AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 22 November 2015

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 2- ASMAH HASHIM






Pernafasannya turun naik, berombak dadanya.    Matanya menerawang memerhati dan mencari kelibat kedua-dua manusia sekalian dengan jawatankuasa yang telah dilantik.  Tidak kelihatan.  Hanya wajah mereka yang tidak berkenaan sedang duduk santai di meja masing-masing.  Kelihatan sibuk, tetapi entah apa yang mereka sedang lakukan.  Tidak mungkin dia memeriksa mereka satu persatu.  Banyak lagi urusan yang perlu diuruskan.  Ke mana mereka pergi?  Dia ke bahagian Sumber Manusia, bertanya lebih kurang.  Kalau dia ada sakit jantung, mahu gugur dia di situ juga.  Ada yang mengambil cuti secara tergesa-gesa sama seperti sebelumnya apabila diadakan majlis sambutan delegasi dari luar negara untuk melawat masjid itu atau apa sahaja program yang diatur.  Ada yang langsung tidak  nampak batang hidung.  Ghaib tanpa khabar berita, kalau iapun sekurang-kurangnya tunggulah  sehingga majlis penting itu tamat.  Apabila sudah selesai semuanya, barulah mereka bercuti atau hendak buat apa sahaja.  Wajah sombong dan bongkak kedua-dua ustaz itu membuatkan  hatinya membara.  Tidak terduga dalam hal ini juga mereka sanggup curi tulang!
Sekarang hendak bertanya tentang tugasan mereka pun susah. Langsung tidak berjawab apabila ditelefon.  Benar-benar melarikan diri. Langsung tiada rasa  hendak bertanggungjawab dengan  tugasan yang diberikan kepada mereka.  Program mengimarahkan masjid sepatutnya dikendalikan oleh Ustaz Zaki dan para petugasnya, tidak pernah selesai.  Terpaksalah dia yang mengambil alih.   39 petugas masjid, yang kelihatan hanya beberapa kerat yang tugasnya tidak begitu penting.  Hendak disuruh berbagai alasan diberi.  Tugas mereka sendiri belum selesai. 
Ummu Salamah bingkas bangun.  Dia melangkah keluar dari pejabat.  Tapak kasutnya menghentak lantai, tangannya terus mencapai fail yang bersusun di atas mejanya.  Segala urusan harus selesai hari ini juga.   Keadaan sama seperti dia ingin menghentak dan putuskan rasa kecewa yang sedang menghimpit jiwanya.  Dia rasa sebal dan terhimpit setiap kali mengenangkan sikap mereka.   Lepas tangan itulah  yang sedang dan pasti akan  mereka lakukan pada masa-masa mendatang.  Segala arahannya  mudah sahaja mereka  engkar.  Mengapa engkar?  Adakah kerana arahan itu datangnya daripada seorang perempuan? Ataupun sekadar alasan si pencuri tulang, sebenarnya?  Pemalas?  Mereka langgar setiap arahanya tanpa rasa malu apatah lagi belas ihsan.  Kalau masalah menerpa nanti dialah yang akan dipertanggungjawabkan.  Rasa pedih mencengkam diri. Hiba yang terus-terusan bersarang di dada.  Membiak dan beranak pinak kini.  Terasa  hatinya parah digelek resah dan takut  yang menerjah-nerjah menghimpit dan melemaskan diri.
Apa yang akan kujawab dengan  Imam Besar dan Pengarah nanti?   Apa yang  harus dia lakukan jika program esok gagal dikendalikan dengan baik?  Lirih hatinya, dibalut  rawan yang berpanjangan. 
Pasti pihak Majlis Agama akan bertanya tentang program yang bakal berlangsung?  Semua ini membuatkan fikirannya berserabut.   Dia yang berkelulusan Sarjana Muda Syariah B.A Honz Azhar dan memilih bidang agama adalah satu anugerah daripada  ALLAH kepadanya itu, tersendu keharuan.  Ini bukan soal mengejar sijil atau membina pangkat, tetapi tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. 
“Ustazah perempuan, tugas seorang perempuan adalah di rumah, jaga suami, memasak dan jaga anak.  Tidak perlulah bersusah payah bekerja di sini.  Ini tempat dan tugas orang lelaki,” kata Ustaz Zaki.
Sekali lagi suara itu menerjah ingatannya.  Bagaikan bunyi hon kenderaan yang terpaksa ditekan ketika ada kecemasan menampar gegendang telinganya.    Dia mengetap bibir, dahinya berkerut,  dia menekup telinganya dengan tangan bagi menepis suara itu berlalu pergi bagaikan angin lalu.   Huh! Kalau ikutkan hati sudah lama lelaki itu ditanam hidup-hidup, atau dikerat 18 biar tidak bernyawa lagi, aman dunia dengan lenyapnya manusia seperti itu. Mahu sahaja penumbuknya singgah ke wajah lelaki itu.  Mahu sahaja dia menghunus pedang dan merobek jantung lelaki yang tidak perasaan itu.  Terlalu jauh dia berangan, melegakan seketika perasaan sedih yang sedang beraja di hati.    Sudah lama dia memasang angan-angan seperti itu, sejak dia bekerja di situ, sejak dia sering diperlekehkan.  Dia bukan jenis wanita pembengis begitu.  Biarpun dalam dadanya sarat dengan perasaan marah, hiba dan kecewa namun mengambil nyawa orang lain bukan dirinya.  Dia masih ada hati dan perasaan.  Dia ada keimanan, dan dia ada ALLAH SWT.  Hanya manusia jahil dan buta hati sahaja akan sanggup melakukan perkara hina seperti itu.
Ah! Segala-galanya terlalu mencabar.  Tugasan yang sedang disandang tidaklah seberat mana.  Dia memang sukakan cabaran, kesibukan bekerja dan melakukan sesuatu yang amat bererti buat dirinya dan agama.  Tetapi apabila terpaksa berurusan dengan  para petugas lelaki yang tidak mahu menghargai penat lelah seorang wanita membuatkan tugas yang disandang bagaikan sebongkah batu yang sedang menghempap kepalanya.   
            Sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga orang anak dan dalam masa yang sama menguruskan masjid sesuai dengan jawatan yang disandang.  Hatinya benar-benar dihimpit kekecewaan.  Kalaulah hati itu di luar tubuhnya pasti dalam dilihat aliran darah yang mengalir lantaran terluka parah dan menanggung rasa sakit yang melampau.  Rasa dirinya ditanam hidup-hidup, sesak nafasnya menahan sebak yang menggunung.  Maruah diri bagaikan dicabar lantaran segala  urusan dia yang uruskan, arahan adalah daripadanya.  Padahal, majlis itu juga dicadangkannya, semata-mata bagi mengimarahkan masjid dan mendekatkan masyarakat persekitaran agar sering ke masjid.
Barangkali inilah juga perasaannya bagi anak yang ditanam hidup-hidup hanya kerana dia seorang perempuan, getus hatinya.  Terkilan panjang.  Inilah masalahnya apabila terpaksa bekerja dengan lelaki yang mentalnya masih dikaitkan dengan zaman sebelum Rasulullah SAW mengembangkan syiar Islam.  Anak perempuan ditanam hidup-hidup lantaran dituduh akan menyusahkan keluarga.
Matahari memancarkan sinarnya, angin bertiup damai terasa menyapa wajahnya.  Dia terus berjalah menyusuri khemah yang telah ditempah dan sudah siap tersusun di sekeliling masjid.  Karnival Masjid An- Nur bakal berlangsung esok.    Dia melemparkan senyuman ke arah para peniaga yang sibuk menyusun barangan perniagaan mereka.  Ada yang menjual pakaian seperti jubah lelaki dan perempuan.  Berbagai warna dan corak serta potongannya.  T-shirt muslimah, labuh dan berlengah panjang, berbagai corak terpamer di  gerai tersebut.  Semakin menjadi pilihan berpatutan dengan harganya yang tidak terlalu mahal.  Beraneka warna dan gambar.  Ada gambar kartun dan gambar bunga.  Peralatan ibadah seperti telekung, sejadah, kopiah dan kain sarung turut terjual.  Buku-buku agama pelbagai bentuk  dan mengutarakan pelbagai  persoalan tentang hukum hakam agama dan ibadah juga tidak ketinggalan. 
            Dia tersenyum, terbayangkan  bagaimana dua hari yang lepas para peniaga tersebut baik lelaki dan perempuan yang datang dari merata tempat dipanggil untuk mencabut nombor khemah yang telah ditentukan oleh pihak penganjur, iaitu Masjid dan Jabatan Agama Islam Wilayah Tengah.  Dalam hati dia benar-benar bersyukur kerana karnival Masjid An- Nur  akan dijayakan dengan kerjasama sebuah stesen radio.  Dia berharap majlis berjalan lancar.  Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, bukan calang-calang orang.  Terdapat lebih seratus khemah yang bakal menjual beraneka jenis  barangan.  Khemah terpasang di sekeliling masjid. Program paling  besar yang pernah dianjurkan oleh pihak masjid.  Bukan main-main,  Bukan hanya untuk berseronok untuk mencipta nama teapi program itu membawa maruah Masjid An. Nur dan pekerja masjid tersebut.
Takkan itu pun tidak terfikir oleh Ustaz Zaki dan Ustaz Naim, tidak faham atau buat-buat tidak mengerti?  Aduh, susah betullah bekerja dengan kaum Adam, langsung tidak mahu bertanggungjawab apatah lagi bekerjasama! Kalau ditegur ada-ada sahaja alasan yang akan keluar dari bibir mereka.  Disuruh membeli barangan keperluan majlis seperti air mineral, alat tulis pasti ditolak dengan alasan susah hendak mendapatkan tempat letak kereta.
Kalau diminta berhubung dengan penceramah, pasti alasanya sudah buat panggilan tetapi tiada siapa yang menjawab.  Takkan cukup sekali?  Perlulah menelefon berkali-kali atau tinggalkan pesanan itu atau pun pesanan ringkas lewat telefon bimbit sahaja.  Semuanya menjadi sukar bagi mereka.    Apa yang tidak sukar bagi mereka? Barangkali sudah terbiasa duduk santai hanya menjadi imam solat maka mengikut program atau mengatur majlis seperti itu bagaikan terasa membuang waktu sahaja. 
“Sejak ustazah datang, kerja kami bertambah, penat dan melecehkan sahaja.  Tidak bolehkah duduk diam-diam, baca bukukah, buatlah apa sahaja daripada mengganggu kami dengan pelbagai aktiviti yang membuang masa!”
Itulah ayat-ayat yang memanah jantungnya apabila meminta tolong atau menyarankan mereka menjadi ahli jawatankuasa program.    Hati siapa yang tidak panas?  Jiwa siapa yang akan tenang, jika semua perkara dipandang negatif?  Mahu sahaja dia mengajak mereka bertengkar, biar puas rasa hati.  Biar kurang sakit di jiwa.  Bila difikir sekali lalu tiada gunanya bertenang urat dengan orang yang  tidak memahami erti tanggungjawab kepada agama dan masyarakat.
Ummu Salamah beristighfar.  Bagaimana mahu dipercayai semua ini lagi.   Hati siapa yang tahan jika  begini terus.  Mahu sahaja dia melepaskan apa yang berbuku di hati, namun sedar status dirinya.  Dalam soal ini dia perlu bertenang dan bersabar, bertenang dan bersabar lagi dan lagi, dan lagi, entah sampai bila!
Ya ALLAH Engkau berilah aku kekuatan hati, kesabaran dalam menghadapi kerenah manusia ini, doanya di dalam hati.    Lelah dan terasa memberat di dada tetap berusaha mencari kekuatan dalam diri.  Biar bagaimana menjengkelkan pun sikap orang bawahannya dia tetap perlu bersabar.  Dia pasti semua ini adalah dugaan untuknya.  Tidak boleh berputus asa dan tidak boleh kecewa, bak kata orang menggenggam bara api biarlah sampai jadi abu, tidak kisahlah kalau telapak tangannya turut rentung oleh bara api itu.  Kalau tidak terus berlubang pun!  Alang-alang mengail biarlah dapat ikan.  Tidak kisahlah kalau ikan yang dikail itu adalah ikan piranha sekalipun.
Tidak akan aku sia-siakan keberadaannya di situ.  Hanya orang yang lemah sahaja yang akan kecewa.  Ummu Salamah yakin tentang perkara itu.  Dia lalu menghela nafas yang terasa menyendat dalam dada dan menghembuskannya perlahan.  Terasa sempit hidung mancungnya untuk bernafas namun sesempit-sempit rongga pernafasannya, sempit lagi pemikiran lelaki yang suka curi tulang dan meremehkan arahan seorang wanita sepertinya.

No comments:

Post a Comment