AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 2 December 2017

CINTA REMAJA

Usia berapa anak remaja mula tertarik dengan berlawanan jantina? Perkara yang perlu emak ayah ambil tahu dan perhatikan perubahan anak-anak remaja kita yang sedang meningkat dewasa.

Cinta zaman sekolah, cinta monyet, cinta suka-suka. Kita sendiri pernah alaminya. Namun, zaman dahulu, emak ayah sudah berpesan awal-awal jika kita sudah mula kelihatan 'mengedik' tanpa sebab. Tanda perasaan cinta sudah bermula.

Pada usia seawal 10 tahun ke atas perasaan tertarik kepada rakan sekelas yang berlainan jantina akan mula berlaku. Ketika ini emak ayah perlu tahu, serta perhatikan anak-anak remajamu. Kalau boleh, ambil tahu.

Dalam zaman serba canggih dan penuh dugaan ini, kita tidak mahu perkara yang tidak baik berlaku. Jika zaman kita dahulu, kita berasa malu jika orang tahu perasaan kita kepada seseorang, tetapi tidak pada zaman ini. Anak-anak kita jauh kehadapan, malah lebih berani lagi.

Wahai emak ayah, biarpun ramai yang terbuka dalam soal menangani masalah cinta remaja ini, tapi jangan terlalu 'membiarkan' mereka bergaul bebas.

Berbuallah tentang 'cinta' dan 'perasaan' dengan mereka. Ajarilah apa yang boleh dan tidak dalam hubungan lelaki dan perempan yang bukan mahram. Jelaskan juga perkara yang lebih utama daripada melayan perasaan cinta yang sedang bermain dalam hati dan fikiran mereka.

10 tahun hingga 18 tahun, adalah waktu perasaan dan jiwa remaja yang sedang mencari identiti diri. Waktu inilah emak dan ayah perlu tekankan tentang adab dan akhlak kepada anak-anak. Ajar mereka menghormati orang lebih tua, kawan-kawan dan perempuan.

Ingatkan mereka agar tidak buat perkara yang tidak baik dengan kawan-kawan perempuan mereka. Ajar mereka hormati kawan-kawan perempuan mereka, jaga maruah kawan-kawan perempuan mereka seperti mereka menjaga maruah emak dan saudara perempuan mereka.

Marilah kita mulakan langkah ini, selamatkan generasi masa hadapan, selamatkan masa depan anak cucu kita.

Di sekolah, buatlah kempen menyekat pergaulan bebas tanpa batas ini, demi melahirkan remaja yang suci murni hati dan cara pergaulannya.

Emak ayah, periksa telefon bimbit anak masing-masing, terutama anak-anak remaja. Kita tidak mahu lahirnya semakin ramai anak luar nikah lantaran kita tidak menyekat pergaulan bebas anak-anak kita.
Bercinta boleh, tunggulah sehingga sampai masanya. Tidak kira anak-anak itu bersekolah agama atau sekolah biasa, perasaan mereka tetap sama.

Ayuh teman-temanku, usah kebaratan daripada orang barat. Kita pertahankan maruah anak-anak lelaki dan perempuan kita. Cegah pergaulan bebas mereka sebelum mudarat sehingga kita menyesal di kemudian hari.

Atasilah masalah cinta remaja dengan kata-kata nasihat dan garis panduan yang betul. Cinta lahir tanpa diduga tapi boleh diatasi dengan cara yang betul tepat.

Biarlah mereka bercinta dengan Allah, Rasullah dan ilmu terlebih dahulu.
#cintatakkenalsiapa
#cintamonyet
#cintaremaja.

No comments:

Post a Comment