Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 12 Mei 2015

ULASAN KAPUR KASUT vs KAPUR TULIS



KAPUR KASUT vs KAPUR TULIS
50 orang penulis
Grup Buku Tiga Lima Berkolaborasi  Celik Huruf
RM29.00
245 muka surat

                Kolaborasi 50 orang penulis yang terdiri daripada pelbagai bidang dan bukan semuanya penulis membuatkan diri teruja untuk terus membacanya apatah lagi kisah-kisah para penulis  sewaktu di zaman sekolah.  Memang menyentuh hati, buat saya tersenyum, menangis dan terkedu membacanya.  Karya yang bagus dijadikan bahan bacaan kepada para remaja di luar sana.  Banyak panduan dan pedoman yang boleh diguna pakai.

                Kalau nak ulas satu persatu, jenuh jugalah.  Percubaan pertama kepada para ahli BTL juga patut di puji. Selama ini mereka hanya menjadi pembaca, tetapi kini sudah ada karya sendiri, biarpun hanya menjadi sebahagian kecil penyumbang dalam buku ini.  Tahniah kepada para penulis yang terlibat.  Kisah kehidupan para penulis boleh dijadikan contoh terbaik dalam menjalani kehidupan di luar sana. 

                Kepada yang belum memilikinya bolehlah dapatkan segera.  Bukan kerana karya saya turut termuat di dalamm buku ini tetapi jalan cerita di dalamnya.  Tahniah BTL dan Celik Huruf.  Walaupun harga buku ini agak tinggi sedikit tetapi ilmu di dalamnya tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.

Gaya bahasanya juga santai, dan mudah difahami.  


Rabu, 6 Mei 2015

Timulak Kapal Perang dan Panglima Awang


TIMULAK KAPAL PERANG

Dewan Bahasa dan Pustaka

2008 - cetakan ke lapan

Azmah Nordin.

117 muka surat.

Novel Remaja Sejarah/ Pemenang tempat ketiga Novel Sejarah.

PANGLIMA AWANG

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Aminurrashid

1983 - 2012 ( cetakan kedua)

200 muka surat

Novel Sejarah Remaja

Ulasan: 18-19/2015



Karya novel sejarah remaja yang sudah lama, tetapi sejarah tidak akan pernah padam. Akan terus dikenang sepanjang zaman, biar zaman berubah, sejarah tetap utuh. 


Timulak Kapal Perang, mengisahkan perjuangan Mat Salleh menentang penjajah.  Buku ini pernah digunakan sebagai buku komsas.  Masih ada dijual di KOPERASI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MALAYSIA BERHAD.  Boleh dijadikan bahan bacaan buat anak-anak kita.  Masih banyak buku bermutu yang baik untuk dibaca oleh anak-anak.

Panglima Awang- 

Saya pernah mendengar kisah seorang lelaki Melayu dikatakan menjadi orang pertama mengelilingi dunia tetapi tidak tahu bagaimana lelaki itu boleh menjadi pelayar pertama di dunia. Kalau nak tahu, kenalah dapatkan buku ini.  Buku Sejarah yang patut dikenang sebagai penguat jati diri sendiri.  Betapa orang Melayu kuat sebenarnya. Berani dan tidak pernah patah semangat.  Membaca karya ini membuatkan hati berasa bangga.  Panglina Awang akan dikenang sebagan pelayar yang bersemangat waja dan kental.

Keberaniannya melawan penjajah juga begitu mengusik hati.  Betapa orang dahulu sanggup mengorbankan diri sendiri demi tanah air yang dicintai.  Adakah kita seteguh itu mempertahankan bumi tercinta ini?   Membaca karya seperti ini bukan bererti kita memandang ke belakang, tetapi membuka minda kita untuk lebih mencintai negara  sendiri.  Membaca buku sejarah kita tidak akan ketinggalan ke belakang tetapi lebih bersemangat untuk mencipta kejayaan.  Membaca buku sejarah tidak akan membuatkan diri kita membenci kemodenan tetapi membuatkan kita bersemangat untuk terus berjaya dan maju.  Galakkan diri sendiri dan anak-anak membaca buku-buku seperti ini.  Kerana sejarah mengajar kita menjadi manusia yang menghargai apa yang kita miliki sekarang ini.

Ahad, 26 April 2015

CATATAN HUJUNG MINGGU







                Hari ini adalah hari paling sibuk buat kami di Maahad Azzein Al Makki Pusat Penjagaan Anak Yatim Tahfiz Sg. Buluh Selangor.  Dua minggu sekali, suami saya akan ke pasar borong Selayang, membeli  bahan-bahan basah seperti ikan dan sayur untuk kegunaan dua minggu.    Tugas saya adalah menyiang semua ikan yang dibeli, anak-anak perempuan pula saya tugaskan membersihkan sayurr-sayur yang dibeli.  Memang sejam dualah kami bertungkus-lumus menyudahkan kerja-kerja yang ada.  Memanglah lenguh berdiri lama membuang semua perut ikan yang ada, membasuh dan menyimpan ke dalam bekas plastik.  Mudahlah jika hendak memasak nanti.  Itulah tugas saya di pusat anak-anak yatim tahfiz ini, menyedia makan dan minum mereka.  Turut dibantu oleh menantu yang ringan tulang.
                Saya bukanlah pandai memasak sangat. Tetapi kecekapan didapur adalah satu kurniaan ILAHI, mungkin sudah terbiasa melakukan kerja-kerja dapur sejak kecil.  Kebetulan saya memang suka memasak.  Cuma, saya tidak diiberi peluang oleh ALLAH menggunakan kemahiran saya ini untuk berniaga.  Bukan tidak biasa berniaga, malah saya dan suami pernah buka restoran francise di Putrajaya.  Sayang seribu kali sayang, hanya bertahan selama dua tahun setengah.  Jiwa kami bukan  pada bidang perniagaan.  Sejak berkahwin sehinggalah ke hari ini, pelbagai tugas dan perniagaan saya ceburi. Semuanya tidak menjadi.  Bukan tidak laku, laku.  Tetapi hanya separuh jalan, jarang saya teruskan.  Jiwa saya tidak dalam perniagaan. 
                Sewaktu buka restoran, saya juga memasak lauk bagi santapan para pekerja saya yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Malah mereka memuji masakan saya.  Bukanlah sedap sangat sebenarya tetapi saya masak dari hati.  Benar, tanyalah tukang masak dan sesiapa sahaja.  Memasak kalau hendak sedap, kenalah masak dengan sepenuh jiwa dan lahir dari hati yang ikhlas.
                Berbalik kepada pusat jagaan anak-anak yatim tahfiz ini, setiap pagi saya akan mula menyediakan sarapan pagi setiap pukul 7.00 pagi, 8.30 pagi anak-anak akan mula bersarapan. Biasanya sarapan pagi, saya akan sediaka satu menu berat dan satu jenis kuih.  Menunya berubah-ubah.  Saya yang akan menentukan menunya.  Ada ketika saya menyediakan mee kari, nasi goreng, bubur, mee bandung dan sebagainya, sesuai dengan sarapan pagi.  Adakala kuew teow ladna pun saya masak, asalkan cukup bahan, menjadi sahaja. Inilah tugas saya sekarang, tukang masak kepada anak-anak yatim tahfiz@ penulis novel. 
                Untuk makan tengahari satu lauk dan satu sayur, buah untuk pembuka selera.   Makan malam pula, menu yang lain akan saya sediakan.  Itulah rutin saya setiap hari.    Itu sebab, kalau hendak ke mana-mana atau ada urusan di luar, saya akan masak awal. Saya akan selesaikan dahulu tugas dan tanggungjawab saya di sini. Adakala saya tidak boleh turut serta dengan apa-apa program kerana tanggungjawab saya dengan pusat ini adalah besar.
                Saya dan suami mengabdikan diri sepenuhnya menguruskan pusat ini.  Duduk bersama-sama mereka, menguruskan segala keperluan mereka.  Saya juga bekerja sebagai penulis sepenuh masa.  Bila dapat royalti, saya akan belanja anak-anak ini makan di tempat-tempat yang tidak pernah mereka pergi atau merasa makanan tersebut.  Jangan lokek dengan anak yatim, itulah prinsip saya.  
                Penat tak menguruskan mereka?  Jangan tanya, jika hati ikhlas dan bertanggungjawab, rasanya tiadak rasa penat di hati, kalau tubuh itu, biasalah. Saya sudah berumur.  Apapun saya sentiasa berdoa, agar diberi kesihatan yang baik, sihat sentiasa supaya saya boleh terus berbakti kepada anak-amak ini.  Semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat, jadi hafiz dan hafizah, jadi anak-anak yang soleh dan beriman… amin. 

Selasa, 14 April 2015

KEDAI BUKU BERGERAK

Ini adalah mobil atau van yang digunakan untuk menjual buku dari sekolah ke sekolah.  Sekarang ini beberapa penerbitan besar sudah menyediakan kemudahan seperti ini bagi memudahkan para peminat buku mendapatkan buku tanpa pergi ke kedai buku.  DBP dan ITBM juga telah mula  mengiatkan lagi aktiviti menjual menggunakan kenderaan seperti ini.   Satu usaha murni yang patut dibanggakan oleh masyarakat kerana telefon sahaja, maka kenderaan ini akan berada di tempat anda,

Saya minat membaca.  Emak saya tidak minat membaca, arwah ayah hanya membaca akhbar.  Adik-adik saya tidak semua minat membaca.  Kenapa saya mempunyai minat membaca.  kerana SEKOLAH DAN GURU  saya waktu itu, amat mementingkan kegiatan membaca di sekolah dan memanfaatkan perpustakaan. Kalau tidak jangan haraplah perpustakaan akan disinggahi oleh para pelajar, apatah lagi di zaman ini. Gadjet menjadi mainan mereka. 

Kenderaan ini akan pergi dari sekolah ke sekolah pada hari bersekolah sahaja.  Pelbagai gelagat dan masalah sering timbul kerana ada sekolah yang tidak memberi kerjasama yang baik. Malah ada ibu bapa akan marah jika anak-anak membeli buku kononnya membuang masa dan tidak berguna.  Hello!  kerana bukulah saya kenal erti kehidupan yang maha hebat ini.  Dari bukulah saya banyak belajar pelbagai perkara.  Kenal baik dan buruk semuanya melalui pembacaan.

kepada para ibu bapa budiman, cubalah bertanya kepada anak-anak, ada tak kenderaan ini datang ke sekolah?  Kalau boleh berilah duit lebih supaya mereka ada peluang untuk membeli hatta buku yang berharga RM1.00.

Kepada guru-guru,TOLONGLAH! galakkan anak-anak murid  membaca pelbagai jenis bacaan. TANAMKAN MINAT MEMBACA KETIKA MEREKA DI BANGKU SEKOLAH.  Jangan hanya membaca untuk lulus peperiksaan.  KESANNYA AMAT BESAR apabila mereka melangkah ke UNIVERSITI nanti, PELAJARAN yang mereka terima tidak sampai ke hati, hanya untuk lulus periksa, itu sebab masalah sosial semakin menjadi-jadi. MANUSIA tidak lagi menghargai ilmu untuk menjadi pendinding diri atau perlindung mereka daripada sebarang kejahatan. 

JOMLAH, teman-teman semua. PAKSALAH anak-anak kita membaca untuk menjadi jambatan ilmu agar mereka kenal dan faham erti kehidupan yang sebenar. 

Khamis, 9 April 2015

ULASAN JALUR SINAR DI CELAH DAUN.



JALUR SINAR DI CELAH DAUN
ZAHARAH NAWAWI
ALAF 21
RM11.00
                Buku ini adalah karya yang dicetak semula oleh pihak Alaf 21.  Karya yang menarik dan sepatutnya dibaca oleh para peminat buku di negara ini.  Jalan ceritanya menyentuh hati.  Sarat dengan  motivasi untuk diri sendiri.  Karya hebat daripada penulis yang hebat juga.  Saya mengenali penulis ini melalui karya-karya beliau di dada akhbar.  Kagum dengan bakat dan kebolehan beliau mengarap  jalan cerita yang mempunyai tema berat dan gaya bahasa yang mudah dan terjaga tatabahasanya. 
                JALUR SINAR DI CELAH DAUN mengisahkan Dali dan Tijah, yang berkahwin ketika berusia muda.  Oleh kerana Dali sukar mendapat pekerjaan untuk menyara keluarga.  Dia membawa Tijah berhijrah ke satu tempat yang baharu di majukan.  Mereka menjadi peneroka pertama di Kampung Tasik, menyelongkar hutan belantaran untuk dijadikan tapak pertanian, menanam beraneka jenis tumbuh-tumbuhan yang mampu menjana pendapatan.
                Dali seorang yang bersemangat tinggi dan kuat bekerja.   Siang malam membanting tulang bersama Tijah tanpa mengenal erti penat.  Tanah lima ekar majukan dengan tulang empat kerat.  Kalau mengikut  zaman yang dipaparkan ketika itu tiada sebarang jentera moden untuk membangunkan tanah, yang ada hanyalah cangkul dan tulang empat kerat.  Apa yang menarik hati saya, betapa mudanya usia Dali namun dia tidak pernah berputus asa dalam  penuh kepayahan.  Impian harus digapai agar menjadi kenyataan.
                Dalam mereka tersenyum bahagia mengutip hasil titik peluh mereka berbulan-bulan, pelbagai ujian melanda sehingga membuatkan Dali mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan dan merantau ke negara orang.  Demi mengumpul duit  Dali sanggup berbuat apa sahaja.  Tinggalkan Tijah bersama anak yang baharu dilahirkan.  Pada mulanya Tijah pulang ke kampung halamannya tetapi tidak tahan dengan kata-kata penghinaan daripada keluarganya membuatkan dia kembali semula ke tanah yang diteroka.  Tiada sesiapa di kawasan itu, yang tinggal hanya dirinya sendiri.  Tijah tidak putus asa, hidup harus diteruskan demi sesuap nasi untuknya dan anak yang semakin membesar.  Dali hilang khabar berita secara tiba-tiba.  Keadaan semakin terhimpit buat Tijah, namun semangatnya tinggi sama seperti suaminya, Dali.  Dia bertungkus lumus bekerja, buat apa sahaja, asalkan tanah yang telah diterokai oleh suaminya sebelum ini terus subur dan mengeluarkan hasil.

Apa berlaku seterusnya?  Pastikan buku ini menjadi bahan bacaan teman-teman semua.