Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 30 April 2020

MASA UNTUK BERUBAH- Asmah Hashim



*gambar hiasan daripada google


Sewaktu negara dijajah, penulis adalah antara yang terlibat bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha mereka memberi semangat pada rakyat seluruhnya agar berani memperjuangkan kemerdekaan.
Peranan mereka tidak boleh disangkal. Mereka menaikkan semangat rakyat seluruh tanah Melayu agar berani bangkit menentang penjajah dan berusaha mendapatkan kemerdekaan.
Malaysialah antara negara yang mendapatkan kemerdekaan dengan cara yang paling lembut, tidak ada kekerasan atau peperangan kecuali berperang menentang komunis selepas Jepun keluar dari tanah Melayu.
Begitu juga peranan penulis hari ini. Sudah masanya kita menulis sesuatu yang boleh dijadikan kebaikan pada rakyat seluruh negara. Umpamanya isu PATI yang tiada penghujungnya.
Kita tidak pernah sedar akan kehadiran mereka kerana kita tidak lagi diisi dengan bahan bacaan yang berkisah akan kehadiran mereka ke sini. Biarpun ada isu itu dimainkan oleh pihak tertentu yang lebih pada mempolitikkan keadaan.
Wahai penulis Budiman. Apakah yang ingin kita tinggalkan pada anak bangsa kita? Apakah yang ingin kita banggakan dengan penulisan kita yang hanya mencipta kegembiraan yang sementara sedangkan banyak lagi isu yang tidak kita ketengahkan.
Menulis sesuatu yang memberi harapan adalah sesuatu yang baik. Tetapi menulis sesuatu yang membawa kesedaran pada masyarakat kita adalah Sesuatu yang dituntut. Bakat yang diberi bukan sekadar mengajak pembaca hanyut dalam dunia fantasi ciptaan kita.
Marilah kita sama-sama memberi nilai dalam karya yang bakal kita tinggalkan pada anak cucu kita di masa hadapan. Karya yang mampu membuka minta mereka agar sentiasa mendahulukan kedaulatan negara berbanding kepentingan diri sendiri.
Teruskan menulis karya yang anda minati, tetapi dalam masa yang sama gunakan bakat semulajadi itu untuk menulis sesuatu yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Mata pena lebih tajam daripada senjata.
Jika takut menulis secara terang-terangan setiap isu panas yang sedang berlegar, gunakanlah kepintaran anda menulis sesuatu yang boleh smash mereka yang terlibat dalam isu tersebut.
Ayuh! Rakan-rakan penulisku tersayang! Tulislah di dada media sosialmu tentang betapa pentingnya kita mempertahankan tanah air ini dari penjajahan abad baharu yang sedang berlaku.
Tulislah tentang sikap sesetengah manusia yang kononya lahir di negara ini tetapi menjadi pengkhianat sehingga sanggup membawa masuk ramai PATI yang tidak diundang.
Kita bukan mencari salah, atau cuba menjadi hero dalam isu tertentu. Kita ada bakat! Bakat kita menulis! Tulislah perkara yang benar tentang kehidupan mereka yang berada di sekiling kita.
Tulislah sesuatu yang benar tentang sejarah negara kita! Tulislah yang benar tentang penjajahan abad baharu yang sedang berlaku hari ini.
Penulis seorang pemikir yang jauh ke hadapan pemikirannya. Penulis seorang insan yang banyak idea untuk mengubah bangsa. Penulis seorang yang terbuka pintu hatinya. Penulis sentiasa siap siaga membetulkan pemikiran masyarakat di negaranya.
Biar terbuka minda dan mata hati generasi kita akan betapa pentingnya menjaga satu-satunya tanah yang kita miliki ini. Biar mereka sedar betapa harusnya mereka menjaga kedaulatan tanah air tercinta ini.
Penulis juga harus menegur sesuatu isu itu dengan berhemah, bukan dengan bahasa kasar dan memaki-hamun. Kita gambarkan ketegasan menggunakan bahasa. Kita luahkan perasaan marah dengan bahasa.
Jadilah orang bijak dan pintar dalam melakarkan setiap nukilan agar bermanfaat buat semua. Tinggalkanlah sesuatu yang berharga biarpun bukan harta atau kekayaan tetapi penulisan yang memberi kilaun bak berlian supaya anak cucu kita tidak merempat di negara sendiri.
Bangunlah daripada lenamu yang panjang. Sedarlah daripada mimpimu yang indah kerana ada tugas yang menunggu untuk kau lakukan demi atas nama perjuangan mengekalkan kemerdekaan dan hak mutlak bangsa kita di Tanah Melayu ini!

1 ulasan:

  1. memang besar juga jasa penulis sewaktu zaman penjajahan dulu. Kalau kita baca sejarah, beberapa akhbar telah diterbitkan untuk menyedarkan rakyat tentang erti kemerdekaan. Dengan adanya akhbar tersebutlah, baru timbul kesedaran di kalangan rakyat untuk bersatu dan menuntut kemerdekaan. Tapi biasa lah, penulis hanya di belakang tabir. Yang dapat nama ialah tokoh politik. Sepatutnya penulis juga diangkat sebagaimana tokoh politik disanjung.

    BalasPadam