Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 26 April 2015

CATATAN HUJUNG MINGGU







                Hari ini adalah hari paling sibuk buat kami di Maahad Azzein Al Makki Pusat Penjagaan Anak Yatim Tahfiz Sg. Buluh Selangor.  Dua minggu sekali, suami saya akan ke pasar borong Selayang, membeli  bahan-bahan basah seperti ikan dan sayur untuk kegunaan dua minggu.    Tugas saya adalah menyiang semua ikan yang dibeli, anak-anak perempuan pula saya tugaskan membersihkan sayurr-sayur yang dibeli.  Memang sejam dualah kami bertungkus-lumus menyudahkan kerja-kerja yang ada.  Memanglah lenguh berdiri lama membuang semua perut ikan yang ada, membasuh dan menyimpan ke dalam bekas plastik.  Mudahlah jika hendak memasak nanti.  Itulah tugas saya di pusat anak-anak yatim tahfiz ini, menyedia makan dan minum mereka.  Turut dibantu oleh menantu yang ringan tulang.
                Saya bukanlah pandai memasak sangat. Tetapi kecekapan didapur adalah satu kurniaan ILAHI, mungkin sudah terbiasa melakukan kerja-kerja dapur sejak kecil.  Kebetulan saya memang suka memasak.  Cuma, saya tidak diiberi peluang oleh ALLAH menggunakan kemahiran saya ini untuk berniaga.  Bukan tidak biasa berniaga, malah saya dan suami pernah buka restoran francise di Putrajaya.  Sayang seribu kali sayang, hanya bertahan selama dua tahun setengah.  Jiwa kami bukan  pada bidang perniagaan.  Sejak berkahwin sehinggalah ke hari ini, pelbagai tugas dan perniagaan saya ceburi. Semuanya tidak menjadi.  Bukan tidak laku, laku.  Tetapi hanya separuh jalan, jarang saya teruskan.  Jiwa saya tidak dalam perniagaan. 
                Sewaktu buka restoran, saya juga memasak lauk bagi santapan para pekerja saya yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Malah mereka memuji masakan saya.  Bukanlah sedap sangat sebenarya tetapi saya masak dari hati.  Benar, tanyalah tukang masak dan sesiapa sahaja.  Memasak kalau hendak sedap, kenalah masak dengan sepenuh jiwa dan lahir dari hati yang ikhlas.
                Berbalik kepada pusat jagaan anak-anak yatim tahfiz ini, setiap pagi saya akan mula menyediakan sarapan pagi setiap pukul 7.00 pagi, 8.30 pagi anak-anak akan mula bersarapan. Biasanya sarapan pagi, saya akan sediaka satu menu berat dan satu jenis kuih.  Menunya berubah-ubah.  Saya yang akan menentukan menunya.  Ada ketika saya menyediakan mee kari, nasi goreng, bubur, mee bandung dan sebagainya, sesuai dengan sarapan pagi.  Adakala kuew teow ladna pun saya masak, asalkan cukup bahan, menjadi sahaja. Inilah tugas saya sekarang, tukang masak kepada anak-anak yatim tahfiz@ penulis novel. 
                Untuk makan tengahari satu lauk dan satu sayur, buah untuk pembuka selera.   Makan malam pula, menu yang lain akan saya sediakan.  Itulah rutin saya setiap hari.    Itu sebab, kalau hendak ke mana-mana atau ada urusan di luar, saya akan masak awal. Saya akan selesaikan dahulu tugas dan tanggungjawab saya di sini. Adakala saya tidak boleh turut serta dengan apa-apa program kerana tanggungjawab saya dengan pusat ini adalah besar.
                Saya dan suami mengabdikan diri sepenuhnya menguruskan pusat ini.  Duduk bersama-sama mereka, menguruskan segala keperluan mereka.  Saya juga bekerja sebagai penulis sepenuh masa.  Bila dapat royalti, saya akan belanja anak-anak ini makan di tempat-tempat yang tidak pernah mereka pergi atau merasa makanan tersebut.  Jangan lokek dengan anak yatim, itulah prinsip saya.  
                Penat tak menguruskan mereka?  Jangan tanya, jika hati ikhlas dan bertanggungjawab, rasanya tiadak rasa penat di hati, kalau tubuh itu, biasalah. Saya sudah berumur.  Apapun saya sentiasa berdoa, agar diberi kesihatan yang baik, sihat sentiasa supaya saya boleh terus berbakti kepada anak-amak ini.  Semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat, jadi hafiz dan hafizah, jadi anak-anak yang soleh dan beriman… amin. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan