Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 4 April 2016

ADUH PENING! - BAB 2



 Aleeya melangkah masuk ke dalam rumah. Keretanya diparkirkan di belakang kereta suaminya. Awal pula suaminya balik hari ini. Matanya meliar mencari kelibat seseorang. Ke mana pula? Mungkin bersantai di bilik agaknya. Langkahnya diayun laju mendaki tangga ke tingkat atas yang menempatkan barisan tiga bilik termasuk bilik utama. Dua bilik lagi dikhaskan untuk anak-anak tirinya jika mereka bermalam di rumah itu. Sebenarnya, belum pernah lagi mereka bermalam di rumah itu.

            Pintu bilik ditolak perlahan. Suaminya sedang berbaring sambil tangan diletakkan di atas dahi. Masalah meruncing agaknya. Dia mendekati dan melakarkan senyuman buat suami tercinta. Sayanglah siapa tak sayang. Biarlah duda anak lima sekalipun, tetap segak dan kacak di mata. Perutnya sedikit boroi, biarlah. Asalkan sihat sentiasa.
            “Abang!” panggil Aleeya sambil duduk menghadap Ikmal yang masih berbaring. Mata terpejam rapat. Tidurkah atau buat-buat tidur?
            “Dah balik?” Ikmal membuka mata perlahan-lahan lalu bingkas duduk bersila di atas katil.
            “Abang dah bayar bil-bil Nadia tu?” tanya Aleeya, ingin benar dia mengetahuinya. Eh, dia punya hak untuk tahu. Dia kan isteri lelaki itu.
            “Dah. Kalau tak, alamat bergelaplah budak-budak tu. Nadia tak nak bayar, bil kuning dah sampai. Mahu atau tak, kenalah abang bayarkan,” jelas Ikmal.
            “Hah! Sampai macam tu sekali? Kering hati betul Nadia tu.” Aleeya terkedu mendengarnya. Sampai hati seorang ibu sanggup biar anak-anaknya bergelap. Nasib baik tak sempat bergelap. Uh!
            “Biarlah, anak-anak saya juga. Mahu tak mahu kenalah bayar, kan?” Ikmal tersenyum.
            Aleeya turut tersenyum. Sabar sungguh suaminya. Kalau dia belum tentu sesabar itu. Memanglah anak-anak suaminya. Tapi, bekas isteri suaminya takkan tak boleh bayar bil-bil itu? Hei, Nadia tu pensyarah tahu! Gaji besarlah. Takkan kedekut kut? Aleeya mencebik. Sengaja nak menyusahkan suaminya. Ingat besar sangat gaji suaminya sebagai pengurus syarikat swasta? Bolehlah hidup walaupun tak mewah mana. Tapi, janganlah memeras macam ini. Aleeya mendengus sendiri.
            “Leya nak mandi dan solat dululah. Lepas tu nak masak. Abang nak tolong Leya memasak ke?” tanya Aleeya sambil melenggok manja.
            “Boleh jugalah,” jawab Ikmal sambil menyengih.
            Aleeya mengenyit mata. Masalah Nadia dan suaminya biarlah mereka selesaikan sendiri. Dia tidak mahu masuk campur. Nanti lain pula ceritanya. Boleh tahan juga mulut bekas isteri suaminya itu.  
            Usai memasak seringkas mungkin, janji kena dengan selera. Sawi masak bening, ikan selar goreng cili, sambal belacan dan ulam-ulaman, cukup menyelerakan. Air tangan sendiri. Kalau sendiri tak puji siapa lagi. Melihat suaminya berselera menjamah masakannya sudah cukup membuat hatinya berbunga riang. Sama-sama mengemas meja makan dan sama-sama perut kenyang. Baru sahaja melangkah beberapa tapak ke ruang tamu, telefon suaminya berbunyi. Masing-masing memandang ke arah meja kopi yang terletak di ruang tamu. Di situlah letaknya telefon bimbit mereka. Sudah berjanji, di meja makan tiada sesiapa pegang telefon. Kononya hendak menghabiskan masa bersama-sama. Sambil makan sambil berbual.
            “Nadia,” kata Ikmal sambil mengeluh perlahan.
            Aleeya menggeleng. Apa Nadia nak lagi ni? Aleeya terus melabuhkan punggung di sofa. Dia membiarkan suaminya berbual dengan Nadia di telefon. Manalah tahu ada masalah dengan anak-anak. Sesekali matanya menyinggah di wajah suami yang terpamer pelbagai reaksi. Risau pula tengok wajah cemberut suaminya. Kalau Nadia telefon sahaja, hilang kemanisan di wajah itu. Aleeya mengeluh dalam hati. Simpati bercampur bimbang.
            “Kenapa bang? Nadia nak apa?”
            “Anak-anak cuti sekolah minggu depan. Nadia suruh abang bawa mereka bercuti. Dia nak ikut sekali, tapi tak bagi bawa awak,” ujar Ikmal dengan muka sebal.
            “Kenapa pula? Saya ni kan isteri abang? Hisy…. Undang-undang mana dia pakai?” Aleeya terkejut mendengarnya. Bercuti dengan anak-anak dan jandanya? Biar kentang! Mana boleh macam tu? Hei, dia kan isteri yang sah pada Ikmal. Bukan perempuan simpanan! Macam-macamlah Nadia ini.
            “Jadi, saya tak boleh ikut abang bercutilah?” tanya Aleeya sedikit kesal.
            Laju anggukan Ikmal.
            Aleeya memeluk tubuh. Dia memandang tepat ke mata suaminya. Dia harus marah atau ikut sahaja kehendak mereka berdua?
            “Tak kira, nak ikut juga!” kata Aleeya berkeras.
            “Kalau awak ikut, anak-anak tak nak bercuti dengan abang,” jelas Ikmal serba salah.
          “Sejak bila anak-anak abang tak suka dengan saya ni? Sebelum ni, okey aje?” Aleeya mengetap bibir.
            “Entahlah… awak kan kerja. Takkan nak ambil cuti pula?” Ikmal memandang wajah Aleeya minta kepastian.
            “Saya rela ambil cuti tanpa gaji daripada membiarkan suami saya bercuti dengan anak-anak dan jandanya!” kata Aleeya keras. Dia mencebik.
            “Cemburu ke?” Ikmal menjeling manja. Terasa hendak ketawa. Takkan cemburu kot?
            “Ini bukan soal cemburu atau tak. Mana boleh abang ketepikan saya!” Aleeya berwajah serius. Memanglah cemburu, bisiknya dalam hati. Itukan janda suaminya. Mereka pernah hidup bersama. Buatnya menyulam kisah lama, apatah lagi mereka ada anak bersama, habislah dia. Uh! Memang tak boleh percayalah.
            “Alah, pergi dua tiga hari aje. Nanti penat pula awak,” kata Ikmal.
            “Helo… abang! Ingat saya dah tua sangat ke? Tua lagi Nadia tu tau!” Aleeya mencebik.  Bibirnya sudah mula memaparkan kemuncungan yang tidak boleh tidak terpaksa dipamerkan. Biar suaminya tahu, dia sedang berasa hati. 
            “Laa… janganlah banding-bandingkan. Abang tahulah, itu sebab abang cari yang muda.” Pecah gelak Ikmal.
            “Huh! Tak kelakar pun.” Semakin panjang muncung Aleeya. Dia tidak kira, tidak kisah, nak jadi apa pun jadilah. Dia tetap akan ikut. Kata putus daripadanya. Tak boleh pakai kata putus daripada suami dan bekas isteri suaminya itu. Memang mangkuk ayun betullah. Menggelegak pula hatinya nanti. Tidak pasal-pasal tercetus perang dingin.
            “Awak tak payah ikut ya?” pujuk Ikmal sambil mengerdipkan mata.
            “Tak tergoda pun!” Aleeya terus angkat kaki menuju ke bilik.
            Dia mundar-mandir di dalam bilik. Matanya pula asyik memandang ke pintu.  Apa alasannya untuk pergi? Apa yang harus dia lakukan? Kena ada strategi. Kena ada jalan. Biar Nadia tidak perasan yang dia datang secara sengaja. Uh! Tak kuasa nak biarkan suaminya bersendirian dengan jandanya. Tolonglah! Mak cik ni belum buta mata tau, entah-entah nak mengendeng dengan suaminya. Ada hati nak balik kembali agaknya. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Dia tidak boleh membiarkan Nadia mempergunakan anak-anak sebagai senjata untuk menyusahkan suaminya.
            “Awak berlatih berkawad ke?” Ikmal melangkah masuk sambil menyengih.
            “Uh!” Alamak! Apasal tak perasan suaminya masuk ke bilik? Aduh, kantoi!
            “Alah… awak keluarlah dengan kawan-kawan sekerja awak. Kan dah lama awak tak keluar dengan mereka.” Ikmal menarik tangan Aleeya dan duduk di birai katil.
            Nak pujuk supaya jangan pergilah tu. Maaflah, dia bukan jenis yang makan pujuk. Keluar dengan kawan-kawan? Hmm… idea terkini dan terbaik. Aleeya mula menguntumkan senyuman. Wajah suaminya di sisi dipandang seketika.
            “Yalah! Nak buat macam mana, diam tak diam terpaksalah ‘bermadu’ secara tiba-tiba!” sindir Aleeya.
            “Ada ke situ pula.” Ikmal mengecilkan mata, memandang wajah Aleeya dengan tanda tanya.
            “Tak bermadu ke namanya? Tiba-tiba tak boleh ikut waktu abang bercuti dengan bekas janda abang dan anak-anak? Apa namanya tu?” soal Aleeya.
            “Hisy… salah tafsiran tu.” Ikmal ketawa.
            “Salah tak salah, itulah yang saya rasa. Abang jangan nak main dan bermadu kasih pula dengan Nadia,” ugut Aleeya. Matanya dijegilkan.
            Ikmal ketawa kuat.
            “Ketawalah, ketawa! Kalau dah hati terpanah dengan kilat cinta si Nadia tu… waktu tu abang jangan cakap saya tak bagi amaran! Saja gunakan anak nak dekat dengan abang! Itu taktik namanya, bang. Orang perempuan ni kalau dah tak laku, takut hidup sendiri, bekas duda pun nak dijilat balik tau!” kata Aleeya tegas. Geram mencanak masuk. Berapi-api mata dan hatinya.
            “Awak ni, jauh perginya tu. Itulah banyak sangat baca novel, sampai perkara macam itu pun awak boleh fikirkan.”
            “Tapi tak mustahilkan, kan, kan?” Aleeya tidak mahu kalah. Nadia memang sengaja minta yang bukan-bukan sedangkan mereka sudah lama bercerai. Sudah makan tahun pun. Bila Ikmal berkahwin dengannya, mulalah muncul kembali Nadia secara tiba-tiba. Kalau cemburu kata cemburu. Hisy, kenapa Nadia tidak cari suami baru? Orangnya masih cantik, bergaya walaupun anak lima.
            “Dahlah, jangan fikir yang bukan-bukan. Hati saya hanya ada awak,” ucap Ikmal sambil merebahkan diri di sebelah Aleeya yang masih bersila di atas katil.
            “Kena fikir, bang. Malang tak berbau tau,” kata Aleeya lagi.
            “Malang apanya pula?” Ikmal mengerut dahi.
            “Malanglah suami kena rampas dengan jandanya semula! Boleh buat cerita dan lagu tau.” Aleeya merebahkan diri di atas katil. Kepalanya masih ligat berfikir. Uh… masalah!
            “Jangan fikir yang bukan-bukan, nanti hati sendiri yang sakit,” usik Ikmal.
            “Ketawalah! Ketawa… kalau jadi apa-apa, jangan abang salahkan saya!” Aleeya mencebik.  Geram pula hatinya bila ceritanya tidak dipercayai. Hei, dia perempuan juga tau. Dia tahu apa yang tersimpan dalam hati seorang perempuan seperti Nadia. Mesti ada sebabnya, kenapa dia tidak boleh ikut bercuti.
            “Tidurlah, esok nak kerja. Jangan marah-marah, nanti cepat tua.”
            Aleeya mendengus kasar, dia melemparkan bantal ke muka Ikmal. Pecah gelak lelaki itu.

ULASAN JANGAN PERCAYA

JANGAN PERCAYA
SYAIDA ILMUNA
ALAF 21
RM22.00
2015
512 muka surat
****

Bella sudah lama bercerai dengan Rizqi. Mereka mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Hubungan Bella dengan bekas suami masih baik demi anak-anak begitu juga dengan bekas keluarga mertuanya. Setelah pulang dari bercuti Rizqi telah menjemput Bella dan anak-anaknya ke rumah emaknya untuk berkenalan dengan bakal isterinya. Bella akur biarpun dalam hati berasa kurang senang, kalau boleh dia tidak mahu anak-anaknya beribu tiri. Tapi apakan dayahnya. Bekas suaminya berhak berkahwin lagi.
Perjumpaan pertama menumbuh rasa tidak enak di hati Bella. Ada sesuatu yang tersembunyi tentang bakal isteri bekas suaminy itu. Perempuan itu seperti mempunyai satu rahsia, tetapi apakah ia? Bella berteka teki sendiri dalam hati. Namun dia akur kehendak takdir. Dia berusaha menerima kehadiran perempuan bernama Kaylina atau Kay dalam hidup anak-anaknya. Bella pula mempunyai satu anuerah yang tidak semua orang miliki.
Setelah berumah tangga Rizqi sesekali mengajak anak-anak ke rumahnya. Tujuannya mahu anak-anaknya bermesra dengan ibu tiri mereka. Bella pula kurang selesa. Pada suatu hari, Bella terpaksa menghadiri kursus, dia telah meninggalkan anak-anak dengan Rizqi, ketika itulah Kay telah menunjukkan perangainya yang sebenar, sehingga anak-anak Bella berasa takut dan tidak berani mengadu dengan Rizqi atau Bella.
Bella pula dalam diam telah diminati oleh seorang pekerja baharu di tempatnya bekerja. Seorang pemuda yang berusia muda beberapa tahun daripadanya. Pada mulanya Bella berat hati hendak menerima lamaran lelaki itu tetapi akhirnya dia akur dengan kehendak takdir.
Kay pula mula mendera anak-anak tirinya tanpa pengetahuan Rizqi dan Bella. Sikapnya juga berubah, menjadi terlalu cemburu. Dia baru tahu, Rizqi dan Bella bekerja di syarikat yang sama. Semakin bermaharajalelalah perasaan cemburunya sehinggalah dia sanggup bertindak di luar jangkauan.
Kehidupan Bella muram setelah kemarian Belina, anak sulongnya. Dia cuba bertenang dan menerima takdir itu dengan hati yang terbuka, tetapi bayang-bayang Belina sering datang mengganggu, seperti ada sesuatu yang ingin diberitahunya. Seperti ada rahsia yang tersembunyi. Begitu juga sikap anak lelakinya yang menjadi pendiam. Bella benar-benar resah dengan kejadian yang menimpa keluarganya.
Rizqi semakin lemas dengan sikap dan perangai Kay yang suka mengongkongnya. Satu hari, Bella bawa Amir ke rumah bekas mertuanya, di situ Amir bertemu Kay. Dia kenal siapa Kay. Dia benar-benar terkejut melihat Kay berada di rumah itu dan sudah pun berumah tangga.
Karya yang membuat hati berdegup kencang sewaktu membacanya. Apa anugerah yang dimilik oleh Bella. Siapa yang membunuh Belina? Siapa Kay? Rahsia apa yang disembunyikan oleh Kay? Di rumah Rizqi ada bilik khas yang hanya Kay sahaja boleh memasukinya? Bilik apakah itu? Amir mengenali Kay sewaktu pertama kali mereka bertemu. Apa hubungan mereka berdua? Adakah Bella akan mengetahui siapa yang membunuh Belina? Adakah rumah tangga Kay dan Rizqi akan kekal selama-lamanya? Adakah Amir akan berkahwin dengan Bella? Hendak tahu jawapannya? Dapatkan buku hebat ini.
Apa perasaan teman-teman jika termakan sup kucing? Kalau Rizqi habis satu badannya gatal-gatal sehingga membengkak dan dimasukkan ke hospital. Teman-teman nak tahu siapa yang memasaknya? Bella atau Kay? Dapatkan jawapan dalam karya ini. Pasti tidak mengecewakan. Jangan percaya kepada siapa?

‪#‎alaf21‬
‪#‎NovelMelayu‬
‪#‎lkarangkrafmall‬
‪#‎aksi‬
‪#‎thriller‬

Sabtu, 5 Mac 2016

ULASAN SALJU CINTA ANNA



CINTA SALJU ANNA
AIDA ADRIANI
ALAF 21
RM28.00

Hud Aidit menunggu dengan setia di satu ruang  yang pernah menjadi saksi perjanjian antaranya dengan seseorang yang sudah lama tidak ditemui.  Dia terus menanti dan menanti dan  berharap gadis tersebut akan menunggu dan bertemu dengannya.

Hud Aidit pelajar tahun akhir dalam bidang sains  di sebuah universiti di Findland.  Punya cita-cita tinggi untuk menjadi manusia yang berjaya.   Berita yang diterima tentang kekasih hatinya yang bakal berkahwin dengan sahabat baiknya sendiri telah melukakan hatinya.  Namun, dia pasrah, dan cuba bersabar dengan dugaan yang diterima.

Anna Aisyah gadis berasal dari Findland.  Sudah mempunyai kekasih hati bernama Mikael yang  bercita-cita ingin menjadi penyanyi.  Anna pula mempunyai bakat sebagai penulis.  Dia jugalah yang telah menulis lirik lagu untuk Mikael rakamkan. 

Satu hari Anna dan Hud bertemu dalam perjalanan ke sebuah pulau. Pertemuan itu telah membaca kepada hubungan baik antara mereka.  Anna juga menjemput Hud ke pelancaran album Mikael.  Hud tidak sangka Anna turut belajar di universiti yang sama dengannya.  Hubungan mereka semakin rapat. 
Anna  cuba tidak berkecil hati dengan sikap Mikael yang semakin hari semakin sibuk dengan urusannya sebagai penyanyi, jemputan di sana-sana.  Hud yang suka berkawan dengan Anna, akhirnya menjadi teman baik gadis itu.

Persahabatan Hud dan Anna telah membawa lembaran baru dalam hidup gadis itu, begitu juga Hud, dalam diam mencinta Anna, dia tidak berani berterus-terang kerana Anna sudah ada Mikael.  Tidak manis mengganggu hubungan orang lain. Hud mengalah.    Pertemuan semula Sufya dengan Hud telah membaca cerita lama, Sufya menghadapi masalah dengan rumah tangganya. Hud pula masih sendiri. Anna yang dalam diam mencintai lelaki itu hanya memendam rasa.  Apa yang berlaku seterusnya?   Mampukah Sufya meraih kembali kasih Hud setelah sekian lama mereka terpisah?  Bagaimana dengan Anna yang sudah mula mengenal Islam dan mencintai Hud? Adakah mereka bakal bersatu dan Anna memeluk Islam?  Adakah Anna memeluk Islam kerana cintanya pada Hud atau  hatinya sudah terbuka dan mendapat hidayah daripada Allah?   Kalau hendak tahu, kenalah dapatkan buku ini.  Kisah cinta dua benua yang pasti menarik menjadi bahan bacaan di waktu lapang.


Begitulah yang dirasakan Anna. Kehadiran Hud yang pada mulanya tidak diumpamakan itu amat memberi erti yang besar dalam dirinya. Perkenalan singkat itu adalah titik mula sebuah kehidupan yang baru. Benarlah, TUHAN tidak akan jadikan sesuatu tanpa sebabnya. Kerana itu dia sedar, kehilangan dan kekecewaan itu adalah rahmat TUHAN.

Biarpun berbeza adat dan budaya, tidak sesekali dia mengusir cinta yang datang. Biarpun jarak dan waktu memisahkan, dia akan tetap bahagia merindui lelaki itu. Biarpun memiliki hati lelaki itu seakan mustahil, dia tidak akan pernah kesal mencintai Hud.


ULASAN I LOVE YOU STUPID.



I Love You, Stupid!
Melur Jelita

Karya Seni

RM39.00

1389 muka surat
****

Tengok tajuk, memang takkan belilah buku ini.  Saya kurang layan cinta yang membuai rasa.  Lebih meminati kisah thriller, aksi dan kekeluargaan. Bukan tidak pernah ternampak buku ini di kedai buku atau di pesta buku, buat tak pandang sahaja, biarpun ramai yang kata, ceritanya menarik.  Kisah cintalah kan, tentu ramai peminatnya.  Entah macam mana saya terbeli buku ini waktu ke rumah kawan di Puchong. Bukan satu, empat buah sekali saya beli.  Terkedu sekejap.  Harap ratusan ringgit yang terbang berbaloi.  Tak apa, dah belikan?  Baca ajelah.

Setelah sekian lama duduk senyap di rak buku, saya pun capailah novel ini.  Nak baca mana satu ya?  Ambillah tajuk poyo ni, detik hati kecil saya.  Layan…  BAB pertama selesai, biasa sahaja, bab kedua pula berlalu, Wah!  Semakin menarik, ada gedik komedi romantik.  Pembacaan diteruskan, bab ke bab, setiap muka surat saya baca penuh khusyuk… apa  ulasan saya?

Menggunakan POV 1, bukan semua penulis mampu lakukan.  Bukan mudah menulis novel menggunakan sudut pandangan  ini.  Silap cara, boleh meroyan orang yang membacanya.  Ialah, seorang sahaja yang bercerita, meluahkan apa yang dirasa, melihat dan mendengar untuk orang lain.  Salah  tembak, mati katak dibuatnya.

Mengisahkan Irish, anak sulong kepada seorang ahli perniagaan yang berjaya.  Terasa dirinya hebat, diva dan tercantik di dunia. Perasan tak habis-habis.  Gelagatnya buat saya tersenyum sendiri ketika membaca.  Masih belajar dan menganggotai pasukan beruniform di universitinya.  Bertemu dengan seorang anggota polis yang kacak, bergaya dan memang pedas berapi mulutnya.  Sikap Irish yang tidak mahu kalah dan sikap pegawai polis terbabit membuatkan mereka sering bertengkar dan bertekak.  Tiada apa yang berlaku antara mereka, hanya irish yang sesekali berasa rindu dengan abang pedas yang menyakitkan hati itu.  Sehingga sanggup Irish menfitnahnya.  Apa yang difitnah oleh Irtish?  ( baca sendiri)

Irish sudah ada buah hati pengarang jantung bernama Aidan, bakal seorang doktor, belajar di luar negara.  Saling mencintai dan menyayangi. Satu hari Aidan mengajak Irish mengikuti satu kumpulan kemanusiaan ke Kemboja, tanpa berfikir panjang, Irish terus setuju dan meminta izin daripada keluarganya. Pada mulanya kedua orang tuanya membantah, tetapi Irish tetap bertegas.  Akhirnya Irish diizinkan pergi dengan beberapa syarat.  Apa syaratnya itu?

Sampai di sana, Irish telah diperkenalkan dengan seorang lelaki yang akan menjadi ‘bodyguard’ sepanjang dia berada di Kemboja@ kampung Champ. Ayah Irish merupakan salah seorang penyumbang terbesar projek yang dijalankan di kampung itu.  Irish akur kehendak ayahnya asalkan dia dibekarkan berada di situ.  Irish ingin memantau projek yang ada.  Lelaki yang menjadi bodyguardnya sentiasa ada di sisi tidak kira di waktu mana.  Naik rimas dirasakan.  Wajah yang semak dengan jambang sehingga sukar Irish meneka pemilik wajah itu, kacak atau tidak.
                Pada suatu hari, bodyguard menukar penampilan, terkejut beruk Irish, lelaki itu amat dikenalinya. Siapa lagi kalau bukan abang pedas! Aduhai! Bermulalah episode yang tidak disangka-sangka. Pelbagai peristiwa yang mencuit hati dan mampu buat kita tersenyum sendiri, ketawa dan menangis sewaktu membaca karya ini.  Apa yang berlaku dengan Irish dan Abang Pedas@ Firman.  Adakah masih ada dendam di hati Firman terhadap Irish yang pernah menfitnahnya?  Bagaimana dengan Irish adakah dia mampu menyesuaikan diri dengan Abang Pedas bercakap tak ingat dunia? 

Kisah biasa, cubit-cubit sayang, tetapi karya ini menjadi istimewa sebab isi yang terkandung dalamnya. Kalau ikut tajuk, bolehlah, sesuai dengan jalan cerita.  Tetapi latar tempat, gaya bahasa, penceritaan yang tidak menjemukan, membuatkan saya tidaK langkau muka surat sewaktu membacanya.  1000 muka surat tu… bukan mudah hendak menghabiskannya. Kalau tidak kena gaya, memang bosan membacanya. Tetapi tidak karya ini.  Saya boleh menghabiskannya sehingga ke titik TAMAT. 

Perlukisan watak yang mampu membuatkan hati pembaca sendiri cair membayangkan kekacakan Abang Pedas dan kecantikan Irish.


Pengalaman penulis yang pernah menganggotai badan sukarelawan dipaparkan dalam karya ini. Kisah kehidupan orang-orang Champ yang hidup melarat di negara sendiri, jelas diceritakan. Kesukaran mencari rezeki, kehidupan yang serba kekurangan, membuatkan hati sayu membacanya.  Keperitan  kehidupan yang tidak pernah kita tahu dan hanya mendengar dan membaca di dada akhbar dan televisyen terpancar dalam karya ini.  Bagi saya  Karya Melur Jelita adalah karya terbaik yang diterbitkan oleh KARYA SENI sdn. Bhd.  Perasaan kagum menebal dalam hati sewaktu membaca karya-karya beliau.  Setiap penulis ada keistimewaannya.  Begitu juga dengan penulis ini. Semakin membaca karyanya, semakin saya hormati dirinya. Tahniah buat penulis yang telah berjaya menghasilkan karya yang penuh dengan ilmu, tidak kira ilmu agama, alam dan kemanusiaan.  Ada cinta, kekeluargaan, aksi dan thriller dalam karya ini.  Memang cukup asam garamnya.  Saya suka sangat!

Sabtu, 20 Februari 2016

TUTUPLAH AURATMU

Saya ada dua orang anak perempuan. Bukan mudah menyuruh mereka menutup aurat. Bagaimana suami saya lakukan? Sewaktu dia bersekolah rendah, dari darjah satu sehingga tiga, dia hanya menutup aurat ketika ke sekolah atau ke tempat mengaji di surau. Kalau keluar bersama kami, jarang kami paksa. Pada hari lahirnya ke 10, suami memanggil dia, kami duduk bersila, saling mengadap antara satu sama lain. Ayat suami saya :

"Kakak, hari ini adalah hari lahir kakak yang ke 10, dalam Islam, kalau sudah berumur 10 tahun diwajibkan 1) solat tidak boleh tinggal 2) Menutup aurat ketika keluar rumah dan ketika ada tetamu datang, terutama tetamu yang bukan mahram 3) Membaca al-Quran, sekurang-kurangnya setengah muka sehari. Kakak anak perempuan, anak perempuan akan menjadi tanggungjawab abah selagi tidak bersuami. Kalau akak tidak menutup aurat, tidak solat, dosanya abah dan emak akan tanggung. Jadi, kalau akak sayang emak dan abah, akak ikutkan apa yang abah beritahu tadi."


Itulah nasihat suami saya pada anak perempuan kami. Alhamdulillah, dia faham akan tanggungjawab dia sebagai perempuan yang beragama Islam. Kalau anak kita faham tentang kepentingan menutup aurat dan peranannya sebagai muslimat, tiada masalah untuk mengajak dia menutup aurat dengan sempurna.Itulah tanggungjawab kita sebagai orang tua. Marilah sama-sama kita galakkan anak-anak remaja perempuan kita menutup aurat dengan sempurna. Sama-samalah kita sokong kempen ini. Kongsiikanlah di wall kawan-kawan. Nyatakan sokongan kawan-kawan tentang Kempen Menutup Aurat.

ERTI KEHIDUPAN

Saya pernah berniaga, pernah buka restoran, pernah makan gaji, pernah jadi majikan, pernah jadi ketua, pendek kata, macam-macam kerja sudah saya lakukan. Dari menjual kacang goreng pedas yang dibungkus sampailah mempunyai sebuah restoran yang gah di Putrajaya. Sekarang saya jadi penulis pula. Semua usaha yang saya lakukan, saya buat yang terbaik, cuba yang terbaik, namun... hanya setakat mampu sedang-sedang sahaja kejayaan yang diraih. Ada orang berusaha sedikit sahaja, tetapi kejayaannya luar biasa. Ada ketika kita pasti terfikir, kenapa aku tidak boleh maju seperti orang itu? Kenapa aku tidak boleh berjaya seperti orang ini. Sudah tentu persoalan akan lahir di fikiran, kita akan terus bertanya dan bertanya sehingga adakalanya kita ingin menyalahkan takdir hidup kita sendiri. Betul tak?

Hah! satu sahaja jawapan yang harus kita renungankan bersama, kaji, hayati, fahami. SESUNGGUHNYA REZEKI ITU ADALAH PEMBERIAN ILAHI. Bukan banyaknya duit tanda kebahagian, bukan banyaknya jualan tanda kejayaan, tetapi rasa bersyukur dengan rezeki yang diterima itu adalah yang terbaik. Dalam kita berniaga, jangan khianat, jangan ada cemburu, jangan ada hasad dengki. biar sedikit tetapi berkat agar hidup kita di akhirat kelak beroleh kejayaan dan kebahagian.

Salam sayang  buat teman-teman yang budiman. Muhasabahlan diri sendiri setiap hari, agar hidup menjadi lebih bererti.

JANGAN LUPA JASA ORANG LAIN

Assalamualaikum dan selamat pagi,  biar muka tembok, jangan bermuka-muka. Jangan lupa selawat ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw sebanyak seribu kali hari ini.

Pernah tak kita berjasa kepada seseorang, selepas itu dia buat dajjal pada kita, tidak kenang jasa kita, kita marah dia, kita maki dia dan anggap dia sebagai insan yang melupakan jasa baik kita? Pernah tak kita berjasa pada seekor kucing, kita beri ia makan dan minum, beri ia kasih sayang tetapi dia balas dengan menaburkan najis di hadapan laman rumah kita? Marahkan? Sakit hati? Kita tertanya-tanya kenapa kawan kita itu tidak tahu mengenang budi, mengenang jasa yang telah kita taburkan.
Ops! Jangan marah! setiap kebaikan yang kita beri, jangan sesekali kita harapkan jasa daripada insan yang telah kita buat jasa itu. Mereka tidak mungkin mampu membalasnya. Percayalah! Hanya Yang Satu yang akan membalas jasa-jasa kita itu. Hanya ALLAH SWT yang akan membalas segala kebaikan kita itu. Jadi, tekadkan azam, buat baik hanya kerana ALLAH, kerana hendak mendapat SYURGA ALLAH, kerana ingin mendapat keberkatan dan rahmat daripada ALLAH, pasti hati kita tidak akan sakit. Jika kawan yang kita berjasa itu tidak membalas kebaikan kita, tetapi ALLAH akan hantar insan lain pula untuk membalas jasa dan budi yang telah kita tabur. Berbudilah kepada sesiapa sahaja, kerana ganjarannya jauh lebih baik daripada ALLAH SWT.

Jangan lupa dapatkan buku-buku terbaharu dari Alaf 21 yang bakal berada di pasaran.