Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 23 November 2016

JALAN PULANG -BAB 20- ASMAH HASHIM



Haji Shukri menggeleng kesal.  Salmah masih marah rupanya.  Wajah kusut anak buahnya dipandang seketika.  Inilah bahananya jika mengikut hawa nafsu.  Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.  Sudahlah masih tidak sehat, tidak ada pula tempat tinggal.  Bak kata bidalan, sudah jatuh ditimpa tangga, berdebuk-debuk jatuhnya.
            “Kau tinggallah di sini Malek, kau bukan orang lain dengan pak su.  Takkan pak su nak biarkan kau merempat,” pelawa Haji Shukri
            “Tak apalah pak su, biarlah saya cari rumah atau bilik sewa. Malek menolak dengan baik.  Dia tidak mahu anak-anak pak sunya pula marah nanti.  Dia tahu, mereka juga tidak suka kepadanya.  Mana ada orang suka dengan bekas banduan.  Inilah natijahnya.  Caturan Allah buat hambanya yang lupa daratan.  Ujian pnghapus dosa-dosanya yang lalu. 
            “Ini kampung Malek, bukan mudah nak cari, lainlah di bandar sana,” ujar Haji Shukri
            “Nanti saya tanya kawan-kawan sekerja saya pak su.  Saya boleh saja tinggal dengan mereka, asalkan ada tempat berehat, cukuplah pak su,”  luah Malek.  Itu sahaja jalan yang dia ada.  Menumpang tinggal dengan rakan-rakan sekerjanya.  Biarlah sempit, asalkan ada tempat dia merehatkan diri.  Dalam keadaan dirinya yang masih belum sembuh sepenuhnya, dia tidak boleh memilih, perlahan-lahan dia akan cari rumah atau bilik yang sesuai untuk dirinya sendiri.
            “Bagaimana dengan tanah di hujung kampung tu pak su? Sudah selesai?” tanya Malek tentang tanah yang pernah menjadi sarang penagihan dadah. Kini, tanah itu sudah dibersihkan dan kawasan itu tidak lagi menjadi sarang penagihan dadah.
            “Pak su dah bertemu dengan wakil rakyat kampung ini, dia akan bantu kita membangunkan tanah itu macam yang kau cadangkan,” kata Haji Shauki.
            “Alhamdulillah, lega saya mendengarnya,”  jawab Malek dengan wajah ceria semula.
            “Kau dah buat laporan polis tentang orang yang pukul kau tempohari?” tanya Haji Shauki.
            Malek menggeleng.  Bagaimana dia nak buat laporan, sedangkan dia tidak nampak wajah-wajah mereka yang memukulnya.  Macam mana pihak polis nak siasat? 
            “Kau tak boleh biarkan penjenayah seperti itu terlepas, nanti semakin bermaharajalela!” kata Haji Shauki tegas.
            Malek masih membisu, dia juga dahulu penjenayah, detik hati kecilnya. 
            “Malek!” tempik Haji Shauki, geram. 
            “Nak buat laporan polis macam mana pak su?  Wajah mereka pun saya tak nampak, saya nak beritahu pihak polis apa?” jawab Malek serius.  Dia melepaskan keluhan.
            Haji Shauki menggeleng kesal. 
            “Pak su ingat kau jaguan sangat!”  perli Haji Shauki.
            Malek tersenyum.
            “Dulu jaguanlah pak su, sekarang dah tua dan pencen,” ujar Malek sambil tersenyum.
            “Entahlah Malek, pak su nak kau berhati-hati, mana tahu mereka masih dendam dengan kau,”  nasihat Haji Shauki.
            “Insya-Allah pak su,” jawab Malek.
            “Kau duduklah sini dulu, nanti kita fikirkan jalannya,” pelawa Haji Shauki.
            Malek memandang wajah bapa saudaranya itu tidak berkedip.  Kerisuan tetap bertandang, biarpun orang tua itu bukan orang lain dengannya. 
            “Dengar tak?”  soal Haji Shauki.
            Malek mengangguk perlahan.  Hatinya berbelah bahagi.
            “Pergilah berehat Malek, kau tu baru keluar hospital,”  suruh Hajah Rokiah yang baru sahaja keluar dari salah satu bilik yang terdapat di rumah itu.
            “Terima kasih mak su,” ucap Malek, serba salah jadinya. Masih memikirkan tentang mulut orang.  Terutama anak-anak pak sunya.  Kebimbangan tetap bertandang, rasa rendah diri semakin menebal. Siapalah dia di mata mereka, hanya sampah masyarakat yang membebankan.  Keluhan dilepaskan, terasa sesak dadanya.  Hiba mengusik diri. Baru hari ini dia terasa hidup sepi tanpa keluarga, baru terasa betapa hinanya diri di mata manusia.  Dia seperti najis yang menjijiknya, boleh dipandang, tak boleh disimpan atau dipegang. 
            Perlahan-lahan Malek bangun menuju ke bilik yang disediakan.  Dia melangkah masuk, bilik itu tidak terlalu besar, ada sebuah katil kelamin, sebuah almari pakaian, tempat menyangkut sejadah dan tuala, almari solek dan sebuah meja tulis.  Mungkin bilik anak-anak pak sunya.  Haji Shauki mempunyai lima orang anak, semuanya lelaki dan sudah merantau ke bandar, masing-masing mempunyai pekerjaan yang bagus, semuanya kelulusan universiti tempatan. Bijak-bijak semuanya.
            Malek duduk di katil.  Lengannya yang masih berbalut dipandang seketika.  Dia perlu bekerja untuk menyara dirinya sendiri.  Majikannya masih mahu menerima dia bekerjakah?  Sudah tiga empat hari dia bercuti.  Kerja sebagai pengawal keselamatan, ada kerja, ada gaji.  Kalau dia tidak bekerja, gajinya akan dipotong oleh  pengurus kilang tersebut.    Badannya benar-benar terasa letih.  Bertambah sakit dengan masalah yang menimpa.  Bukan mudah hendak menjadi baik dan diterima oleh masyarakat rupanya, bagi orang seperti dirinya.  Bekas banduan. Dia cuba melelapkan mata, namun dosa semalam sering menghantui diri.
            “Oi! Cepatlah keluarkan duit dari peti besi tu! Kau tengok apa?” marah lelaki yang bertopengkan sarung kaki perempuan ke arah Malek yang sedang memandang dengan penuh berahi anak gadis perempuan rumah yang mereka rompak.
            “Cantik betullah budak ni!” kata Malek sambil menyengih.  Mukanya juga ditutup dengan sarung kaki perempuan.  Gadis yang baru diikatnya tadi berbaju tidur.  Dia menelan air liur sendiri.
            “Kau jangan main gila!  Cepat kita ambil, cepatlah kita keluar!” kata kawannya itu.
            “Kejap aje, tak lama!”  jerit Malek, gadis itu dicempungnya.  Malek menyeringai. Dia hilang pertimbangan dan kewarasan, lupa diri, lupa segala-galanya.  Kerana nafsu serakahnya, malam itu menjadi malam jahanam buatnya.  Dia tertangkap. 25 tahun di penjara. 
            Segalanya bertayangan di ruang fikirannya.  Menyesal?  Sudah tentu dia menyesal, kalaulah dia tidak mengikut hawa nafsu, sudah tentu kehidupannya tidak seperti sekarang.  Mungkin dia sedang berbahagia dengan anak dan isterinya.  Salmah, gadis yang dikahwini atas pilihan keluarga, seorang isteri yang baik tetapi disia-siakan.  Inilah natijahnya hidup tidak berpanduan, bukan salah orang tuanya, tetapi salah sendiri, tidak bijak memilik, tidak bijak mengatur, akhirnya tersalah jalan dan terbabas.    Semoga Allah swt sudi memandangnya. Hanya itu sahaja yang diharapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan