Cari Blog Ini
Selasa, 25 April 2017
BAGAIMANA CERITA KEHIDUPAN MENDAPAT CERITA.
Sewaktu mula-mula menulis, setelah saya menghantar manuskrip cerpen atau novel, asyik kena tolak sahaja, maklumlah tiada ilmu tentang penulisan. Saya main terjah sahaja, selagi berani dan tidak putus asa. Dalam kepala, perlu masuk pertandingan agaknya, baharulah diri dikenali dan ada rumah penerbitan akan ambil saya jadi penulis mereka.
Lewat 90-an, pantang ada pertandingan atau sayembara, semuanya saya akan masuk, biarpun tidak menang, saya tidak pernah kenal putus asa, cuba dan cuba. Setelah novel pertama saya diterbitkan. Pada tahun 2013 saya terbaca keratan iklan tentang sayembara menulis novel kanak-kanak dan remaja anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan sedang berehat menulis novel seterusnya. Tidak salah mencuba, kalah menang bukan penting pun, yang penting adalah saya mencuba.
Syarat untuk sayembara itu adalah bebas, tetapi mesti dimasukkan tentang isu semasa dan jalan cerita perlu ada motivasi diri. Berhari-hari saya mencari intipati cerita yang sesuai dengan kehendak pihak penganjur. Hendak buat kisah apa? Kisah siapa? Cerita apa? Bagaimana?
Membaca suratkhabar, mendengar cerita, mendengar berita di media eletronik tentang para pelajar yang tidak suka sekolah, ponteng sekolah, malas belajar, tidak ada kesungguhan untuk belajar membuatkan saya terfikir, kenapa tidak saya melakarkan cerita yang mampu memberi motivasi diri kepada pelajar di luar saya, apa yang perlu mereka lakukan jika berada dalam keadaan tertentu.
Kisah remaja, tentulah berkisah tentang kehidupan mereka. Dunia mereka. Saya bayangkan zaman persekolahan saya. Saya mendapat pendidikan di sekolah bandar, bercampur dengan tiga kaum utama. Saya paparkan tentang sebuah keluarga yang hidup sederhana, punya anak ramai, ibu tidak bekerja, ayah hanya membawa teksi. Apa bentuk motivasi yang perlu saya masukkan? Ya, saya perlu lahirkan seorang pelajar yang punya semangat tinggi dan kental untuk membantu pelajar lain untuk berjaya dan mengejar cita-cita. Saya juga terapkan, sekali gagal, tidak selamanya gagal. Orang yang lemah atau bodoh boleh berjaya jika dia berusaha. Hanya orang MALAS sahaja yang tidak akan berjaya.
Apa isu semasa yang ingin saya masukkan? Keldai dadah yang sedang hangat ketika itu di dada suratkhabar. Saya masukkan cerita itu ke dalam CERITA KEHIDUPAN. Saya juga tidak lupakan kebaikan dan persahabatan. Kasih sayang sesama insan, biarpun berlainan agama dan bangsa. Hidup boleh jadi baik, jika semua positif dan bersangka baik. Itulah yang ada dalam CERITA KEHIDUPAN.
Lama menyepi, tidak dengar khabar berita, saya tidak menaruh harapan yang tinggi, bagi saya ramai lagi penulis yang hebat akan ikut masuk bertanding. Kalah menang, saya terima sahaja. Pada suatu hari, saya menerima panggilan telefon daripada pihak Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sudah lupapun sebenarnya. Alhamdulillah, sama sekali tidak menyangka, pertama kali menulis novel remaja, karya ini terpilih sebagai pemenang. Saya tanya kepada pihak penganjur, dapat nombor berapa? Mereka kata, tunggu sehingga hari penyampaian hadiah. Wah! Satu kejutan!
Saya akur, tunggu dan menunggu sehingga tarikh dan hari penyampaian hadiah. Allahu Akbar! Tidak menyangka sama sekali, karya ini menang tempat KEDUA. Senyuman saya mekar kembang sepanjang majlis, di kiri kanan saya orang-orang hebat dalam dunia penulisan novel remaja dan kanak-kanak. Terasa kerdil sungguh diri saya ketika itu. Tetapi semangat juang saya tidak pernah luntur. Naik ke pentas mengambil hadiah yang lumayan daripada pihak penganjur. Terasa hati berbunga riang. Berkali-kali tanya diri sendiri, AKU MENANG? AKU MENANG?
Hendak tahu bagaimana rasanya memenangi sesuatu pertandingan itu, tanyalah kepada orang yang pernah bertanding. Keterujaannya tidak berhenti hanya satu titik. Kepada ibu ayah di luar sana, bolehlah dapatkan karya ini untuk dijadikan bahan bacaan kepada anak-anak. Semoga bermanfaat buat mereka.
Karya yang sesuai dibaca oleh para remaja di luar sana untuk memotivasi diri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan