Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 15 Ogos 2016

JALAN PULANG - BAB 3 - ASMAH HASHIM



Malek membimbit beg kecil yang berisi beberapa barang peribadi.  Tubuhnya masih lagi sasa biarpun usianya sudah menjangkau 50-an.  Kerutan di dahi menahan panahan mentari.  Di luar sudah menunggu anak sulongnya yang sentiasa hadir menziarahinya sejak usia anaknya itu berumur 17 tahun.  Memikirkan sikapnya yang tidak bertanggungjawab dahulu, tidak sepatutnya dia dilayan sebaik itu.  Sikap dan perangainya waktu muda buat orang marah, benci dan sakit hati.  Berpuluh tahun menjadi penghuni penjara telah banyak mengubah dirinya.  Banyak perkara dia pelajari ketika berada di tempat yang mampu mengubah manusia. Biarpun bukan semua berubah tetapi sekurang-kurangnya ada juga.
            “Ayah,” sapa Zakuan yang sudah bersedia menunggu.
            Malek hanya menundukkan kepala.  Dia terus masuk ke dalam perut kereta.
            “Kita pergi makan dulu, lepas itu baru kita balik rumah,”  ajak Zakuan.  Dia cuba menceriakan suasana.  Selalu datang ziarah ayahnya tetapi bila berhadapan, berdua sahaja terasa lainnya.  Bagaikan orang asing antara mereka berdua. 
            “Kenapa tak terus balik rumah saja, mak kau tak izinkan ayah tinggal dengan kau orang?” Malek mencuri pandang wajah anak sulongnya yang saling tak tumpah wajah bekas isterinya.  Bekas isteri.  Sebak menyebut perkataan itu.  Dia menarik nafas panjang. Tidak mahu kelihatan sedih berada di hadapan anak sulongnya itu. Biarlah rasa sedih, tersimpan kemas di hati.
            “Eh! Tak adalah, saja nak raikan kepulangan ayah.  Kita cari tempat makan yang sedap sikit.” Zakuan tersenyum. Memang dia ingin meraikan kepulangan ayahnya itu.  Mungkin sudah lama ayahnya tidak merasakan makanan yang ada di luar ini. Makanan di penjara tidak akan sama dengan makanan yang ada di dunia luar dari jeriji besi.  Apatah lagi makanan yang dimasak oleh ahli keluarga sendiri. Tentulah jauh bezanya.
            “Ayah nak makan apa?  Wan belanja.”  Wajah garang ayahnya dipandang sekali imbas,  dia masih lagi memandu.
            “Hmm… terasa nak makan apa ya?”  Malek berkira-kira. 25 tahun terkurung, makan apa sahaja yang ada, kalau istimewa sikit pun ketika hari raya atau ada kunjungan orang besar di penjara itu.  Seleranya sudah sebati dengan makanan di dalam penjara.  Sehinggakan terlupa enaknya makanan yang berada di luar ini.
            Usai makan, mereka terus pulang ke rumah.  Hati Zakuan berdebar-debar.  Dia tidak memberitahu ibunya tentang ayahnya yang keluar penjara hari ini.  Lelaki itu akan tinggal di bilik stor yang berada di luar kawasan rumah. Dia sudah bersih dan menyediakan kemudahan seperti sebuah bilik sewa.  Semoga ayahnya selesa. Hanya sementara sahaja ayahnya akan tinggal di situ.  Kebetulan hari ini ibu dan adiknya pergi ke rumah abang ibunya di Segamat.  Mereka akan bermalam di sana selama tiga hari.  Bolehlah ayahnya tinggal selesa tanpa gangguan sehari dua ini.
            “Ini bilik ayah.  Ayah tak bolehlah tinggal di dalam rumah.  Ayah dan ibukan dah bercerai?” kata Zakuan mengingatkan. 
            Malek menunduk seketika. Memikirkan hal tersebut membuatkan hatinya sebak dan sakit.  Khilaf dirinya meragut kebahagian  bersama keluarganya. Dia memandang wajah Zakuan yang sibuk membuka tingkap bilik tersebut. Bilik stor yang dijadikan bilik untuknya.
            “Wan, terima kasih.  Tidak sepatutnya ayah dilayan seperti ini, setelah apa yang telah ayah lakukan.  Maafkan ayah,”  ucap Malek.  Dia sudah tua untuk menjadi manusia kejam seperti dahulu. 25 tahun terkurung, terasa peritnya.  Kealpaan dan kejahilan menghancurkan seluruh hidupnya.  Dia masih bernasib baik kerana Zakuan masih sudi menziarahi dan menerimanya kembali.
            “Tak perlulah ayah cakap macam tu. Wankan anak ayah. Buruk macam mana pun ayah, ayah tetap ayah Wan,  dunia dan akhirat.  Darah yang mengalir di tubuh ini, adalah darah ayah,:  ujar Zakuan.  Siapa yang tidak malu digelar sebagai anak perompak dan perogol.  Siapa yang tidak malu setiap hari dicerca dan dicaci oleh jiran sekeliling.  Nasihat daripada guru kaunseling dan ustaz di sekolah   membuatkan dia tidak menyimpan dendam terhadap lelaki itu. Biarlah, yang lepas jangan dikenang.
            “Wan!” Malek mengeluh kesal. Terasa malu dengan anak sendiri.  Sepatutnya orang sepertinya dibuang terus dari keluarga.  Ini tidak, anaknya yang seorang ini, bersungguh-sungguh mengambil berat akan dirinya. Bertambah rasa bersalah di hati.
            “Mak dan adik kau  mana?” tanya Malek, sejak dia sampai tadi, bayang bekas isteri dan anak bongsunya tidak kelihatan.
            “Mereka ke rumah pak ngah, ada kenduri.  Lusa baru balik,” terang Zakuan.
            “Cantik bilik ayah, terima kasih Wan.” Malek memandang keadaan dalam bilik yang besarnya 12 kaki x 12 kaki, agak luas.  Ada sebuah katil bujang, almari baju dua pintu.  Rak buku, kusyen panjang, meja empat segi dengan dua kerusi. Ada juga televisyen dan ruang untuk dia membancuh air untuk minum sendiri. Peti sejuk kecil.  Cukup lengkap.  Bilik air juga disediakan di dalam bilik tersebut.  Apa lagi yang dia inginkan lagi.
            “Biasa saja ayah.  Wan nak ayah selesa tinggal di sini. Nanti Wan tanyakan kawan-kawan jika ada kerja kosong yang sesuai dengan ayah.  Taklah ayah bosan duduk rumah.  Lagipun ayah bukan tua sangat untuk tidak bekerja, kan?” 
            “Wan, terima kasih banyak-banyak.  Ayah sudah menyusahkan Wan pula.” Terasa malu sendiri. Sejak anaknya itu lahir, tidak pernah dia ambil tahu akan kisah keadaan anaknya itu. Dibiarkan bekas isterinya menguruskan segalanya.  Dia hanya tahu berfoya-foya di luar dan langsung tidak mengambil tahu urusan keluarganya.  Dia menjadi lelaki yang tidak bertanggungjawab.
            “Ayah, Wan harap kali ini ayah benar-benar insaf. Janji dengan Wan, ayah takkan kembali pada kawan-kawan ayah, buat kerja terkutuk itu,”  pinta Zakuan dengan penuh mengharap. 
            “Insya-ALLAH, Wan.  Ayah harap Wan boleh bantu  dan bimbing ayah, ya. ”  Malek memandang jauh ke dalam mata anak sulongnya itu.  Bagaimana pula wajah anak bongsunya?  Hanya gambar yang ditatap sebelum ini, itu pun dibawa oleh Zakuan waktu melawatnya.
            Zakuan mengangguk perlahan.  Wajah ayahnya yang telah dimamah usia masih segak seperti dahulu, tidak banyak berubah.  Semoga ayahnya benar-benar telah insaf dan ingin memulakan hidup baharu. 
            Dia sudah bersedia menunggu kepulangan ibu dan adiknya.  Pasti akan timbul sengketa, dia akan cuba pertahankan selagi mampu. Ayahnya perlu diberi ruang dan peluang.  Manusia tidak sempurna, jika kejahilan terdahulu mendekati diri, sudah tentu kejahatan yang dicari.  Dia beruntung, biar kepayahan yang bertandang, ibunya tidak pernah alpa memberi pelajaran dunia dan akhirat.  Itu sebab, adik dan dirinya terdidik dengan baik, tahu menghormati orang lain apatah lagi ayah sendiri.  Dia tidak mampu membuang perasaan marah ibu terhadap ayahnya.  Itu urusan mereka berdua, biarlah mereka yang selesaikannya. Ayah kena yakinkan ibu bahawasanya dia sudah benar-benar berubah.  Tidak akan kembali lagi ke dunia jenayah.  25 tahun banyak mengajar ayahnya erti hidup yang sebenar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan