AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 28 August 2016

JALAN PULANG - BAB 6 - ASMAH HASHIM

                                                             (Karya saya yang bakal terbit )



Memandang jauh ke hadapan. Mimbar masjid yang sudah berusia puluhan tahun masih utuh dan teguh.  Masjid Kampung Seberang masih teguh berdiri.  Mungkin lebih tua dari usianya. Dia baharu selesai melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid. Itulah yang telah dipelajarinya waktu di dalam penjara.  Sementara menunggu waktu Isyak, dia membaca semuka dua ayat-ayat al-Quran, itupun dipelajari sewaktu di penjara.  Penjara banyak mengajarnya tentang hidup sebenar seorang manusia. Tanggungjawab sebagai seorang hamba ALLAH swt
            Air mata insaf mengalir perlahan, cepat-cepat disapu dengan jari-jemarinya.  ALLAH, ucapnya.  Semoga taubatnya diterima oleh Yang Esa.  Tidak pernah culas berdoa agar imannya diperteguhkan.  Dia tidak mahu lagi kembali ke jalan yang dahulu, jalan kejahilan yang telah menghancurkan seluruh hidupnya.  Dia kehilangan keluarganya akibat kejahilan diri sendiri.
            Tidak henti-henti dia berdoa.  Biarlah dia menjadi hamba ALLAH yang benar-benar bertakwa.  25 tahun menjadi penghuni penjara telah banyak mengajarnya tentang erti kehidupan yang sebenar.  Tiada jalan yang lebih baik dari jalan menuju redha ILAHI.  Itulah  harapannya kini.  Dia mengeluh berat.  Mata-mata yang memandang, tidak dihiraukan.  Mereka ada mata, mereka ada mulut dan mereka ada telinga.  Biarlah mereka hendak berkata.  Tidak menjadi kudis kepadanya.
            “Assalamualaikum,” sapa seorang lelaki yang berjubah dan berserban. Kejernihan wajahnya terpancar, menyenangkan mata yang memandang.  Senyumannya begitu menyejuk hati. Penampilannya begitu meyakinkan. 
            Pantas Malek bingkas bangun dan mencium tangan lelaki itu.
            “Bila engkau balik?” tanya lelaki itu lembut seraya menepuk bahu Malek beberapa kali.
            “Baru lagi pak su,”  balas Malek.
            “Alhamdulillah...” ucap Haji Shauki.
            Haji Shauki mengangguk-angguk.  Dia mengurut-urut janggutnya yang memutih. 
            Azan Isyak berkumandang.  Memanggil hamba-hamba ALLAH untuk bersujud kepadaNYA.  Tidak dijadikan manusia jika tidak hanya untuk menyembah dan bersujud kepadaNYA semata-mata.
            “Usai solat nanti kita bolehlah berbual panjang. Hari ini tidak ada kuliah,”  cadang Haji Shauki.
            “Baik pak su,”  ujar Malek.
            Haji Shauki melangkah menuju ke saf depan sambil menarik tangan Malek mengikutnya.
            Teragak-agak Malek ingin mengikut apatah lagi pandangan mata yang merenungnya.  Dia berasa kurang selesa.
            “Biarlah saya duduk di belakang,”  tolak Malek lembut.
            “Kenapa? Bukankah saf pertama lebih afdal,”  kata Haji Shauki.
            “Usah difikirkan pandangan mata manusia. Bukankah pandangan dari mata ALLAH itu lebih bermakna?”  jelas Haji Shauki lagi.
            Malek menunduk malu.  Akhirnya  dia akur. Biarlah mata itu memandang. Biarlah mereka hendak kata apa, dia ke masjid bukan minta perhatian atau hendak jadi public figure. Dia ke masjid kerana hendak bersolat lima waktu, mengabdikan diri kepada ALLAH semata-mata.
            Sambil menikmati teh susu panas di kedai milik masjid yang disewakan, mereka berdua berbual mesra.  Sudah terlalu lama tidak berjumpa, tentu panjang isi cerita.
            “25 tahun Malek, lamakan?”  Haji Shauki memandang wajah anak saudaranya itu dengan mata berkaca.
            Malek hanya mengangguk.
            “Malek, kau  anak saudara aku.  Aku harap kali ini,engkau benar-benar ingin berubah.  Tidak usahlah buat kerja terkutuk itu.  Umur kita sudah semakin tua, menunggu hari dan waktu untuk ke kubur sahaja,”  nasihat Haji Shauki.
            “Insya-ALLAH pak su,” janji Malek, terasa malu dengan bapa saudaranya yang telah menjadi imam di masjid kampung itu sejak sekian lama. Masih bernyawa lagi orang tua ini, tubuhnya masih tegap, jalannya tidak pincang, matanya tidak kabur dan pendengarannya masih baik.  Insan yang terisi masanya dengan beramal dan berdakwah di jalan ALLAH. Adik arwah ayahnya.
            “Pak su ada cadangan, itupun kalau kau setuju.” Haji Shauki tersenyum nipis. Mendengar kepulangan anak saudaranya itu, dalam kepala sudah ada rancangan untuk Malek.  Biarlah orang kampung kata apapun.  Dia tidak akan membiarkan anak arwah abangnya itu berterusan bergelumang dengan noda dan dosa.  Waktu Malek masih muda belia, bukan dia tidak menasihatinya, tetapi jiwa orang muda, mendengar nasihat bagaikan leteran di telinganya.
            Malek khusyuk mendengar bicara pak sunya.  Sesekali dia ketawa. Sesekali dia mengerutkan dahi.  Banyak sungguh idea pak sunya untuk penduduk kampung itu.  Mampukah dia melakukannya? Adakah anak-anak muda kampung ini yang ingin mengikutnya?
            “Bagaimana?”  Haji Shauki memandang wajah Malek minta kepastian dan juga pandangan.
            “Bagus rancangan pak su, tapi layak ke saya untuk memimpin anak-anak muda kampung ini?”  Malek kurang yakin.  Dia tidak layak dijadilan role model untuk anak-anak muda di kampungnya itu. Masih ramai yang sesuai dan layak.
            “Pak su tahu apa yang pak su buat,  Malek jangan risau.  Malek memang layak,” kata Haji Shauki penuh yakin.
            Malek meraup mukanya dengan kedua belah tangan.  Tinggi sungguh harapan orang tua itu.  Berat hatinya hendak menolak atau menerima.  Serba salah jadinya.
            “Minggu hadapan ada mesyuarat Persatuan Belia Kampung Seberang.  Mesyuarat agung, pak su nak Malek hadirkan diri,” pinta Haji Shauki penuh mengharap.
            “Tapi pak su?”  Malek masih teragak-agak. Bimbang memikirkan reaksi anak-anak muda dan penduduk kampung itu. Mahukah mereka menerima dirinya?
            “Saya ini bekas banduan, bekas penjenayah, penyamun dan perompak, mahukah mereka menerima kehadiran saya pak su?” Pertimbangan biarlah bertempat.  Kenapa tidak dicari orang yang layak menerajui persatuan belia di kampung itu.  Dia bukan belia lagi, sudah separuh abad umurnya. 
            “Sebab engkau bekas banduanlah pak su ambil. Biar budak-budak yang kurang asam di kampung kita ini takut sikit.  Jangan hampakan pak su. Engkau  tinggal di tapak rumah arwah ayah?  Engkau   tinggal sekalikah dengan mereka?” tanya Haji Shauki.
            “Saya tinggal di stor tepi rumah pusaka itu, pak su,”  terang Malek.  Dia diajak oleh anak sulongnya, jika tidak dia akan merantau jauh dari kampung itu. Biarlah dia cari tempat yang orang tidak mengenalinya, bolehlah dia memulakan hidup baharu.
            “Malek… banyak perkara berlaku dengan keluarga engkau. Penghinaan yang mereka terima menghiris hati kami.  Tapi apa daya kami?  Kesilapan engkau membuatkan hidup mereka bagaikan neraka di sini.  Pak su suruh mereka pindah tetapi mereka tidak mahu, sabar sungguh bekas isterimu itu,” cerita Haji Shauki tentang keluarga anak saudaranya itu.  Inilah akibat yang terpaksa mereka bayar jika berbuat jahat dan melakukan jenayah.
            “Saya tahu pak su.  Insya-ALLAH saya takkan kembali ke jalan yang penuh noda dan dosa itu,”  janji Malek.  Hiba hatinya mendengar cerita bapa saudaranya itu.  Padanlah bekas isterinya begitu marah dengannya.  Nasib baik, anak sulongnya sudi menerima kehadirannya. Waktu di dalam penjara, rajin datang menziarahinya.  Hatinya benar-benar tersentuh.
            “Tentang perancangan pak su itu. Jangan hampakan pak su ya?  Kita sama-sama bangunkan persatuan belia di kampung ini.  Kita cegah kemungkaran yang ada.  Pak su percaya, dengan pengalaman engkau yang lalu, engkau pasti mampu mengekang masalah remaja di kampung ini,”  ujar Haji Shauki.  Dia tahu anak buahnya itu mampu menjadi pemimpin kepada para belia di kampung ini. Biarpun usianya sudah 50-an, itu bukan ukuran.  Pengalaman,   itu yang penting.
           

No comments:

Post a Comment