Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 8 Januari 2018

MANGSA - BAB 3



 Bunyi enjin motosikal memecah kesunyian pagi yang bening itu.  Kedinginan pagi di Kampung Kasturi membuatkan sesiapa sahaja yang masih melengkar di atas katil tidak mahu bangun lagi.  Harun menongkat motosikalnya di luar pagar rumah emak saudaranya.  Dia menolak pintu pagar yang tidak pernah berkunci itu. Dia bersiul-siul riang.  Bukan hatinya yang riang, tetapi menghilangkan rasa gugupnya setiap kali ke rumah itu.  Dia berasakan ada mata-mata yang memandang dan memerhatikan gerak-gerinya.  Bukan dia takut dengan hantu. Mana ada hantu?  Syaitan dan iblis yang menyerupai hantu adalah agaknya.  Hairan dia dengan manusia yang suka mencari hantu di rumah-rumah kosong.  Sudah tertulis di dalam al-Quran, alam yang dihuni oleh Jin dan syaitan itu sememangnya wujud.  Hanya manusia sahaja yang tidak mampu melihatnya.  Kalau terjumpa juga, susahlah dia hendak menekanya, makhluk apakah itu?
            Kawasan laman rumah itu dipenuhi dengan semak dan samun,  Sudah seperti berada di dalam hutan kecil pula.  Harun menggeleng kesal.  Kenapalah tidak diupah orang membersihkan kawasan itu, cantiklah sikit.  Rumah sudahlah seperti rumah tinggal.  Ditambah dengan kawasan semak begitu.  Siapa pun tidak berani datang kecuali dia dan ayahnya. 
            Harun mengerutkan dahi, hidungnya pula mula bekerja, bau yang kurang enak menerma hadir setelah dibawa angin. Bau apa agaknya? Busuk betul.
            “Busuknya?  Mak su Temah bela bangkai binatang ke?” bebel Harun seorang diri.  Dia mengeluh. Langkahnya semakin laju. Semakin dekat dengan pintu rumah, semakin kuat baunya.  Dia menutup hidungnya dengan telapak tangan.  Geli geleman menahan rasa meloya yang bermain-main di tekak. 
            Harun kehairanan, pintu rumah terbuka luas.  Dia melajukan langkahnya lagi.  Sebaik tiba di hadapan pintu rumah, Harun berhenti melangkah.  Beras yang berada di dalam pelukannya menggelungsur jatuh, nasib baik dia sempat mengelak, kalau tidak tentu menimpa kakinya.  Biarpun tidak seberat mana, tetapi berasa sakit juga.  Barang-barang yang lain terlepas dari tangannya.  Berlari dia mendaki anak tangga. 
            “Ya Allah! Mak su!” Jeritnya. Dia terjelepok di lantai. Terketar tangannya melihat keadaan mak sunya yang sudah tidak bernyawa lagi itu.  Harun memandang kiri dan kanan, tiada sesiapa.  Rumah itu dipenuhi dengan darah. Busuk, hamis dan  hanyir baunya.  Hampir menitis air matanya melihat keadaan emak saudaranya itu.  Walaupun kurang mesra antara mereka, tetapi Mak Temah adalah adik bongsu ayahnya. Siapa yang melakukan kerja terkutuk ini?  Harun menggeleng kesal.  Hiba hatinya melihat keadaan  emak saudaranya yang luka parah dikelar dan ditetak.
            Harun mengetap bibir.  Dia turun perlahan-lahan, berlari sekuat hatinya menuju ke arah  motosikalnya. Sepantas kilat dia menghidupkan enjin dan memecut laju meninggalkan kawasan itu. Ayahnya perlu diberitahu segera.  Air mata kesayuan berjujuran mengalir.  Terasa kehilang seorang ahli keluarga.  Benar-benar dia berasakan.  Hatinya masih dipagut rasa kehairanan. Apa yang berlaku dan siapa yang melakukan, bersoal jawab di mindanya.
            “Ayah!Ayah!” laung Harun dari atas motosikalnya lagi. Dia menungkat motosikalnya dan berlari menaiki anak tangga  terus ke dalam rumah. 
            “Kenapa dengan kau ni Harun? Macam tersampuk hantu aje?” tegur Haji Manaf kehairanan.  Wajah pucat Harun menjadi santapan matanya.
            “Mak su! Mak su, ayah!” tergagap-gagap Harun menuturkannya.  Seram sejuk tubuhnya. Terasa lemah di sana sini.
            “Kenapa dengan mak su? Dia sakit ke?” Haji Manaf masih memandang wajah Harun yang basah dengan air mata. Menangis kenapa?  Kehairanan menerjah dalam diri.
            “Mak su dah tak ada” jerit Harun.
            “Kau jangan bergurau dengan ayah? Mak su kau ke mana pula?”  Haji Manaf tidak faham maksud kata-kata anak sulongnya itu.
            “Mak su dah meninggallah ayah!” kata Harun dengan nada sedih.
            “Mak su kau dah meninggal?”  Haji Manaf benar-benar terkejut.  Dia cepat-cepat beristighfar, ajal maut ketentuan Ilahi, tidak ada yang mustahil.  Jika sudah ditakdirkan ajal menjemput tidak ada siapa yang mampu menghalang.
            “Jomlah ayah! Buat apa tercegat  lagi?”  Harun menarik tangan Haji Manaf. 
            “Yalah!”  Haji Manaf terkocoh-kocoh mengambil kopiah dan kunci kereta. Hampir berlari mereka berdua. Hati siapa yang tidak risau jika ahli keluarga sendiri yang meninggal.  Pelbagai perkara bermain di fikiran Haji Manaf.  Sukar juga untuk menerima berita tersebut. Namun dia reda.  Mungkin sudah sampai ajal adik bongsunya itu.  Mereka Cuma tiga beradik. Dia anak yang sulong, adik keduanya sudah lama meninggal kerana sakit jantung.  Kini, hanya tinggal dia sendiri.  Tiada lagi adik-beradik yang lain. Hiba mencucuk dalam hati. Meragut rasa tenang sekian lama bersandar di hati.
            Tidak sampai lima minit mereka sudah sampai di hadapan kawasan rumah Mak Temah.  Tanpa berlengah mereka berlari-lari anak menuju ke rumah arwah.  Haji Manaf bergegas menaiki anak tangga.  Alangkah terkejutnya dia melihat keadaan arwah Mak Temah.
            “Ya Allah! Adik… apa dah jadi ni?” raung Haji Manaf.  Pilu hatinya melihat keadaan jenazah arwah yang berlumuran darah.
            “Sabar ayah!” pujuk Harun.  Dia sendiri masih berasa sedih dan pilu.
            Haji Manaf memeluk erat tubuh arwah Mak Temah, tidak ada sedikit pun berasa jijik atau geli melihat keadaan jenazah yang berlumuran darah.  Hatinya diragut duka.  Siapa yang tergamak membunuh adiknya itu? Dia pasti adiknya telah dibunuh, melihat keadaan mayat yang tertiarap dan luka di sana-sini
            “Ayah!” Harun menepuk bahu Haji Manaf yang meratap sambil memeluk jenazah Mak Temah.
            “Pergi panggil orang kampung.  Bantu uruskan jenazah mak su kau!” suruh Haji Manaf tanpa memandang wajah Harun. Matanya masih melekat pada wajah adiknya yang sudah tertutup rapat.
            “Bukan kita kena buat laporan polis dulu ke ayah?”  ujar Harun.  Melihat keadaan emak saudaranya itu, dia pasti arwah telah dibunuh, pasti menjadi kes polis.
            “Kalau buat laporan polis nanti jenazah arwah akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” terang Haji Manaf.  Dia tidak mahu perkara itu berlaku.
            “Tapi ayah!” Harun tidak setuju dengan keputusan ayahnya.  Kalau benarlah arwah emak saudaranya itu dibunuh, pembunuhnya perlu dicari.
            “Jangan membantah!” kata Haji manaf tegas.
            “Ayah, kita kena panggil pegawai perubatan untuk mengesahkan kematian mak su, kalau dia tengok keadaan jenazah mak su begini,  macam mana? Itukan syarat untuk mendapatkan sijil kematian?  Nanti pihak polis tahu juga!”  kata Harun.
            Haji Manaf terdiam.  Dia sendiri mahu jika pembunuh adiknya ditangkap. Tetapi memikirkan jenazah adiknya akan dibedah siasat membuatkan hatinya tidak berkenan.
            Puas bertekak juga dengan ayahnya. Akhirnya barulah Haji Manaf bersetuju laporan polis dibuat.  Apa sahaja yang ada di dalam rumah itu tidak boleh disentuh atau diusik. Mungkin boleh dijadikan bukti atau mencari siapa pembunuh mak sunya.  Wajah ayahnya yang keruh menjadi lirikan mata.  Perasaan sebak menumbuk di hati.  Lunyai rasanya dengan tangisan yang mengalir di jiwa. Tidak mahu paparkan rasa sedih di hadapan ayahnya.  Tidak mahu menambah duka di hati ayahnya yang sedang bersedih akan kematian adiknya sendiri.
            “Bantu ayah angkat jenazah mak su,   letak atas katil,”  pinta Haji Manaf.
            Harun memandang wajah ayahnya. Biar betul?  Mak sunya  boleh tahan debabnya. Mana boleh terangkat jika hanya mereka berdua. Mahu patah tulang pinggang. 
            “Kenapa?” tanya Haji Manaf.
            “Manalah Harun larat nak angkat ayah? Ayah sendiri bukannya kuat, nantilah kita minta tolong orang kampung,”  kata Harun. 
            “Ya tak ya juga.” Haji Manaf mengeluh berat.  Galau  hatinya memikirkan keadaan yang berlaku.  Simpati dan sedih bercampur baur di jiwa.  Arwah adiknya tinggal sendirian setelah kematian suaminya beberapa tahun yang lalu. Diajak tinggal bersama tidak mahu. Ingin hidup sendiri.  Dialah yang banyak membantu adiknya itu.  Pergi sudah kesayangan hati.  Biarpun adiknya itu tidaklah semanja mana dengannya. Tetap adik juga.  Tetap ada rasa kasih dan sayang. 
            Harun berlalu meninggalkan ayahnya sendirian. Dia perlu berjumpa dengan Imam masjid dan orang-orang kampung.  Sebelum itu dia akan menelefon pihak polis untuk memberitahu tentang kematian arwah mak sunya yang tragis itu.  Semoga segalanya dipermudahkan.  Urusan pengkebumian arwah boleh cepat dijalankan. Biarpun perlu dibedah siasat dan pihak polis terpaksa menjalankan siasatan, itu sema tidak menjadi masalah asalkan pembunuh arwah mak sunya dapat ditangkap. Harap-harap ada kesan cap jari pembunuh itu nanti. Macam mana dia tahu?  Erk… selalu juga tengok cerita penyiasatan di televisyen.  Harun memandu kereta ayahnya meredah keheningan siang yang dipayungi cahaya matahari terang benderang.  Semoga arwah mak sunya tenang di alam sana.  Mulutnya tidak berhenti melafazkan ayat suci al-Quran dan disedekahkan kepada arwah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan