Pecah jua takungan air mata yang tersimpan kemas di tempat dia melihat dunia. Rasa gugur jantungnya menerima berita yang tidak pernah terduga olehnya. Malah tidak pernah menyangka perkara itu akan berlaku kepada dirinya sendiri. Barangan hantaran yang telah ditempah dan sudah siap sepenuhnya tersusun kemas di katil yang bakal menjadi bulan madu terindah dalam hidupnya. Terasa sebak dan berat dadanya. Pakaian nikah dan persandingan tergantung kemas di dalam almari. Semakin dilihat, semakin pedih rasa di hati. Mahu sahaja dia membuangnya jauh-jauh agar tidak kelihatan lagi.
Masih
terngiang-ngiang di telinganya rayuan tunangannya agar membenarkan dia
pergi berkursus ke Beijing. Pada
hal hanya seminggu sahaja lagi majlis pernikahan dan persandingan mereka
akan berlangsung. Bukan dia tidak
izinkan tetapi persiapan semakin sarat harus difikir dan diselesaikan. Kenapa di saat-saat akhir? Geram bercampur sebal di hati.
“Hanya
ada dua orang yang pakar dalam bidang abang ini. Abang dan kawan abang. Macam
abang cakap tadi, kawan abang isterinya bersalin, jadi hanya abang yang
tinggal. Dia tidak boleh hadir, abang
kenalah gantikan. Sehari sebelum majlis,
abang baliklah. Masih sempat lagi,” kata Ikmal meyakinkan.
“Hish,
kalau abang tak balik macam mana? Tersangkut
dengan amoi Beijing ke? Nanti Hani putih
mata aje,” masih tidak mahu
mengizinkan. Berat benar hatinya hendak
melepaskan pemergiaan tunangan tersayang.
Hubungan terjalin sekian lama akhirnya termeterai dengan pertunangan
dan mereka bakal disatukan tidak lama
lagi.
“Hani! Tolonglah.
Izinkan abang pergi, ya?” rayu Ikmal.
Wajah penuh mengharap. Dia tidak
boleh menolak kerana ini permintaan tempat dia bekerja.
“Nantilah,
Hani fikirkan dulu ya,” hanya itu yang mampu diberitahu. Resah mencengkam hati. Bimbang menerpa tanpa dipinta. Risau mengulit diri.
“Abang
kena beri jawapan segera, mereka hendak tempat tiket kapal terbang, penginapan
mana boleh beri keputusan lewat!”
Ikmal bimbang. Kenapalah sukar sangat Haniza ingin benarkan
dia pergi. Sepanjang mereka bertunang
bukan tidak pernah dia keluar negara, malah kerap juga. Dia faham mungkin Haniza risau tentang
majlis perkahwinan mereka. Tetapi masih
ada waktu untuk dia menguruskannya nanti.
Segala persiapan yang lain sudah selesai. Hanya menunggu harinya sahaja.
“Tak
boleh berkompromi ke syarikat abang itu?
Lepas kahwin ke?” Haniza
cemberut.
“Tak
boleh! Bengkel itu bukan ditentukan oleh
syarikat, tetapi dianjurkan oleh syarikat lain. Syarikat abang cuma hadir sebagai peserta. Lagipun bengkel atau kursus ini jarang
diadakan. Bila mendapat tahu dan
tawaran, terus sahaja majikan abang menerima.
Bukan abang seorang yang pergi.
Berbelas orang. Hani jangan
bimbang ya,” masih terus memujuk. Merayu dan mengharap Haniza akan bersetuju.
“Kalau
Hani tak benarkan? Abang akan pergi juga?”
bermain dengan teka teki, ingin mengetahui perasaan sayang tunangannya
itu terhadap dirinya.
“Ini
soal periuk nasi abang Hani, tempat abang cari makan, tempat abang
bekerja. Selama ini Hani tidak pernah kisahpun, kenapa kali ini
begitu keras dan susah untuk mengizinkan.
Abang boleh aje pergi tanpa beritahu Hani. Tapia bang masih ada perasaan ingin
berkongsi dengan Hani, cuba faham
situasi abang!” Ikmal hampir hilang
sabar. Sejak setengah jam tadi dia
merayu dan mengharap namun Hani
bermain-main pula. Esok jawapan harus
diberi. Bukan masanya untuk bergurau senda atau menguji perasaan
masing-masing. Ini bukan soal kesetiaan
atau soal ketidakjujuran. Ini melibatkan
soal kerja. Sebagai bakal isteri Haniza
seharusnya memahami keadaannya. Majlis
perkahwinan mereka masih ada ahli keluarga yang
boleh membantu. Bukan Haniza
terpaksa buat sendiri.
Wajah
Haniza bertukar kelat. Suara tinggi
Ikmal menyentap hatinya. Sepanjang
mereka bersama belum pernah Ikmal meninggikan suara kepadanya. Marah benar nampaknya.
“Pergilah,
kalau dah nak sangat! Jangan sampai tak balik sudahlah!” rungut Haniza. Dengan berat hati terpaksa membenarkan. Dia tidak mahu hubungan dingin disaat-saat tibanya hari berbahagia
mereka berdua.
“Izinkanlah
dengan redha dan ikhlas, bukan terpaksa atau dipaksa,” pujuk Ikmal.
Wajahnya melakarkan senyuman.
“Yalah,
nak buat macam mana? Nak pergi sangat,
Hani izinkanlah,” mengendurkan perasaan
sendiri.
“Bila
abang akan bertolak?” Haniza memandang
wajah riang Ikmal yang setia di hadapannya.
“Lagi
dua hari, sempat kita pergi selesaikan apa yang tertangguh,” Ikmal melemparkan senyuman.
Suasana
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tenang. Tidaklah terlalu ramai pengunjung, tidak
seperti waktu musim Haji. Haniza menarik
beg pakaian Ikmal sambil tersenyum. Beberapa
rakan sekerja bakal suaminya turut
menumpang mereka. Saling berbual dan
berborak kosong. Jelas terpancar keriang di wajah masing-masing. Ada yang baharu pertama kali menaiki kapal
terbang merasa kecut perut. Haniza
tidak lupa memesan cenderhati dari negara tembok besar itu. Terutama kain suteranya yang cantik dan
berkualiti.
“Sepanjang
abang tak ada nanti, jaga diri baik-baik tau. Awak itu berdarah manis, banyak
dugaan yang menanti,” pesan Ikmal.
“Jangan
pandai-pandai nak pujuk kita, awak tu pun sama,
jangan nak main mata dengan amoi di sana. Ingat, awak tu sudah bertunang dan bakal jadi
suami orang,” pesan Haniza.
“Insya-ALLAH,
segalanya akan dipermudahkan. Hani
tunggu kepulangan abang ya,” Ikmal mengenyitkan mata. Mereka saling bertatapan dan tersenyum.
“Hey,
apa nombor pesawat kita?” tanya salah seorang
rakan sekerja Ikmal,”
“MH370lah,”
jawab Ikmal sambil mengambil beg pakaiannya daripada Haniza. Mereka sudahpun berada di bahagian
pendaftaran. Haniza menunggu di
sebelah sewaktu Ikmal mendaftarkan diri serta
beg pakaiannya. Begitu juga
rakan-rakannya yang lain. Kelihatan
penumpang berbaris panjang. Semuanya
menaiki kapal terbang yang sama. Haniza
sempat mengacah seorang bayi yang comel.
Bayi itu tersenyum manis.
“Suka
kanak-kanakkan? Sabarlah… nanti kita ada anak sendiri,” usik Ikmal.
Laju
sahaja tangan Haniza memukul lengan Ikmal.
Setelah
mendaftar , mereka terus ke ruang menunggu.
Masih sempat untuk berbual panjang.
Masih punya waktu. Ramai warga
cina berbaris panjang di lorong pendaftaran MH370. Mata Haniza leka memerhati gelagat
mereka. Mungkin baharu selesai melawat
Malaysia dan hendak kembali ke tanah air mereka. Haniza tersenyum sendiri.
“Hani… dalam hati abang hanya ada Hani sahaja. Abang hanya sayangkan Hani seorang. Selama-lamanya. Sehingga ke syurga,” kata
Ikmal meyakinkan Haniza. Dia tidak
pura-pura, dia bersungguh-sungguh dan benar-benar menyintai gadis itu. Bakal suri hatinya.
Haniza
menunduk malu. Diapun mencintai lelaki
itu sepenuh hatinya. Semoga bahagia
milik mereka. Haniza memandang sayu
langkah Ikmal melepasi pemeriksaan
Imigrasen. Tangannya melambai
lemah, hatinya diulit pilu dan sayu.
Walaupun belum lagi berpisah
jauh, namun perasaan rindu sudah mula memutik di hati. Sempat lagi lelaki itu mengucapkan perkataan
sayang kepadanya dan melayangkan ciuman
di angin lalu. Haniza menunggu
sehingga kelibat Ikmal menghilang dari pandangannya. Hari semakin menjauh malam. Dia mengeluh.
Penat pula terpaksa memandu seorang diri pulang ke rumah. Tadi adiknya hendak menemani dia tidak
benarkan. Konon ingin berdua-duaan
dengan bakal suaminya, akhirnya ada juga
yang menumpang. Haniza berdoa dalam
hati semoga Ikmal selamat pergi dan selamat kembali.
Peristiwa beberapa jam yang lalu
bagaikan baharu sahaja berlaku. Berita yang
diterima daripada keluarga
tunangnya hampir mencabut nyawanya. Terlalu
terkejut dan tergamam. Sukar untuk dia
mempercayainya. Dia yang menghantar tunangnya itu ke lapangang
terbang. Mereka sempat bergurau dan saling berjanji untuk masa hadapan
sendiri. Tidak mungkin pesawat itu
hilang? Ke mana? Di mana?
Apa yang berlaku? Pesawat itu mengalami kerosakankah? Berbagai persoalan bermain di benaknya. Rasa lemah seluruh tubuhnya. Kakinya tidak mampu berdiri teguh. Dadanya sebak sarat dengan kesedihan dan kepiluan
menangisi kehilangan orang tersayang.
Menyesal pula mengizinkan Ikmal pergi.
Dia beristighfar berkali-kali.
Takdir ILAHI jangan hendak disanggah.
Semuanya ada hikmah tersendiri.
Apakah kebimbangan yang bersarang di hatinya beberapa hari yang lalu kerana dia benar-benar akan kehilangan orang tersayang? Kebimbangan yang menumbuk sanubarinya kerana sudah terlintas perkara buruk yang bakal terjadi? Entah berapa banyak tisu menjadi pengesat air matanya yang mengalir. Menangis dan menangis. Tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Menunggu dan mengharap. Masa terus berlalu. Orang tersayang masih belum ditemui. Bukan seorang, malah semua penumpang yang menaiki pesawat tersebut. Wajah-wajah duka yang menunggu dengan sabar berita tentang pesawat tersebut dipandang satu persatu. Mereka juga bimbang dan risau, sama seperti dirinya. Mengharap semua penumpang kembali dengan selamat. Majlis pernikahannya akan berlangsung seminggu lagi.
Apakah kebimbangan yang bersarang di hatinya beberapa hari yang lalu kerana dia benar-benar akan kehilangan orang tersayang? Kebimbangan yang menumbuk sanubarinya kerana sudah terlintas perkara buruk yang bakal terjadi? Entah berapa banyak tisu menjadi pengesat air matanya yang mengalir. Menangis dan menangis. Tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Menunggu dan mengharap. Masa terus berlalu. Orang tersayang masih belum ditemui. Bukan seorang, malah semua penumpang yang menaiki pesawat tersebut. Wajah-wajah duka yang menunggu dengan sabar berita tentang pesawat tersebut dipandang satu persatu. Mereka juga bimbang dan risau, sama seperti dirinya. Mengharap semua penumpang kembali dengan selamat. Majlis pernikahannya akan berlangsung seminggu lagi.
Resah, risau,
bimbang, pilu, sedih semuanya bersarang di dada. Tidak sabar rasanya ingin mengetahui apa yang
berlaku dan sudahkah pesawat itu ditemui?
Tiada lagi senyuman yang terukir
di bibirnya. Hanya air mata teman yang
setia sejak tiga hari lalu. Puas ahli
keluarga memujuk dan memberi semangat.
Tetapi semangat itu bagaikan mati bersama kehilangan pesawat yang
membawa Ikmal dan kawan-kawannya ke Beijing.
Doa juga dipanjangkan, merayu dan meminta agar semua penumpang
selamat kembali, biar berada di manapun. Disorok atau di bawa lari tidak kira apapun
berlaku biarlah ada jasadnya. Bukan
harapan dia seorang diri tetapi harapan ahli keluarga penumpang pesawat tersebut. Mungkin mereka juga sedih seperti dirinya. Mereka juga bimbang dan risau sama
sepertinya.
Kalaulah
dia benar-benar berkeras tidak
mengizinkan Ikmal pergi sudah tentu mereka akan menyulam bahagia . Kalaulah Ikmal tidak berkeras hendak pergi
juga sudah pasti ini mereka masih boleh bergurau senda. Kalaulah majikan Ikmal tidak memaksa sudah
pasti dia masih bersama Ikmal. Haniza terus
beristighfar tidak perlu memarahi takdir yang ditentukan kepadanya dan
Ikmal. Air mata meluncur laju. Geram juga mendekati. Marah dengan kedegilan tunangnya itu. Ya, ALLAH sesungguhnya aku hambaMu yang lemah, bisik hati kecil Haniza sendiri.
Jawapan
kepastian masih belum diterima. Majlis
perkahwinannya juga terpaksa ditangguhkan.
Seluruh ahli kelurga kedua belah keluarga sedang berduka. Bukan keluarganya sahaja malah keluarga
penumpang pesawat itu turut bermandi air mata.
Tidak tahu berbuat apa-apa. Menunggu
dan berharap sambil berdoa semoga semuanya selesai segera. Haniza memandang gambar Ikmal
digenggaman dengan harapan tinggi tunangannya itu akan kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan