Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 2 Jun 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH 3. - ASMAH HASHIM





            Sampai di muka pintu lapangan terbang Jeddah seperti biasa, faktor keselamatan menjadi perkara penting. Pemeriksaan  passport, visa dan juga, gambar kita akan diambil ya.  Mereka guna kamera merekalah.  Cap jari, semua jari mereka scan. Layankan sahaja pak arab ini buat kerja mereka.  Usai selesai semuanya, saya dan suami melangkah ke tempat bagasi pula.  Ambil troli, cari beg terus keluar dari tempat pemeriksaan, sekali lagi beg akan di scan untuk keselamatan.  Pastikan tiada membawa barang-barang merbahaya seperti senjata. 

            Seperti saya beritahu sebelum ini, usah fikirkan keadaan lapangan terbang yang amat sederhana kelihatannya.  Biarpun begitu tetap selesa, kehadiran kami disambut oleh para pemilik kenderaan, jika ada yang datang sendiri sudah pasti ada kenderaan awam seperti bas dan juga teksi.  Memandangkan kami datang melalui pakej syarikat pelancongan dari Malaysia iaitu Andalusia, maka segalanya disediakan, usahlah pergi mencari ya.  Pihak pengurusan Andalusia di Arab  Saudi sudah sediakan semuanya. Tidak pasal-pasal tersalah naik bas nanti.  Jangan terkejut jika ada orang Arab yang boleh berbahasa Malaysia. Almaklumlah, sudah lama berurusan dengan orang-orang kita dalam hal Haji dan Umrah.  Sebabnya?  Mereka tak nak cakap BI, haram katanya!  Layan…

            Setelah memastikan bas yang akan membawa kami ke Mekkah sudah ada, maka Ustaz Hisyam akan memastikan semua ahli jemaahnya ada, takut-takut ada yang tertinggal dan tersalah bas, jangan ingat tidak berlaku?  Ada berlaku tahu.   Jadi, usah memandai-mandai sendiri. Ikut sahaja arahan mutawif yang telah ditugaskan memberi panduan dan menguruskan kita.  Tidak tahu, ringan-ringankan mulut untuk bertanya.

            Perjalanan diteruskan.  Seperti biasa, Ustaz Hisyam akan menerangkan serba sedikit tentang Jeddah, paling menarik perkataan, Haram, Jeddah, Haram, Jeddah yang bermaksud, Tanah Haram ke Jeddah atau Jeddah ke Tanah Haram, bila selalu dituturkan maka orang-orang kita tersalah sebut sudah jadi satu makian, haram jaddah!  Alahai, orang kita!  Untuk menjadi seorang mutawif yang bagus sebaiknya tahu serba sedikit tentang sejarah sesuatu tempat yang akan menjadi tempat singgahan para Jemaah, terutama sejarah Islam itu sendiri.  Kisah para nabi dan Rasulnya.  Dari Jeddah hendak ke Laut Merah tidaklah jauh, hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam, pada mulanya rombongan tidak akan singgah tetapi perubahan dibuat, kami akan singgah solat jamak dan makan tengahari di Masjid yang terdapat di tepi pantai Laut Merah. Ingat kisah sejarah Nabi Musa dan Firaun di Laut Merah?Adakah lautnya berwarna merah?  Tidak pula kelihatan kemerahannya itu.

 
            Telah tercatat dalam sejarah Islam kisah Nabi Musa a.s bersama-sama kaum Bani Israel melarikan daripada Firauan dan bala tenteranya. Dengan mukjizat yang ada Nabi Musa a.s menggunakan tongkatnya dan telah membelah laut merah maka dapatlah Nabi Musa a.s dan para pengikutnya menyelamatkan diri dengan mudah. Menurut sesetengah orang, kesan dari belahan itu masih terdapat sehingga ke hari ini.  Kalau hendak tahu, kenalah menyelam ya. 

            Jika di Malaysia ada masjid terapung. Di Arab Saudi pun ada, itulah di Laut Merah.  Sebuah masjid terapung terdapat di situ, pada awalnya masjid terapung ini dikenali dengan nama Masjid Fatimah Az Zahra namun ditukarkan namanya menjadi Masjid Ar-Rahman.  Sering menjadi tempat singgahan para rombongan umrah, selain keunikan masjidnya juga kerana sejarah Laut Merah itu sendiri ada kena mengena dengan sejarah Islam.

            Sayangnya saya tidak dapat masuk solat di dalam, seperti biasa setiap tempat yang menjadi kunjungan orang ramai, pasti penuh sesak. Para Jemaah wanita hanya boleh bersolat di dataran masjid.  Sebelum solat, kami nikmati makan tengahari yang ringkas, jangan berharap ada meja dan kerusi ya, jika ada pun tidak cukup untuk semua orang.  Sewaktu sedang menjamu selera, jangan terkejut jika dikunjungi oleh para wanita berjilbab dan berjubah, mereka para peniaga inai, sesiapa yang ingin memakai inai  dipersilakan, lima rial sahaja.  Jika mampu menolak, tolaklah dengan baik.  Usai makan, kami terus ke masjid untuk menunaikan solat zohor dan asar dijamakkan.    Desiran angin nyaman menyapa tenang, biarpun cuaca ketika itu agak panas.  Maklumlah musim panas.  Melihat keindahan Laut Merah melalui dataran masjid amat mengasyikkan, airnya jernih namun bau hanyir  air laut tetap ada. 

            Dalam apapun keadaan dan di mana sahaja, kita wajib sabar dengan sikap sesetengah Jemaah luar yang agak kasar dan mengikut kepala sendiri.  Dengan pelbagai bilang bangsa dan negara, macam-macam perangai, macam-macam cerita. Usah marah, usah tegur, buat tidak tahu, teruskan sahaja urusan ibadah kita. Doakan yang baik-baik sahaja.  Sememangnya melakukan ibadah umrah menuntut kita menjadi manusia paling sabar dan tabah. Ujian paling getir adalah menghadapi sikap manusia yang kadang-kadang kasar, dan tidak sabar.

            Jika sesuatu kawasan itu menjadi tempat kunjungan orang ramai dan Jemaah dari luar pasti ada orang berniaga. Terdapat juga orang menjual beraneka jenis cenderahati dan buah-buahan, semuanya lima rial, buah delimanya besar-besar, anggur dan limau juga ada.  Jika baru sampai, usah teruja hendak membeli belah, masih banyak lagi tempat yang hendak dituju. Bawa-bawakanlah bersabar.  Usai solat, kami meneruskan perjalanan.  Biarpun badan letih dan mata mengantuk tetapi keterujaan ingin melihat keadaan muka bumi Arab Saudi, saya jegilkan mata untuk berjaga.  Nanti malam baru fikir soal tidur baring. Usah disia-siakan perjalanan yang ada.  Saya leka mengambil gambar sewaktu perjalanan, memerhatikan setiap inci jalan dan bangunan.  Tiada bangunan pencakar langit sepanjang berjalanan, kalau ada pun tingginya tidak sampai sepuluh tingkat, begitu juga dengan rumah-rumah yang terdapat di sekitar perjalanan kami.  Bentuk hampir sama, begitu juga dengan warnanya.  Seragam sahaja, tampak tenang, biarpun kenderaan tetap bertali arus.  Para pemandu di Arab Saudi ini ikut orang Eropah ya, memandu di sebelah kiri. Tiada pemandu wanita, harap maaf. 
            Sepanjang perjalanan tiada kehijauan alam yang dapat kita lihat, kecuali deburan pasir, kekerasan batu kerikil memenuhi muka bumi  Jeddah sehingga ke Mekkah, jika ada pun hanya pokok kurma dan pohon renek yang rendang.  Jenis kenderaan juga, tiada made in USA, hanya banyak Toyota, KIA dan Honda.

            Perjalanan dari Jeddah ke Tanah Suci Mekah menggambil masa hampir dua jam.  Waktu itu jika hendak tidur dipersilakan tetapi memandangkan kami dalam keadaan berihram, maka  masing-masing berzikir dan berdoa yang tidak putus-putus agar dipermudahkan umrahnya sebaik sahaja kami sampai. Kami juga bertalbiah sepanjang perjalanan. Hati semakin berdebar-debar ketika perjalanan semakin menghampiri kota suci Mekkah. Allah! Ketika itulah air mata mula mengalir.  Terasa diri kerdil, lemah dan tidak berdaya, kepadaNYA disandarkan segala kekuatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan