AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 19 December 2014

AKU TURUT BAHAGIA - BAB 7

BAB 7
            Hajah Halimah  mengetap bibir.  Panas satu badan, geram tidak terkata, marah tidak terhingga.  Kenapalah buat keputusan tanpa merujuk pada orang tua.  Ikut suka dia sahaja.  Kita berdoa siang-malam agar dia berjaya dalam pelajaran, menggenggam segulung ijazah, alih-alih hantar sms kata hendak  berhenti  belajar sebab ingin berkahwin, Hajah Halimah mengeluh kesal.
            Susah payah dia menghantar anak bongsunya itu belajar ke Mesir, baru tahun dua sudah lain pula ceritanya.  Bukan dia menghalang anaknya berkahwin, kalau sudah jodoh apa hendak dikata. Tapi takkanlah sampai  terpaksa berhenti  belajar?  Hajah Halimah mengeluh lagi.  Ah! Budak-budak sekarang bukan faham perasaan orang tua, apa yang mereka tahu kehendak mereka harus dipenuhi.  Perasaan orang  tua yang terluka apa mereka peduli.
            Hajah Halimah berjalan ke hulu ke hilir. Tidak betah duduk diam.  Semakin difikir semakin sakit hatinya.  Semakin geram dan semakin marah.  Kalaulah Syifa’ Umaira ada di hadapan matanya mahu sahaja dicekik-cekik. Eee…! Geram betullah…!
            “Awak ni kenapa? sakit kepala saya tengok awak ke hulu ke hilir depan saya ni,” tegur Haji Mansor.  Hajah Halimah mencekak pinggang.  Dia memandang wajah suaminya yang sedang  membaca buku yang baru sahaja dibelinya dua hari lepas.
            “Awak tak risau ke? Mai, nak berhenti  belajar?  Awak tak ambil tahu pun.” Hajah Halimah duduk di sebelah suaminya.  Haji Mansor meletakkan buku yang sedang dibacanya itu di atas meja kopi di hadapannya.  Dia memandang wajah isterinya.  Dia menggelengkan kepala.
            “Siapa yang tak risau Limah! Itulah satu-satunya anak kita yang menjejakkan kaki ke menara gading, yang  tiga orang lagi setakat STPM, lepas  tu terus bekerja. Tak nak sambung belajar lagi… tapi kita nak buat macam mana?  Dah itu keputusan dia.  Cuba awak baca pesanan ringkas dari anak bongsu awak tu, kalau kita tak bagi kahwin, dia tetap akan kahwin, awak nak buat macam mana lagi?” Haji Mansor mendengus kasar.
            “Sakit kepala saya ni, kita di sini mendoakan kejayaan dia.  Dia senang-senang  je ambil keputusan berhenti. Eh! siap nak kahwin lagi. Kalau tak bagi, tetap akan berkahwin!  Kita pula  diugutnya,”  marah Hajah Halimah.  Haji Mansor menggelengkan kepala, kecewa sebenarnya.
            “Tegas tak bertempat Limah, itulah jadinya.  Tidak  tetap pendirian.  Nanti  bila ditimpa masalah baru nak menyesal,”  keluh Haji Mansor.  Hajah Halimah mengeluh kasar.
            “Anak kita tu dah gila agaknya? Atau pun ada orang buat guna-guna kat dia tak?  Itu sebab dia ikut cakap orang tu?”  duga Hajah Halimah.  Haji Mansor menggelengkan kepala.
            “Tak baik mendoakan anak dengan perkara yang tak elok, Limah.  Lagi satu tak ada siapa nak guna-gunakan anak awak tu.”
            “Awak takkan tak nak buat apa-apa? Awakkan tok kadi?”
            “Awak nak saya buat apa?  Awak ingat saya ni apa?  Menteri! polis! Saya ni tok kadi je Limah, hoi! Saya boleh nikahkan orang je.”
            “Esok orang yang nak meminang anak kita tu datang.  Ya, ALLAH! macam mana ni bang? Siapa mereka tu?”  Hajah Halimah mula resah dan risau.  Risau kerana tidak tahu siapa yang meminang anaknya.  Resah kerana sikap Syifa’ Umaira yang membelakangkannya.
            “Tu, dalam sampul surat tu ada maklumatnya, baca je lah!” Haji Mansor memuncungkan mulutnya menunjukkan satu sampul surat yang terletak di atas almari pinggan-mangkuk.  Hajah Halimah turut memandang ke arah yang sama.  Mereka saling berpandangan.
            “Awak dah baca ke?”  tanya Hajah Halimah.  Haji Mansor yang kembali menyambung  pembacaannya mengangguk perlahan.
            “Awak kenal ke orangnya?” Sambung Hajah Halimah lagi.  Haji Mansor mengeluh.
            “Kenal Limah,” jawab Haji Mansor perlahan juga.
            “Ish! Awak ni buat endah tak endah je pertanyaan saya, kita tengah risau, dia boleh buat tak tahu!”
            “Awak nak saya cakap apa?  Memang saya kenal Ustaz Amir Hudzaifa tu. Warak. Baik. Beriman, tawaduk dengan ilmunya.  Ada maahad sendiri.   Kalau tengok dari gambar tu, memanglah itu Ustaz Amir Hudzaifa yang saya kenal, sebab ada beberapa kali saya ikut kuliah dia.  Tapi setahu saya, Ustaz Amir Hudzaifa tu dah beristeri. Iyalah! Saya pernah jumpa isteri dia.  Takkan anak kita nak bermadu, Limah?”  Haji Mansor baru teringat.  Tidak mungkin anaknya  mahu bermadu, atau Ustaz Amir Hudzaifa sudah bercerai dengan isterinya?  Haji Mansor menggaru kepalanya yang tidak gatal tetapi sudah dipenuhi uban itu.
            “Ada isteri?  Ya, ALLAH,  semakin berserabut fikiran saya bang!  Apalah nak jadi dengan anak kita sorang ni? Kenapalah dia suka sangat buat saya marah?  Nasib baik saya tak ada darah tinggi,  kalau tidak mahu tumbang saya ni.”   Hajah Halimah mula sebak.  Haji Mansor mengeluh kesal.  Kalau Ustaz Amir Hudzaifa dari Kelantan, memang dia pasti ustaz itu sudah beristeri.  Haji Mansor memandang isterinya yang sudah pun menangis.  Dahinya berkerut.
            “Yang awak menangis kenapa?”  Tanya Haji Mansor.  Hajah Halimah mengesat air matanya.  Dia tidak menyangka lelaki yang akan meminang anaknya itu sudah beristeri, anaknya pula setuju dan  sudah pun menerima.
            “Gila!  Memang kerja gila! Anak awak tu tak fikir masak-masak ke bang?  Dia tahu ke tidak yang  Ustaz Amir Hudzaifa tu dah ada isteri?”  Hajah Halimah mengelabah.  Fikirannya
mula tidak tenang dan berserabut ditambah dengan maklumat yang baru diberitahu oleh suaminya bertambah kacau fikirannya.
            “Dahlah, tak payah awak pening-peningkan kepala! Esok kita tahu jawapannya.”  Haji Mansor bingkas bangun.  Esok dia akan bertemu dengan Ustaz Amir Hudzaifa dan rombongannya yang akan datang meminang.  Waktu itu bolehlah dia bertanya sendiri pada Ustaz Amir Hudzaifa status sebenar lelaki yang bakal menjadi calon suami anaknya.  Haji Mansor  melangkah menuju ke bilik.  Rumah teres setingkat itu dibeli lima belas tahun dahulu dan sudah pun dibesarkan di hadapan dan belakang.  Selesalah untuk dia dan isterinya tinggal.   Anak-anak yang lain sudah berkeluarga dan sudah ada rumah sendiri.  Cuma tinggal Syifa' Umaira sahaja yang bersama dengan mereka.
            “Awak nak ke mana pula tu?  Masalah kita belum selesai ni?”  Hajah Halimah memandang suaminya yang berlalu meninggalkan dia seorang diri di ruang tamu itu.  Panggilannya tidak dipedulikan Haji Mansor.  Hajah Halimah mengeluh.   Hatinya kecewa.  Dadanya sebak.  Hancur hatinya dengan sikap Syifa’ Umaira.   Buat keputusan tanpa terlebih dahulu berbincang dengan mereka.  Kenapalah anaknya itu  buat keputusan terburu-buru, detik hati kecilnya.
            Sebelum ini tahu pula anak gadisnya itu memberitahu tentang pemuda-pemuda yang ingin meminangnya.  Semuanya ditolak, Hajah  Halimah tahu tentang itu kerana Syifa' Umaira akan berbincang dengannya terlebih dahulu tapi kali ini kenapa tidak ada perbincangan antara mereka.  Kenapa? Apa dah jadi dengan anaknya itu. Apa yang telah merasuk fikiran anaknya itu sehingga membuat keputusan di luar jangkaan.  Lain yang diharap, lain pula yang  jadi.
            Dia dan suaminya menaruh harapan yang tinggi  pada anaknya itu.  Syifa' Umaira adalah harapan mereka.  Anak bongsunya itu adalah  semangatnya.  Aku sangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari, bisik hati kecil Hajah Halimah.  Pening! pening!  Hajah Halimah  mengeluh lagi.  Hendak  marah, empunya diri tidak ada di hadapan mata. Hendak lepaskan geram pada siapa?  Kata hatinya lagi.  Kepalanya mula berdenyut,  kerana Syifa' Umaira sakit kepalanya menyerang semula.  Migrain...! Anak oh Anak… !

No comments:

Post a Comment