Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 13 Ogos 2016

JALAN PULANG - BAB 2 - ASMAH HASHIM



Zara mencuka, berita yang baru diterima benar-benar menggugat perasaannya. Menghancurkan jiwanya yang tenang dan damai selama tidak mendengar nama lelaki itu disebut.  Pandangannya menjunam ke arah abangnya yang duduk tenang di kerusi hadapan meja makan.  Ibu pula bermuram durja.  Bercakap bagaikan orang putus asa. 
            “Kenapa abang berjanji yang bukan bukan?”  bentak Zara.  Baru sahaja terasa kurang tekanan yang diterima.
            “Dia ayah kita Zara, kalau tak boleh tinggal di sini, mungkin boleh tinggal dengan Zara. Zarakan tinggal seorang di rumah sewa itu,”  pujuk  Zakuan. Memohon simpati adiknya pula.  Dengan ibunya tiada lagi rayuan kedua, keputusan muktamad sudah dibuat. Dia tidak mampu mengubahnya.
            “Apa? Abang sudah gila agaknya?  Dia baru keluar penjaralah bang! Takkan nak suruh tinggal dengan Zara? Tak mungkinlah!” jerit Zara terkejut mendengar cadangan tidak betul abangnya. Satu-satunya abang yang dia ada.
            “Habis itu, abang nak tempatkan ayah di mana?”  Zakuan tergaru-garu kepala.  Minggu hadapan ayahnya yang keluar dari penjara.  Dia sudah berjanji akan menjemput ayahnya dari penjara.
            “Lain kali jangan memandai, kan sudah susah!”  kata Zara dengan muka sebal. Dia memeluk tubuh.  Baju kurung yang tersarung ditubuhnya dibetulkan kedudukannya, sudah senget benget jadinya.
            “Ibu!”  Zakuan mencuba sekali lagi.
            “Tak payah! Ibu bukan isteri ayah lagi,” bantah Zara.
            “Kau diam!” marah Zakuan.
            “Zara hairan, kan? Kenapa abang nak baik sangat dengan ayah? Dia bukan ayah yang baik pun,” sanggah Zara.
            “Baik atau tidak, darah yang mengalir di tubuh engkau itu tetap darah dia tahu!” jerkah Zakuan. Tidak senang dengan kata-kata adiknya itu. Biar siapapun lelaki itu, dia tetap ayah kandung mereka.
            “Wan!”  tegur Sarimah.
            “Jangan kerana lelaki itu kita bergaduh anak beranak!” marah Sarimah.  Sudah lama mereka tinggal dalam keadaan aman damai, tiada sengketa, sebut sahaja nama lelaki itu pasti  rasa marah merasuk dalam hati. Geram bertali-tali. 
            “Wan tahu ayah jahat, Wan tahu hidup kita terseksa, tapi dia sudah berubah ibu, Zara. Berilah dia peluang kedua,” pujuk Zakuan.  Pihak penjara sendiri yang meyakinkannya.  Mereka memanggilnya untuk buat persediaan menerima kembali kehadiran ayahnya itu.  Keluhan terlahir  di bibirnya.
            “Kalau sudah tahu kenapa nak pungut dia balik?  Apa pula kata jiran tetangga.  Penatlah bang dengar sindiran dan cacian mereka,” luah Zara.
            “Orang hanya tahu bercakap, membantu tak nak,”  ujar Zakuan tidak mahu mengalah. Kalau ikut orang cakap, sampai bila-bila pun tak boleh buat apa-apa. 
            “Kita hidup bermasyarakatlah Wan, kena ambil tahu juga apa mereka cakap.  Kita ada telinga, kita ada maruah dan harga diri,” kata Sarimah, masih tidak bersetuju dengan cadangan anak sulongnya itu.  Biarlah lelaki itu cari tempat lain, bukan di rumah ini.  Bukan di sini.  Dia tak mahu dan dia tak sudi.
            “Ibu, mana lagi ayah nak pergi?”  soal Zakuan
            “Dia kan sudah dewasa, carilah kawan-kawan seangkatan dia, kenapa nak menyusahkan kita?”
            “Sebab hanya dengan pertolongan kita sahajalah dia boleh terus berubah, ibu,” pujuk Zakuan lagi.
            “Tidak! Keputusan ibu muktamad!”  Sarimah berlalu dengan hati yang panas.  Hari-hari Zakuan memujuk dan merayunya.  Hatinya masih tidak terbuka hendak menerima bekas suaminya itu.  Biarlah kosong stor tersebut daripada diberi kepada manusia yang pernah menyakitkan hatinya. Merobek kepercayaannya.
            “Ibu!”  laung Zakuan.
            “Abang! Sudah,sudahlah pujuk ibu tu. Kalau ibu tak setuju, biarlah. Tak payah nak paksa,” tegur Zara. Dia sendiri kurang senang.  Kerana status ayahnyalah beberapa orang lelaki yang datang meminang tidak jadi meneruskan hajat mereka.  Itulah yang paling menyedihkannya.  Kenapa dia tidak jadi seperti anak-anak orang lain, yang ayah mereka baik dan tidak lakukan jenayah.
            “Kenapa kita tak nak beri ayah peluang?  ALLAH sentiasa membuka pintu taubat untuk hamba-hambaNYA, kita pula sebagai manusia tidak mahu memaafkan orang yang sudah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.”  Zakuan memandang wajah adiknya.  Waktu ayahnya dipenjarakan, adiknya   masih dalam kandungan.  Zara tidak kenal ayah mereka dan tidak pernah  berjumpa pun.  Dia pula berumur empat tahun ketika itu.  Melihat ibunya bersendirian meneruskan hidup.  Ibunya dihina, dipanggil dengan pelbagai gelaran lantaran perbuatan ayahnya.  Bukan dia tidak ingat, tetapi dia ingin memberi peluang kepada ayahnya.
            “Zara tak berani nak cakap apa-apa, nanti ibu bising pula.  Kita kena hormat keputusan ibu,”  kata Zara.  Dia tidak membenci tetapi dia takut dengan pandangan masyarakat sekeliling. Perasaan ibu juga kena fikirkan.  Hati ibu sudah terlalu terluka. 
            “Kalau Zara sokong cadangan abang, ibu takkan bantah,” kata Zakuan masih tidak berputus asa.
            “Zara tak beranilah bang.  Ibu kalau mengamuk lain macam sikit.”  Ucap Zara.  Dia menyandar di kusyen.
            “Tolonglah abang,” rayu Zakuan.  Dia tidak boleh berputus asa.    Stor belakang rumah yang sudah tidak digunakan terbayang di matanya.  Hanya itulah tempat yang sesuai untuk ayahnya buat sementara waktu.  Sehingga ayahnya dapat kerja dan bilik atau rumah sewa.  Bukanlah  terus tinggal di rumah itu.  Hanya sementara.
            “Maafkan Zara, kalau ibu tak kisah, Zara pun sama. Zara ikut ibu,” jelas Zara. Dia tidak mahu abangnya tersilap fikir tentang dirinya. Memanglah dia tidak pernah bertemu ayah kandungnya itu.  Tiada rasa kasih pun.  Tetapi, dia tidak membenci lelaki itu. Cuma, kurang setuju jika ayahnya kembali ke sini.  Nanti timbul masalah dengan jiran tetangga yang memang kenal dengan ayahnya. Tahu sangat sikap ayahnya dahulu.
            “Zara!”  Zakuan kecewa.  Kalau kedua-duanya degil, bagaimana? Apa yang harus dia lakukan lagi.  Uh! Usah fikir panjang, bawa sahajalah ayahnya pulang. Perlahan-lahan ayahnya cubalah meraih kasih ibu dan adiknya.  Dia tersenyum memikirkan ideanya sendiri. Keputusannya muktamad, ayahnya akan dibawa pulang ke rumah juga.  Kalau dengar cakap orang, tidak ada manusia yang akan maju.  Dia perlu memberi peluang pada ayahnya.


2 ulasan: