Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 4 Disember 2012

CINTA KALUT







TAJUK                   :               CINTA KALUT
KARYA                  :               FATEN  ANUR
TERBITAN            :               NB KARA SENDIRIAN BERHAD
HARGA                 :               RM25.00

Cerita yang menarik dan sesuai untuk menjadi bacaan remaja, dewasa dan keluarga. Bahasa yang digunakan juga bagus, tidak meleret.  Cerita lain dari yang lain.  Kisah hubungan adik-beradik.  Air dicincang tidak akan putus.  Tidak  rugi membeli walaupun covernya tidak cantik ( senyum) .  Selamat membaca  dan menikmati kisah yang lari dari kepompong kahwin paksa…..
CINTA KALUT…….

RINA                      Aku tidak tahu bila cinta itu hadir dalam diri tapi apa yang pasti sejak pertama kali terpandangkan dirinya hatiku berkata, dialah lelaki pujaan hatiku.  Ah! Peduli apa jika dia suami, kakakku sendiri.  Hatiku sudah suka, aku hendak buat macam mana.  Cintakan hadirnya tanpa dipinta.  Jika melihat hati berbunga-bunga, perut terasa  ada rama-rama,  jantungku berdegup kencang apabila menatap wajahnya bukankah itu cinta namanya.   Dari cinta tiba-tiba bertukar benci. Buruk sungguh hatiku.  Aku sayang padanya tetapi sikap serakahnya membuatkan sayang bertukar benci.  Apatah lagi dia suami kakakku sendiri.  Memang aku menyintainya tetapi tidaklah sampai aku sanggup menghancurkan rumah tangga kakakku sendiri.  Tidak mungkin aku sekejam itu.  Biarlah cinta itu  kekal di hati, duduk diam kemas jauh  di lubuk hati

 Ku sangka aku tidak akan  jatuh cinta lagi.  Ku hanya beranggapan cintaku terhadap abang iparku adalah cinta sejati.  Walaupun begitu aku tidak akan sanggup menghancurkan rumah tangga darah dagingku sendiri.  Aku sendiri pasti ibu dan ayah tidak akan dapat menerima bekas menantunya menjadi suamiku.  Aku cuba beralih arah pada rakan sekerja yang boleh tahan kacaknya.  Apa yang penting tiada perempuan lain di sisinya.  Rupanya aku tersilap.  Si dia sudah mempunyai seorang anak lelaki yang sudah agak besar.  Kata bujang?  Tetapi siapakah anak itu padanya?  Tak mungkin  dia ambil anak angkat?  Mana mungkin seorang lelaki berkerjaya  hendak menyusahkan diri mengambil anak orang lain untuk di bela.  Pertemuannya dengan seorang perempuan sewaktu kami  keluar bersama membuatkan seluruh jiwa ragaku bagaikan dicucuk sembilu.  Eh! Berani-berani dia memeluk perempuan itu di hadapanku tanpa segan-silu.  Kalau sekadar kawan tidak mungkin berpeluk –pelukan.  Apakah perempuan itu ibu pada anak lelakinya?  Isterinya?  Atau bekas isteri?  Hampir sahaja cintaku terhadapnya  putus ditengah jalan.    Rupanya cemburu juga aku ini walaupun nampak macam brutal, aku senyum sendiri.    Kenapa dia tiba-tiba sepi seperti ingin menjauhkan diri dariku.  Apakah  dia akan kembali kepada perempuan yang aku lihat bersama-samanya tempuh hari.  Siapakah perempuan itu dalam hidupnya?  Apakah  itu cinta pertamanya? 

MAZLINDA          Tergamak sungguh adikku sendiri menyintai suamiku.  Sudah lupakah dia siapa diriku dan dirinya.  Sudah lupakah dia akan hubunganku dengannya tidak memungkinkan dia memiliki cinta suamiku.  Biar mati dikerat lapan belas sekali pun aku pasti cintanya dan cinta suaminya tidak akan bersatu.  Jika iya sekali pun suamiku menceraikanku untuk berkahwin dengan adikku sendiri, mahukah keluargaku menerima bekas menantu mereka menjadi menantu mereka semula.  Macam tiada perempuan lain untuk dicintai.  Bagaikan sudah pupus  lelaki di dunia ini sehingga abang ipar sendiri menjadi pujaan hati.  Aku benci adikku sendiri.  Rasanya biarlah hubunganku putus dengannya dari ku biarkan rumah tanggaku hancur di tengah jalan.  Wajah dua orang anakku, ku tenung lama.   Tergamakkah suamiku  menghancurkan hidup kami demi mengejar cinta adik iparnya sendiri.    Apa salahku sehingga diperlakukan seperti anjing di rumah sendiri.  Kenapa cinta yang sudah bertahun menjadi kunci kebahagian kami tiba-tiba hilang begitu sahaja.   Aku benci kau Rina! Jerit hatiku sendiri .  Sakit benar hatiku, tidakkah kau tahu dia suami kakak kandungmu sendiri.  Aku hanya mampu menangis kerana kebodohan suamiku kami berpisah dan tidak mungkin mampu bersama lagi.

MUKHRIZ            Siapakah  gerangan gadis manis yang baru sahaja mendaftar masuk  bekerja di sekolah tempat aku mengajar.  Cantik orangnya, manis dan bergaya, walaupun kelihatan agar kasar sedikit namun tetap ada kelembutan seorang bidadari.  Aku  tidak mahu berdiam diri, harus berterus-terang kerana dalam diam rupanya ada seorang lagi guru lelaki juga meminati gadis manis pilihan hatiku.  Tetapi ada juga yang menghalang cintaku dan cintanya bersatu.  Anak lelakiku.  Mahukah  si dia menerima kehadirannya dalam hidup kami.  Iyalah baru sahaja berkahwin denganku sudah pun mempunyai anak  yang sudah besar  dan pandai membawa diri.  Hampir sahaja cinta kami putus di tengah jalan.  Nasib baik dia mengerti dan memahami walaupun puas aku memujuk dan menerangkan perkara yang sebenar siapa perempuan yang aku peluk tanpa segan silu di hadapannya.  Kalau aku di tempatnya pasti aku juga beranggapan buruk.  Mana mungkin seorang  lelaki memeluk seorang perempuan yang tiada apa-apa hubungan dengan dirinya.   Kalau aku sendiri sudah pasti anak menjadi marah jika si dia memeluk seorang lelaki di hadapanku tanpa ku ketahui siapakah lelaki itu.  Lebih-lebih lagi aku sudah mempunyai anak.  Aku tidak marah apabila dia beranggapan negetif padaku.  Apakah aku akan bersamanya sehingga di hujung nyawaku.  Mahukan dia menerima diriku seadanya.  Ku harap cintaku dan cintanya bersatu dalam satu ikatan yang padu dan kukuh….

HAMIDI                                Kenapa cintaku beralih arah sedangkan aku sudah mempunyai seorang isteri yang cantik, menawan, manis dan bertanggungjawab.  Setia menanti ketika  aku pulang dari kerja.  Makan  minum terjaga rapi tanpa ada apa-apa kekurangan.  Apa yang ada sudah  Rina  lakukan padaku sehingga Aku juga tergila-gilakan  dirinya.  Aku   bagaikan terpukau dengan kehadirannya.  Sehingga isteri di depan mata ku pandang sepi.  Aku tahu hubungan antaraku dengan Rina tidak mungkin berlaku sehinggalah aku menceraikan kakak kandung Rina.  Mahukan keluarga Rina menerima kehadiranku dalam hidup Rina setelah aku menghancurkan  anak mereka yang seorang lagi.  Atas kebodohanku aku kehilangan kedua-duanya.  Menyesal tiada guna lantaran terlalu mengikut hawa nafsu.   Aku kehilangan isteri dan anak-anak.  Aku kehilangan keluarga dan kebahagian kerana terlalu mengikut kata hati. 

JULIA                     Cinta itu buta sehingga aku buta mata dan hati.  Ku tinggalkan suami dan anak demi mengikut kata hati dan cinta palsu seorang lelaki.  Aku melarikan diri sehingga seluruh keluargaku di pulaukan oleh semua saudara-mara.  Anak yang masih kecil sanggup aku tinggalkan demi mengejar cinta yang tidak pasti.  Kejam sungguh diriku.  Aku ingatkan lelaki itu ingin mengahwiniku.  Rupanya aku silap.  Aku menjadi tempat pemuas nafsu serakahnya dan terpaksa pula aku menanggung kehidupannya.  Wang gajiku habis padanya.  Dalam marah aku sayang, dalam sakit hati cinta tetap mendalam.  Bila berjauhan darinya aku tidak merasakan apa-apa, kalau boleh mahu sahaja aku putuskan hubungan ini yang bergelumang noda dan dosa.  Cukuplah dosaku dengan anak dan keluargaku yang sudah tidak tertanggung lagi.  Aku rindukah anakku.  Sudah  besarkah dia?  Waktu ku tinggal dia masih lagi bayi.  Ibu apakah aku ini sanggup meninggalkan darah daging sendiri demi mengejar  cinta lelaki  keparat yang terang-terang menggunakan wang dan tubuhku untuk kepuasan dirinya sendiri. 
                                Untung aku dapat melarikan diri.  Sejahat-jahatku, ALLAH mendengar juga doaku.  Aku bertemu kembali dengan keluarga dan anakku.  Walaupun takut tidak diterima kembali dalam hidup mereka namun kugagahi juga berjumpa mereka.  Demi cintaku pada mereka.  Cinta yang hakiki, cinta yang sebenar yang ada di hati.  Pergi jahanam lelaki durjana itu yang telah menghancurkan masa depanku.  Aku ingin kembali ke pangkal jalan.  Rupanya selama ini dia telah mengguna-gunakan aku dengan jampi serapah agar aku tunduk mengikut semua kehendaknya.  Apa lagi yang lebih membahagiakanku selain kembali kepada orang yang sebenar-benarnya menyintai dan menyayangiku. Semoga ALLAH menerima taubatku, dan keluargaku menerima kehadiranku semula dalam hidup mereka.

AZRUL HAKIMI                  Ah! Buat apa susah payah bekerja.   Dengan wajahku yang kacak dan bergaya ini aku mampu menawan hati mana-mana perempuan yang aku rasa mampu memberi  wang, kekayaan dan kesenangan padaku.  Cinta?  Aku tidak pernah menyintai mereka.  Aku hanya menyintai wang mereka.  Peduli dengan dosa, nanti dah tua aku bertaubatlah.   Bukan mudah untuk aku menundukan mereka untuk mendengar cakapku dan menurut semua kehendaku.  Tanpa pertolongan ibu kandungku yang mempunyai ilmu menundukan orang, tidak mungkin aku berjaya menundukkan ramai perempuan di Kuala Lumpur ini.  Sasaranku tentulah  bukan perempuan biasa tentulah yang berkedudukan tinggi dan mampu memberi kesenangan padaku.    Kalau setakat untuk memuaskan nafsuku buat apa aku susah payah menundukan mereka.  Wang  dan kesenangan  itu yang aku cari.  Suzie, Julia gadis yang menjadi mangsaku.  Mereka berani-berani mengajak aku berkahwin?  Ah! Tidak mungkin itu terjadi.  Aku bukan mencari isteri?  Isteri padaku adalah wang.  Kesenangan adalah anakku.  Tidak mungkin aku membiarkan diriku terikat dengan seorang perempuan sahaja.  Wang dan harta adalah segala-galanya dalam hidupku. 

SUZIE                                    Dasar jantan jahanam.  Sudah habis harta bendaku disapu dalam diam dia menjalin hubungan dengan perempuan lain.  Aku tidak akan membiarkan perkara itu terjadi.  Siapa Julia?  Berani perempuan itu merampas lelaki yang telah menjadi milikku.   Azrul Hakimi tidak tahu siapa aku sebenarnya.  Dia ingat aku akan berdiam diri dengan apa yang dia buat padaku.  Sudah habis duit aku dia jolikan , sudah lunyai tubuhku dikerjakannya.  Senang-senang dia melarikan diri dariku.  Dia ingat aku akan mendiamkan diri macam perempuan lain.  Entah  berapa ramai perempuan yang telah lelaki itu rosakkan.   Tangkai berwarna kuning yang dia jumpa menjawab semua persoalan yang bermain difikirannya.  Padanlah dia akan mendengar semua cakap  Azrul Hakimi.  Dia tidak akan mendiamkan diri.  Dia harus bertindak.  Tidak kira siapa sasarannya.  Api dendam membara dalam dirinya…  Mampus kau Azrul Hakimi…. 

                Cinta pada seseorang biarlah berpada-pada jangan sampai mengadai  maruah diri.  Cinta pada seseorang harus kenal halal haramnya.  Cinta pada seseorang harus tahu siapa orangnya.  Jangan main terjah sahaja mengikut kata hawa nafsu yang tiada sempadannya…..  Mampukah mereka mendapat cinta  mereka.  Mampukah cinta mereka bertahan.  Mampukah mereka memiliki cinta itu. Segalanya akan terjawab di dalam buku ini…
.
 selamat membaca  CINTA KALUT yang pasti membuat jiwa kalian turut sama kalut-malut!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan