AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 3 January 2018

MANGSA





Sekujur tubuh kecil berlumuran darah bersaiz sebesar tapak tangan dengan tali pusat yang masih melingkar di tubuhnya sudah dikeluarkan dari rahim seorang ibu muda yang tidak mahu menerima kehadiran janin itu.  Usia di dalam rahim yang baru mencecah enam bulan, namun sudah cukup sifatnya tapi dibunuh tanpa sempat melihat alam ini.
            Sekeping kertas surat khabar sudah bersedia menunggu untuk membalut tubuh janin yang masih kecil itu.  Sepantas kilat janin itu terus dibungkus kemas, lalu dibawa ke belakang rumah untuk disemadikan.  Tiada kain kafan, tidak juga dimandikan. Dicampak ke dalam lubang yang suda siap digali.  Kedalamannya hanya cukup untuk menimbus janin itu, sekadar menutup agar tidak berbau.  Tangan tuanya pantas menutup lubang sehingga tertutup semuanya, langsung tidak ada sedikit pun belas ehsan di hatinya.  Tidak ubah seperti menanam bangkai binatang yang sudah tidak bernyawa lagi.
            Kawasan di belakang rumahnya dipagari semak-samun, mampu menutup semua kegiatan yang berlaku di belakang rumah itu.  Di situlah dia menguburkan janin-janin yang digugurkannya. Tiada siapa yang mengetahuinya hatta saudara maranya sendiri.  Pandai buat, pandailah simpan. Jangan sampai tembelangnya pecah.  Sikapnya yang  suka menyendiri dan kurang bergaul dengan orang lain membuatkan tiada siapa yang tahu akan kerja-kerja gila yang dilakukannya.  Sejak berkahwin dengan arwah suaminya, dia hanya duduk diam di dalam rumah. Membantu suaminya mengubat orang, suaminya jugalah yang mengajar di acara menggugurkan kandungan, dan pekerjaan itu dilakukan sehingga sekarang.  Dahulu, arwah suaminya yang menggali lubang bagi menanam janin-janin yang digugurkan. Kini, terpaksalah dia melakukannya sendiri. 
            Dalam kepekatan malam dengan disimbahi lampu mentol bulat yang terpasang di bahagian belakang rumah, Mak Temah menyambung tugasnya dengan menanam seperdu daun pandan.  Tempat yang ditanam janin tadi ditutup dengan peru daun pandan tadi.  Dia menarik nafas lega.  Suara  perempuan mengerang kesakitan di sebalik dinding rumah terasa begitu merimaskan.  Selalunya, selepas sahaja menggugurkan kandungan, pelanggannya akan pulang terus, tetapi tidak dengan kes hari ini.
             Orang yang membawa perempuan itu memintanya membenarkan perempuan itu bermalam di rumahnya.  Mahu atau tidak terpaksalah dia bersetuju lantaran jumlah wang yang dibayar kepadanya cukup lumayan.  Panas berbahang hatinya, suara itu begitu menyeksakan jiwanya.  Biarpun rumahnya jauh dari rumah penduduk kampung yang lain namun dengan kesunyian  malam tidak mustahil suara itu mampu didengari oleh penduduk yang berhampiran atau mereka yang lalu di hadapan rumahnya.
            Tubuhnya yang sedikit berisi kerana faktor usia tidak mampu melangkah laju.  Suara itu terus kedengaran.  Mak Temah mengeluh geram.  Baju dan kain sarongnya yang dikotori darah dan tanah harus diganti dengan baju dan kain yang lebih bersih.  Dia melangkah ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Bau hamis darah terasa memualkan tekak.  Usai menguruskan diri sendiri, dia kembali ke dalam bilik yang menempatkan perempuan yang mengerang kesakitan itu.  Pintu bilik yang tertutup rapat ditolak dengan kasar, berdentm terkena dinding rumah.  Matanya menikam tajam wajah pesakit yang masih mengerang kesakitan itu.
            "Diamlah! Waktu kau berseronok, tak tahulah sakit? Sedapkan?  Sekarang baru kau tahu untung nasib kau!  Tak tahu langsung nak jaga maruah sendiri.  Kau ingat, lelaki suka perempuan murahan seperti kau untuk dibuat bini?  Murah bermaksud, tidur dengan dia sebelum kau sah menjadi isterinya!” marah Mak Temah.  Nasib baik dia tidak dikurniakan seorang anak pun. Kalau dia ada anak, agaknya pening kepala memikirkan perangan lepas bebas anak-anaknya. 
            “Sakit Mak  Temah!” tangis gadis itu, sambil tangannya menekan ari-ari menahan sakit. Darah masih mengalir keluar dari celah kelangkangnya.  Habis basah tilam tempat dia berbaring tadi.
            “Pakailah pad!” jerit Mak Temah geram.  Habis kotor bilik tersebut.  Biarpun rumahnya tidak sebersih mana tetapi tidaklah dikotori dengan bau darah yang hanyir dan busuk itu.  Kembang kempis hidungnya menahan rasa loya dan bau hanyir darah.
            “Tak larat nak bangun Mak Temah, rasa nak gugur rahim saya ni,”  adu gadis itu, air mata sudah merembas keluar.  Dia sudah teresak-esak menahan sakit.
            “Makan ubat ni!” Mak Temah memberi dua biji pil ubat tahan sakit.
            Gadis itu mengambilnya dengan tangan terketar-ketar menahan rasa bisa di seluruh tubuhnya.  Berdenyut terasa di kemaluannya.   Darah masih lagi mengalir.  Bibirnya pucat menahan kesakitan yang amat sangat.
            Mak Temah menyumbat kain di celah kelangkang gadis itu.  Tidak mahu darah terus mengalir.  Tekaknya terasa meloya, ditahan nafas agar tidak termuntah di situ juga.
            “Mak Temah, bawa saya ke hospital! Tak tahan sangat ni,” rayu gadis itu. Wajah Mak Temah yang masak mencuka dipandang memohon simpati. 
            “Kau gila! Nanti satu kampung tahu, aku gugurkan anak haram!” Mak Temah mendengus kasar.  Tidak mungkin dia melakukannya.  Dia belum cukup bodoh untuk menyerah tengkuknya pada pihak berkuasa.  Ingat senang, jika dia ke hospital atau mana-mana klinik, pasti doktor akan tahu, gadis itu baru sahaja menggugurkan bayi.  Silap haribulan dia yang akan ke lokap.  Memang cari nahaslah.
            “Mak Temah, tolonglah!” rayu gadis itu sambil memegang lengan Mak Temah.
            “Hey, sebelum aku nak gugurkan kandungan kau, aku dah beritahu bahayanya menggugurkan kandungan dua bulan ke atas.  Kau degil!  Pandai buat, pandailah simpan!  Sendiri cari masalah, kenapa nak menyusahkan aku!”  marah Mak Temah.  Peduli apa dia dengan masalah atau kesakitan yang dialami. Dia sudah memberi amaran kesan menggugurkan kandungan yang sudah melebihi dua bulan ke atas.  Keadaan janin yang sudah besar menyukarkan untuk bidan kampung seperti dia melakukannya.  Dia bukannya pakar, dia belajar menggugurkan kandungan pun daripada arwah suaminya yang merupakan seorang bomoh.
            Gadis itu terus menangis, dahinya berkerut. Mukanya pucat  lesi.  Kain sarongnya dipenuhi  darah. Dia menekan perut dengan tangannya, semakin lama, semakin sakit.
            “Bawalah tidur! Hari dah jauh malam.  Esok ajelah aku fikirkan bagaimana nak selesaikan masalah kau. Badan aku dah cukup letih hari ini. Biarlah aku berehat,” kata Mak Temah.  Dia melangkah keluar dan menuju ke biliknya.  Dengan usia yang menjangkau usia emas, tubuhnya tidak begitu kuat lagi.  Hendak mencangkul seperti dahulu, sudah tidak berdaya lagi. Perlahan-lahan dia melakukannya.  Asalkan kerjanya selesai, usai dikira lambat atau cepat dia melakukannya.
            Mak Temah merebahkan tubuh di atas tilam.  Dia cuba melelapkan mata,  Keletihan benar-benar terasa. Sakit habis seluruh anggota.  Esok sahajalah dia membersihkan bilik sebelah yang berbau hanyir darah.  Suara gadis itu masih kedengaran sayup-sayup di cuping telinganya.  Masih tidak tidur lagi! Bisik hati kecilnya. Memang menyusahkan! Kalau didengari oleh penduduk kampung, mampus dia! 
            “Hoi! Diamlah!” Mak Temah mengetuk dinding yang memisahkan biliknya dan bilik sebelah.  Tidak mampu melelapkan mata lantaran suara gadis itu terasa mengganggu tidurnya.  Dia menekup bantal di telinga.  Bising! Omelnya sendiri.  Perlahan-lahan dia mengangkat bantal yang menutup telinganya.  Suara gadis itu sudah senyap.  Mak Temah menarik nafas lega.  Tidur juga akhirnya, bisiknya lagi.  Dia tersenyum sinis.  Duit upah menggugurkan kandungan gadis itu sudah diperolehi sebaik sahaja gadis itu menjejakkan kaki di rumah itu.  Dia tersenyum puas.  Bukan sikit upah yang diperolehi hari ini.
            Entah siapa gadis itu?  Anak siapa? Dia tidak pernah ambil tahu, jauh sekali hendak menasihati.  Diri sendiri melakukan dosa, pandai-pandai hendak nasihatkan orang lain. Memang tidaklah.  Dosa sendiri tidak tertanggung olehnya.  Bukan tidak berasa bersalah, diakan manusia. Bukannya kejam sangat. Tetapi tuntutan dan keperluan hidup membuatkan dia senang melakukan kerja tersebut. Matanya terus terpejam dengan angan yang panjang.

No comments:

Post a Comment