Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 12 Disember 2014

SAHABAT

Kredit gambar: menulisdenganhati.blogspot.




Matanya liar memerhati, mencari kelibat seseorang.  Orang yang ingin sangat ditemui.  Orang yang amat dirindui.  Orang yang amat disayangi sepenuh jiwa dan raganya.  Bagaimana mungkin dia melupakan insan yang  bagaikan adik beradiknya sendiri.  Mereka bagaikan aur dan tebing.  Bagaikan belangkas, ke mana sahaja bersama.  Seolah-olah tidak akan terpisah, namun takdir dan kehendak ILAHI mengatasi segalanya.  Perpisahan berlaku juga.  Keluarganya berpindah keluar dari kampung itu menyebabkan hubungannya  dengan keluarga teman dan sahabat baiknya itu juga turut terpisah.  Dia ada mencari keluarga temannya itu, tetapi mereka juga telah berpindah ke tempat lain.  Sejak itu mereka tidak lagi bertemu dan bersua muka.  Hanya rindu yang terbenam di jiwa, menjalar dan berakar umbi, tumbuh kukuh di hati.
“Dia masih tak sampai lagi ke, Seng?” tanya Kakak sulongnya, Linda.
Hanya gelengan yang menjawab.  Matanya masih lagi memandang ke arah pagar rumah.  Tetamu yang hadir di majlis tersebut disapa sekali lalu.  Hendak bersembang terasa malas di hati.
“Kejap lagi sampailah tu, dia pun rindu dengan Seng,”  sambung Linda.   Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan sahabat baik adiknya sejak kecil itu. 
“Yalah kak.  Terima kasihlah kerana menjemput dia, Seng tak sangka akan bertemu kembali dengannya.  Ingatkan kami akan terpisah terus,” luah Ah Seng.  Hiba menyapa.  Rindu menjalar di segenap lubuk hatinya.
Keluhan berat dilepaskan.  Rasa tidak sabar ingin melihat sahabat tersayang.

*** 

Hatinya berdebar-debar, sudah lama tidak bersua muka tentu lahir pelbagai rasa.     Teruja, takut dan bimbang bercampur baur di hati.  Sudah sepuluh minit dia sampai di rumah banglo yang tersergam indah di hadapannya.  Seram sejuk tangannya.  Entah apa yang dia bimbangkan.  Rasa bersalah turut bersarang di hati.  Dia menarik nafas panjang, memejam mata seketika.  Mencari ruang di hati agar bertenang.  Sudah hampir belasan tahun mereka tidak bertemu.  Perpisahan yang bukan kehendak mereka.  Dia pernah berjanji ingin menulis surat setiap bulan kepada sahabatnya itu, tapi dia tidak lakukannya, dan akhirnya mereka terputus hubungan apabila keluarganya berpindah dan alamat rumah Ah Seng hilang begitu sahaja.

Bagaimana mungkin dia melupakan hubungan yang terjalin sejak mereka kecil lagi, makan bersama, belajar bersama.  Pendek kata ke mana sahaja mereka bersama.  Ada ketika dia tidur di rumah Ah Seng begitu juga sebaliknya.  Keluarga mereka langsung tidak membantah walaupun mereka berlainan agama dan bangsa.   Kasih mereka kasih adik beradik, sayang mereka sayang bagaikan keluarga.  Itulah hakikatnya.   Dia menarik nafas lagi, dilepaskan perlahan-lahan.  Pintu kereta di buka perlahan.  Dia melangkah dengan yakin.  Rindu sekian lama berkubur di hati, bagaikan hidup kembali.    Langkah diatur mendekati pagar rumah banglo yang berwarna keemasan. 
Langkah diatur,  matanya liar mencari wajah seseorang.  Entah bagaimana wajah Ah Seng setelah dewasa, masih terbayang di ruangan mata wajah Ah Seng ketika kecil dahulu.  Rambutnya yang tercacak, beremos di hadapan.  Sikat tidak pernah lepas dari tangannya.

“Rashid!” sapa seseorang dari belakangnya. 
Rashid menoleh.    Mata mereka saling bertemu. Saling bertatapan.  Mereka menerpa dan saling berpelukan.  Perasaan keduanya bercambur baur, gembira dan terharu.  Saling memandang sesama sendiri.  Saling tersenyum dan berbalas ketawa nipis.
“Kau semakin kacak, Seng,” puji Rashid.  Pecah ketawa mereka.
“Kau apa kurangnya,”  puji Ah Seng pula.  Kedua sahabat saling ketawa.  Gembira tidak terkata.  Ah Seng  melayan Rashid menjamu selera. 

Usai bersalaman dengan keluarga Ah Seng yang tidak asing lagi kepada dirinya,   Rashid  dan Ah Seng mencari tempat yang agak privasi, terlalu banyak perkara yang ingin mereka sembangkan.  Mereka duduk di satu sudut yang agak jauh daripada para tetamu yang ada.  Perbualan pun bermula.
“Kau bagaimana?” tanya Rashid, matanya tidak lepas dari memandang wajah sahabatnya itu.
“Aku, Alhamdulillah,” jawab Ah Seng, tenang dan selamba.
“Alhamdulillah?”  Dahi Rashid berkerut.
 
“Nama Islamku,  Abdul Rahim,”  Ah Seng melakarkan senyuman.
“Alhamdulillah.”  Rashid mengucap syukur.  Dia tidak menyangka, sahabatnya itu diberi petunjuk dan hidayah.
“Aku memeluk Islam di Amerika, waktu di tahun akhir.  Aku mengambil masa yang lama untuk menukar agama, banyak perkara yang perlu aku fikirkan, Alhamdulillah, keluarga tidak membantah.  Tapi aku kecewa, kau memang bukan seorang sahabat yang baik!  Kau berkawan dengan aku hanya untuk suka-suka sahaja.  Langsungkau tidak memikirkan diriku, keadaanku setelah mati, di mana tempatku di akhirat nanti,  kau memang kejam, Rashid!” tempelak Ah Seng.  Wajahnya serius. 
Rashid terkedu.  Dia mati kata-kata.  Bibirnya bagaikan terkunci. Akalnya sahaja yang berjalan.
“Kenapa kau cakap macam itu, Seng?” Rashid bingung seketika.
“Yalah, sepatutnya kaukenalkan Islam kepadaku sejak kita berkawan.  Aku tengok kau berpuasa, kau solat, selalunya kautinggalkan aku sendirian di luar masjid atau surau jika kau bersolat.  Kalau berpuasa pula, kau sanggup simpan lauk pauk waktu bersahur hanya untuk aku makan, sedangkan kau berpuasa.  Bukankah sahabat yang baik itu saling ingat mengingati.”  Wajahnya tetap serius.
“Aku…” Rashid mati kata-kata.
“Nasib baik aku sempat memeluk Islam, sebelum ajal menjemput, jika tidak tentulah kauakan melihat aku dibakar oleh api neraka,” luah Ah Seng dengan mata berkaca.
Rashid menunduk malu.  Ketika itu dia terlalu mentah dalam soal agama.  Dia hanya tahu perkara asas sahaja, mana mungkin dia mengajak sahabatnya itu memeluk Islam. 
“Mana mungkin aku ajak kau peluk Islam?  Nanti pasti keluargakau marah!”  jawab Rashid.  Tidak mahu perasaan rasa bersalah mendatang  pula.
“Kau boleh suruh aku belajar dahulu, walaupun bukan terus memeluk agamakau,”  kata Ah Seng tidak mahu kalah.  Dalam hati dia tetap rasa kecewa kerana terlambat mengenal agama yang suci ini.  Dia melihat sahabatnya solat, ketika itu mindanya sering bertanya sendiri, siapa yang Rashid sembah?  Dia tengok Rashid berpuasa, pernah juga terlintas di hatinya, buat apa susah-susah berpuasa, untuk siapa dan kenapa?  Setelah memeluk Islam dan belajar, baharulah dia faham segala-galanya.
“Maafkan aku, Seng.  Aku gagal jadi sahabat yang baik yang membawa kebaikan dunia dan akhirat,”  keluh Rashid. 

“Memang aku rasa kesal sangat-sangat, tapi itulah kehendak takdir.  Aku kenalkau, tapi bukan kau yang membawa aku pada agama yang suci ini.   Tak apalah Rashid.  Bukan salah kaupun.  Mungkin semua sudah tertulis sejak azali lagi yang aku akan memeluk Islam di Amerika, bukan di Malaysia. 
Aku bersyukur kerana ALLAH SWT telah membuka pintu hatiku untuk menjadi muslim sebelum ajal menjemput,” luah Ah Seng, ada nada kecewa dalam getar suaranya.
Hiba hati Rashid.  Air mata sudah pun terbit di tubir matanya.  Raa bersalah menghimpit diri.  Rasa kesal terbenam dalam hati.  Kalaulah dia…  Rashid terdiam, kaku membisu.
Ah Seng mendekati Rashid.  Dia memeluk erat tubuh sahabatnya itu.
“Tapi kerana kau, aku ingin mendekatkan diri mengenal agama yang suci ini, Rashid.”  Ah Seng tersenyum.
“Kau maafkan aku?” tanya Rashid.

“Sudah tentu, kaukan sahabat aku dunia dan akhirat,”  luah Ah Seng, gembira.
Rashid tersenyum bahagia.  Gembira bertemu sahabat lama, bahagia kerana sahabatnya sudah menjadi saudara seagama.   Ikatan hubungan yang terjalin semakin erat di hati.

Sahabat yang baik adalah orang yang menerima diri seadanya.  Mengajak berbuat kebaikan.  Menegur jika sahabatnya berbuat salah.  Ada, ketika susah dan senang.  Sanggup ketawa dan menangis bersama.  Itulah sahabat pada pandangan Rashid.  Mulai sekarang dia ingin menjadi sahabat kepada Ah Seng atau  Abdul Rahim dalam erti kata yang sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan