Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 21 November 2025

MANUSIA YANG HILANG ARAH- ASMAH HASHIM


 Manusia yang Hilang Arah


Sedih.

Kecewa.

Marah.


Bukan kerana diri ini diuji,tetapi kerana melihat dunia yang kian sakit. Jiwa anak-anak yang sepatutnya sedang belajar mencipta masa depan, kini terperangkap dalam kekeliruan dan kehilangan arah. Setiap hari kita dikejutkan dengan berita yang menggoncang hati.

Anak-anak berani melawan guru, mencederakan rakan, menodai nilai dan budi yang dulunya menjadi nadi bangsa. Seolah-olah nurani manusia telah pudar, ditenggelamkan oleh gelombang hiburan, kebebasan tanpa batas, dan dunia yang terlalu cepat berlari meninggalkan jiwa.


Namun … siapa yang harus dipersalahkan?Anak-anak yang membesar dalam kekosongan ini?  Atau kita, orang dewasa, yang terlalu sibuk mengejar kehidupan,hingga lupa menyalakan pelita di hati mereka?

Saya teringat zaman dahulu, zaman di mana sebuah kampung membesarkan seorang anak.

Di mana guru bukan sekadar mengajar, tetapi juga menjadi ibu dan ayah ketika di sekolah. Penduduk kampung saling menegur, menegakkan salah bukan dengan marah, tetapi dengan kasih. Teguran bukan penghinaan, tetapi tanda sayang yang datang dari hati yang ingin melihat generasi seterusnya berjaya.

Anak-anak dahulu takut bukan kerana rotan, tetapi kerana tidak mahu mengecewakan. Mereka hormat kerana dididik dengan perhatian, bukan dengan ketakutan. Di dalam rumah, di sekolah, di surau, di kebun, ada kasih yang menumbuhkan jiwa, bukan sekadar tubuh.

Hari ini, semua itu semakin jauh. Kita terlalu sibuk untuk mengenal nama jiran, terlalu penat untuk menegur dengan lembut. Anak-anak pula mencari kasih di tempat yang salah, pada skrin, pada dunia maya yang tak pernah memeluk mereka kembali.

Mungkin ini bukan salah sesiapa, tetapi salah semua, termasuk diri kita. Kita yang membiarkan kasih diganti dengan algoritma, nasihat dengan suara robot, dan doa dengan cuitan ringkas di media sosial.

Kita lupa bahawa jiwa manusia bukan mesin.Ia perlu disentuh, disapa, didengar. Tanpa itu, hati menjadi tanah gersang,  dan dari tanah gersang, tumbuhlah kekerasan dan kepedihan. Saya menulis ini bukan untuk menuding, tetapi untuk mengingatkan diri saya dan sahabat semua:

setiap anak muda yang hilang arah hari ini, adalah cermin kepada kealpaan kita bersama. Marilah kita kembali menjadi manusia yang mendengar, bukan sekadar melihat. Menegur dengan kasih, bukan marah. Mendidik dengan hati, bukan ego. Kerana bila manusia kehilangan pedoman, dunia akan kehilangan makna. Dan bila kasih hilang dari pendidikan, kita akan mendidik anak-anak yang tahu membaca, tetapi tidak tahu memahami jiwa manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan