Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 5 Mac 2016

ULASAN I LOVE YOU STUPID.



I Love You, Stupid!
Melur Jelita

Karya Seni

RM39.00

1389 muka surat
****

Tengok tajuk, memang takkan belilah buku ini.  Saya kurang layan cinta yang membuai rasa.  Lebih meminati kisah thriller, aksi dan kekeluargaan. Bukan tidak pernah ternampak buku ini di kedai buku atau di pesta buku, buat tak pandang sahaja, biarpun ramai yang kata, ceritanya menarik.  Kisah cintalah kan, tentu ramai peminatnya.  Entah macam mana saya terbeli buku ini waktu ke rumah kawan di Puchong. Bukan satu, empat buah sekali saya beli.  Terkedu sekejap.  Harap ratusan ringgit yang terbang berbaloi.  Tak apa, dah belikan?  Baca ajelah.

Setelah sekian lama duduk senyap di rak buku, saya pun capailah novel ini.  Nak baca mana satu ya?  Ambillah tajuk poyo ni, detik hati kecil saya.  Layan…  BAB pertama selesai, biasa sahaja, bab kedua pula berlalu, Wah!  Semakin menarik, ada gedik komedi romantik.  Pembacaan diteruskan, bab ke bab, setiap muka surat saya baca penuh khusyuk… apa  ulasan saya?

Menggunakan POV 1, bukan semua penulis mampu lakukan.  Bukan mudah menulis novel menggunakan sudut pandangan  ini.  Silap cara, boleh meroyan orang yang membacanya.  Ialah, seorang sahaja yang bercerita, meluahkan apa yang dirasa, melihat dan mendengar untuk orang lain.  Salah  tembak, mati katak dibuatnya.

Mengisahkan Irish, anak sulong kepada seorang ahli perniagaan yang berjaya.  Terasa dirinya hebat, diva dan tercantik di dunia. Perasan tak habis-habis.  Gelagatnya buat saya tersenyum sendiri ketika membaca.  Masih belajar dan menganggotai pasukan beruniform di universitinya.  Bertemu dengan seorang anggota polis yang kacak, bergaya dan memang pedas berapi mulutnya.  Sikap Irish yang tidak mahu kalah dan sikap pegawai polis terbabit membuatkan mereka sering bertengkar dan bertekak.  Tiada apa yang berlaku antara mereka, hanya irish yang sesekali berasa rindu dengan abang pedas yang menyakitkan hati itu.  Sehingga sanggup Irish menfitnahnya.  Apa yang difitnah oleh Irtish?  ( baca sendiri)

Irish sudah ada buah hati pengarang jantung bernama Aidan, bakal seorang doktor, belajar di luar negara.  Saling mencintai dan menyayangi. Satu hari Aidan mengajak Irish mengikuti satu kumpulan kemanusiaan ke Kemboja, tanpa berfikir panjang, Irish terus setuju dan meminta izin daripada keluarganya. Pada mulanya kedua orang tuanya membantah, tetapi Irish tetap bertegas.  Akhirnya Irish diizinkan pergi dengan beberapa syarat.  Apa syaratnya itu?

Sampai di sana, Irish telah diperkenalkan dengan seorang lelaki yang akan menjadi ‘bodyguard’ sepanjang dia berada di Kemboja@ kampung Champ. Ayah Irish merupakan salah seorang penyumbang terbesar projek yang dijalankan di kampung itu.  Irish akur kehendak ayahnya asalkan dia dibekarkan berada di situ.  Irish ingin memantau projek yang ada.  Lelaki yang menjadi bodyguardnya sentiasa ada di sisi tidak kira di waktu mana.  Naik rimas dirasakan.  Wajah yang semak dengan jambang sehingga sukar Irish meneka pemilik wajah itu, kacak atau tidak.
                Pada suatu hari, bodyguard menukar penampilan, terkejut beruk Irish, lelaki itu amat dikenalinya. Siapa lagi kalau bukan abang pedas! Aduhai! Bermulalah episode yang tidak disangka-sangka. Pelbagai peristiwa yang mencuit hati dan mampu buat kita tersenyum sendiri, ketawa dan menangis sewaktu membaca karya ini.  Apa yang berlaku dengan Irish dan Abang Pedas@ Firman.  Adakah masih ada dendam di hati Firman terhadap Irish yang pernah menfitnahnya?  Bagaimana dengan Irish adakah dia mampu menyesuaikan diri dengan Abang Pedas bercakap tak ingat dunia? 

Kisah biasa, cubit-cubit sayang, tetapi karya ini menjadi istimewa sebab isi yang terkandung dalamnya. Kalau ikut tajuk, bolehlah, sesuai dengan jalan cerita.  Tetapi latar tempat, gaya bahasa, penceritaan yang tidak menjemukan, membuatkan saya tidaK langkau muka surat sewaktu membacanya.  1000 muka surat tu… bukan mudah hendak menghabiskannya. Kalau tidak kena gaya, memang bosan membacanya. Tetapi tidak karya ini.  Saya boleh menghabiskannya sehingga ke titik TAMAT. 

Perlukisan watak yang mampu membuatkan hati pembaca sendiri cair membayangkan kekacakan Abang Pedas dan kecantikan Irish.


Pengalaman penulis yang pernah menganggotai badan sukarelawan dipaparkan dalam karya ini. Kisah kehidupan orang-orang Champ yang hidup melarat di negara sendiri, jelas diceritakan. Kesukaran mencari rezeki, kehidupan yang serba kekurangan, membuatkan hati sayu membacanya.  Keperitan  kehidupan yang tidak pernah kita tahu dan hanya mendengar dan membaca di dada akhbar dan televisyen terpancar dalam karya ini.  Bagi saya  Karya Melur Jelita adalah karya terbaik yang diterbitkan oleh KARYA SENI sdn. Bhd.  Perasaan kagum menebal dalam hati sewaktu membaca karya-karya beliau.  Setiap penulis ada keistimewaannya.  Begitu juga dengan penulis ini. Semakin membaca karyanya, semakin saya hormati dirinya. Tahniah buat penulis yang telah berjaya menghasilkan karya yang penuh dengan ilmu, tidak kira ilmu agama, alam dan kemanusiaan.  Ada cinta, kekeluargaan, aksi dan thriller dalam karya ini.  Memang cukup asam garamnya.  Saya suka sangat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan