Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 9 Januari 2018

MANGSA - BAB 4



Dia memandang kiri dan kanan. Matanya liar memerhati.  Seperti orang bersalah yang baharu sahaja melakukan  jenayah.  Dia menarik keluar beg plastik  yang telah diisi dengan mayat seorang perempuan muda yang sudah dikerat-kerat tubuhnya.  Biarpun hatinya diamuk rasa bersalah, kecewa dan hampa, namun dia terpaksa menyelesaikan masalah yang telah dilakukannya sendiri. Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku. Ini semua kerana bidan  tidak berguna itu. Hatinya membara mengingati apa yang berlaku.  Hanya terlambat beberapa jam, segalanya berantakan.
            Dia mengeluarkan kotak itu dan meletakkannya dianjung sebuah rumah kayu.  Langkahnya diatur mendekati pintu rumah dan mengetuknya perlahan. Biarpun rumah itu jauh dari rumah-rumah lain, dia perlu juga berhati-hati. Tidak mahu orang tahu kehadirannya di situ.  Bau haruman bunga kemboja mengamit hidungnya. Ada orang menggelarkan bunga kubur.  Dia memang berada di kawasan perkuburan.  Rumah penggali kubur tempat dituju.
            Daun pintu terbuka luas setelah beberapa kali dia mengetuk. Muncul seorang lelaki yang bertubuh sasa memandang tepat ke arahnya.
            “Kau nak apa?” tanya lelaki itu sambil menutup pintu rumah.  Mereka berdua berdiri  di anjung rumah saling berhadapan.
            “Aku nak kau kuburkan benda ini sehingga selesai. Ini duitnya.  Jangan sampai ada orang tahu, biarlah rahsia antara kita berdua,” kata lelaki yang mendatang tadi.
            “Apa bendanya ini?”  penggali kubur menjengah ke dalam kotak, dia mengundur ke belakang beberapa langkah. Terkejut melihat keadaan mayat yang ada di dalam kotak itu.
            “Kau yang buat?” soal penggali kubur dengan wajah cuak.
            “Bukan aku! Ada kesilapan sikit! Aku mohon pertolongan kau!” kata lelaki itu lagi.
            Penggali kubur terdiam seketika. Liang lahat memang sudah siap digali.  Takkan mayat itu tidak dimandi dan dikafankan?  Siapa yang  hendak melakukannya? Melihat keadaan mayat itu sudah cukup mengerikan. Belum pernah lagi dia berjumpa dengan mayat seperti itu sepanjang dia menjadi penggali kubur. Ini sudah menjadi kes jenayah.
            “Janganlah teragak-agak. Kalau kau buat cepat, semua masalah selesai. Orang takkan tahu,” pujuk lelaki itu. Matanya liar memandang kiri dan kanan. Bimbang tetap terbit di hati. 
            “Kau memang dah gila! Siapa perempuan ini?”  Penggali kubur menarik sedikit ruang di dalam kotak itu dan melihat wajah mayat itu.
            “Kau tidak perlu tahu!” kata lelaki itu tegas.
            “Macam aku kenal aje wajah ini,”  ujar penggali kubur itu. Kepalanya didongakkan memandang lelaki yang masih berdiri di hadapannya.
            “Buat aje kerja kau! Aku bayar!” kata lelaki itu tegas.  Dia mengeluarkan sejumlah duit dari poketnya.  Diserahkan kepada penggali kubur. Duit itu bertukar tangan.
            “Banyak duit kau?  Sejak bila jadi kaya?” soal penggali kubur yang sudah berdiri semula.
            “Itu bukan urusan kau!”  marah lelaki itu, tidak senang dengan penilaian penggali kubur itu terhadap dirinya.
            Penggali kubur itu menggira jumlah duit yang ada.  Dia tersenyum sinis.     Mungkin habis sebulan gaji lelaki itu.  Dia menggeleng laju.  Kotak yang berisi mayat itu dipandang seketika. Kemudian memandang semula wajah lelaki yang berdiri di hadapannya.  Lelaki itu kelihatan resah.  Penggali kubur tersenyum sinis.  Belum pernah lagi perkara ini berlaku, dia sudah lama menggenali lelaki itu.  Apakah dendam kesumat masih tebal di hati lekaki itu?  Penggali kubur itu mengeluh berat.
            “Kau buat kerja yang salah! Kalau rahsia ini terbongkar, kau akan terima padahnya!” nasihat penggali kubur.  Dia mengeluh lagi. Kesal dengan apa yang berlaku.
            “Kau tak perlu ajar aku! Kau buat aje apa yang aku suruh!” tempelak lelaki itu.
            “Kalau orang kampung tahu, aku juga terpalit sama!”  kata penggali kubur itu dengan tegas.
            “Kau buat kerja kau sekarang juga, takkan ada sesiapa yang tahu. Letak ajelah nama siapapun kat kubur itu nanti!”
            “Kau gila tau tak! Sudahlah! Lupakan apa yang berlaku, kau dah cukup matang untuk memikirkan baik dan buruk,” nasihat penggali kubur itu lagi.
            “Kau takkan faham!” herdik lelaki itu.
            “Dendam tidak akan menyelesaikan masalah,”  ujar penggali kubur.  Mayat itu sudah berbau. Dia sudah mula kurang selesa. Jika tidak ditanam sekarang, pasti berbau satu kawasan itu. 
            “Tolong aku angkat  bungkusan  ini ke kawasan perkuburan.  Letak kat lubang yang sudah siap digali itu.  Kau memang tahu menyusahkan aku aje,” kata penggali kubur.
            “Jangan berleter, boleh tak?”  marah lelaki itu. Dia membantu penggali kubur itu mengangkat kotak yang berisi mayat ke tanah perkuburan yang terletak beberapa meter dari rumah kawannya itu.
            “Aku kawan kau, aku tak nak berlaku perkara yang tak baik pada kau,” ucap penggali kubur.
            “Bukan aku yang bunuh dialah!”  kata lelaki itu kasar.  Itulah hakikatnya.  Bukan dia yang membunuh, bidan kampung itu yang membunuh perempuan itu.  Kalau dibiarkan mayat itu di kawasan tersebut, pasti gempar keluarganya nanti. Dia berharap tiada siapa yang tahu. 
            Tanpa dimandi dan dikafankan, mayat tersebut terus dicampakkan ke dalam liang lahad yang sudah siap bergali.  Tanah terus ditimbus. Penggali kubur mengambil seketul  batu sungai dan menanda kubur tersebut.
            “Aku balik dulu.”  Lelaki itu ingin melangkah pergi.
            “Hentikan semua dendam yang ada di hati kau, mereka tak bersalah,” pujuk penggali kubur.
            Lelaki itu hanya memandang kosong wajah penggali kubur itu. Dia melangkah laju menuju ke keretanya. Dia memeriksa kenderannya, takut ada kesan darah yang ditinggalkan.  Dengan tangan terketar, dia memandu laju pulang ke rumah.  Menarik nafas sedalam-dalamnya, melepaskannya  perlahan-lahan. Menahan rasa debar di hati.  Menuang rasa kesal di jiwa. Dia menyaling pakaian. Bajunya ada kesan darah.  Baju yang dipakai tadi, dibuang ke dalam sungai berhampiran, begitu juga dengan pedang samurai yang digunakan untuk membunuh bidan bodoh itu.  Setelah memastikan tiada sebarang kesan yang ditinggalkan, dia terus memandu pulang ke rumah.  Cuba menenangkan hatinya yang sedang berkecamuk itu.  Masih terbayang wajah perempuan yang telah dikerat-kerat itu.  Dia meraup muka dengan kedua belah tangannya.  Kereta dipandu bergerak dengan kelajuan yang dibenarkan.  Dia ingin segera sampai rumah dan merehatkan diri. Kepalanya juga sudah mula berdenyut.  Dalam hati dia berdoa, agar tiada siapa yang tahu.    Dia menarik nafas lega kerana seegalanya sudah selesai.  Dia tersenyum sinis.   Senyuman tanda kemenangan yang menyebelahi dirinya. Telefon bimbit yang disimpan dalam plastik dicampak buang keluar dari keretanya,  Milik  gadis yang terbunuh tadi.  Deringan masuk tidak dipedulikan. Terpapar nama seseorang.  Semakin lebar senyumannya. Terasa ketawanya juga akan meledak keluar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan