AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 31 December 2014

ULASAN ATAS LANTAI TAKDIR



ATAS LANTAI TAKDIR
FIDA ROHANI
ALAF 21
2013
RM22.00
553 muka surat.
Cinta pertama sukar dilupakan, begitulah yang dirasakan oleh Zulfikar terhadap cinta pertamanya.  Perasaan cinta, kasih dan sayang tetap utuh, teguh di hati.  Walaupun masing-masing sudah berumah tangga.  Berkahwin kena paksa dan terpaksa kadangkala tidak membawa bahagia.  Jika suami dan isteri yang dikahwini sikap dan perangai bagaikan syaitan jantan dan betina.  Begitulah yang dirasakan oleh Zulfikar terhadap perkahwinannya dengan Shamira yang lebih tinggi pangkat dan bergaji besar daripada dirinya sendiri.  Penghinaan, cacian membuatkan hatinya terkoyak rabak, dan tidak mungkin mampu dijahit semula.  Membuatkan Zulfikar sukar melupakan kekasih hatinya, Nik Anum yang terus bertahta di hati.
Hatinya semakin  derita apabila anak gadisnya juga turut bersikap sama seperti isterinya yang langsung tidak menghormatinya sebagai seorang suami dan ayah.  Akhirnya dia meninggalkan rumah lantaran sikap isterinya semakin hari semakin  menjadi-jadi memburukkan dirinya  pada rakan-rakan di pejabat.  Ketika itu dalam hatinya hanya ada Nik Anum.  Setelah sekian lama terpisah akhirnya  mereka bertemu semula. Tetapi dalam keadaan yang berbeza, masing-masing sudah berkeluarga.
Apa yang berlaku seterusnya?  Mampukah cinta suci mereka disatukan?  Mahukah Shamira bermadu?  Bagaimana dengan suami Nik Anum?  Anak-anak mereka pula bagaimana?  Tentu ingin tahu cerita selanjutnya, kan?  Jom dapatkan karya ini di pasaran atau hubungi terus penulisnya.
Ini adalah karya ketiga yang saya baca garapan dan tulisan penulis ini.  Apa yang boleh saya katakan, setiap karya beliau mempunyai jalan cerita yang tersendiri yang tidak mampu difikirkan oleh akal.  Rasa sedih yang menyerap dalam hati bagaikan tidak mahu pergi, setiap perkataan yang terlahir bagaikan menjerut rasa, menghimpit rasa hiba, air mata mengalir tanpa henti.  Nasib baik membaca waktu malam, hanya ditemani dengkuran suami di sebelah, kalau tidak pasti ada yang bertanya, kenapa menangis?  Sebuah lagi karya kehidupan yang berlaku dipersekitaran kita.  Seorang isteri yang  rasa diri hebat kerana berkelulusan tinggi sehingga hilang rasa hormat pada seorang suami, anak-anak yang hilang rasa hormat kepada kedua orang tuanya.  Cinta pertama yang tidak pernah akan padam jika kehidupan terkini tidak lagi membawa bahagia.  Tahniah kekandaku, karya yang bagus mampu menggugat hati nurani.

No comments:

Post a Comment