tak kuasa nak biarkan suaminya bersendirian dengan jandanya. Tolonglah! Mak cik ni belum buta mata tau, entah-entah nak mengendeng dengan suaminya. Ada hati nak balik kembali agaknya. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Dia tidak boleh membiarkan Nadia mempergunakan anak-anak sebagai senjata untuk menyusahkan suaminya.
            “Awak berlatih berkawad ke?” Ikmal melangkah masuk sambil menyengih.
            “Uh!” Alamak! Apasal tak perasan suaminya masuk ke bilik? Aduh, kantoi!
            “Alah… awak keluarlah dengan kawan-kawan sekerja awak. Kan dah lama awak tak keluar dengan mereka.” Ikmal menarik tangan Aleeya dan duduk di birai katil.
            Nak pujuk supaya jangan pergilah tu. Maaflah, dia bukan jenis yang makan pujuk. Keluar dengan kawan-kawan? Hmm… idea terkini dan terbaik. Aleeya mula menguntumkan senyuman. Wajah suaminya di sisi dipandang seketika.
            “Yalah! Nak buat macam mana, diam tak diam terpaksalah ‘bermadu’ secara tiba-tiba!” sindir Aleeya.
            “Ada ke situ pula.” Ikmal mengecilkan mata, memandang wajah Aleeya dengan tanda tanya.
            “Tak bermadu ke namanya? Tiba-tiba tak boleh ikut waktu abang bercuti dengan bekas janda abang dan anak-anak? Apa namanya tu?” soal Aleeya.
            “Hisy… salah tafsiran tu.” Ikmal ketawa.
            “Salah tak salah, itulah yang saya rasa. Abang jangan nak main dan bermadu kasih pula dengan Nadia,” ugut Aleeya. Matanya dijegilkan.
            Ikmal ketawa kuat.
            “Ketawalah, ketawa! Kalau dah hati terpanah dengan kilat cinta si Nadia tu… waktu tu abang jangan cakap saya tak bagi amaran! Saja gunakan anak nak dekat dengan abang! Itu taktik namanya, bang. Orang perempuan ni kalau dah tak laku, takut hidup sendiri, bekas duda pun nak dijilat balik tau!” kata Aleeya tegas. Geram mencanak masuk. Berapi-api mata dan hatinya.
            “Awak ni, jauh perginya tu. Itulah banyak sangat baca novel, sampai perkara macam itu pun awak boleh fikirkan.”
            “Tapi tak mustahilkan, kan, kan?” Aleeya tidak mahu kalah. Nadia memang sengaja minta yang bukan-bukan sedangkan mereka sudah lama bercerai. Sudah makan tahun pun. Bila Ikmal berkahwin dengannya, mulalah muncul kembali Nadia secara tiba-tiba. Kalau cemburu kata cemburu. Hisy, kenapa Nadia tidak cari suami baru? Orangnya masih cantik, bergaya walaupun anak lima.
            “Dahlah, jangan fikir yang bukan-bukan. Hati saya hanya ada awak,” ucap Ikmal sambil merebahkan diri di sebelah Aleeya yang masih bersila di atas katil.
            “Kena fikir, bang. Malang tak berbau tau,” kata Aleeya lagi.
            “Malang apanya pula?” Ikmal mengerut dahi.
            “Malanglah suami kena rampas dengan jandanya semula! Boleh buat cerita dan lagu tau.” Aleeya merebahkan diri di atas katil. Kepalanya masih ligat berfikir. Uh… masalah!
            “Jangan fikir yang bukan-bukan, nanti hati sendiri yang sakit,” usik Ikmal.
            “Ketawalah! Ketawa… kalau jadi apa-apa, jangan abang salahkan saya!” Aleeya mencebik.  Geram pula hatinya bila ceritanya tidak dipercayai. Hei, dia perempuan juga tau. Dia tahu apa yang tersimpan dalam hati seorang perempuan seperti Nadia. Mesti ada sebabnya, kenapa dia tidak boleh ikut bercuti.
            “Tidurlah, esok nak kerja. Jangan marah-marah, nanti cepat tua.”
            Aleeya mendengus kasar, dia melemparkan bantal ke muka Ikmal. Pecah gelak lelaki itu.

ULASAN JANGAN PERCAYA

JANGAN PERCAYA
SYAIDA ILMUNA
ALAF 21
RM22.00
2015
512 muka surat
****

Bella sudah lama bercerai dengan Rizqi. Mereka mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Hubungan Bella dengan bekas suami masih baik demi anak-anak begitu juga dengan bekas keluarga mertuanya. Setelah pulang dari bercuti Rizqi telah menjemput Bella dan anak-anaknya ke rumah emaknya untuk berkenalan dengan bakal isterinya. Bella akur biarpun dalam hati berasa kurang senang, kalau boleh dia tidak mahu anak-anaknya beribu tiri. Tapi apakan dayahnya. Bekas suaminya berhak berkahwin lagi.
Perjumpaan pertama menumbuh rasa tidak enak di hati Bella. Ada sesuatu yang tersembunyi tentang bakal isteri bekas suaminy itu. Perempuan itu seperti mempunyai satu rahsia, tetapi apakah ia? Bella berteka teki sendiri dalam hati. Namun dia akur kehendak takdir. Dia berusaha menerima kehadiran perempuan bernama Kaylina atau Kay dalam hidup anak-anaknya. Bella pula mempunyai satu anuerah yang tidak semua orang miliki.
Setelah berumah tangga Rizqi sesekali mengajak anak-anak ke rumahnya. Tujuannya mahu anak-anaknya bermesra dengan ibu tiri mereka. Bella pula kurang selesa. Pada suatu hari, Bella terpaksa menghadiri kursus, dia telah meninggalkan anak-anak dengan Rizqi, ketika itulah Kay telah menunjukkan perangainya yang sebenar, sehingga anak-anak Bella berasa takut dan tidak berani mengadu dengan Rizqi atau Bella.
Bella pula dalam diam telah diminati oleh seorang pekerja baharu di tempatnya bekerja. Seorang pemuda yang berusia muda beberapa tahun daripadanya. Pada mulanya Bella berat hati hendak menerima lamaran lelaki itu tetapi akhirnya dia akur dengan kehendak takdir.
Kay pula mula mendera anak-anak tirinya tanpa pengetahuan Rizqi dan Bella. Sikapnya juga berubah, menjadi terlalu cemburu. Dia baru tahu, Rizqi dan Bella bekerja di syarikat yang sama. Semakin bermaharajalelalah perasaan cemburunya sehinggalah dia sanggup bertindak di luar jangkauan.
Kehidupan Bella muram setelah kemarian Belina, anak sulongnya. Dia cuba bertenang dan menerima takdir itu dengan hati yang terbuka, tetapi bayang-bayang Belina sering datang mengganggu, seperti ada sesuatu yang ingin diberitahunya. Seperti ada rahsia yang tersembunyi. Begitu juga sikap anak lelakinya yang menjadi pendiam. Bella benar-benar resah dengan kejadian yang menimpa keluarganya.
Rizqi semakin lemas dengan sikap dan perangai Kay yang suka mengongkongnya. Satu hari, Bella bawa Amir ke rumah bekas mertuanya, di situ Amir bertemu Kay. Dia kenal siapa Kay. Dia benar-benar terkejut melihat Kay berada di rumah itu dan sudah pun berumah tangga.
Karya yang membuat hati berdegup kencang sewaktu membacanya. Apa anugerah yang dimilik oleh Bella. Siapa yang membunuh Belina? Siapa Kay? Rahsia apa yang disembunyikan oleh Kay? Di rumah Rizqi ada bilik khas yang hanya Kay sahaja boleh memasukinya? Bilik apakah itu? Amir mengenali Kay sewaktu pertama kali mereka bertemu. Apa hubungan mereka berdua? Adakah Bella akan mengetahui siapa yang membunuh Belina? Adakah rumah tangga Kay dan Rizqi akan kekal selama-lamanya? Adakah Amir akan berkahwin dengan Bella? Hendak tahu jawapannya? Dapatkan buku hebat ini.
Apa perasaan teman-teman jika termakan sup kucing? Kalau Rizqi habis satu badannya gatal-gatal sehingga membengkak dan dimasukkan ke hospital. Teman-teman nak tahu siapa yang memasaknya? Bella atau Kay? Dapatkan jawapan dalam karya ini. Pasti tidak mengecewakan. Jangan percaya kepada siapa?

‪#‎alaf21‬
‪#‎NovelMelayu‬
‪#‎lkarangkrafmall‬
‪#‎aksi‬
‪#‎thriller‬