Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 8 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 20- ASMAH HASHIM



Setiap ajaran Ustazah Mardhiah didengari dengan teliti, setiap kali dia membaca kembali al-Quran yang sudah lama tidak dipegang, disentuh dan dibaca, bergetar jantungnya, sayu hatinya, ditambah dengan suara lembut Ustazah Mardhiah mengajarnya.  Setiap hari Ustazah Mardhiah akan datang ke rumah sewanya.  Bermula jam 9.00 pagi sehinggalah  5.00 petang.  Hampir sama waktu bekerja.  Berhenti untuk solat dan makan sahaja.  Tekun Ustazah Mardhiah mengajarnya, sabar dan tenang, kadangkala dia tersalah membacanya. Ditegur dengan lembut dan penuh tawaduk.
            “Adakah taubat saya diterima Allah, ustazah?” soal Diana sewaktu mereka berhenti makan tengahari.  Lauk pauk dimasak oleh Diana sebelum Ustazah Mardhiah datang.
            “Kenapa tidak?  Selagi kita bernyawa, selagi kita mahu bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, Allah akan terima taubat kita.  Bukankah Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.” Ustazah Mardhiah memandang wajah Diana yang tunduk, pipinya dibasahi air mata.  Diharap air mata kekesalan.
            “Saya malu ustazah, malu dengan orang tua saya, malu dengan manusia, malu dengan ustazah, dah tua begini pun solat masih culas, mengaji malas,”  tutur Diana dalam keadaan teresak-esak.
            “Tiada apa yang ingin dimalukan?  Kita jangan malu melakukan kebaikan, tetapi hendaklah malu ketika melakukan kejahatan dan dosa.  Diana jangan bimbang, selagi nyawa kita tak sampai ke halkum, selagi itulah taubat kita masih diterima. Dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” nasihat Ustazah Mardhiah penuh tawaduk.
            “Bodoh betul saya!” kata Diana keras.
          “Tiada manusia yang tidak melakukan kesalahan kecuali Rasulullah saw, sebab Baginda maksum, terhindar dari sebarang dosa. Kita kena sering memohon ampun dan berzikir mengingati Allah, berdoa agar ditunjukkan jalan yang benar, jalan yang lurus, jalan menuju redha-NYA.  Diana, awak diberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan dan membetulkan kesilapan yang lalu, itu tanda kasih Allah swt pada awak.  Bersungguh-sungguhlah beribadat dan memohon ampun kepada-NYA, saya yakin, taubat awak akan diterima.” Ustazah Mardhiah melakarkan senyuman.  Dia menghabiskan nasi yang bersisa di pinggan.  Sekejap lagi mereka berdua akan solat berjemaah.  Mudah mengajar Diana sebab dia tahu mengaji dan tahu tentang solat.  Cuma, jarang buat dan sudah lama meninggalkan amalan tersebut.
            “Ayah dan ibu saya orang baik-baik, ustazah.  Dihormati oleh penduduk kampung.  Apabila terjadi perkara yang memalukan pada saya, ya Allah!  Menyesal saya ustazah.  Mereka berterusan dihina, ayah dituduh tidak tahu menjaga anak, tidak tahu mendidik anak, nampak sahaja alim.   Malu mereka, tapi mereka masih menerima saya, biarpun saya telah menconteng arang ke muka mereka.  Saya jatuhkan maruah mereka. Saya aibkan mereka.” Semakin sayu suara Diana. Tangisannya semakin kuat.  Nasi yang di dalam pinggan tidak terusik.
            Ustazah Mardhiah mengeluh.
            “Menangis kerana kesal dengan dosa yang dilakukan, akan dikira Allah swt nanti.  Sabar dan tabahlah Diana. Inilah kesan yang akan kita hadapi atas perbuatan kita mengikut hawa nafsu.  Itu sebab Allah memberi kita akal untuk kita membezakan baik dan buruk. Allah turunkan buku  panduan kehidupan kepada hamba-hamba-Nya iaitu Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw sebagai petunjuk jalan yang benar.  Awak masih diberi peluang kedua, jangan abaikan, rebutkan peluang yang diberi, dekatilah agama kita, belajarlah, khayatilah kehidupan sebenar sebagai hamba Allah swt.  Kita dijadikan hanya kerana satu tujuan, untuk sujud dan tunduk serta patuh kepada-NYA.    Tiga bulan tidak cukup untuk belajar agama, sekadar belajar yang asas sahaja, mungkin cukup.  Selepas ini, saya harap awak akan terus belajar dan  belajar lagi.  Isi hidup dengan amal dan ilmu.  Islam itu indah, Diana. Islam itu cantik, kita sahaja yang tidak tahu menghayatinya,” nasihat Ustazah Mardhiah panjang lebar.
            “Terima kasih ustazah kerana sudi mengajar saya yang jahil dan berdosa ini,”  ucap Diana, dia menyeka air mata yang membasahi pipinya.  Sembab matanya lantaran terlalu banyak menangis. Kata-kata Ustazah Mardhiah terlekat di hati.  Dia manusia yang tidak tahu menghargai kedua orang tua dan diri sendiri.  Sanggup mencemar maruah sendiri kononnya cinta.  Cinta yang telah mencemar maruah dirinya dan keluarga. Tidak tertanggung olehnya melihat wajah resah dan kecewa kedua orang tuanya.  Kata-kata semangat mereka semakin menambah sesak di dada.  Sepatutnya dia dibuang dan dihalau sahaja, dia anak yang tidak berguna, tidak tahu membalas jasa orang tua. Hanya tahu memalukan sahaja.
            “Sudah tanggungjawab saya Diana. Ilmu yang saya perolehi seharusnya saya sebarkan, bimbing orang yang seperti Diana, bukan disimpan untuk diri sendiri,  Diana kena tekun tau, semoga Diana akan terus menjadi muslimat sejati, aamin”  kata Ustazah Mardhiah.
            “Aamin,” sambung Diana.  Dia senyum kembali.  Terasa hilang rasa sebak yang menebal di hatinya.  Ustazah Mardhiah berjaya menenangkan hatinya.  Dia menarik nafas lega.  Masih jauh perjalanan hidupnya, masih panjang waktu dan masa yang perlu dilalui demi mencari redha Ilahi.

Sabtu, 6 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI- BAB 19 - ASMAH HASHIM



           


            Haziq tidak terkata apa-apa, terasa seperti orang bodoh, belajar agama setelah berusia dewasa?  Belajar mengaji? Baca alif ba ta?  Riana sengaja ingin menjatuhkan maruahnya. Menyakitkan hatinya.  Terkial-kial dia membaca Iqra tadi.  Sejam belajar mengenal huruf sahaja.  Sudah lama dia tidak memegang al-Quran apatah lagi membacanya. Tidak pernah terfikir pun untuk membacanya.  Baginya sudah belajar sewaktu kecil dahulu, selesailah.  Kenapa  harus baca setelah dewasa?  Hari pertama yang membosankan.  Mahu atau tidak dia terpaksa laluinya.  Ada janji yang telah dibuat oleh Riana jika dia tidak tuang kelas agama yang diatur oleh isterinya itu.  Haziq tersenyum bahagia.  Ah!  ikutkan sahaja. Tiada salahnya.  Bukan kena buat pun selepas berkahwin nanti.  Yang penting imbuhan yang dijanjikan oleh Riana. 
            “En. Haziq, kenalah ulangkaji sendiri. Puan Riana nak En. Haziq pandai mengaji  pada hari pernikahan nanti,” ujar Ustaz Harun. 
            “Ya, ustaz,”  jawab Haziq.
            “Sebagai orang Islam, kenalah jawab, Insya-Allah.  Setiap pergerakan kita dengan izin Allah,”  ujar Ustaz Harun sambil tersenyum.
            Haziq menyengih.  Sebelum ini jarang benar dia mengucapkan kalimah itu. Maksudnya pun dia kurang faham.  Bantai sahajalah.  Bukan rugi apa-apa mengucapkannya, detik hati kecil Haziq.
            “Insya…  Insya-Allah,” ucap Haziq.
            Ustaz Harun mengangguk. Dia mengeluh perlahan.
            “Lepas ini kita belajar apa ustaz?”
            “Belajar kenal Allah, ilmu tauhid,” kata Ustaz Harun sambil membuka beg sandangnya dan mengeluarkan sebuah buku Sifat 20.
            “Sifat 20? Sifat siapa? Hanya 20?”  soal Haziq.
            “Tak pernah belajar ke?”  Ustaz Harun memandang wajah Haziq yang masih membelek buku yang tidak begitu tebal itu.
            “Bahasa jawi?  Rumi tak ada ke ustaz?” tanya Haziq tanpa menjawab soalan Ustaz Harun.
            “Ada, untuk En. Haziq saya belikan yang  rumi.” Sebuah buku diserahkan kepada Haziq.
            “Boleh tahan juga tebalnya walaupun hanya ada 20 sifat.”  Haziq mengeluh berat.  Susahnya!
            “En. Haziq, belajar agama tidak susah, kalau kita minat, ikhlas dan rasa bertanggungjawab mengenal agama kita sendiri.  Apa guna kita jadi manusia tetapi tidak mengenal  Dia yang telah mencipta kita?” kata Ustaz Harun.
            Haziq mengerut dahi, macam tahu sahaja dia mengeluh, ada ilmu ghaib agaknya ustaz ini?  Haziq menyengih.
            “Boleh kita mula sekarang?”  tanya Ustaz Harun setelah meletak buku tersebut di atas papan rihal yang besar di hadapannya.
            Haziq mendengar sahaja apa yang diterangkan oleh Ustaz Harun akan sifat-sifat Allah.  Satu persatu. 
            “Allah itu wujud bermaksud ada.  Bagaimana hendak mengetahui Allah ada?  Dengan adanya Alam dan dirinya, kita dapat melihat kapal terbang, sudah tentu kapal terbang itu ada penciptanya.  Kita ada rumah, sudah pasti yang membina rumah itu ada orangnya. Begitulah dengan alam ini dan seisinya.  Sudah tentu kita ada pencipta, iaitu Allah swt,”  terang Ustaz Harun ringkas dan mudah. 
            Haziq tenang-tenang sahaja.  Kalau tidak dengar betul-betul, langsung dia tidak faham. Bukan senang rupanya, dia perlu lakukan demi sesuatu yang diidam-idamkan selama ini.  Diana?  Biarlah masa yang menentukannya. 
         Hari yang benar-benar membosankan dan memenatkan.  Haziq mengeluh berat.