Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 11 Mei 2014

SONATA CINTA AFRO - AZIE YANA












SONATA CINTA AFRO ( ISBN 978983124888-4)
AZIE YANA
2013
ALAF 21
RM17.00
420 Muka surat

Bab 1 -  Kisah bermula  dengan  Samira berdiri memerhati sebuah rumah banglo yang usang dan terbiar.  Seperti mencari sesuatu.  Apakah ianya?
Bab 2 – Kehadiran orang baharu dalam hidup   Hisham dan Rohani.  Senyuman bahagia terukir di wajah mereka.    Penantian selama 10 tahun akhirnya terubat jua dengan kehadiran anak yang begitu comel di mata.    Anak itu dilayan penuh dengan kasih sayang dan kemanjaan yang tidak berbelah bahagi.  Apa sahaja kehendak anak itu dipenuhi.  Anak itu dipanggil Afro kerana rambutnya yang kerinting  bagaikan sarang tebuan.
Bab 3 & 4 -  Masa kian berlalu.  Kehadiran seorang lagi anak Hisham dan  Rohani membuatkan kasih sayang mereka terhadap Afro berubah.   Sering dihina dan dimarahi.  Tidak membenarkan memegang dan memeluk adik-adiknya.  Afro kehairanan dan tertanya-tanya  sendiri,  Kenapa?  Dan apa sebabnya?  Bukankah dia anak mereka?
Bab 5 -  Mula bersekolah,  tidak seperti rakan-rakan sebaya yang lain. Dia dihantar dan dibiar sendirian.  Masih asing dalam dunia persekolahan.  Terkapai-kapai dia sendiri untuk menyesuaikan diri.  Sehingga nama sebenar dirinya pun dia tidak tahu, kerana selama ini orang memanggilnya dengan nama Afro.
Bab-bab seterusnya kisah perjalanan hidup Afro yang sering terpinggir dan dipinggirkan oleh adik beradik serta orang tuanya.  Wujud pilih kasih, kenapa?    Kisah cinta yang tidak kesampaian di awal remajanya.  Dia seorang yang baik dan mudah mesra.  Melayan siapa sahaja.  Tetapi kenapa cintanya ditolak  oleh seorang gadis yang sentiasa berada di sisi. Adakah gadis itu sekadar ingin mengambil kesempatan di atas kebaikan Afro.
Biar bagaimana buruk diri kita, di hati tetap ada cinta.  Itulah Afro.  Ingin dicintai dan menyintai.  Setiap kali dia meminati seorang gadis pasti ditolak mentah-mentah.   Kena mandi bunga, itulah terlintas di hatinya.  Afro  kecewa dengan sikap kedua orang tuanya yang tidak mahu menanggung persekolahannya setelah dia gagal SPM gara-gara kecewa dalam bercinta.  Terpaksalah dia bekerja dan mencari duit sendiri .  Setahun bekerja dia dibuang dan dimalukan.  Maruahnya dicalar dengan kata-kata nista.  Harga dirinya dihenyak-henyak tanpa belas kasihan.  Sehingga tiada ruang untuk dia mencari kerja di  kampung lamannya sendiri.  Kenapa agaknya?
Bukan semua orang percaya keburukan dirinya.  Ada juga yang simpati dan ikhlas menerima dia seadanya.  Sikap ringan tulang dan jujur membuatkan dia disenangi penduduk kampung.  Biar kedua orang tuanya memandang sinis kepada dirinya.  Dia terpaksa mengalah demi kelangsungan  hidup dan kasih sayang kepada kedua orang tuanya.  Dia sedar diri dan tahu diri.  Tidak meminta lebih asalkan  ada tempat untuk dia menumpang kasih dan sayang.  Biar secubit Cuma.
Kehadiran seorang wanita yang baik dan menerima dirinya membuahkan rasa cinta di hati.  Begitu juga wanita tersebut walaupun sedar Afro jauh lebih muda daripadanya.  Namun cinta tidak mengenal usia.  Namun hubungan yang sepatutnya berakhir di jinjang pelamin terbatal secara tiba-tiba?  Kenapa?
Pada hari pernikahan Samira, Afro tidak mampu hadir bersama.  Hatinya masih bertahta  nama wanita itu.  Hatinya masih merindui Samira.  Dia berharap Samira bukan … nya.  Dia tidak boleh menerima hakikat itu.  Kenapa semua orang berlaku kejam kepadanya?  Apakah takdirnya hanya untuk  menerima nasib malang. 
Pertemuan Rohani dengan seseorang, mengubah segalanya.  Mampukah cinta Samira dan Afro bersatu?  Apa yang menghalang hubungan mereka sebelum ini?  Siapa sebenarnya Samira kepada Afro?  Kenapa hati Hisyam dan Rohani berubah terhadap Afro yang pada mulanya amat mereka sayangi?    Keluhuran hati tidak boleh diukur dengan rupa paras, jelik atau cantik.  Keluhuran hati harus diukur dengan kejujuran dan keikhlasan.
Karya pertama Azie  Yana.  Cerita biasa tetapi cantik  garapannya.  Gaya bahasa santai dan mudah difahami.  Plot cerita yang tersusun kemas mengikut kronologi.    Sesekali ada imbas semula namun masih tidak menghilangkan susunan cerita. 
Tahniah penulis.  Ada nilai murni yang hendak disampaikan.  Itulah kekuatan setiap karya daripada Alaf 21.   Semoga terus berkarya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan