AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 21 August 2016

JALAN PULANG - BAB 4 - ASMAH HASHIM

( karya-karya saya)



Sarimah terdiam melihat bekas suaminya berada di dalam stor yang kini sudah sempurna menjadi sebuah bilik yang selesa.  Patutlah bertungkus lumus Zakuan memperbaiki bilik stor lama itu, rupanya sudah ada yang akan menghuni.  Wajah kelatnya tidak mengusik hati Zakuan, selamba sahaja anaknya, seperti tidak ada apa yang berubah.
            “Kenapa bawa dia ke sini?” tegur Sarimah agak kasar.  Hatinya sedang memerah rasa marah. 
            “Ibu, jangan tambah beban di kepala.  Ayah tidak akan ganggu ibu, makan minumnya biarlah Wan yang uruskan.  Wan pun sudah dapatkan kerja untuk ayah, sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang.” Tidak mahu membebankan diri ibunya.  Dia tahu perasaan ibunya masih terluka, masih berdarah.  Semoga satu hari nanti akan sembuh juga.
            “Nanti apa kata jiran-jiran?  Wan tak malukah?”  sergah Sarimah.
            “Nak malu apanya?  Ayah sudah pun dihukum atas semua kesalahannya, kenapa mereka nak bising-bising lagi?”  Zakuan mengeluh kesal. Manusia mudah menghukum dan menghina, sedikit sangat yang mahu memberi semangat dan membimbing orang-orang seperti ayahnya. Memang, betul, dahulu ayahnya jahat. Kini, ayahnya sudah berubah.  Kenapa tidak harus diberi peluang?
            “Wan senanglah cakap! Wan tak sentiasa ada di rumah. Ibu yang terpaksa berhadapan dengan mereka!”  sela Sarimah dengan air mata mula bergenang di tubir mata.  Sebak menikam sehingga ke jantungnya.  Menggila merasuk dalam diri. Terasa hendak meraung sekuat hati, biar anaknya mengerti perasaan yang sedang bersarang dalam diri.  Titisan air jernih perlahan-lahan membasahi pipi. Mengharapkan pengertian daripada seorang anak yang amat dikasihi.  Bukan niat hendak membenci, apatah lagi terhadap orang yang pernah menjadi suami.  Hati ini masih tidak mampu menerima kehadiran manusia yang pernah hidup dalam hatinya. 
            “Ibu… tolonglah.  Wan rayu pada ibu. Sekali ini sahaja. Biar ayah buktikan yang dia benar-benar sudah  berubah,” rayu Zakuan.  Jari jemari ibunya dibelai lembut.  Dia menciumnya berkali-kali. Memujuk dan merayu. Hati yang terluka dan tercalar, bukan mudah untuk disembuhkan.  Dia tahu itu. Jika masih melayan perasaan itu sampai bila-bila pun tidak akan sembuh.
            Sarimah mengetap bibir. Menahan rasa marah yang merasuk diri.  Apa yang harus dia lakukan. Kehendak anak sulongnya benar-benar meresahkannya.  Pasti keluarganya akan menjadi bahan umpatan lagi.  Penat mendengar, letih menepis kata-kata orang sekeliling yang tidak memahami. Seronok mengumpat orang lain, langsung tiada rasa bersalah di hati. Kepulangannya ke kampung bekas suaminya kerana terpaksa, lantaran tidak ada tempat yang hendak dituju. Kebetulan rumah pusaka arwah ayah mertua dibei kepada bekas suaminya. Di situlah harapan diikatkan. Namun sia-sia, orang kampung membencinya kerana suaminya seorang penjenayah. Waktu dia susah semakin galak mereka mengata, isteri seorang  banduan itulah yang dicap padanya.  Dia terima dengan tabah dan sabar demi kedua anaknya. Kalau ikutkan hati sudah lama dia pergi jauh-jauh dari kampung itu membawa diri.  Air mata yang berbaki dilap dengan hujung baju.  Menguatkan hati agar mampu menahan umpatan orang lagi.
            Anak-anaknya disisihkan.  Tidak dibenarkan bermain bersama.  Takut terikut-ikut kerana darah penjenayah yang mengalir di tubuh.  Anak-anaknya membesar tanpa ada kawan baik atau sahabat.  Di mana sahaja mereka pergi, jika ada yang mengenali pasti akan menjauhkan diri.  Hiba memerhati, dia menangis jauh-jauh agar tidak dilihat oleh anak-anaknya.  Dia berlakon kuat demi mereka. Malam hari punya cerita, dia berendam air mata memikirkan nasib diri. Berkahwin dengan insan yang telah mengetuk hatinya, kononnya setia sehingga  hujung nyawa. Berjanji akan menjaganya sehingga ke akhir hayat dan akan bersama sehingga ke syurga.  Janji hanya tinggal menjadi ucapan di bibir yang lidahnya tidak bertulang.  Terbuai dengan kata-kata, akhirnya memakan diri.  Dia berkahwin dengan seorang penjenayah rupanya. Hidupnya merompak dan merampas hak orang lain. Patutlah mewah sahaja. Rupanya hasil haram yang diberi untuk menyara kehidupan mereka suami isteri. 
            Pembohongan ditelan bulat-bulat, disangkakan suaminya ketika itu seorang yang berpangkat besar. Hancur luluh hatinya waktu suaminya ditahan di rumah kerana merompak dan merogol mangsa.  Ketika itu dia mengandungkan anak bongsunya.  Meraung separuh gila  dirinya. Bersendirian menawan duka. Tangisan teman setia, memikirkan masa depan anak-anak yang ada, semakin sakit hatinya.  Alhamdulillah, ALLAH swt tidak pernah meminggirkannya.  Dia bangkit, bangun meneruskan hidup demi anak-anak tercinta.  Keluarga sendiri juga mencemuh. 
            “Ibu!” Zakuan memegang lengan Sarimah erat.
            “Kenapa Wan buat ibu sakit hati?”  Sarimah mengesat air mata yang berbaki.
            “Ibu, bersihkan hati, tenangkan fikiran.  Semuanya akan berjalan dengan lancar.  Wan percaya dengan ayah dan yakin ayah benar-benar telah berubah.  ALLAH itu Maha Pengampun ibu, kenapa kita tidak ambil sedikit daripada sifatnya itu.  Maafkanlah ayah, berilah dia peluang untuk mengubah dirinya,” pujuk Zakuan
            “Entahlah Wan, ibu tak tahu nak cakap apa.  Hati ibu terlalu berat untuk menerima.  Berilah ibu masa,” pinta Sarimah.  Air mata sedih masih juga mengalir.  Tidak juga mahu berhenti bersuara, melayan perasaan sedih dan kecewa, takut dan bimbang yang bercampur baur merojak di hati ketika dan saat itu.
            Zakuan faham perasaan ibunya.  Dia juga berperasaan begitu, tetapi cuba dibuang jauh-jauh.  Ayahnya memang jahat. Itu dulu, sekarang ayahnya telah menjadi orang lain. Bukan lagi Malek 25 tahun dahulu.  Malek hari ini sudah insaf, sudah kenal tikar sejadah, sudah tahu mengaji dan berzikir.  Mampu berpuasa di bulan Ramadhan.  Itulah yang telah diberitahu oleh pihak penjara kepadanya. 
            “Wan, ibu harap, harapan Wan bukan harapan kosong.  Baiklah, ibu malas nak bertengkar dengan Wan. Tanggungjawab ayah terletak di bahu Wan, jadi apa-apa, Wan harus bertanggungjawab sepenuhnya,”  pesan Sarimah.
            “Ibu jangan bimbang.  Tahulah Wan jaga ayah,” janji Zakuan seraya senyuman terlakar di bibirnya.  Hanya itulah yang diharapkan, jawapan persetujuan daripada ibunya. Biar tiada gundah di hati ayahnya untuk terus tinggal di situ.  Semoga adiknya juga mampu menerima kehadiran ayah mereka.  Kasih sayang seorang anak dan ayah bagaikan air yang dicincang takkan putus.
            Sarimah melangkah ke dapur. Meninggalkan Zakuan sendirian melayan perasaan.  Sungguh dia bertuah kerana dikurniakan anak-anak sebaik Zakuan dan Zara.  Zakuan pula seorang yang bertanggungjawab. Pandai dalam pelajaran dan sekarang sudah menjawat jawatan kedua tertinggi dalam syarikat tempatnya bekerja.  Sikap bertanggungjawabnya membuatkan sesiapa sahaja senang mendekatinya. Malah majikannya memberi tanggungjawab yang besar kepadanya menguruskan syarikat yang ada.
            Tidak sabar ingin melihat anak bujangnya itu berkeluarga. Usia sudah semakin banyak angkanya. Bimbang menjadi anak bujang terlajak pula.  Semoga ada jodoh buat anak-anaknya, tentulah ingin yang baik-baik sahaja, yang mampu dibimbing dan membimbing.  Zara juga begitu,  satu-satunya anak gadisnya yang semakin meningkat dewasa. Berat jodoh mereka.  Semoga ALLAH swt memberi yang terbaik buat mereka berdua. Dia?  Biarlah dia bersendirian sehingga ke akhir hayat. Kembali kepada bekas suaminya? Tidak mungkin itu akan terjadi.



No comments:

Post a Comment