Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 2 Disember 2017

KISAH SEORANG ANAK YATIM


Dia sebaya dengan anak bongsu saya, anak kedua dari lima beradik. Kematian ayah ketika usianya terlalu muda. Ketika usianya 10 tahun dan adik lelakinya dihantar tinggal di sebuah rumah anak yatim. Segala keperluan diri disediakan.

Setelah usianya menjangkau 13 tahun, dia dihantar belajar ke tempat lain oleh pemilik rumah anak yatim tersebut dengan segala keperluan seperti yuran dan barangan peribadi disediakan.
Dia mempunyai seorang kakak yang masih belajar, dua orang adik perempuan yang tinggal dengan datok dan nenek di kampung, seorang adik lelaki yang masih tinggal di rumah anak yatim tahfiz.
Ibunya, pendapatan tidak menentu, berbagai pekerjaan dilakukan, namun nasib masih tidak menyebelahi mereka. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada ketika sewa rumah pun tidak mampu dijelaskan.

Berbalik kepada anak itu tadi, melihat kawan-kawan yang ada ayah dan ibu, disediakan segala keperluan, mintalah apa sahaja, pasti diperolehi. Sebagai anak remaja yang sedang membesar, pasti dia juga ingin miliki apa yang kawan-kawannya ada, tapi ditahan nafsunya kerana memikirkan ibunya bukan orang 'ada-ada'.

Diajar juga adik-adiknya bila mereka bertemu agar tidak meminta-minta kepada ibu, kerana dia tahu ibu takkan dapat memenuhinya. Makan apa sahaja yang ada. Pakailah apa yang tersedia. Hidup harus diteruskan juga selagi ada nyawa.

Bayangkanlah kita berada dalam situasi anak ini. Nak beli seluar yang koyak, baju yang sudah sendat, barang keperluan harian yang sudah habis, pada siapa dia nak minta? Pada ibu yang dia tahu takkan mampu memberi apa yang diminta?

Siapa sahaja yang mendengar keinginan hatinya pasti akan berasa sedih, nak beli cantik-cantik, takkan dia seorang saja, kakak dan adik-adik bagaimana? Nak makan yang sedap-sedap, takkan dia saja, bagaimana dengan kakak dan adik-adik?

Anak-anak yatim Allah tarbiah hati mereka melawan nafsu dan kehendak sendiri.
Semoga Allah buka jalan rezeki yang melimpah luas buat ibu mereka agar dapat mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Buat anak gadis ini, semoga tetap kuat dan bersemangat untuk berjaya di masa hadapan.
Semoga Allah memberi yang terbaik buat mereka sekeluarga, Aamiin.

Kita merancang, Allah juga merancang. Namun, perancangan Allah adalah yang terbaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan