Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 4 Disember 2012

AKU TURUT BAHAGIA 1- 15






Sinopsis....

Hati isteri mana yang tidak kecewa tiba-tiba suami yang dicintai ingin berkahwin lagi. Demi cinta dan ingin menunaikan kemahuan suami tercinta. Ummi Khadeeja berkorban dengan mengizinkan suaminya berkahwin lagi. Ummi Khadeeja berharap pengorbanannya tidak sia-sia.

Amir Hudzaifa seorang guru agama yang mempunyai maahad sendiri. Dia merasakan dirinya perlu berkahwin lagi hanya kerana inginkan seorang isteri untuk menjaga dan membantu menguruskan maahadnya. Atas alasan itulah dia meminta izin isterinya, Ummi Khadeeja untuk berkahwin lagi.

Cinta tidak pernah diminta kehadirannya. Cinta datang sendiri, dari mata turun ke hati. Itulah yang dialami oleh Syifa' Umaira gadis belasan tahun yang masih lagi belajar di Universiti Al-Azhar. Kerana cinta dia turuti syarat yang telah ditetapkan oleh bakal madunya. Kerana cinta dia sanggup menawarkan diri untuk menjadi isteri kedua. Kerana cinta dia sanggup melukakan hati orang tuanya sendiri.

Berlaku konflik antara mereka bertiga apabila Syifa' Umaira mula tidak mahu mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan oleh madunya.  Dia bertegas untuk melanggar semua syarat tersebut sehingga mereka bertiga dalam dilema. Mampukah kebahagian menjadi milik mereka? Mampukah wujud keharmonian dalam rumah tangga yang dibina? Kekalkah rasa cinta di hati Syifa' Umaira? Redakah Ummi Khadeeja dengan perkahwinan yang dipersetujuinya pada awalnya? SESALAN TIDAK TERUCAP mempunyai jawapannya.







BAB 1

Usai kelas malam, Amir Hudzaifa memanggil Ummi Khadeeja ke ruang kamar tidur mereka. Dia mendekati suaminya yang sedang membelek sesuatu. Lalu berlabuh di sebelah lelaki yang cukup dihormatinya itu. Wajib seorang isteri taat dan hormatkan suami. Syurga seorang anak dibawa telapak kaki seorang ibu, syurga seorang isteri pula pada keredhaan seorang suami. Itulah lelaki yang dicintai di dunia dan semoga di akhirat juga. Tetapi cintanya sesama manusia tetap ada batasnya kerana dia lebih mencintai Allah SWT dan RasulNya
            Suami bukan haknya.  Cuma dipinjamkan Allah SWT  kepadanya.  Ummi Khadeeja  melemparkan senyuman dan memandang wajah suaminya dengan penuh kasih dan sayang.   Amir Hudzaifa menarik tangan isterinya  untuk duduk  lebih rapat  dengannya.  Dia  menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.  Wajahnya serius dan berkali-kali Ummi Khadeeja mendengar suaminya itu beristighfar.  Jantungnya  berdegup kuat, apa pula masalahnya ini.  Belum pernah suaminya serius begitu.
            "Ija, abang ni serba salah sebenarnya. Sebelum abang cakap, abang nak minta maaf."  Amir Hudzaifa menyusun kata-kata.  Berkerut dahi Ummi Khadeejah mendengar kata-kata Amir Hudzaifa
            "Tak cakap lagi dah minta maaf. Abang buat salah dengan Ija? Rasanya tak ada,”  dia  memandang wajah suaminya.  Tidak berkelip.
             “Sebenarnya begini Ija,” suaminya terdiam lagi. Dia rasa berdebar-debar.  Sepucuk sampul surat berwarna coklat diserahkan kepadanya.  Semakin tidak keruan perasaannya.  Amir Hudzaifa mengeluarkan  beberapa keping gambar dan diserahkan kepada isterinya.  Ummi Khadeeja memandang wajah suaminya dan gambar itu silih berganti. Jantungnya berdegup.  Laju.  Hatinya meneka yang bukan-bukan.  Tetapi,  dia cepat pula berdoa supaya bukan tekaan itu yang bakal didengarnya.  Dia beristighfar. Dia  merasakan darahnya memancut ke muka. Tidak! tidak mungkin suaminya akan menikah lagi.  Dia tidak faham kenapa gambar tersebut diperlihatkan kepadanya.
“Ija...  abang tahu,  Ija isteri yang baik,  jujur dan bertanggungjawab.  Abang tidak pernah pertikai apa sahaja layanan Ija pada abang selama ini.  Baik zahir mahu pun  batin.   Alhamdulillah abang amat berpuas hati.”   Amir Hudzaifa menarik nafas panjang.  Dia melepaskannya perlahan-lahan.  Dahi Ummi Khadeeja berkerut.  Lain macam saja  bunyi kata-kata suaminya.
            “Sebenarnya gambar-gambar itu calon bakal isteri abang yang di carikan oleh kawan-kawan abang.  Semua mereka itu adalah pelajar-pelajar Malaysia di Mesir,” sambung Amir Hudzaifa lagi.  Ummi Khadeeja terkejut mendengarnya. Calon isteri? Benarkah apa yang didengarnya.   Dia memandang wajah suaminya tidak  berkelip.  Dia tercari-cari sebabnya. Tapi kenapa?   Kenapa suaminya ingin berkahwin lagi?   Dirinya tiada jawapan. Ah! jawapan itu ada pada suaminya.  Dia memandang wajah suaminya lagi.   Wajah penuh duka itu merayu kepastian.
            “Abang bernikah lagi bukan sebab nafsu Ija.  Bukan juga kerana Ija sudah tua.  Jangan sesekali Ija berfikir begitu.  Tujuan abang bernikah lagi adalah untuk dakwah abang.   Abang mahu maahad kita ini dijaga dengan baik, abang kasihan dengan Ija, terpaksa menjaga dan menguruskan maahad ketika ketiadaan abang di sini.  Ada masanya Ija kena menemani abang berdakwah di luar daerah.  Abang pula akan sentiasa berada di luar dan tiada siapa yang akan menjaga maahad.  Mungkin Ija berfikir kita  ada pekerja yang boleh membantu tetapi tidak sama.  Abang nak ahli keluarga atau salah seorang dari kita sendiri yang menjaga dan menguruskan maahad ini.  Orang lain yang menjaga tidak akan sama seperti mana kita menjaganya sendiri Ija.   Demi Allah, abang tiada niat untuk mengecewa dan menyakiti hati Ija, itu sebabnya abang meminta izin terlebih dahulu darimu sayang,” lembut suara Amir Hudzaifa menuturkannya. Matanya menjunam tepat ke wajah Ummi Khadeeja.
          Ummi Khadeeja masih tidak terkata apa-apa, hanya matanya berbicara.  Mulutnya terkumat-kamit bagaikan ingin  berkata-kata tapi tiada suara  yang kedengaran.  Siapalah yang tidak terkejut.  Angin tiada, ributpun tidak, tiba-tiba pokok bergoyang.  Tergamam dia mendengar kata-kata suaminya itu.  Selama enam belas tahun mereka hidup bersama melayari bahtera.   Meredah onak dan duri.   Susah dan senang bersama.   Suka dan duka silih berganti.  Hari ini suaminya berterus-terang ingin bernikah lagi.  Haruskah dia tersenyum?  Ketawa, gembira atau menangis?  Meratap sehingga mengeluarkan air mata darah? Bohong jika dia katakan tiada perasaan gundah dihati. Tipu kalau dia katakan tiada gusar dihati.  Perempuan mana yang sanggup hidup berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Tidak pernah suaminya  bercakap atau bergurau untuk bernikah lagi.  Apa yang mampu dia katakan lagi.  Keputusan sudah dibuat walaupun kononnya  hendak meminta izin terlebih dahulu.
            “Abang harap Ija  dapat memilih sendiri calon yang sesuai yang Ija. Cari yang serasi dengan Ija.  Boleh  dijadikan teman, kawan dan sahabat Ija.  Juga isteri untuk abang.  Abang  takkan paksa Ija.   Abang mahu Ija ikhlas  membenarkan abang bernikah lagi.  Abang ingin pernikahan abang ini mendapat  restu dari Ija.”  Amir Hudzaifa memegang lembut tangan Ummi Khadeeja.  Dia mengusapnya perlahan-lahan.  Ada getar ditangan itu.  Sejuk dan dingin. Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja yang semakin  pucat.  Kalau dihiris dengan pisau pasti tidak berdarah.  Dia memeluk isterinya erat dengan penuh kasih dan sayang.
            Tiada suara yang keluar dari mulut Ummi Khadeeja hanya tubuhnya menggigil.  Terdengar sedu-sedan dan lelehan air mata membasahi bahu Amir Hudzaifa.  Amir Hudzaifa menguatkan pelukannya dan mengusap belakang isterinya perlahan-lahan seperti memujuk.  Sayu hatinya mendengar  tangisan isterinya yang telah  banyak berkorban untuknya.  Malam itu tiada keputusan yang keluar dari mulut Ummi Khadeeja.
        Amir Hudzaifa hanya mampu mengeluh.  Sudah seminggu isterinya itu membisu  seribu bahasa.  Tidak  bercakap.   Senyuman yang diberi juga begitu hambar.  Namun urusan rumahtangga tidak pernah diabaikan segalanya sempurna seperti biasa.  Makan minum tetap terhidang dengan kemas dan teratur. Pakaian tetap bersih dan tersusun.  Cuma Ummi Khadeeja tidak mahu bercakap dengannya, sepatah ditanya, sepatah juga jawapan yang diterima.
        Serba salah jadinya.  Apakah Ummi Khadeeja tidak  bersetuju dengan cadangannya itu?  Hati Amir Hudzaifa diulit resah.  Tidak sampai hati pula hendak menyakiti hati isterinya itu.  Jika isterinya  tidak  bersetuju  untuk dia bernikah lagi, dia bersedia  menarik balik cadangannya itu.  Biarlah dia berusaha cara lain untuk menjaga maahad dan di waktu yang sama dia mampu keluar berdakwah di luar daerah.  Hanya pada Allah SWT dia memohon petunjuk dan semoga Allah SWT akan memberikan jalan keluar yang terbaik untuknya dan dakwah.
            Dato’ Ibrahim dan Haji Salleh sudah berkali-kali bertanyakan  tentang hal tersebut kepadanya.  Dia hanya meminta kedua sahabatnya itu bersabar dan memberinya masa untuk menyelesaikan masalahnya dengan isterinya.  Keluarga Ummi Khadeeja dan keluarganya  juga harus diberitahu.  Dia tidak mahu membelakangi mereka dalam  membuat  keputusan yang akan mengubah seluruh kehidupannya itu.
            Masa terus berlalu.  Ummi Khadeeja tetap dingin sedingin salju. Sepatah ditanya sepatah yang dijawab. Tiada gurau senda, usik mengusik.  Hanya wajah muram yang terpancar di wajah isterinya.  Termenung sepanjang masa.   Jauh sekali renungan Ummi Khadeeja bagaikan memikirkan sesuatu.  Amir Hudzaifa memerhatikan sahaja tingkahlaku isterinya dari kejauhan.   Ambillah sebanyak mana masa  yang isterinya  inginkan.   Amir Hudzaifa tahu dia tidak boleh terus mendesak dan memaksa.  Ada kala sakit kepala Amir Hudzaifa memikirkan keadaan isterinya itu.  Amir Hudzaifa tidak henti-henti berdoa semoga Ummi Khadeeja akan kembali seperti dahulu, mesra, manja dan penyayang.  Biarlah    Ummi Khadeeja mengambil masa berfikir  sehingga dia mampu memberi jawapan yang diinginkan.  Amir Hudzaifa tahu bukan mudah seorang perempuan akan mengizinkan suami mereka dikongsi dengan perempuan lain.  Begitu jugalah isterinya.
            Setiap malam dia melihat isterinya itu bertahajud.  Bersolat sunat  setiap malam dan  membaca Al-Quran.  Suara gemersik isterinya dan diikuti sedu-sedan membuatkan hatinya pilu.  Apakah Ummi Khadeeja sedang berperang dengan perasaannya sendiri.  Dia beristighfar memohong agar Allah SWT memberi pertolongan untuk dia menyelesaikan segala masalahnya itu.  Semoga ada jalan keluar yang terbaik untuk dirinya dan juga Ummi Khadeeja .  Itulah harapannya.
           
BAB 2
“Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu…(Surah Luqman ayat 7)
UMMI KHADEEJA menadah tangan memohon petunjuk daripada Allah SWT. Dia tidak menentang hukum Allah SWT. Dia tidak menentang poligami, cuma dia terkejut apabila suaminya meminta untuk berkahwin lagi. Dia tidak mampu berkata apa-apa.  Lidahnya kelu bagaikan terkunci. Dia tidak bermaksud untuk membisu atau tidak bercakap dengan suaminya.  Entahlah dia sendiri tidak  tahu apa yang harus dia katakan.  Apakah dia harus menunjukkan reaksi kecewa?  Gembira atau suka dengan permintaan suaminya itu?  Dia sendiri tidak tahu perasaannya ketika itu.  Apa yang pasti hatinya benar-benar sakit.
            Enam belas tahun bukan waktu yang singkat.  Enam belas tahun mereka hidup bersama.  Kenapa semuanya berubah dalam sekelip mata sahaja?  Mana janji manis suaminya sewaktu mereka baru berumah tangga dulu?  Dia  menangis sayu.  Bagai terngiang-ngiang janji manis Amir Hudzaifa di malam pertama mereka.
             “Ija… terima kasih kerana sudi menjadi suri hati abang.  Abang berjanji akan setia hanya pada Ija. Ija yang pertama dan terakhir untuk abang.  Abang tidak akan mensia-siakan Ija.  Abang tidak akan menduakan Ija.  Abang janji sayang.”  Amir Hudzaifa membelai lembut pipi gebu Ummi Khadeeja.  Akhirnya anak gadis kawan baik ayahnya  itu, menjadi miliknya abadi.
            “Abang, jangan mudah abang berjanji.  Takut nanti abang tak mampu nak tepati.  Perjalanan hidup kita masih jauh, bang.   Kita tidak tahu masa depan kita.   Ija ucapkan terima kasih kerana abang sudi mengambil Ija sebagai isteri.   Terima kasih juga kerana menerima Ija seadanya.  Semoga rumah tangga yang kita bina ini kekal sehingga akhir hayat kita.”  Ummi Khadeeja memeluk tubuh Amir Hudzaifa erat.  Seerat kasihnya kepada suaminya itu.
Ah! Semua itu sudah berlalu.  Kenangan hanya tinggal kenangan.  Tidak mungkin akan berpatah kembali. Ummi Khadeeja  menangis lagi. Itu cerita enam belas tahun dulu, sewaktu mereka baru mendirikan rumahtangga.  Sekarang ini semuanya sudah berubah.  Perasaan suaminya juga sudah berubah.  Bukan berubah ke jika niat di hati ingin kahwin lagi.  Dia  menangis sayu.
Amir Hudzaifa tersedar dari lena apabila mendengar suara Ummi Khadeeja menangis.  Amir Hudzaifa yang berada  di atas katil memerhati sahaja tingkah laku isterinya dari kegelapan malam.  Lampu bilik tidur tidak terpasang .  Sebak dadanya mendengar suara tangisan isterinya.  Perlahan-lahan dia mendekati Ummi Khadeeja.  Tubuh isterinya yang masih bertelekung dipeluk erat.
“Jangan macam ni sayang! Hiba hati abang melihat keadaan Ija begini.” Amir Hudzaifah membelai lembut rambut isterinya.  Ummi Khadeeja menolak tubuh Amir Hudzaifa lembut dan memandang wajah suaminya.
“Kenapa semua lelaki menjadikan alasan berpoligami kerana mengikut Sunnah Rasulullah SAW? Sedangkan Rasulullah SAW berkahwin bukan kerana nafsu.  Malah, perkahwinan poligami Baginda SAW terjadi setelah tiga tahun wafatnya Syaidatina Khadijah r.a.  Ini bermakna Rasulullah SAW setia kepada seorang isteri dalam tempuh dua puluh lima tahun!  Perasaan cinta itu tidak pernah hilang walaupun setelah wafatnya isteri Baginda SAW yang tercinta.  Kalaulah benar ingin mengikut contoh Rasulullah SAW, kenapa tidak berkahwin setelah isteri pertama meninggal dunia?”  Mata Ummi Khadeeja masih  menatap  wajah Amir Hudzaifa di dalam kesuraman malam.  Sengaja dia tidak memasang lampu sewaktu bersolat tahajud.  Terkedu Amir Hudzaifa mendengar tutur kata isterinya itu.  Tidak disangka soalan itu akan keluar dari mulut Ummi Khadeeja.   Kenapa dia tidak pernah perasan tentang itu, sedangkan sudah acap kali dia memberi contoh tentang poligami mengikut cara Rasulullah SAW.
“Baginda berkahwin bukan kerana mengikut nalurinya sahaja, bang.  Semua perkahwinan poligami Baginda SAW bersebab dan ada yang berlaku atas kehendak Allah SWT.   Atas alasan apa abang ingin berkahwin lain?  Kalau atas alasan kerana sering bermusafir dan  abang ingin isteri baru abang nanti  membantu Ija  menguruskan maahad, mungkin ada kebenarannya.  Tetapi apakah alasan itu sudah cukup kuat untuk membolehkan abang bernikah lagi?”   Tanya  ummi Khadejaa tegas, dalam esakan yang semakin menjadi-jadi .  Amir Hudzaifa tetapi membisu.  Hatinya benar-benar terhiris dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya.  Dia kecewa memikirkan permintaan suaminya itu.
“Ija, jangan macam ni!  Abang tak bermaksud untuk menyakiti hatimu.  Percayalah pada abang.  Abang akan berlaku adil padamu.  Abang tidak akan mensia-siakan Ija dan anak-anak,”  janji Amir Hudzaifa.  Amir Hudzaifa cuba meyakinkan isterinya.
Ummi Khadeeja masih lagi menangis.  Mampukah untuk dia hidup berkongsi kasih sayang suaminya dengan wanita lain?  Persoalan yang sedang bermain di fikirannya ketika ini. Mampukah suaminya berlaku adil?  Bukan sahaja dari segi giliran tetapi adil dalam menjaga perasaannya sebagai seorang isteri dan perempuan?   Ada ke perempuan yang mahu menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki yang mempunyai tiga orang anak seperti suaminya?  Bolehkah keluarga gadis itu menerima suaminya itu yang masih lagi bergelar suami orang sebagai menantu?  Mahukah mereka melihat anak gadis mereka dijadikan isteri kedua? Ummi Khadeeja  melepaskan keluhan lagi.  Dia  menyeka air mata dengan hujung telekungnya.
“Bawa mengucap Ija!”  Pujuk Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja memandang wajah suaminya dengan pandangan yang sinis.  Lelaki, mudah kau menabur janji, mudah juga kau mungkiri, hatinya  berkata-kata lagi.
“Ija masih sedar bang.  Ija masih ingat pada Allah. Cuma berilah Ija masa untuk memikirkannya. Hati Ija cukup kecewa dengan keputusan abang.  Hati Ija hancur!”   Jiwa dan hatinya bagaikan kosong.    Semuanya bagaikan terawang-awang.  Dia tidak merasakan apa-apa lagi.  Mungkin juga hatinya kecewa. Naluri kewanitaannya terguris.  Hati perempuannya hancur mendengar cadangan suaminya itu. Mungkin itu yang dia rasakan ketika ini sehinggakan dia tidak mahu bercakap dengan suaminya. Hati perempuan mana yang tidak sakit  jika suami sendiri menyatakan keinginan untuk bernikah lagi? Begitulah yang dia rasakan ketika dan saat ini.
Ya Allah… berikanlah aku kekuatan.  Ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujianMu ini, doa Ummi Khadeeja dalam hati. Air matanya mengalir di pipi.  Dia menangis lagi.  Ya, dia kecewa. Hatinya hancur.  Dia tidak pernah terfikir suatu hari dia akan dimadukan. Tidak pernah terlintas di hati suatu hari dia akan berkongsi suami dengan perempuan lain.  Semuanya bagaikan mimpi.  Sukar untuk dia percaya.  Kalaulah dia tidak ada pegangan agama sudah pasti dia akan menuduh suaminya sudah kena ubat guna-guna.  Ummi Khadeeja beristighfar.  Terlalu jauh fikirannya melayang.  Berfikir yang bukan-bukan apabila hati sedang sakit dan menderita.
“Abang beri Ija masa untuk memikirkan perkara ini.  Abang tidak akan mendesakmu, sayang.  Maafkan abang jika menyakiti hati kecilmu itu.”  Amir Hudzaifa serba-salah.
“Ija perempuan bang.  Ada perasaan cemburu.  Ada perasaan irihati.  Ija hanyalah manusia. Sebagai seorang perempuan sudah pasti Ija   tidak mahu suami Ija dikongsikan dengan orang lain. Hati mana yang tidak hancur bang.  Setelah berbelas-belas tahun  kita hidup bersama akhirnya Ija akan  dimadukan!  Ija akan ada pesaing.   Suami Ija   akan menyayangi perempuan lain.  Suami  Ija akan membelai perempuan lain.   Suami Ija   akan berkongsi katil dengan orang lain. Bukan dengan Ija seorang,” semakin laju air matanya mengalir lagi.  Semakin pedih hatinya.
Ya Allah! Mampukah aku menghadapinya,  detik hati kecil Ummi Khadeeja.  Dadanya sebak terasa sakit dan perit.
“Apa  pandangan masyarakat terhadap Ija nanti?  Selama ini masyarakat tidak pernah memandang baik pada sebuah rumah tangga poligami.  Ada sahaja pandangan sinis dan menjijikkan!” Ummi Khadeeja mengusap dadanya yang terasa berat.
“Ija, sudahlah!”  PujukAmir Hudzaifa.   Amir Hudzaifa cuba meraih tangan Ummi Khadeja,  namun ditepis dengan pantas oleh isterinya.
'Hatiku sedang sakit tak mungkin dapat kau pujuk,’ kata hati kecil Ummi Khadeeja.
“Abang  tahu tak, pada  mereka yang di luar sana, poligami adalah perkara jijik yang dilakukan oleh mereka yang gatal dan tidak cukup hanya mempunyai seorang isteri.  Kegagalan dalam menguruskan sebuah rumah tangga poligami menyebabkan masyarakat tidak pernah memandang elok pada mereka yang berpoligami.  Akan ada kata-kata nista mengatakan  Ija   tak  pandai melayan suami.  Sebab itulah suami Ija   mencari lain.   Isteri muda  abang nanti  pula akan di tuduh miang, sanggup mengambil suami orang. Fitnah masyarakatlah yang paling Ija takuti bang! Siapa tidak kenal  abang.  Ustaz Amir Hudzaifah seorang Hafis, pandai dalam Ilmu Hadis.  Seorang pendakwah bebas yang lantang bercakap soal hukum.  Bagaimanalah reaksi rakan-rakan dan kenalan Ija dan abang  jika mereka mengetahui abang  berkahwin lagi?” Dia  menangis tersedu-sedu. Hiba sungguh hatinya. Rasa sakit yang menyucuk-nyucuk.
Ya Allah… mampukah aku menghadapinya?  Hati kecilnya terus berkata.  Entah bagaimana reaksi keluarganya dan keluarga mentua apabila mengetahui suaminya akan berkahwin lagi.  Kesal dan sesal bermain di sanubari.   Demi Allah dia tidak pernah terfikir suatu hari nanti suaminya akan berkahwin lagi.  Kini, iyanya  bukan khayalan lagi.  Bukan cakap-cakap kosong lagi.  Dia mendengar sendiri permintaan suaminya.  Permintaan itu keluar dari mulut suaminya sendiri.   Keluar dari mulut orang yang amat disayangi.   Kekasih hati, sahabat dan rakan yang amat dikagumi.
Ya Allah… kuatkanlah hati hamba-Mu ini.  Ummi Khadeeja menangis lagi.  Hati perempuannya telah dihiris-hiris, hancur dan kecewa.   Pelukan dari Amir Hudzaifa   tiada kehangatannya lagi. Semuanya terasa dingin.  Sedingin hatinya terhadap suaminya kini.  Perasaan benci menerjah dihati.  Bukan dipinta.  Bukan dipaksa.  Iya hadir sendiri. Ummi Khadeeja beristighfar.  Berdosa membenci suaminya sendiri tetapi apakan daya.  Hatinya benar-benar sakit, perit, lukanya terlalu dalam.

BAB 3
                        SYIFA' UMAIRAH   tidak sabar-sabar lagi  hendak ke kelas Ustaz Amir Hudzaifa .  Sudah acap kali dia mengikuti kelas  tersebut.   Maklumlah kelas di adakan enam bulan sekali.  Hanya dua minggu.  Selalunya kuliah diadakan di luar dewan atau di kawasan lapang berhampiran dengan asrama  kolejnya.  Ramai pelajar akan mengikut kuliah yang diadakan.   Syifa' Umaira duduk di bahagian paling depan.   Dua ruang di sediakan satu untuk pelajar lelaki dan satu ruang lagi untuk  perempuan.  Kalau boleh dia hendak  menatap wajah  lelaki yang sudah mula bermain diminda dan fikirannya.   Ketampanan wajah Ustaz Amir Hudzaifa membuatkan hatinya terpaut.  Kacak orangnya.  Cantik namanya.  Keilmuan yang tinggi.  Begitu juga keimanannya.  Ciri-ciri lelaki idamannya ada pada Ustaz Hudzaifa  membuatkan dia jatuh cinta pandang pertama.   Bertuah sungguh orang yang menjadi isteri Ustaz Amir Hudzaifa.  Dunia dan akhirat di tangannya.  Syifa' Umairah mengeluh.  Setahu dia, Ustaz Amir Hudzaifa sudah beristeri.  Kalaulah Ustaz kacak itu duda sudah tentu dia akan berusaha mendekati dan cuba memilikinya.
           Syifa' Umaira tersenyum sendiri,  aku ini  nak menuntut ilmu atau nak tengok wajah kacak ustaz itu, katanya dalam hati.  Ah! Pedulilah, yang penting perasannya ketika ini.  Siang dan malam hanya wajah Ustaz Amir Hudzaifa yang kacak itu sahaja yang terbayang di mata.  Senyumannya.  Tutur katanya.  Nada dan tonansi suara Ustaz Amir Hudzaifa bagaikan boleh dihafal di kepala.  Memang benar dia sedang angau dengan ustaz tersebut.  Angau sendiri, bertepuk sebelah tangan sahaja.  Biarlah, asalkan hatinya puas.  Setiap kali sesi soal jawab diadakan dia pasti akan mengambil bahagian.  Dia ingin Ustaz Amir Hudzaifa melihat dirinya.  Berinteraksi dengannya walaupun hanya sekadar menjawab semua soalan darinya.
           Syifa' Umaira menyimpan sendiri perasannya itu.  Bercerita dengan kawan-kawannya, tidak sama sekali.  Biarlah dia simpan sendiri perasaannya itu.  Apa yang tersimpan di hati biarlah rahsia, macam tajuk lagu Siti Nurhaliza pula.  Syifa' Umaira tersenyum sendiri.  Biar semua orang tidak tahu.  Dia tidak mahu menjadi bahan ejekan.  Dia tidak mahu menjadi bahan sindiran rakan-rakannya apabila mereka tahu dia jatuh hati pada UstazAmir Hudzaifa.  Dari mata jatuh ke hati.  Hendak  buat macam mana.  Bukan dia memaksa hatinya menyukai ustaz tersebut.  Cinta tiada paksaan.   Cinta akan  lahir sendiri.
             Wajah yang jelita kacukan  melayu-arab.   Hidung mancung bak seludang.   Bibir mekar bak delima.  Pipi pauh dilayang.  Siapa sahaja akan mudah jatuh cinta padanya.  Namun hatinya telah diberikan kepada Ustaz Amir Hudzaifa.  Dia teruja memandang wajah UstazAmir Hudzaifa.  Hatinya akan berdegup kencang apabila cerita tentang Ustaz  Amir Hudzaifa menjadi perbualan mereka.  Wajahnya akan berseri-seri.  Hatinya akan bernyanyi riang apabila mendengar nama Ustaz Amir Hudzaifa disebut-sebut.  Umur bukan penghalang untuk dia menyintai ustaz tersebut.
             Dia belum pernah jatuh cinta.  Hatinya tidak pernah dimiliki oleh mana-mana lelaki.  Dia tidak pernah berani bermain mata dengan mana-mana lelaki sejak di zaman sekolah lagi.  Entah kenapa sejak pertama kali terpandangkan Ustaz  Amir Hudzaifa  hatinya terus jatuh cinta.  Syifa’ Umaira tersenyum sendiri.  Memang sejak akhir ini mudah tersenyum sorang-sorang.   Kadang-kala  ketawa sendiri.   Sudah macam orang gilalah pula.   Nasib baik kawan-kawannya tidak perasan akan  perubahan dirinya.  Pandai makan kenalah pandai simpan, detik hati kecilnya.
            “Siapa nak jadi isteri Ustaz Amir Hudzaifa sila hantar permohonan,” kata Jama'yah rakan sebiliknya.  Dia yang sedang menyiapkan tesisnya segera meninggalkan kerjanya dan mendekati Jama'yah .  Riuh rendah bilik yang dihuni empat orang siswazah itu.  Wajah Syifa' Umaira berkerut.  Dia tidak faham maksud Jama'yah .
             “Jadi Isteri? Isteri Ustaz Amir Hudzaifa meninggal ke?” Tanya Syifa' Umairah meminta kepastian. Jama'yah menepuk dahi Syifa' Umaira.
            “Kalau bercakap tu hati-hatilah sikit Mai. Tak baik mendoakan orang yang masih hidup meninggal dunia tau,” tegur Jama'Yah.  Mereka berempat duduk mengadap antara satu sama lain.  Azidah  memeluk lengan Jama'yah.
            “Tadi kau yang cakap, Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon isteri, tentulah isterinya dah tak ada lagi kan? Itu sebab dia cari isteri baru,” Azidah mengangkat kening ke arah Syifa' Umaira meminta persetujuan akan kata-katanya tadi.  Syifa' Umaira mengangguk dan memandang Jama'yah semula.  Jama'yah mencebik dan tersenyum semula
            “Orang lelaki cari isteri lagi takkan kerana sebab isterinya dah meninggal.  Tentulah sebab nak kahwin lagi.  Tadi  saya ke rumah Ustaz Baharom.   Isterinya, Ustazah Bariah yang bercerita tentang keinginan Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon isteri di kalangan pelajar di sini.  Nak cari yang ada agama dan berpendidikan agama untuk dijadikan isteri kedua,” cerita Jama'yah.  Masing-masing mengangguk tanda faham atas maklumat yang disampaikan oleh Jama'yah.
   “Ooo… jadi isteri nombor dua!”  Rahimah mengangguk tanda faham.  Syifa' Umaira mendengar dengan penuh minat.  Terlintas di fikiran dia ingin menguji kawan-kawannya manalah tahu ada di antara mereka turut menyimpan perasaan yang sama terhadap Ustaz Amir Hudzaifa.  Pujaan hatinya itu.
     “Jadi, awak dah setujulah?”  Tanya Syifa' Umaira.  Jama'yah memandang wajah Syifa' Umaira begitu juga kawan-kawan yang lain.  Jama’yah menggoyang-goyangkan tangan.
      “Nau’zubillah!  Minta dijauhkan Allah SWT,” jawab Jama'yah.  Jama'yah tidak percaya akan keharmonian dalam rumahtangga yang berpoligami.  Bukan menentang.  Kalau sudah jodohnya suatu hari nanti dengan lelaki yang sudah beristeri dan dia tidak  dapat menolaknya akan diterima dengan redha.  Tetapi seboleh-bolehnya dia akan menolak jika ada jalan keluar yang lain.
            “Awak Rahimah?  Takkan tak nak?”  Syifa' Umaira terus bertanya.  Azidah mengangkat bahu dan menggelengkan kepala.
             “ Tidak sama sekali!  Bagi aku dalam poligami selalu berlaku ketidakadilan.  Aku sendiri melihat kesengsaraan kakak aku yang dimadukan oleh suaminya.  Kalau boleh aku tidak mahu menempuhnya,” jawab Azidah berterus-terang.
            “Kalau Ustaz Amir Hudzaifa duda bagaimana pula?”  Tanya Syifa' Umaira lagi.  Kawan-kawannya saling berpandangan dan mereka ketawa serentak.
           “Kalau macam tu.  Boleh dipertimbangkan,” jawab Jama'yah sambil ketawa.
            “Yang kau asyik bertanya ni kenapa?  Jangan-jangan kau sendiri ada perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa tak?  Kau nak jadi calon ke?  Mana tahu terpilih,”  Jama'yah  memandang wajah Syifa' Umaira yang merah padam  diusik.   Syifa' Umaira serba-salah.  Dia tidak mahu perasaan cintanya pada Ustaz Amir Hudzaifa diketahui oleh kawan-kawan.
             “Eh! Mana ada? Saya saja je bertanya, takkan tak boleh?” Syifa' Umaira tersengih menyembunyikan perasaannya sendiri.  Kalau boleh sekarang juga dia  bertemu dengan Ustazah Bariah untuk menawarkan diri menjadi calon isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa . Kedua pun kedualah yang penting berkahwin dengan orang yang dicintainya.  Berkongsi pun berkongsilah asalkan impiannya tercapai untuk hidup bersama orang yang dikagumi dan dimimpikan setiap hari.
             “Bertanya atau tak sabar-sabar nak menawarkan diri,” usik Azidah tanpa mengetahui hati dan perasaan sebenar   Syifa’ Umaira.  Mereka ketawa serentak.  Syifa' Umaira mencebik.  Dia kurang selesa diusik oleh kawan-kawannya kerana usikan itu benar belaka.
            “ Kau sanggup ke nak menghancurkan perasaan seorang perempuan apatah lagi perasaan isteri Ustaz Amir Hudzaifa, Kak Ummi Khadeeja baik orangnya.  Kalau aku suka sekali pun dengan Ustaz Amir Hudzaifa, aku takkan sanggup melukakan hati Kak Ummi Khadeeja.  Entah apa yang sedang dia rasakan ketika ini, sudah berbelas-belas tahun hidup bersama alih-alih suami nak cari lain.  Masya-Allah semoga Kak Ummi Khadeeja kuat menghadapi ujian ini,”  tiba-tiba hatinya sebak, terasa dirinya pula yang akan dimadukan. Jama'yah menundukkan muka.  Matanya mula berkaca.  Terasa perasaannya dihiris-hiris walaupun bukan terjadi pada dirinya namun dia juga perempuan dan tidak mungkin dia akan sanggup diduakan.
            “Janganlah emosi,  mungkin isteri beliau setuju itu sebab Ustaz Amir Hudzaifa mencari isteri baru,”  Syifa' Umaira memandang wajah Jama'yah   yang muram.  Rahimah yang membisu sejak tadi menggelengkan kepala.  Dia pernah bertemu dengan isteri Ustaz Amir Hudzaifa.  Pernah berbual dan dia dapat meneka sikap Kak Ummi Khaeeja.  Tidak mungkin  dia menjadi orang ketiga dalam hidup  keluarga ustaz itu.
            “Tak sangka ya, Ustaz Amir Hudzaifa tu nak kahwin lagi?  Apa kurangnya  Kak Ummi Khadeeja?   Cantik juga dan lembut orangnya. Baik dan peramah pula tu.  Merendah diri tidak kekok bergaul dengan kita.  Bagi aku tiada cacat celanya,” kata Rahimah.  Dia tidak faham kenapa sanggup Ustaz Amir Hudzaifa menduakan  isterinya sedangkan semuanya dimiliki oleh Ummi Khadeeja.  Tiada yang kurang.
             “Diakan ustaz, tentulah nak ikut sunnah Rasulullah SAW,” sampuk Syifa' Umaira.
            “Fakta yang tidak pernah dikaji oleh sesiapa atau mungkin tidak perasan. Rasulullah SAW berkahwin, berpoligami setelah kewafatan Syaidatina Khadijah ra itu pun setelah tiga tahun barulah Rasulullah berkahwin lagi.  Dua puluh lima tahun Baginda SAW mempunyai seorang isteri dan hanya sepuluh tahun Baginda  SAW berpoligami,” kata Jama'yah dengan penuh perasaan.  Dia tidak percaya poligami adalah sunnah Rasulullah sedangkan dia pernah terbaca bahawa masyarakat jahiliyah sebelum kedatangan Islam telah pun mengamalkan berkahwin lebih dari satu malah ada yang mempunyai berbelas-belas isteri sehinggalah kedatangan Islam yang hanya membenarkan seorang lelaki mempunyai empat isteri dalam satu masa.  Kedatangan Islam telah  mengubah segala-galanya.  Provokasi barat sahaja yang mengatakan Islamlah yang mula-mula mengalakan poligami sedangkan hakikatnya tidak begitu.
            “Terletak pada hati masing-masinglah.  Kalau dah ditakdirkan hidup bermadu, nak buat macam mana kan?  Takkan nak lawan ketentuan Ilahi,”  hujah Syifa' Umaira.  Jama'yah mengerutkan dahi, lain macam saja bunyi kata kawannya yang sorang ini.  Ah! Buat apa fikir perasaan orang lain.
Syifa' Umaira bingkas bangun dan mencapai tudungnya.  Hatinya berlagu riang.  Kalau boleh dia nak menjerit dan melompat kegembiraan.  Pucuk dicita ulam mendatang.  Mata mengantuk disurungkan bantal,  apa ditunggu lagi.  Ustaz Amir Hudzaifa,  lelaki awal 40-an itu pasti akan menjadi miliknya. Syifa' Umairah bernyanyi riang.
            “Kau bersiap ni nak ke mana?”  Tanya Azidah. Matanya memerhatikan sahaja tingkahlaku kawannya itu.   Jama'yah sudah pun merebah dirinya di atas katil.  Dia memandang wajah Syifa’ Umaira yang sedang bersiap.   Rahimah kembali menaip di laptopnya.  Tidak berminat hendak ambil tahu.  Keadaan dalam bilik itu sunyi semula.
             “Nak keluar kejap! ada urusan peribadi.”  Syifa' Umaira melangkah keluar.  Dia ingin segera bertemu dengan Ustazah Bariah.  Dia ingin mendapatkan  kepastian tentang cerita yang didengarinya  dari Jama’yah  tadi.  Kalau benar, dia ingin menawarkan dirinya menjadi isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa.  Biarlah dia menjadi perigi mencari timba.  Dia tidak peduli.  Perasaan kasih dan sayangnya pada Ustaz Amir Hudzaifa  tidak mampu ditahan-tahankan lagi.  Siang malam dia berdoa agar suatu hari nanti dia akan menjadi milik Ustaz Amir Hudzaifa.  Terasa bagaikan Allah SWT telah memperkenankan doa-doanya.

BAB 4
            Ustazah Bariah terkejut dengan kedatangan Syifa' Umaira.  Gadis manis itu jarang bertandang ke rumahnya.  Mereka hanya bertemu di kelas atau pun di masjid.  Syifa' Umaira gadis yang pendiam dan suka menyendiri.  Dia mengenali Syifa' Umaira tetapi tidaklah serapat dia mengenali Jama'yah dan Azidah rakan sebilik Syifa' Umaira .
            “Syifa' Umaira? Er!… silalah masuk,” pelawa Ustazah Bariah. Syifa' Umaira melemparkan senyuman dan melangkah masuk.
            “Maaflah, datang tak beritahu Ustazah,”  kata Syifa' Umaira.  Dia terus  duduk di ruang tamu yang agak kecil itu.  Mata syifa' Umaira liar memerhati, terjengah-jengah ke dalam bilik. Tercari-cari kelibat seseorang.
 “Tak apa, rumah saya sentiasa terbuka untuk semua pelajar Malaysia,” kata Ustazah Bariah ramah.  Matanya tidak terlepas memerhatikan Syifa' Umaira.
"Ustaz tak ada," kata Ustazah Bariah seperti tahu apa yang sedang di cari Syifa' Umaira.
 “Kenapa ni?  Resah semacam je,”  usik Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira tersenyum lagi.
“Begini Ustazah.”  Syifa' Umaira diam semula.  Ustazah Bariah duduk bersila di hadapan Syifa' Umaira.  Apalah yang hendak disampaikan oleh gadis manis ini, detik hati kecil Ustazah Bariah.  
“Cakap je lah, yang awak  malu-malu kucing ni kenapa?”   Ustazah Bariah menampar peha Syifa' Umaira.  Dia tersenyum melihat gelagat Syifa' Umaira yang malu-malu ala itu.  Syifa' Umaira tersengih. Buntu fikirannya nak mengeluarkan ayat yang sesuai untuk menyampaikan hasrat hatinya.
            “Saya…  Saya nak tanya… betul ke Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon  untuk dijadikan isteri keduanya?”   Tanya Syifa' Umaira tergagap-gagap.  Takut tersalah cakap dia juga yang malu nanti.  Dahi Ustaza Bariah berkerut.  Wajah Syifa' Umaira ditenung dalam-dalam.
            “Mana awak dengar ni? Siapa cakap kat awak?”  Ustazah Bariah terus bertanya.
            “Bukan apa, tadi Jama'yah  balik dari jumpa Ustazah, dia yang bagi tahu.” Syifa' Umaira menundukkan kepala. Terasa malu pula apabila Ustazah Bariah memandang sinis padanya
            “Cepatnya berita itu sampai kepada pelajar perempuan ya.”  Ustazah Bariah ketawa.  Giliran Syifa' Umaira pula mengerutkan dahi.  Apa halnya pula, takkan salah  berita yang dibawa oleh Jama'yah tadi, tidak mungkin mereka nak permainkan dia? Kalau salah berita yang disampaikan, malu besar dia nanti.  Macam mana ni, kata hati kecil Syifa' Umaira.  Dia mula resah, merah padam mukanya menahan malu. Ustazah Bariah pula asyik tersenyum  sahaja memandangnya.  Sahlah dia dipermainkan, kata hatinya lagi.  Sekejap Syifa' Umaira duduk antara dua sujud, sekejap bersila,  sekejap bersimpuh.  Ustazah Bariah memerhatikan sahaja tingkah laku gadis di hadapannya itu.
            “Yang awak mengelabah semacam tu kenapa?”  Ustazah Bariah ketawa lagi.  Gelihatinya melihat gelagat Syifa' Umaira yang mula resah, serba salah pun ada.
            “Kalau tak benar berita yang disampaikan kepada saya,  saya minta maaflah,  menganggu ustazah je.”  Syifa' Umaira sudah bersedia untuk bangun.  Semakin galak Ustazah Bariah ketawa.
            “Awak ni Mai, sudahlah susah nak jumpa saya.  Bila ajak ke rumah  selalu menolak.  Hari ni tiba-tiba datang tanya soalan pada saya, betul ke Ustaz Amir Hudzaifa cari calon isteri?  Lepas tu mengelabah macam kucing nak beranak,  resah tak tentu pasal.  Manalah saya tak ketawa,”  kata Ustazah Bariah saja hendak  mengusik Syifa' Umaira.
            “Kalau tak betul, saya minta diri dululah.”  Syifa' Umaira bingkas bangun.  Ustazah Bariah menarik tangannya menyuruh dia duduk semula.  Dia memandang wajah gadis manis kacukan melayu-arab itu.  Memang cantik gadis yang berada di hadapannya.  Ramai siswa yang terpikat dengan Syifa' Umaira.  Cantik orangnya  secantik namanya.  Semuanya pinangan  ditolak oleh  Syifa' Umaira.   Jika ada yang hendak masuk meminang mereka akan  menyampaikan hasrat hati melalui suaminya Ustaz Baharom.  Selalunya Syifa' Umaira menolak dengan baik.
            “Kenapa awak tanya soal itu pada saya? Awak berminat ke?”  Soal Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira memandang wajah Ustazah Bariah yang sudah serius semula.  Syifa' Umaira tersenyum.  Ustazah Bariah turut tersenyum.
            “Ustazah tak jawab pertanyaan saya tadi?  Betul ke Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon isteri?” Tanya Syifa' Umaira semula.  Ustazah Bariah mengerling sekilas pada Syifa' Umaira dan tersenyum manis.
            “Betul?  Tapi kenapa?  Awak teringin nak menjadi calon ke?”
            “Itu sebab saya datang jumpa ustazah, saya ingin menjadi calon,” lancar saja ayat itu keluar dari mulutnya.  Ustazah Bariah terlopong mendengarnya.  Biar betul anak dara ni, takkan sanggup nak jadi isteri ke dua?
            “Awak jangan main-main Mai! takkan awak sanggup jadi isteri ke dua Ustaz Amir Hudzaifa?” Ustazah Bariah seperti tidak percaya dengan pengakuan Syifa' Umaira  tadi.  Syifa' Umaira tersengih.  Dia menganggukkan kepala mengiyakan kata-kata Ustazah Bariah tadi.
            “Ya, Allah… awak benar-benar sanggup ni?”  Ustazah Bariah meminta kepastian. Semakin kuat anggukan Syifa' Umaira.  Ustazah Bariah mendengus kasar,  pelik sungguh anak gadis ini, pinangan lelaki bujang ditolak mentah-mentah, lelaki yang sudah beristeri yang dia mahu.
            “Saya sanggup Ustazah, sebenarnya… dah lama saya simpan perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa.”  Syifa' Umaira berterus-terang.  Terkejut Ustazah Bariah mendengarnya.  Macam tak percaya pula gadis secantik Syifa' Umaira akan jatuh cinta dengan ustaznya sendiri.  Walaupun tidak mengajar sepenuh masa di kolej tersebut tapi kehadiran Ustaz Amir Hudzaifa banyak membantu pelajar-pelajar di kolej itu  menambah ilmu di dada.  Dengan ketampanan Ustaz Amir Hudzaifa, kredibilitinya, ilmunya yang tinggi tidak mustahil ramai yang menyimpan perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa dalam diam. Syifa' Umaira adalah salah seorang dari mereka.  Ustazah Bariah menggelengkan kepala.  Gadis ini terlalu berani, detik hati kecil Ustazah Bariah.
            “Awak tak boleh semudah itu menyatakan kesanggupan awak menjadi isteri ke dua Mai.   enalah bertanya dulu dengan keluarga awak.   Apa pula kata mereka nanti?  Lagi pun awak masih belum habis belajar lagi, takkan nak kahwin?”  Nasihat Ustazah Bariah.
            “Hati dah suka Ustazah, nak buat macam mana?”  Syifa' Umaira mengeluh.
            “Suka?  Ssuka yang bagaimana Mai?”
            “Suka… sukalah…  takkan Ustazah tak faham?"  Syifa' Umairah mencebik.  Ustazah Bariah macam nak permainkan dia pula.
            “Jatuh cinta?”  Teka Ustazah Bariah dan tersenyum.
            “Iyalah!” jawab Syifa' Umaira sepatah.  Dia menundukkan muka.  Terasa tebal  pipinya apabila menyuarakan perasaannya kepada Ustazah Bariah. Ustazah Bariah adalah isteri Ustaz Baharom  yang menyambung pelajaran peringkat Master di Universiti tertua di dunia itu, Universiti Al-Azhar.  Tempat yang menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dari Asia tenggara untuk mendalami bidang agama. Ustaz Baharom merupakan kenalan Ustaz Amir Hudzaifa dan juga anak murid yang tekun mendapatkan ilmu dari Ustaz Amir Hudzaifa sendiri.
            “Dalam diam awak menyimpan perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa? Dah lama ke jatuh hati?” Usik Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira bermain-main dengan jari-jemarinya yang runcing itu.  Ustazah Bariah tersenyum melihat tingkahlaku Syifa' Umaira yang  pemalu itu.  Malu seorang gadis.
            “Ustazah janganlah mempersendakan saya… malu saya.”  Syifa' Umaira tidak berani bertentang mata dengan Ustazah Bariah.
            “Cuba awak pandang mata saya, berterus-terang dengan saya.  Kenapa awak nak menjadi calon isteri ke dua Ustaz Amir Hudzaifa.  Takkan cinta je?  Cinta saja tak cukup Mai.”  Ustazah Bariah meminta kepastian.
            “Saya sayang beliau  kerana keimanannya.  Saya cintakan beliau kerana ilmunya tinggi. Saya kasihkan beliau kerana kebaikannya,” kata Adilah berterus-terang.  Ustazah Bariah mengangkat kening.  Terkejut dengan pengakuan gadis manis itu.
            “Awak serius ni?”  Ustazah Bariah meminta kepastian.  Syifa’ Umaira mengangguk.  Ustazah Bariah menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.  Biar betul budak ni, tidak mungkin gadis ini  sanggup menjadi isteri kedua.  Syifa’ Umaira masih muda, cantik dan masih lagi belajar.  Tidak terfikirkah dia akan masa depannya.  Bukan salah menjadi isteri  ke dua, tapi? Ahh!  Kenapalah  terlalu mengikut kata hati tanpa memikirkan akibat dari tindakannya itu.
            “Mai, saya tidak melarang keinginan awak.   Tapi baik awak bincang dulu dengan keluarga awak. Kalau mereka tak setuju, susah awak  nanti.   Apatah lagi bila hasrat awak ni saya dah sampaikan kepada Ustaz Amir Hudzaifa.  Kalau dia dah setuju, keluarga awak pula tidak, macam mana?”
            “Keluarga saya?  Rasanya mereka tidak menjadi masalah.  Lagi pun bukan saya berkahwin dengan orang sebarangan.   Selama ini pun jika ada yang meminang, saya beritahu mereka.   Mereka serahkan pada saya untuk buat keputusan.  Belum  pernah mereka mempersoalkan tindakan saya waktu saya   menolak semua pinangan,”  kata Syifa' Umaira semakin berani menyuarakan pendapatnya.
            “Itu lelaki bujang trang tang tang!  Ini suami orang, lain Mai. Situasi sama tapi tak serupa.”  Ustazah Bariah masih lagi cuba menasihati Syifa' Umaira agar tidak membuat keputusan terburu-buru.
           “Saya dah nekad ustazah, cinta saya terlalu mendalam pada Ustaz  Amir Hudzaifa. Siang malam hanya  wajah dia je yang terbayang di mata saya.  Tolonglah Ustazah, usahakan agar saya menjadi calon pilihan Ustaz Amir Hudzaifa.“ rayu Syifa' Umaira, hilang perasaan malu.  Apa yang penting segala impiannya akan tercapai untuk berkahwin dengan orang yang dicintainya. Ustazah Bariah mengeluh.  Nekad sungguh gadis manis ini. Kalau dah jatuh cinta, segala-galanya indah,  kerana cinta manusia sanggup  buat apa sahaja.  Kerana cinta, manusia hilang rasa malu.
            “Mai…  saya pun tak tahu nak cakap apa lagi.  Bukan mudah Mai, untuk seorang perempuan berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Awak perempuan, saya pun perempuan.  Saya sendiri tak sanggup nak bermadu.  Saya tak tahu nak kata apa.   Saya macam tak percaya pula.  Selama ini awak selalu menolak  bila ada orang nak menyunting awak untuk dijadikan isteri.  Mereka yang datang meminang bukan calang-calang orang.  Iyalah  nak kata apa lagikan?  Mungkin mereka bukan jodoh awak?  Tapi menjadi isteri nombor dua bukan perkara mudah.  Hati dan perasaan kita mudah tercalar, perasaan irihati, cemburu pasti ada.  Keikhlasan  penting Mai dalam hidup berpoligami ini.  Bukan cukup hanya kerana cinta dan sayang sahaja.   Awak bukan setakat berkongsi suami tapi berkongsi segala-galanya.  Saya rasa baik awak balik dulu.  Buat istikharah.  Cari jawapan yang pasti. Minta petunjuk Allah SWT.
            “Saya dah buat Istikharah ustazah.  Hanya wajah Ustaz Amir Hudzaifa sahaja yang terbayang di mata.”   Syifa' Umaira tersenyum manis.  Menggambarkan keinginannya terhadap Ustaz Amir Hudzaifa.  Ustazah Bariah menggelengkan kepal.  Berita baru sahaja di sampaikan takkan sempat buat solat istikharah?  Biar betul budak ni, bisik hati kecil Ustazah Bariah.
            “Saya dah fikir masak-masak Ustazah.  Inilah keputusan saya.  Saya ingin menjadi calon isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa.  Kalau boleh biarlah jadi ya,” kata Syifa' Umaira mengharap.  Ustazah Bariah mengeluh.  Tak malunya.  Ada senyum di hati.  Ada risau di jiwa. Ustazah Bariah tidak terkata. Keputusan dibuat tanpa merujuk pada orang tua, buruk nanti akibatnya.
            “Keluarga awak macam mana?”
            “Tak apa, tahulah saya menguruskannya,”  kata Syifa' Umaira penuh yakin.
            “Kuliah awak bagaimana pula? Takkan nak belajar sekerat jalan, sayanglah.”
            “Insya-Allah pasti ada jalan keluar yang terbaik buat saya,” kata Syifa' Umaira dengan penuh semangat.  Ustazah Bariah mengeluh.
            “Kalau awak dah beriya-iya nak, saya boleh kata apa.   Beginilah, esok awak datang bawa gambar awak pada saya.  Nanti saya akan sampaikan pada Ustaz Baharom.  Dia yang menguruskan hal ini. Cuma, sambil-sambil tu fikir-fikirkanlah semula keputusan awak ya! Saya tak nak awak kecewa di kemudian hari Mai.”  Ustazah Bariah terus memujuk agar Syifa' Umairah memikirkan keputusannya.
            “Insya-Allah, ustazah.  Esok saya akan hantar gambar saya.  Terima kasih nasihat ustazah.  Saya tahu apa yang saya lakukan.”  Syifa Umaira tersenyum.  Hatinya menari-nari riang.  Perasaan hatinya yang selama ini dipendam dalam diam akhirnya terlahir juga.  Semoga dialah yang akan menjadi pilihan Ustaz Amir Hudzaifa.  Biarlah dia yang menjadi isteri ke dua Ustaz Amir Hudzaifa.  Pertama atau kedua tidak menjadi soal yang penting dia akan hidup bersama dengan orang yang dicintainya.
            “Semoga awak ada jodoh dengan Ustaz Amir Hudzaifa, Mai,”  lembut suara Ustazah Bariah menuturkannya. Syifa' Umaira terlalu muda untuk mengetahui asam-garam kehidupan dalam rumah tangga.  Hidup berdua suami- isteri pun banyak dugaan yang terpaksa ditempohi inikan pula berkongsi dengan perempuan lain.  Ustazah Bariah bimbang. Takut Syifa' Umaira tidak mampu menghadapinya.
            “Jazakumullah khair ustazah.  Saya minta diri dulu.”   Syifa' Umaira bingkas bangun dan berjalan ke pintu di ikuti Ustazah Bariah.  Mereka berhenti seketika di hadapan pintu.  Syifa' Umaira menoleh memandang ke arah Ustazah Bariah.  Mereka bersalaman dan berpelukan.  Setelah mengucapkan salam, Syifa' Umaira pun berlalu dari rumah Ustazah Bariah.  Hatinya berlagu riang, impiannya untuk memiliki orang yang disayang akan tercapai tidak lama lagi.  Dia melangkah dengan penuh yakin.  Apa yang  penting sekarang adalah berdoa semoga Ustaz Amir Hudzaifa adalah jodohnya.  Dalam Islam sendiri ada garis panduan dalam memilih jodoh yang sesuai.  Pilih kerana harta, kemulian, kecantikan dan agama.  Pilihlah yang beragama kerana akan selamat hidup di dunia dan akhirat.  Tetapi  Ustaz Amir Hudzaifa memiliki semua ciri-ciri tersebut.   Syifa' Umaira yakin dia tidak tersalah pilih.  Apa yang penting adalah keimanan dan ketakwaan Ustaz Amir Hudzaifa.  Itulah kebahagian dunia dan akhirat apabila mempunyai seorang suami yang berilmu, beriman dan bertakwa.  Syifa' Umaira tersenyum sendiri.  Orang berilmu seperti Ustaz Amir Hudzaifa pasti boleh berlaku adil. Senyumlah hati, bernyanyi dan berlagu rianglah engkau. kekasih hati akan kau miliki, detik hati kecil Syifa' Umaira.
            Dari kejauhan Ustazah Bariah memerhatikan sahaja langkah Syifa' Umaira dari tingkap rumahnya.  Dia menggelengkan kepala.  Siapa sangka ya, gadis secantik Syifa' Umaira akan jatuh cinta pada suami orang.  Patutlah Syifa' Umaira sanggup menolak pinangan beberapa pemuda yang  datang meminangnya, rupanya hatinya telah dimiliki dan orangnya pula jauh lebih baik dan bukan calang-calang orang.  Ustazah Bariah tersenyum sendiri apabila memikirkan Syifa' Umaira.  Pasti suaminya akan terkejut.  Suaminya juga beriya-iya  hendak menjodohkan Syifa' Umaira dengan adik bongsunya yang baru sahaja habis belajar di Universiti di Jordan.  Nampaknya tidak kesampaianlah hajat suaminya itu.  Orang cantik pasti menjadi rebutan. Tidak mengapalah masih ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia yang boleh dijadikan calon untuk adik iparnya itu.  Ustazah Bahriah mengeluh lagi.  Biarlah Syifa' Umaira dengan pilihannya, jika itu yang dirasakan baik untuknya dan masa depannya.  Dia bukan sesiapa pada Syifa' Umaira. Orang kalau sudah mabuk cinta, semuanya baik pada pandangan mata.  Semoga jalan yang Syifa' Umaira pilih ini adalah yang terbaik untuknya.

BAB 5
            Usai makan malam, Ummi Khadeeja menghidangkan pula Kek Coklat Moist hasil air tangannya.  Waktu makan malam tadi  orang tuanya dan mentuanya makan nasi bertambah-tambah.  Sengaja dia masak makanan kegemaran mereka.  Ayahnya, Haji Naim begitu suka makan Kari Kepala Ikan Merah, emaknya pula suka Sambal Tumis Udang.  Ayah mentuanya amat suka makan Peria Sumbat isi ikan yang di masak kukus, ibu mentuanya pula suka Sotong Masak Kunyit.  Semua lauk kegemaran kedua-dua orang tuanya disediakan.  Sudah lama mereka tidak menikmati masakannya.  Dah terlanjur mereka di sini apalah salah sesekali masak lauk istimewa.
           Ummi Khadeejah memotong Kek Coklat Moist dan meletakkannya ke dalam pinggan.  Di hidangkan bersama teh hijau,  air minuman kesukaan suaminya.  Dia menghidangkannya di ruang tamu di mana mereka semua berkumpul.  Mentua dan orang tuanya sedang rancak berbual bersama suaminya.  Sudah berbulan-bulan tidak bertemu tentu banyak perkara  yang ingin mereka sembangkan.  Ummi Khadeejah sengaja menjemput ke dua orang tua   dan mentuanya datang ke rumah.  Dia ingin menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya dengan suaminya.  Biarlah masalah ini selesai segera.  Dia tidak mahu lagi menangguh keputusan yang telah dibuat. Sudah berbulan-bulan perkara itu difikirkannya.   Tidak  sanggup dia melihat  wajah kusut suaminya.  Semakin cepat perkara itu selesai, semakin tenang hatinya nanti, insya-Allah.
           Ummi Khadeeja duduk di sebelah emaknya, Hajjah Rahimah.   Amir Hudzaifa mencuri pandang ke arahnya.  Dia buat tidak  nampak.  Ummi Khadeeja melemparkan senyuman kepada emaknya apabila sahaja bahunya disentuh.  Dadanya berdebar-debar, dia tidak dapat bayangkan reaksi keluarganya nanti dengan keputusan yang telah diambilnya.  Semoga mereka faham dan redha dengan keputusannya.  Ummi Khadeeja mengangkat kening memberi isyarat agar suaminya memulakan bicara.  Amir Hudzaifa mengangguk lemah.  Selemah hatinya sekarang melihat keadaan Ummi Khadeeja yang tidak bermaya bagaikan orang sakit.  Mungkin tidak sakit fizikal tetapi sedang merana dalam hati.  Amir Hudzaifa mengeluh.
            “Maafkan kami kerana menyusahkan emak dan ayah sampai  terpaksa  datang ke mari.”  Amir Hudzaifa mula berbicara.
            “Tak apalah.  Tak jadi masalah pun.  Boleh juga kami berjalan-jalan.  Lagi pun dah lama tak datang Kelantan.  Kali terakhir  kalau tak salah mak, rasa-rasanya tahun lepas,”  kata Hajjah Rahimah sambil tersenyum.  Ummi Khadeeja  yang duduk di sebelahnya dipeluk mesra.
            “Iyalah, kami pun dah lama tak berjumpa.  Kali terakhir  waktu kenduri Rafeah kan?” Sampuk Hajjah Faridah.  Ummi Khadeeja tersenyum.  Memang lama dia tidak bertemu mentua dan orang tuanya.  Kesibukan menguruskan maahad dan mengikut suaminya keluar daerah membataskan waktu untuk di menziarahi mereka.  Rafeah  adalah adik bongsu suaminya, merangkap adik iparnya.  Ummi Khadeeja memandang kedua orang tuanya yang kelihatan gembira dapat bertemu dengan besan dan menantunya.  Amir Hudzaifa menantu kebanggan kedua orang tuanya.  Dada Ummi Khadeeja sebak tiba-tiba.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.  Semoga dia mempunyai kekuatan untuk menyatakan keputusannya.
            “Asyik berbual terlupa tujuan asal.  Apa halnya yang beriya-iya mengajak kami ke sini? Macam ada perkara besar je?”  Hajjah Faridah memandang anak menantunya.  Wajah Ummi Khadeeja muram dan pucat.  Mengandung pula ke?  Ke situ pula fikiran Hajjah Faridah.  Kalau ada bersyukurlah sangat-sangat.  Rezeki dari Allah  SWT  jangan ditolak.  Amir Hudzaifa pula muram macam orang ada masalah, berkerut dahi Hajjah Faridah memandang Amir Hudzaifa, anak sulongnya dari empat beradik.
            “Tak ada apalah mak.  Dah lama tak jumpa emak dan ayah itu sebab kami panggil datang ziarah kami ni.”  Amir Hudzaifah tersenyum.   Ummi Khadeeja  turut tersenyum.  Dia tahu senyumannya itu dibuat-buat  bagi menyedapkan hatinya sendiri .  Dia tidak mahu orang tuanya tahu dia dalam kesedihan.
            “Mak, ayah…  Sebenarnya ada perkara yang ingin Ija dan abang Amir beritahu.  Ija harap emak, ayah, dapat menerima dengan hati yang terbuka.  Berlapang dada.  Apa sahaja yang Ija cakap datangnya dari hati Ija sendiri.  Bukan paksaan dari sesiapa,”  kata Ummi Khadeeja memulakan kata-kata.  Dia cuba menahan perasaannya.  Dia tidak mahu menangis lagi. Sudah cukuplah air mata ini mengalir, mengenangkan apa yang terjadi antara dia dan Amir Hudzaifa, suami yang amat dicintai dan amat disayanginya itu.
            “Lain macam je bunyi cakap kau Ija?  Ada masalah ke kau dengan Amir?”  Haji Ishak mula tidak sedap hati.  Kata-kata menantunya bagaikan ada perkara besar yang ingin mereka sampaikan kepadanya dan kepada besannya.  Budak-budak ni ada masalah ke? Fikir Haji Ishak.
            “Kau orang berdua ni kenapa?  Risau emak dan ayah dibuatnya.  Macam nak cakap sesuatu yang besar?”  Hajjah Rahmah pula menyampuk.  Keadaan mula riuh-rendah dengan suara emak dan ayahnya saling bercakap sesama mereka.  Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja, isterinya menundukkan muka tidak mahu bertentang mata dengannya.  Amir Hudzaifa mengeluh.  Abang rindukan senyumanmu sayang, bisik hati kecil Amir Hudzaifa .  Namun senyuman yang diterima daripada  Ummi Khadeeja adalah senyuman  tanpa nyawa.  Muram dan suram.
            “Eee!  Main teka-teki pula dengan kami?  Cakap je lah apa yang kau orang nak cakapkan.”  Haji Naim memandang wajah anak dan menantunya silih berganti.  Seorang macam mati bini, yang seorang lagi macam mati laki.   Kasar bunyinya.  Tapi itulah hakikat.  Lemah bagaiman tidak bermaya.  Haji Naim mengeluh.
            “Saya nak menikah lagi, mak… ayah!”  Kata Amir Hudzaifa berterus-terang.  Ummi Khadeeja tetap menunduk. Dia tidak mahu memandang wajah suaminya ketika melafazkan ayat tersebut. ‘saya ingin menikah lagi’ bagaikan menarik duri dalam daging begitulah sakitnya hatinya ketika itu.  Tetapi apakan daya.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa.
            “Apa?   Nikah lagi?   Untuk apa ?  Dengan siapa?  Ya, Allah  Amir!! Kenapa semua ini terjadi?” Soalan yang bertubi-tubi keluar dari mulut Haji Ishak.  Tersandar dia di sofa mendengar kata-kata anaknya itu.  Hajjah Rahmah mula resah.  Haji Naim terdiam tidak terkata apa-apa.  Hajjah Faridah menggelengkan kepala.  Mereka tidak percaya.  Mereka terkejut mendengarnya.  Apakah rumah tangga anak-menantunya tidak bahagia?  Apakah Ummi Khadeeja ada berbuat salah sehingga terpaksa di madukan?
            “Mak dan ayah janganlah marah pada abang Amir.  Ija yang setuju abang bernikah lagi.” Ummi Khadeeja memandang wajah mentua dan orang tuanya.  Dia mengharapkan mereka memahami situasinya.  Dia berharap mereka akan menjadi orang yang mampu menyejukan hatinya yang sedang sakit  ini.  Gelisah.  Resah.  Risau.  Bimbang silih berganti
            “Kau dah gila ya Ija?  Kau ingat senang hidup berkongsi suami dengan perempuan lain?”  Marah Hajjah Faridah.   Dia seperti tidak percaya menantunya mengizinkan anaknya berkahwin lagi.  Apa kekurangan menantunya itu sehingga tergamak anaknya ingin bernikah lagi.  Sukar untuk dia mempercayai apa yang sedang berlaku.
            “Betul kata mentua kau!  Jangan buat kerja gila?  Mak tak setuju Amir.  Apa dosa anak emak, kau buat begini?  Kalau dah tak suka, hantar je pulang pada emak!  Tak payah kau siksa hati dan perasaan dia. apa yang kurang lagi? Atau kau teringin nak dapatkan anak perempuan pula?  Ija… kau  dah tak boleh mengandung ke?”  Lengking suara  Hajjah Rahmah.  Keadaan menjadi tegang.  Ummi Khadeeja  serba salah.  Dia memanggil mentua dan orang tuanya adalah untuk menyelesaikan masalah.  Bukan menambah masalah.  Amir Hudzaifa meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya.  Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepasnya.
            “Mak, Amir tak bermaksud nak lukakan hati dan perasaan Ija.  Amir buat semua ini demi masa depan maahad dan dakwah.   Amir nak ada orang yang menjaga maahad waktu Amir keluar daerah.   Amir tidak mahu berterusan membebankan Ija. Sekurang-kurangnya isteri muda Amir nanti boleh membantu Ija menguruskan maahad ini.  Hanya itu sebabnya mak, ayah.  Amir harap sangat emak dan ayah faham dengan keadaan Amir,” kata Amir Hudzaifa panjang lebar.  Dia berharap sangat mentua dan orang tuanya memahami keadaan dirinya.
            “Kan dah ada Ustaz Din yang membantu kau menguruskan maahad ini?” Haji Naim kurang senang dengan keputusan menantunya itu.  Takkanlah kerana urusan dakwah sehingga nak kahwin lagi.   Kalau kerana maahad, Ustaz Din sudah cukup membantu.  Bukankah boleh dicari orang lagi yang boleh membantu menguruskannya.  Alasan yang tidak cukup kuat.  Tidak boleh diterima oleh akal.
            “Tak sama bapak!  Kalau boleh Amir nak ahli keluarga Amir sendiri menguruskannya.  Bukan orang lain,”  jelas Amir Hudzaifa.  Seboleh-bolehnya dia ingin meyakinkan orang tua dan mentuanya agar mereka menerima cadangannya itu.  Dia tidak mahu perkahwinannya nanti tidak direstui oleh mereka.
            “Mak tetap tak setuju!”  Lantang Hajjah Rahmah bersuara.  Dia tidak mahu anak bongsunya itu dimadukan.  Dia tidak sanggup melihat anak kesayangannya itu berkongsi kasih dengan orang lain.  Dia juga perempuan.  Kalaulah suaminya bernikah lagi tentu hancur hatinya.  Mungkin itu juga yang dirasakan oleh Ummi Khadeeja .
            “Mak…! Ija dah setuju.  Ija rela abang bernikah lagi.   Ija redha mak.  Ija ikhlas mengizinkan abang bernikah lagi,” perlahan saja suara ummi Khadeeja .  Mereka semua terdiam. Wajah redup Ummi Khadeeja ditenung dengan penuh sayu.  Patutlah wajah itu muram dan suram.  Tidak bermaya.  Rupanya ada duka yang tersembunyi dihati.  Terpancar di mata.  Tersandar mereka semua mendengar pengakuan Ummi Khadeeja.
            “Ija… jangan buat keputusan terburu-buru Nak,”  kata Hajjah Faridah sayu.  Ummi Khadeeja melemparkan senyuman kepada emak mentuanya.  Saya  tidak terburu-buru mak, kalau dah suami meminta apalah daya, detik hati kecilnya.  Ummi Khadeeja memeluk emaknya yang ada di sisi.  Mahu sahaja air matanya mengalir keluar.  Janganlah mengalir air mata, bisik hati kecilnya.
            “Insya-Allah mak, Ija ikhlas,”  itulah yang mampu dikatakannya.  Semoga hatinya ikhlas.  Mampukah dia ikhlas hanya Allah jua yang mengetahuinya.
            “Amir?  Apa dah kau buat, Nak.   Ayah dan emak tidak akan menghalang.  Menyuruh pun tidak.  Jika inilah kehendakmu.  Ija, emak dan ayah tidak akan masuk campur dalam urusan kalian.  Tapi pesan ayah, apa pun terjadi banyak-banyaklah bersabar.  Kalianlah yang telah memilih jalan ini.” Haji Ishak menggelengkan kepala.   Kecewa pun ada.   Dia lelaki, siapalah yang tidak mahu beristeri lebih dari satu.  Kalau ditanya pada semua lelaki pasti mereka mahu tapi mampukah untuk berlaku adil kepada isteri-isteri yang dikahwini  nanti.  Wajah Amir Hudzaifa dan Ummi Khadeeja dipandang silih berganti.  Ya, Allah… Kau tabahkanlah hati anak menantuku dalam menempuh cabaran dan dugaan yang mendatang, doa Haji Ishak dalam hati.
            “Ija!”  Hajjah Rahmah memeluk erat Ummi Khadeeja.  Dia menangis.  Sayu hatinya memikirkan  nasib anak bongsunya nanti.   Poligami memang dianjurkan agama Islam tapi mampukah Amir Hudzaifa berlaku adil? Mampukah Amir Hudzaifa memberi kasih sayang yang sama rata.  Berat hati Hajjah Rahmah untuk menerima keadaan ini.  Ummi Khadeeja membalas pelukan emaknya.  Dia menahan air matanya dari keluar.  Kalau ikhlas buat apa sedih? Kalau ikhlas kenapa harus berduka? Wahai hati cerialah kau, kata ummi Khadeeja dalam hati.  Mampukah dia ceria seperti dulu?  Mampukah dia berlagak biasa dengan suaminya.  Mampukah dia tersenyum semanis dulu?  Semua itu bermain dikotak fikirannya.
            “Amir, ingat pesan ayah ini.  Jangan kau sia-siakan Ija dan anak-anak kau.  Biar empat sekali pun isterimu.  Jagalah hati dan perasaan mereka.  Sama rata, sama adil! Ingat  tu! lelaki yang tidak berlaku adil dalam hidup poligami di akhiratnya nanti akan jalan menyenget.  Jangan jaga hati yang seorang, yang seorang lagi terasa tersisih. Kalau dah rasa diri itu mampu, apa ayah nak katakan lagi.”  Haji Naim mengeluh.
            “Maafkan emak Ija,”  kata Hajjah Faridah.  Dia merasa bersalah kerana anak lelakinya sanggup menduakan menantunya yang baik dan penyayang itu.
            “Mak…! Mak tak ada salah pada Ija, kenapa nak minta maaf,”  sayu hati Ummi Khadeeja.  Hajjah Faridah menangis.  Dia bagaikan terasa dirinya pula yang dimadukan.  Dia juga perempuan tentulah dia dapat memahami perasaan seorang perempuan.  Kalau dia, tak mungkin dia sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Tak mungkin!  Bukan menentang tapi terasa diri tidak kuat untuk menghadapinya.  Semoga menantunya ini kuat dan tabah.
            Amir Hudzaifa memandang wajah orang tuanya dan mentuanya.  Wajah yang penuh kesedihan. Dia harap mereka faham dan mengerti kenapa dia berkahwin lagi.  Amir Hudzaifa bersyukur akhirnya Ummi Khadeeja bersetuju juga.  Biarlah mengambil masa yang lama untuk isterinya itu berfikir, apa yang penting persetujuan dari iserinya telah diperolehi.  Kedua emaknya masih lagi menangis.  Isterinya pula memujuk mereka.  Amir Hudzaifa tersenyum dalam hati. Kedua ayahnya hanya memerhati dan tidak berkata apa-apa lagi.  Semoga rumahtangga baru yang akan dibinanya nanti akan membawa lebih banyak rahmat dalam hidupnya dan hidup keluarganya.

BAB 6
            SYIFA' UMAIRA membelek buku hasil tulisan Ustaz Amir Hudzaifa.  Dia tersenyum sendiri.  Ketampanan Ustaz Amir Hudzifa terserlah .  Berkali-kali Syifa' Umaira membeleknya.  Gambar Ustaz Amir Hudzaifa ada  dalam buku itu.  Bahagian kata pengantar, dipandang tidak jemu-jemu.  Ya, Allah, kacak sungguh dia, detik hati kecil seorang gadis yang sedang mabuk asmara. Senyuman.  Ketawa. Cara bercakap. Cara berjalan bagaikan sudah hafal di kepalanya.   Bilalah  rindu ini akan terpadam dalam sanubarinya, hatinya terus berbisik sendiri.   Memikirkan lelaki pujaan yang bermain diminda siang dan malam.  Siang bagaikan malam, malam bagaikan siang. Tidak tertahan rasanya hati menunggu orang yang dinanti mengapai rindu ini yang semakin menebal disanubari, Syifa' Umaira tersenyum sendiri.
            Hatinya terus berlagu riang apabila dia di panggil ke rumah Ustazah Bariah dua hari yang lepas.  Rasa mahu didaki gunung Evereste  berada di puncak yang paling tinggi untuk menggambarkan kegembiraan di hatinya.  Mahu dipetik bintang di langit untuk disimpul menjadi bait-bait cinta bagi dilafazkan kepada kekasih hati yang jauh di seberang sana.  Belum pun tahu berita apa yang dibawa, dia sudah berangan-angan. Semua itu tidak penting.  Jauh disudut hatinya dia mengharapkan berita yang akan didengarinya nanti dari mulut Ustazah Bariah adalah berita yang mengembirakan hatinya.
           Syifa' Umaira duduk mengadap Ustazah Bariah penuh sopan santun.  Menunggu dengan sabar ayat-ayat yang akan mengembirakan hatinya.  Harapnya begitulah.  Dia memandang wajah Ustazah Bariah dengan penuh harapan bahawa berita yang ingin disampaikan nanti adalah berita yang akan membuatkan dia tidur lena. Makan kenyang dan mandi basah.
            “Minggu lepas Ustaz Baharom terima panggilan telefon dari Ustaz Amir Hudzaifa.”  Ustazah Bariah diam sebentar.  Dia mengambil nafas dan melepaskan perlahan-lahan.  Dia melihat sahaja wajah Syifa' Umairah yang begitu teruja memandangnya. Kandungannya yang sudah mencecah lapan bulan diusap lembut.   Dalam keadaan begini dia bukan boleh duduk lama-lama, cepat lenguh dan mengah.
            “Jadi?”  Tanya Syifa' Umaira tidak sabar.  Ustazah Bariah tersenyum.  Gopohnya gadis manis ini, tak sabar-sabar, detik hati kecil Ustazah Bariah.
            “Sabarlah!  Awak buat saya gementar pula.”  Ustazah Bariah menampar peha Syifa' Umaira dan mereka tersenyum.
            “Ustazah tu kalau bercakap,  macam nak beritahu pada saya berita yang menyedihkan pula.  Mana saya nak sabar?”  Syifa' Umaira menjeling manja.  Ustazah Bariah tersengih.
            “Iyalah Mai, tengok wajah awak tu pun buat saya susah hati.  Macam nak makan saya je?”  Usik Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira ketawa, dia menutup mulutnya.
            “Nak cakap ke tidak ni Ustazah?”  Tanya Syifa' Umaira.  Tidak  sabar rasanya.  Ustazah Bariah pula sengaja melengah-lengahkan masa.  Ustazah menuang air teh panas ke dalam cawan dan meletakkan di hadapan Syifa' Umaira.   Dia tersenyum sinis.  Syifa' Umaira mula gelisah.  Dia tidak  sabar hendak  tahu berita dari Malaysia.  Berita baik dia terima dengan gembira.  Berita  buruk pun dia redha.  Air di hadapan mata tidak penting lagi.  Kehausan yang di rasa waktu berjalan ke rumah Ustazah Bariah sudah hilang kerana menelan air liur sendiri.
            “Awak nak dengar berita baik  yang mengembirakan atau berita buruk dan menyedihkan?” Ustazah Bariah mengangkat kening, menunggu jawapan dari bibir Syifa' Umaira.  Gadis itu berfikir seketika.   Mana yang lebih baik?  Yang mengembirakan atau yang menyedihkan, fikirnya sendiri.  Wajah Ustazah Bariah ditenung seketika.  Ustazah Bariah tidak memberi apa-apa reaksi, hanya memerhati sahaja tingkahlaku Syifa' Umaira.
            “Berita gembira dulu kemudian berita sedih,” jawab Syifa' Umaira perlahan namun jelas kedengaran di telinga Ustazah Bariah. Dengan hati yang berdebar-debar, Syifa' Umaira menanti.  Dengan penuh harapan,  Syifa' Umaira menunggu.
            “Isteri Ustaz Amir Hudziafa memilih awak sebagai calon isteri untuk suaminya. Tapi ada syaratnya.  Awak kena berhenti  belajar,” kata Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira yang pada mulanya tersenyum mendengar dia dipilih menjadi calon isteri terus terdiam.  Jawapan yang diharapkan sudah didengarinya.   Cuma berhenti belajar?  Itulah yang paling berat untuknya
            “Macam mana?  Setuju ke tak?  Jawapan, mereka nak segera.   Kalau  Mai tak setuju dengan syarat tersebut,  mereka akan cari orang lain,” tegas kata-kata Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira terkedu.  Berhenti belajar?  Belajar!  Aduh!  Macam mana ni?  Hatinya yang bernyanyi lagu joget kini menyanyikan lagu dondang sayang pula.  Lemah gemalai dan merimaskan.
            “Atau,  nak fikir dulu?”  Ustazah Bariah tersenyum.  Syifa' Umaira mengeluh.  Tiada senyuman lagi.  Tiada resah lagi yang ada cuma perasaan berat.  Berat hati untuk menerima syarat tersebut.
            “Kalau fikir dulu, ambil masa.  Isteri Ustaz Amir Hudzaifa tidak mahu menunggu.  Dia nak jawapan segera?  Apa jawapan awak?” Ustazah Bariah terus mendesak. Sesak nafas Syifa' Umaira dibuatnya.  Kepalanya mula berpinar.  Ya  Allah, kalau menerima, dia terpaksa berhenti belajar.  Kalau menolak dia akan kehilangan cinta hatinya.  Mana satu ni?  Kalau boleh fikir dulu tak apalah.  Mereka nak jawapan segera, kata hatinya sendiri.  Syifa' Umaira mengeluh lagi. Ustazah Bariah tersenyum sinis.
             “Kalau nak sesuatu yang berharga, kenalah korbankan sesuatu yang berharga juga."
            “Tak boleh ke  saya sambung belajar sampai habis? Kalau dah kahwin pun takkan tak boleh belajar?”  Tanya Syifa' Umaira macam orang dungu sedangkan sudah jelas dipendengaran telinganya syarat yang harus diikuti iaitu 'berhenti belajar'.
            “Ustaz Amir Hudzaifa cari calon isteri baru untuk membantu dia menjaga maahad dan sama-sama turun berdakwah dengannya.   Kalau isteri muda  masih nak belajar, siapa pula nak jaga maahad? Tak tercapailah misinya.   Baik tak payah! Baik dia cari calon yang dah habis belajar dan boleh membantu dia menguruskan maahadnya.  Buat apa dia tunggu awak?   Dan awak pun Mai, kalau dah nak belajar mengapa gatal menawarkan diri jadi calon isteri?  Belajar je dulu.  Kalau lelaki bujang yang meminang awak dulu, mereka tak meletakkan syarat suruh awak berhenti belajar.  Dalam kes Ustaz Amir Hudzaifa, pujaan hati awak ni, awak wajib berhenti belajar.  Kalau tak nak, saya rasa  baik awak  habiskan  belajar baru cerita pasal kahwin,”  pedih kata-kata Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira menelan air liur sendiri entah berapa kali.  Dia mengeluh lagi.
            “Kalau masih tak pasti, saya nasihatkan awak, tak payahlah susah-susahkan diri jadi isteri orang lagi.  Pergi sambung belajar.  Sampai dah berjaya baru awak fikir nak cari calon suami,” tegas kata-kata Ustazah Bariah.  Wajahnya serius memandang Syifa' Umaira.  Hari itu gatal sangat nak jadi calon.  Bila orang dah setuju, dia pula main tarik tali.  Ustazah Bariah mendengus kasar.
            “Ustazah, macam mana ni?”  Syifa' Umaira pula bertanya pada Ustazah Bariah.  Berkerut dahi Ustazah Bariah.  Nak je aku sekel kepala budak ni… kita dah cakap masih tak faham-faham, detik hati kecil  Ustazah Bariah.
            “Awak ni nak ke tidak?  Kalau tak nak saya akan beritahu pada isteri Ustaz Amir Hudzaifa yang awak menolak.  Kalau setuju,  kenalah awak ikut syarat yang telah ditetapkan,  susah sangat ke?”  Ustazah Bariah mula meninggi suara.   Syifa' Umaira terkedu.  Ustazah Bariah dah marah, kati hatil kecilnya.
            Kenapalah isteri Ustaz Amir Hudzaifa buat syarat macam tu.  Syifah' Umaira mengeluh lagi. Kalau tak setuju tak bolehlah dia berkahwin dengan lelaki pujaan hatinya.  Kalau dia setuju punahlah harapan ke dua orang tuanya untuk melihatnya menggenggam segulung Ijazah.  Perasaan siapa yang harus dia dahulukan.  Perasannya sendiri atau perasaan orang tuanya. 
            ‘Eee… apalah bodoh sangat!  Kahwin je dulu.  Lepas kahwin pandai-pandailah aku pujuk Ustaz Amir Hudzaifa benarkan aku belajar balik.  Itu pun susah.  Kedua-dua pun dapat.  Sudah  jadi isteri dia, apa yang dia boleh buat kalau aku berkeras nak sambung belajar juga.  Isteri tuanya pun tak boleh buat apa-apa waktu itu.  Kenapalah aku tak fikir dari tadi.  Setuju je la, bisik hatinya lagi.  Syifa' Umaira tersenyum semula.  Lega hatinya dapat mencari jalan keluar.  Keinginan hatinya dapat dipenuhi, kehendak orang tuanya dapat dituruti.
            Ustazah Bariah memandang Syifa' Umaira  yang semakin lama semakin kecil di hadapannya itu.  Hampir sejam dia dan Syifa' Umaira berbincang.  Sudah angin satu badan ni.  Budak ni tak pasal-pasal kena pelempang aku, bisik hati kecil Ustazah Bariah pula.  Syifa' Umaira tersengih menampakkan barisan giginya yang teratur kemas dan putih  itu.  Ustazah Bariah pula mencuka dan tidak mampu tersenyum lagi.
            “Macam mana?  Dah ada jawapan ke tidak?” Jerkah Ustazah Bariah.  Syifa' Umaira terkejut.  Dia mengurut dada.  Garang juga isteri Ustaz Baharom ni, detik hati kecilnya.  Nak ketawa takut kena marah.  Akhirnya Syifah' Umaira hanya tersenyum sahaja.
            “Janganlah marah ustazah, nanti anak dalam  rahim ustazah, mukanya masam macam cuka,” sempat Syifa' Umaira bergurau.  Gurauan yang membuatkan Ustazah Bariah bertambah marah.
            “Beginilah  Mai ,awak ni buang masa saya  je! Kalau awak tak nak, baiklah awak balik je, saya ni dah penat duduk macam ni.   Perut saya ni dah sarat.  Tak boleh duduk lama-lama.  Ditambah melayan kerenah awak yang  tak tetap pendirian ni buat saya sakit satu badan je tau!”  Ustazah Bariah mendengus kasar.
            “Maafkan saya ustazah, saya tak berniat nak sakiti hati ustazah.  Maaf sangat-sangat.  Saya setuju dengan syarat tersebut,”  lancar lidah Syifa' Umaira menuturkannya.  Ustazah Bariah menarik nafas lega.  Selesai sudah tugasnya .  Syifa' Umaira tersenyum riang.  Hatinya bernyanyi lagi kali ini lagu joget rentak seratus enam, dia tersenyum sendiri.  Ustazah Bariah mengurut perutnya yang memboyot.  Dia mengeluh.
            “Kalau macam tu,Ustaz Amir Hudzaifa minta alamat rumah keluarga awak.  Mereka nak masuk meminang.  Jangan lupa bagi tahu keluarga awak ada orang nak masuk meminang awak.  Nanti bingung pula mereka.”   Ustazah Bariah tersenyum semula.  Kerja dan beres, detik hati kecilnya.  Perkara yang lain pandai-pandailah mereka urusan sendiri.
            Syifa' Umaira tersenyum lagi.  Puas rasa hati,  tidak lama lagi dia akan menjadi milik Ustaz Amir Hudzaifa yang dipuja-pujanya.  Tidak  lama lagi dia juga akan berhenti belajar.   Ah! Biarlah, ada masa dia akan sambung pelajarannya semula.  Kenapalah hati kau tersangkut pada hak orang lain.  Apa istimewanya Ustaz Amir Hudzaifa  hanya hatinya  sahaja yang mengetahui.  Ramai juga ustaz yang kacak yang dikenalinya tapi mereka tidak dapat menarik hatinya.  Dengan Ustaz Amir Hudzaifa hatinya terpaut pandang pertama.
Beruntung rasanya diri akan bersuamikan seorang  Ustaz yang layak digelar Ulama’.  Seorang ilmuan yang amat disegani,  ramai pengikut dan anak murid yang mengikut pengajiannya.  Kacak dan bergaya,  ada karisma tersendiri.  Yang melihat pasti tergoda, yang mendengar pasti tertawan.  Hai…lah hati!  Cukup-cukuplah.  Tidak  perlu terlalu memuji, orang sedang suka, semuanya indah belaka.  Sabarlah hati kau pasti akan dibelai dengan cinta sejati dari orang yang terlalu engkau cintai.  Hidup bersama, dikasih dan disayangi.  Kebahagian menjadi milikmu kini, berkata-kata hatinya pada dirinya sendiri.  Syifa' Umaira tersenyum puas.  Dia merebah diri di atas katil.  Tidurlah mata,  pejamlah serapat-rapatnya kerana tak lama lagi kau akan melihat kekasihmu hadir di hadapanmu dengan senyuman yang berseri-seri.  Buku tulisan Ustaz Amir Hudzaifa dipeluknya sehingga terlena.
BAB 7

            Hajjah Halimah  mengetap bibir.  Panas satu badan, geram tak terkata, marah tak terhingga.  Kenapalah buat keputusan tanpa merujuk pada orang tua.  Ikut suka dia sahaja.  Kita berdoa siang-malam agar dia berjaya dalam pelajaran, menggenggam segulung Ijazah, alih-alih hantar sms kata nak berhenti  belajar sebab nak kahwin, Hajjah Halimah mengeluh kesal.
            Susah payah dia menghantar anak bongsunya itu belajar ke Mesir, baru tahun dua dah lain pula ceritanya.  Bukan dia menghalang anaknya berkahwin, kalau dah jodoh nak buat macam mana. Tapi takkanlah sampai  terpaksa berhenti  belajar?  Hajjah Halimah mengeluh lagi.  Ah! Budak-budak sekarang bukan faham perasaan orang tua, apa yang mereka tahu kehendak mereka harus dipenuhi.  Perasaan orang  tua yang terluka tak payah diubati.
            Hajjah Halimah berjalan ke hulu ke hilir. Tak betah duduk diam.  Semakin difikir semakin sakit hatinya.  Semakin geram dan semakin marah.  Kalaulah Syifa’ Umaira ada di hadapan matanya mahu sahaja dicekik-cekik.  Eee…! Geram betullah…!
            “Awak ni kenapa? sakit kepala saya tengok awak ke hulu ke hilir depan saya ni,” tegur Haji Mansor.  Hajjah Halimah mencekak pinggang.  Dia memandang wajah suaminya yang sedang  membaca buku yang baru sahaja dibelinya dua hari lepas.
            “Awak tak risau ke? Mai nak berhenti  belajar?  Awak tak ambil tahu pun,” Hajjah Halimah duduk di sebelah suaminya.  Haji Mansor meletakkan buku yang sedang dibacanya itu di atas meja kopi di hadapannya.  Dia memandang wajah isterinya.  Dia menggelengkan kepala.
            “Siapa yang tak risau Limah! Itulah satu-satunya anak kita yang menjejakkan kaki ke menara gading, yang  tiga orang lagi setakat STPM  lepas  tu terus kerja, tak nak sambung belajar lagi… tapi kita nak buat macam mana?  Dah itu keputusan dia.  Cuba awak baca sms anak bongsu awak tu, kalau kita tak bagi kahwin, dia tetap akan kahwin, awak nak buat macam mana lagi?” Haji Mansor mendengus kasar.
            “Sakit kepala saya ni, kita di sini mendoakan kejayaan dia.  Dia senang-senang  je ambil keputusan berhenti. Eh! siap nak kahwin lagi.  Tak bagi tetap nak kahwin!  Kita diugutnya,”  marah Hajjah Halimah.  Haji Mansor tersenyum.
            “Tegas tak bertempat Limah, itulah jadinya.  Tidak  tetap pendirian.  Nanti  bila ditimpa masalah baru nak menyesal,”  leter Haji Mansor.  Hajjah Halimah mengeluh kasar.
            “Anak kita tu dah gila agaknya? Atau pun ada orang buat guna-guna kat dia tak?  Itu sebab dia ikut cakap orang tu?” Teka Hajjah Halimah.  Haji Mansor menggelengkan kepala.
            “Tak baik mendoakan anak dengan perkara yang tak elok Limah.  Tak ada siapa nak guna-gunakan anak awak tu.”
            “Awak takkan tak nak buat apa-apa? Awakkan tok kadi?”
            “Awak nak saya buat apa?  Awak ingat saya ni apa?  Menteri! polis! Saya ni tok kadi je Limah hoi! Saya boleh nikahkan orang je.”
            “Esok orang yang nak meminang anak kita tu datang.  Ya, Allah! macam mana ni bang? Siapa mereka tu?”  Hajjah Halimah mula resah dan risau.  Risau kerana tidak tahu siapa yang meminang anaknya.  Resah kerana sikap Syifa’ Umaira yang membelakangkannya.
            “Tu… dalam sampul surat tu ada maklumatnya, baca je lah…” Haji Mansor memuncungkan mulutnya menunjukan satu sampul surat yang terletak di atas almari pinggan-mangkuk.  Hajjah Halimah turut memandang ke arah yang sama.  Mereka saling berpandangan.
            “Awak dah baca ke?”  Tanya Hajjah Halimah.  Haji Mansor yang kembali menyambung  pembacaannya mengangguk perlahan.
            “Awak kenal ke orangnya?” Sambung Hajjah Halimah lagi.  Haji Mansor mengeluh.
            “Kenal Limah,” jawab Haji Mansor perlahan juga.
            “Ish! Awak ni buat endah tak endah je pertanyaan saya, kita tengah risau, dia boleh buat tak tahu!”
            “Awak nak saya cakap apa?  Memang saya kenal Ustaz Amir Hudzaifa tu. Warak. Baik. Beriman, tawaduk dengan ilmunya.  Ada maahad sendiri.   Kalau tengok dari gambar tu, memanglah Ustaz Amir Hudzaifa yang saya kenal, sebab ada beberapa kali saya ikut kuliah dia.  Tapi setahu saya, Ustaz Amir Hudzaifa tu dah beristeri. Iyalah saya pernah jumpa isteri dia.  Takkan anak kita nak bermadu, Limah?”  Haji Mansor baru teringat.  Tidak mungkin anaknya nak bermadu, atau Ustaz Amir Hudzaifa dah bercerai dengan isterinya?  Haji Mansor menggaru kepalanya yang tidak gatal itu tapi sudah dipenuhi uban itu.
            “Ada isteri?  Ya, Allah!  Semakin berserabut fikiran saya bang!  Apalah nak jadi dengan anak kita sorang ni? Kenapalah dia suka sangat buat saya marah? Nasib baik saya tak ada darah tinggi,  kalau tidak mahu tumbang saya ni.”   Hajjah Halimah mula sebak.  Haji Mansor mengeluh kesal.  Kalau Ustaz Amir Hudzaifa dari Kelantan tu memang dia pasti ustaz itu sudah beristeri.  Haji Mansor memandang isterinya yang sudah pun menangis.  Dahinya berkerut.
            “Yang awak menangis kenapa?”  Tanya Haji Mansor.  Hajjah Halimah mengesat air matanya.  Dia tidak menyangka lelaki yang meminang anaknya itu sudah beristeri, anaknya pula setuju dan menerima.
            “Gila!  Memang kerja gila! Anak awak tu tak fikir masak-masak ke bang?  Dia tahu ke tidak yang  Ustaz Amir Hudzaifa tu dah ada isteri?”  Hajjah Halimah mengelabah.  Fikirannya mula tidak tenang dan berserabut ditambah dengan maklumat yang baru diberitahu oleh suaminya bertambah kacau fikirannya.
            “Dahlah, tak payah awak pening-peningkan kepala! Esok kita tahu jawapannya.”  Haji Mansor bingkas bangun.  Esok dia akan bertemu dengan Ustaz Amir Hudzaifa dan rombonganya yang akan datang meminang.  Waktu itu bolehlah dia bertanya sendiri pada Ustaz Amir Hudzaifa status sebenar lelaki yang bakal menjadi calon suami anaknya.  Haji Mansor  melangkah menuju ke bilik.  Rumah teres setingkat itu dibeli lima belas tahun dahulu dan sudah pun dibesarkan di hadapan dan belakang.  Selesalah untuk dia dan isterinya tinggal.   Anak-anak yang lain sudah berkeluarga dan sudah ada rumah sendiri.  Cuma tinggal Syifa' Umaira sahaja yang bersama dengan mereka.
            “Awak nak ke mana pula tu?  Masalah kita belum selesai ni?”  Hajjah Halimah memandang suaminya yang berlalu meninggalkan dia seorang diri di ruang tamu itu.  Panggilannya tidak dipedulikan Haji Mansor.  Hajjah Halimah mengeluh.   Hatinya kecewa.  Dadanya sebak.  Hancur hatinya dengan sikap Syifa’ Umaira.   Buat keputusan tanpa terlebih dahulu berbincang dengan mereka.  Kenapalah anaknya itu  buat keputusan terburu-buru, detik hati kecilnya.
            Sebelum ini tahu pula anak gadisnya itu memberitahu tentang pemuda-pemuda yang ingin meminangnya.  Semuanya ditolak, Hajjah  Halimah tahu tentang itu kerana Syifa' Umaira akan berbincang dengannya terlebih dahulu tapi kali ini kenapa tidak ada perbincangan antara mereka.  Kenapa? Apa dah jadi dengan anaknya itu. Apa yang telah merasuk fikiran anaknya itu sehingga membuat keputusan di luar jangkaan.  Lain yang diharap, lain pula yang  jadi.
            Dia dan suaminya menaruh harapan yang tinggi  pada Syifa' Umaira.  Syifa' Umaira adalah harapan mereka.  Anak bongsunya itu adalah  semangatnya.  Ku sangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari, bisik hati kecil Hajjah Halimah.  Pening, pening….  Hajjah Halimah  mengeluh lagi.  Hendak  marah, empunya diri tidak ada di hadapan mata. Hendak lepaskan geram pada siapa?  Kata hatinya lagi.  Kepalanya mula berdenyut,  kerana Syifa' Umaira sakit kepalanya menyerang semula.  Migrain...! Anak oh Anak… !


BAB 8
         SYIFA' UMAIRA duduk mengadap laptopnya sambil menyanyi riang,.  Hati sedang gembira terpancarlah pada gerak cara serta di wajahnya.  Bunyi tolakan pintu yang kuat membuatkan dia terkejut.  Dia mengurut dada.  Jama'yah dan Azidah mencekak pinggang memandang ke arahnya.  Syifa' Umaira kehairanan melihat tingkahlaku kedua orang kawan serumahnya itu.  Wajah mereka merah padam, macam orang marah.  Takkan marah dengan dia?  Dia buat salah apa dengan mereka? Syifa' Umaira berfikir sejenak.
            “Tak apayah nak fikir-fikir!  Orang macam kau, mana ada rasa bersalah?” Jama'yah mengetap bibir.  Syifa' Umaira terkedu.   Macam ahli nujum pula Jama'yah ni, tahu je aku nak buat apa, bisik  hati kecil Syifa' Umaira.
            “Pura-pura buat terkejut pula!  Kesalahan sendiri tak nak mengaku!” Azidah mengecilkan matanya memandang Syifa' Umaira.   Kalau boleh telan, sudah ditelan bulat-bulat Syifa' Umaira.  Biar hilang dari muka bumi,kata Azidah dalam hati.
            “Awak  berdua ni kenapa?  Masuk-masuk je nak marah saya?  Saya buat salah apa pada awak  berdua?  Angin tidak, hujan pun tidak.  Tiba-tiba puting beliung, tentulah saya hairan?”  Syifa' Umaira memandang wajah mereka berdua.  Tentulah dia kehairanan, marah tanpa tahu pokok sebabnya.   Menerjah tanpa beri salam.
            “Perempuan jenis apa awak ni?  Hah!  Sanggup awak tawarkan diri jadi isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa?  Tergamak awak sakiti hati perempuan lain?  Awak ni tak ada perasaan ke?”  Mata Jama'yah membuntang memandang wajah Syif' Umaira .  Kalau ikut marah dan meroyan sekejap, rasanya mahu dicekik-cekikSyifa' Umaira sampai mati lepas tu potong dua puluh dua.   Humban di padang pasir biar hilang terus tidak  ada  sesiapa yang  jumpa, bisikan jahat di hati Jama'yah.  Jama’yah mendengus kasar.
            “Laa… sebab itu awak berdua marah sangat dengan saya?  Saya ingatkan apa tadi!”  Syifa' Umaira buat wajah selamba.  Dalam hati kecut perut juga dengan kemarahan kedua orang kawannya.  Kalau mereka naik minyak, takut juga dia.  Nanti tidak pasal-pasal boleh masuk ICU.  Syifa' Umaira memandang laptopnya dengan pandangan yang kosong.  Dia menunggu reaksi seterusnya dari  mereka berdua.
 “Dia boleh buat muka selamba?  Eee…! geramnya saya!!  Saya nak awak batalkan niat awak nak berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa!”  perintah Jama'yah tegas.  Syifa' Umaira terlopong mendengarnya.  Dia memandang semula wajah Jama'yah yang masih lagi marah padanya.
            “Awak datang jumpa saya, marah-marah lepas tu senang-senang suruh saya batalkan niat saya nak kahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa yang kacak tu?  Awak berdua memang dah gila agaknya?”  Syifa' Umaira mencebik.   Susah payah aku melobi diri sendiri.  Alih-alih senang  saja mereka nak suruh dia  membatalkan niatnya  mahu  berkahwin dengan pujaan  hati. Boleh jalanlah!’  Kata hati kecilnya.
            “Saya tak sangka di sebalik wajah ayu awak tu, lembut dan bersopan ada perasaan buruk!  Busuk macam tong sampah!” Azidah mengetap bibir. Dadanya turun naik menahan marah. 
            “Awak Azidah, jangan sedap-sedap mulut nak hina saya!   Saya bukan kacau rumah tangga awak berdua.  Isteri Ustaz Amir Hudzaifa dah setuju terima saya sebagai madunya.   Awak berdua sibuk sangat tu kenapa?  Atau… awak berdua yang nak berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa?”  Syifa' Umaira tersenyum sinis.  Dia menjeling.
            “Eee… jadi isteri  nombor dua?  Nau’zubillah! Minta di jauhkan!  Kami tak gila macam awak!  Kerana kekacakan Ustaz Amir Hudzaifa awak tergila-gila pada dia.   Sedangkan di pihak lain sedang menjerut rasa,”  Jama'yah menggelengkan kepala.   Dia kesal dengan sikap Syifa' Umaira.  Tidak berfikir dahulu sebelum bertindak. S  yifa' Umaira memandang Jama'yah dan Azidah sekilas.  Wajah mereka sudah sedikit kendur.  Mungkin sudah hilang perasaan marah yang tadi sedang membuak-buak.
            “Mai, saya rayu pada awak,  tolonglah batalkan niat awak untuk berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa.  Kasihanlah pada isterinya, Kak Ummi Khadeeja, dia baik orangny.  Takkanlah awak sanggup menyakiti hatinya?”  Jama'yah mula mengendur.  Dia memandang wajahSyifa' Umaira dengan penuh harapan.  Dia berharap kawannya itu akan mendengar kata-katanya.
            “Ops!  Kalau saya tolak sekali pun, Ustaz Amir Hudzaifa tetap akan kahwin lain juga.   Sepatutnya awak berdua bersyukur, isteri Ustaz Amir Hudzaifa memilih saya.  Bolehlah saya jadi kawan baik dia nanti.  Saya janji, saya takkan sakitkan hatinya.  Saya akan jadi ‘madu’ yang baik untuknya dan isteri yang solehah untuk Amir Hudzaifa.”  Syifa' Umaira tersenyum gembira. Jama'yah dan Azidah saling  berpandangan.   Tidak terlahir kata-kata melihat sikap dan tingkahlaku Syifa’ Umaira. 
            “Tapi kenapa awak?  biarlah orang lain, Mai.”  Jama'yah duduk di kerusi.   Sudah penat berdiri.  Dia mengeluh.  Azidah menuju ke katilnya dan menyandar di birai katil.  Mereka tenang semula. Tergambar kekecewaan di wajah mereka.
            “Saya sayangkan Ustaz Amir Hudzaifa,” lancar ayat itu keluar dari mulut Syifa' Umaira.
            “Banyak lelaki bujang di Universiti ini kenapa Ustaz  Amir Hudzaifa yang sudah beristeri itu juga awak nak buat suami?” Azidah mengeluh.  Wajah Syifa’ Umaira yang tenang dan tiada rasa bersalah itu ditenung lama.  Rupa ada. Usia masih muda kenapa hendak juga berkahwin dengan suami orang.
            “Sudah saya katakan tadi… saya sayang… saya cinta.   Takkan tak boleh faham perasaan saya?”  Syifa' Umaira menjeling tajam.  Kita dah cakap, tapi masih tak faham, pekak agaknya,bisik hati kecil Syifa' Umaira.
            “Orang kalau cinta sebab dah kenal.    Pernah berjumpa.  Ini tidak, awak tengok Ustaz Amir Hudzaifa dari jauh je.  Lepas tu awak tanya beberapa soalan, dia akan menjawab soalan awak itu.  Takkanlah sebab itu awak dah jatuh cinta pada dia?  Macam tak logik  je?”  Jama'yah mengerutkan dahi.  Mudahnya jatuh cinta.   Tidak mungkin dengan hanya memandang.  Jama'yah berfikir sejenak.  Mungkin juga.   Tetapi ini bukan filem Hindustan.  Bukan juga novel cinta.  Baru  berjumpa  beberapa kali  terus jatuh cinta.  Jama'yah menggelengkan kepala lagi.  Sukar untuk dia mempercayainya.
            “Cinta pandang pertama.  Dari mata turun ke hati.”  Syifa' Umaira tersenyum.   Terbayang wajah Ustaz Amir Hudzaifa di ruang matanya.
            “Cinta?  Pergi jalan dengan awak punya cinta!  Mai, rumah tangga bukan perkara main-main.  Besar tanggungjawab yang akan terpikul dibahu kita apabila sudah menjadi isteri.  Susah senang suami awak harus harungi bersamanya. Buruk baik perangai suami hendaklah awak terima dengan seadanya.  Berkahwin seorang pun berbagai masalah yang timbul, inikan pula hendak berkongsi kasih dengan orang lain. Awak sanggup ke berkongsi suami dengan perempuan lain?  Awak yakin hati awak mampu menerimanya?”  Panjang lebar nasihat Jama'yah.  Syifa' Umaira mengeluh.
            “Saya tahulah Perasaan saya sendiri!  Tahulah saya macam mana nak uruskan rumah tangga saya. Bukankah  Kak Ummi Khadeeja ada?  Tentulah dia boleh tunjuk ajar saya.  Awak berdua tak perlulah bimbang!”
            “Kakak saya sendiri di madukan Mai.  Saya melihat sendiri penderitaan kakak  apabila suaminya berkahwin lagi.  Kehidupan dia dan anak-anak terabai, sebab suami asyik menggelek isteri muda.  Kalau saya jadi awak, saya tak sanggup!”  Azidah menundukkan muka.  Dadanya sebak apabila memikirkan nasib kakak dan anak-anak buahnya yang menjadi mangsa suami yang tidak bertanggungjawab.
            “Itu lelaki  yang tak bertanggungjawab.   Ustaz Amir Hudzaifa takkan buat macam tu,.  Saya pasti dia boleh berlaku adil.  Kalau tidak takkanlah dia nak kahwin lagi?  Lagi pun dia kan seorang ustaz.  Tahu bab-bab hukum ni,  saya yakin saya boleh membahagiakan dia dan dia boleh membahagiakan saya.  Kalau kak Ummi Khadeeja tu baik tentulah dia akan mengajar saya banyak perkara.  Kami sama-sama boleh menjaga keharmonian rumah tangga kami.  Saya harap awak berdua faham dan menerima dengan hati terbuka ya,”  Syifa' Umaira tersenyum lagi.  Jama'yah dan Azidah saling berpandangan.  Mereka mengeluh lagi.  Mereka sungguh kecewa dengan kedegilan Syifa’ Umaira.  Puas mereka menasihati nampaknya kawan mereka itu masih tetap dengan keputusan yang telah dibuat.
            “ Kita  perempuan.  Banyak atau sikit pasti ada  perasaan cemburu dan irihati.  Mampu ke awak menahan perasaan tersebut?”  Tanya Azidah.  Syifa' Umaira tergamam.   Cemburu?  Irihati?  Dia ada perasaan itu ke?  Syifa' Umaira mengerutkan dahi.  Dia tidak pernah ada kekasih hati.  Tidak pernah bercinta.  Belum pernah dia cemburu   dan irihati pada sesiapa.   Bagaimana untuk memastikan dia ada perasaan tersebut sedangkan dia tidak pernah mengalaminya.
            “Saya tak pernah cemburukan sesiapa,”  jawab Syifa' Umaira penuh yakin.  Jama'yah mati akal hendak menasihati Syifa' Umaira.  Memang degil dan keras kepala.
            “Awak tetap nak kahwin juga dengan Ustaz Amir Hudzaifa ?  Bagaimana dengan pelajaran awak?”  Azidah merenung Syifa'  Umaira yang berwajah selamba.  Kalau ikutkan hati yang marah dan geram, teruk kawannya yang seorang ni diganyang.  Nasib baiklah dia masih waras dan ada perasaan.  Perasaan hormat pada orang lain.
            “Saya tetap dengan keputusan saya.   Tentang pelajaran saya?  Oleh sebab saya akan berkahwin dengan seorang yang berilmu macam Ustaz Amir Hudzaifa, ada maahad sendiri.  Saya boleh belajar je dengan  beliau.  Kalau setakat nak dapatkan sijil, saya  daftar di mana-mana kolej, ambil periksa ,mudahkan?”  jelas Syifa’ Umaira penuh yakin.
            “Awak memang dah gila Mai!”   Hanya itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Jama'yah.   Lagi dia tunggu dan mengadap muka Syifa' Umaira bertambah sakit hati dan meluat dia tengok.  Syifa' Umairah fikir mudah untuk hidup berkongsi.  Sedangkan orang perempuan yang tidak berkongsi kasih dengan perempuan lain pun akan cemburu bila tengok suami mereka berbual atau melayan perempuan lain, inikan pula nak berkongsi kasih sayang.
            “Keluarga saya pun tak menghalang.  Awak siapa nak menghalang saya?  Lagi pun bulan depan saya balik ke Malaysia.  Saya juga  berhenti belajar.  Saya harap awak berdua doakanlah kebahagian saya dengan orang yang saya sayang.”  Syifa' Umaira tersengih.  Jama'yahdan Azidah mencebik.  Meluat mereka tengok perangai mengedik  Syifa' Umaira.  Dua tahun duduk bersama baru perasan perangai gedik dan gatal Syifa' Umaira.  Pandai rupanya perempuan ini sembunyikan perangai buruknya.
            “Nanti kalau Ustaz Amir Hudzaifa nak kahwin sorang lagi, awak janganlah pula menghalang,”  sindir Azidah.  Syifa' Umaira menjegilkan mata.  Dia  tersenyum dalam hati, Jangan harap! Jama'yah dan Azidah meninggalkan Syifa' Umaira sendirian. Semakin lama  mereka duduk di dalam bilik itu semakin panas hati mereka.  Jama'yah berharap apa yang dilakukan oleh Syifa' Umairah benar-benar membawa kebahagian pada dirinya.  Dia bukan sesiapa pada Syifa' Umaira, hanya kawan biasa.  Kalau keluarga  Syifa'  Umaira sudah setuju.  Isteri Ustaz Amir Hudzaifa menerima.  Apa daya mereka untuk memujuk Syifa' Umaira agar jangan meneruskan niatnya itu.  Semoga kebahagian milik mereka semua.  Doa Jama'yah dalam hati.

BAB 9
            Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja yang sedang leka melihat  gambar yang diserahkan kepada isterinya itu  beberapa bulan yang lalu.  Wajah manis itu ditenung puas-puas.  Walaupun sudah berbelas tahun melihatnya namun tetap cantik di hatinya.  Ikhlaskah dia memuji isterinya sendiri?  Kalau masih cantik kenapa harus berkahwin lagi, bisikan yang bertanya pada dirinya sendiri.  Ah! Pertanyaan yang tidak perlu dijawab.
            “Macam mana?  Ija dah buat pilihan ke?”  Lembut suara Amir Hudzaifa bertanya. Ummi Khadeeja menjeling sekali dan memandang semula gambar-gambar tersebut.   Hanya ada tiga orang calon sahaja.  Seorang pelajar tahun akhir tapi agak berisi sedikit.  Tidaklah secantik mana, biasa-biasa sahaja wajahnya.  Orang Kedah.  Ambil Usuluddin di Mesir.  Calon yang kedua,  pelajar tahun akhir juga, tapi agak kurus sangat.  Ambil Syariah, wajah boleh tahan cantiknya, berasal dari Kelantan.  Calon yang ketiga, pelajar tahun dua. Wajahnya cantik macam peranakan.  Berasal dari Perak. Hidung mancung.  Ada iras-iras wajah suaminya pula.  Macam ada jodoh antara mereka berdua.  Ummi Khadeeja mengeluh sendiri.  Dia menghulurkan gambar tersebut pada suaminya.
            Amir Hudzaifa membelek gambar yang diserahkan Ummi Khadeeja kepadanya. Cantiknya! Detik hati kecilnya. Amir Hudzaifa tersenyum.  Dia memandang Ummi Khadeeja .
            “Ini  ke pilihan Ija?”  Tanya Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja mengangguk perlahan.  Dia mencuri pandang ke arah suaminya yang sedang melihat gambar  tersebut.  Jelas terpancar kegembiraan di wajah itu.  Sukalah tu, orangnya cantik dan manis.  Ummi Khadeeja menahan rasa. Tidak akan dizahirkan apakah perasaannya itu.  Hanya seorang perempuan mengetahui apa yang sedang dia rasakan.  Ummi Khaddeeja memandang ke arah lain.  Tidak mahu butir kaca yang mula ingin mengalir dilihat oleh suaminya. Cepat-cepat dia menyekanya dengan hujung baju.  Dia memandang suaminya semula dengan senyuman dibibir.  Hati janganlah kau bersedih, detik hati kecilnya.
            “Macam mana?  Abang setuju?”  Tanya Ummi Khadeeja semula.  Amir Hudzaifa tersenyum riang.
 “Jika ini pilihan Ija, abang ikut je,”  semakin manis senyuman Amir Hudzaifa .  Ummi Khadeeja tersenyum juga.  Senyuman sinis buat suami tersayang.  Lelaki tetap lelaki.  Amir Hudzaifa memandang gambar itu semula.  Lama dia menatapnya.  Ummi Khadeeja menggelengkan kepala.  Biarlah suaminya merenung gambar itu sepuas-puasnya.  Malas nak layan.
            “Tapi…  gadis ni baru tahun dua di universiti bang,.  Masih belum habis belajar.  Kalau ikut niat abang berkahwin lagi.  Abang inginkan isteri yang mampu membantu menjaga  dan menguruskan maahad ini.   Ija rasa baik kita letakkan syarat supaya dia berhenti belajar.  Kalau dia setuju dan terima syarat kita ,barulah Ija setuju sepenuhnya.  Jika dia tidak boleh mengikut syarat yang kita beri, nampaknya kenalah abang pilih calon lain,”  kata Ummi Khadeeja panjang lebar.  Amir Hudzaifa mengerutkan dahi.
            “Tak kejam ke, kita suruh dia  berhenti belajar?  Nanti apa pula kata orang tuanya?”  Amir Hudzaifa mula risau.  Gadis itu sudah  cukup cantik dan hatinya sudah pun tertawan tapi ada syarat lain pula dari isterinya.  Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Tidak kejamkah kau, hai! Suami berkahwin lagi dengan syarat yang begitu longgar.
            “Kalau dia nak  belajar, sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.  S        iapa pula nak tengok-tengokan maahad?   Bukankah abang berkahwin sebab nak  bantu menguruskan  maahad?  Atau abang ada niat lain?”  Ummi Khadeeja mula cuak.  Amir Hudzaifa tersipu malu.
            “Maafkan abang.”  Amir Hudzaifa serba-salah.  Dia tidak mahu Ummi Khadeeja berfikir yang bukan-bukan pula.  Memang niatnya  berkahwin untuk mencari isteri yang boleh membantunya menguruskan maahad dan dalam masa yang sama dia ingin menambah zuriat lagi.  Ummi Khadeeja walaupun masih awal 30-an tidak nampak akan mengandung lagi. Bukan tidak pernah melahirkan malah mereka sudah mempunyai tiga orang anak, tapi semuanya lelaki.
            “Nanti abang beritahu Ustaz Baharom tentang syarat Ija.   Kalau gadis ini setuju, kita teruskan saja hajat kita tu.   Kalau tidak abang akan suruh Ustaz Baharom cari calon lain,” kata Amir Hudzaifa .
            “Syifa' Umaira... namanya bang.  Cantik orangnya kan.  Sesuai dengan abang,” kata Ummi Khadeeja memuji.  Amir Hudzaifah tersenyum.
                        “Ija pun cantik juga,” puji Amir Hudzaifa.   Ummi Khadeeja tersenyum.   Dulu ya,  sekarang tidak lagi. Ummi Khadeeja menjeling.  Kalau cantik kenapa cari lain?   Ummi Khadeja tersenyum sumbing.
            “Syifa' Umairah pilihan kita, syaratnya berhenti belajar, muktamad ya bang?”
            “Yalah Ija , abang juga setuju,”Amir Hudzaifa mengangguk.  Ummi Khadeeja tersenyum puas.  Apa guna ambil yang masih belajar kalau nak suruh menguruskan maahad. Nanti sibuk ke kuliah dan mentelaah pelajaran dia juga kena menguruskan maahad.  Tiada ertilah dia membenarkan suaminya berkahwin lagi. Ummi Khadeeja bingkas bangun. Cepat-cepat Amir Hudzaifa  menghalangnya.
            “Eh! Ija nak ke mana tu?”  Amir Hudzaifa menarik tangan isterinya.
            “Banyak kerja kat dapur bang.  Ija masuk dulu ya.”  Ummi Khadeeja menarik tangannya dari genggaman  suaminya dan berlalu meninggalkan suaminya seorang diri di ruang tamu yang terasa semakin sepi itu.  Sesepi hatinya kini .  Tidak lama lagi akan berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Hati, janganlah kau bersedih, bisik Ummi Khadeeja . Sebelum sampai di dapur, Ummi Khadeeja memandang semula ke arah suaminya.  Semakin lebar senyuman suaminya. Gambar gadis yang menjadi pilihan mereka masih ditangan.  Semakin sebak dada Ummi Khadeeja.  Akhirnya air mata itu mengalir juga.  Biarlah air mata itu mengalir tiada siapa yang nampak, detik hati kecilnya.  Hati, ikhlaskanlah dirimu, hatinya terus berbisik lagi


BAB 10
            Ummi Khadeeja dan Zaiton duduk mengadap  Hajjah Halimah dan Azilah, kakak sulong Syifa' Umaira.  Mereka hanya saling  berpandangan.  Tiada sebarang kata yang keluar dari mulut mereka.  Ummi Khadeeja mencuit Zaiton, teman baiknya  yang sudi menemaninya untuk berjumpa keluarga Syifa' Umaira .  Zaiton  memandang Ummi Khadeeja sekilas dan memandang semula dua beranak yang  duduk di hadapannya.  Zaiton mengeluh.  Nak mula dari mana ya? Fikir Zaiton sendiri.
            Ummi Khadeeja meletakkan dua bekas yang dibawa bersama di tengah-tengah antara dia dan keluarga Syifa' Umaira.  Lapan  mata memandang serentak ke arah dulang yang berisi sebentuk cincin dan sepersalinan pakaian sebagai hadiah dari pihak Ummi Khadeeja sekeluarga.   Pakaian itu adalah Jubah dari Dubai yang dibeli oleh suaminya waktu ke bandar itu  bulan lepas.
           “Makcik apa khabar?  Saya Ummi Khadeeja, panggil saja Ija.  Saya isteri Ustaz Amir Hudzaifa.  Ini kawan saya Zaiton atau Hajjah Zaiton.”  Ummi Khadeeja memulakan bicara dan memperkenalkan dirinya dan Zaiton.  Wajah Hajjah Halimah masam mencuka.   Azilah  masih selamba.  Zaiton mengeluh sendiri.  Ummi Khadeeja rasa serba tidak kena.   Rasa kekok dan jangal sekali.   Iyalah mereka tak pernah bersua muka dan saling tidak kenal antara satu sama lain tentulah lain rasaanya. Lebih-lebih lagi pertemuan ini membawa hajat.  Hajat besar, hajat suaminya.  Ummi Khadeeja pula mengeluh.  Kenapalah lidahnya bagaikan kaku untuk berkata.
            Di ruang tamu, Ustaz Amir Hudzaifa hadir sendiri untuk meminang Syifa' Umaira .  Dua orang sahabatnya turut menemani.  Dato Ibrahim dan Haji Salleh peneman yang setia.  Haji Mansor tidak terkata apa-apa.   Mungkin sudah jodoh anaknya dengan seorang ulama terkenal.  Biar berat di hati namun  Allah lebih mengetahui.
            “Makcik apa khabar?”  Tanya Ummi Khadeeja sekali lagi. Setelah pertanyaan pertama tiada  tindakbalas  dari mereka berdua.   Ya, Allah !  Kenapa mereka berdua ni, bisik hati keci Ummi Khadeeja.
            “Awak tengok keadaan saya ni?, macam orang sakit ke?”  Jawab Hajjah Halimah serius.  Tiada senyuman.  Tiada kelembutan.  Macam orang nak bergaduh saja lagaknya.  Ummi Khadeejah memandang Zaiton.  Mereka saling berpandangan.
            “Saya Ummi Khadeeja, isteri Ustaz Amir Hudzaifa, dan ini sahabat saya, Hajjah Zaiton, isteri Haji Salleh. ” sekali lagi Ummi Khadeeja memperkenalan diri.  Hajjah Halimah buat endah tak endah sahaja.  Azilah pula hanya tersenyum, hambar.
            “Itu, cincin tanda peminangan kami untuk Syifa' Umair.  Harap makcik sudi menerimanya,”  Ummi Khadeeja menolak bekas cincin itu rapat dengan Hajjah Halimah.  Tiada sebarang reaksi dari dua beranak itu.  Mereka memandang kosong sahaja.  Dahi Ummi Khadeeja berkerut.  Jangan-jangan mereka menolak?  Ummi Khadeeja susah hati.  Kalau itu terjadi tentu suaminya kecewa.  Reaksi suaminya sewaktu melihat foto Syifa' Umaira, membuatkan hati naluri seorang perempuan terbit rasa cemburu.   Ah!  Pergi jauh-jauh rasa cemburu itu.
            “Mak cik nak tanya sikit boleh?”  serius sahaja Hajjah Halimah memandang Ummi Khadeeja .  Macam mahu  ditelannya..
             “Tanyalah mak cik?”  Ummi Khadeeja menunggu pertanyaan dari Hajjah Halimah. Dia memandang wajah Hajjah Halimah yang masam mencuka itu.
            “Betul ke awak ni ikhlas izinkan suami awak kahwin lagi?”  Itulah pertanyaan yang keluar dari mulut Hajjah Halimah.  Ummi Khadeeja tersenyum.
            “Kalau saya tak setuju?  saya tak ikhlas, saya tak datang sini mak cik,”  jawab Ummi Khadeeja.  Hajjah Halimah mencebik.
            “Mak cik perempuan.  Awak juga  perempuan.  Hairan sungguh mak cik sebab ada orang perempuan yang sanggup benarkan suaminya berkahwin lagi.  Kalau mak cik, jangan mimpilah!”
            “Kalau suami dah menyuarakan keinginannya mak cik… takkanlah saya  nak tahan?  Sebagai seorang isteri yang ingin melihat suaminya bahagia dan gembira tentulah saya akan menunaikan kehendak suami saya.  Semua ini  tak menjadi masalah pada saya.  Saya yakin suami saya boleh berlaku adil,”terang dan jelas.  Hajjah Halimah mencebik.  Dia tetap tidak percaya. Mana mungkin seorang perempuan, isteri sanggup suaminya berkahwin lagi.  Malaikat ke?  Sukar untuk dia mempercayainya.
            “Mak cik tak percaya kau ikhlas  meminang anak mak cik? Siap datang pinang sendiri pula tu?”  Hajjah Halimah menjeling tajam.  Kenapalah berat hatinya hendak mempercayai Ummi Khadeeja.  Wajah sahaja lembut dan nampak sopan.  Hati tiada siapa yang tahu.
            “Keikhlasan hati saya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya mak cik.  Saya sendiri tidak boleh mengukur keikhlasan hati saya.  Saya dah memberi keizinan dan saya sendiri yang datang meminang. Takkanlah mak cik tak percaya.   Sudah tentulah hati saya ikhlas,” jawab Ummi Khadeeja tenang.  Dia tetap tenang walaupun Hajjah Halimah melihatnya seperti ada kebencian di hati
“Kenapa  ya suami awak nak kahwin lagi?  Awak ni  tak pandai jaga suami atau awak dah tak boleh layan dia lagi?  Agaknya sebab itulah  suami awak  cari pucuk muda buat ganti diri awak yang dan tua ni.”   Hajjah Halimah mendengus kasar.  Dia menjeling tajam.  Perempuan macam ini pun ada di dunia ini.  Sanggup pula bermadu eh! Siap datang meminang sekali.  Berulang-ulang kali Hajjah Halimah memikirkan perkara yang sama. 
“Tak baik mak cik cakap macam tu pada saya.  Saya ikhlas membenarkan suami saya berkahwin lagi.  Suami saya berkahwin lagi bukan sebab nafsu mak cik .  Bukan  juga sebab saya tak mampu melayan dia lagi atau pun dalam erti kata lain saya dah tua.  Umur saya belum pun sampai  empat puluh  mak cik .  Suami saya lebih tua dari saya.”  Ummi Khadeeja masih mampu berlagak biasa.  Zaiton yang duduk di sebelahnya dah macam cacing kepanasan sakit hati mendengar kata-kata Hajjah Halimah yang agak kasar itu.  Ummi Khadeeja menahan Zaiton dari bercakap apa-apa
Hajjah Halimah menjeling tajam.  Hajjah Halimah mengelus keras.  Dia menjuihkan bibir tidak percaya dengan kata-kata Ummi Khadeeja .  Malaikat ke perempuan ni? Suami nak kahwin lain masih berlagak biasa, dengus Hajjah Halimah lagi.
“Awak dah tengok anak makcik kan?  Dia cantik. Lawa. Putih bersih kulitnya.  Hidung pula mancung bak seludang.  Pendek katalah sempurna sebagai seorang perempuan.  Kalau nak dibandingkan dengan awak, macam langit dengan bumi!”  Ejek Hajjah Halimah ke atas keperibadian Ummi Khadeeja.  Azilah pula menjeling tajam memandang Ummi Khadeeja.
“Itu sebab suami dia nak kahwin lain mak! Dia dah tu. Sudahah tak cantik. Mengelebeh sana –sini.  Itu sebab cari pula anak dara.  Pandai suami dia ya mak,,cari pula cantik macam Mai.  Kenapa ya tak cari janda ke? Anak dara tua ke?”  Sindir Azilah.  Ummi Khadeeja menelan air liur.  Sebak dadanya mendengar kata-kata nista kedua beranak itu.  Kalau tidak kerana suaminya sudah lama dia tinggalkan rumah itu.  Kedua beranak itu boleh buat muka selamba setelah menghina dirinya.  Sedikit pun tidak ada rasa bersalah.   Ummi Khadeeja cuba bertahan selagi mampu.
“Orang lelaki ni macam kelapa tua.  Semakin tua, semakin banyak lemaknya.  Tak sama macam kita orang perempuan.  Semakin tua, semakin tak larat nak menguruskan rumah tangga terutama nak layan suami.  Awak tak takut ke?  Anak mak cik tu masih muda.  Tak takut ke kalau suami awak  beralih sayang anak mak cik lebih dari awak?  Mana tahu sampai satu masa nanti dia ketepikan awak terus.  Nanti jangan salahkan anak mak cik pula?”  Hajjah Halimah terus menyindir.  Sakit benar hatinya.  Macam tidak ada perempuan lain lagi  hendak  dijadikan isteri.  Anaknya yang masih muda belia dan masih belajar mahu  dijadikan isteri. Hajjah Halimah mengeluh kasar.
“Mak cik, kami datang baik-baik nak meminang anak mak cik!  Bukan minta mak cik hina  atau menilai kawan saya ni?”   Zaiton bersuara.  Tidak tahan hatinya mendengar butir bicara kedua beranak itu yang menyakitkan hati.
“Ek!awak menyibuk buat apa?   Saya tak cakap dengan awak pun?  Ini soal masa depan anak mak cik! Ingat senang-senang ke nak bagi kat orang?  Dah tu jadi isteri nombor dua!  Awak berdua fikir tak perasaan kami?  Kami keluarga perempuan!   Kami berhak tahu siapa bakal suami anak kami.  Dengan siapa dia bermadu?  Elok-elok belajar  di suruh berhenti. Kalau dia disia-siakan nanti bagaimana?  Siapa nak tanggung?  Bukan kami juga yang akan terkena tempiasnya?”  Kata Hajjah Halimah marah.  Dadanya berombak.  Azilah pula  bingkas bangun dan mencekak pinggang.  Dahi Ummi Khadeeja berkerut.  Mereka ni nak bergaduh ke? Detik hati kecil Ummi Khadeeja. Zaiton turut bangun dan mencekak pinggang.  Ummi Khadeeja menarik tangan sahabatnya itu.   Janganlah mereka bertindak di luar kawalan.
“ Saya bukan menyibuk!  Kami datang baik-baik, bukan nak buat musuh!   Anak mak cik yang tergedik-gedik menawarkan diri, bukan paksaan pun dari kami.  Dia yang suruh kami datang.  Dia yang  yang kata makcik dan pak cik  sudah setuju dengan peminangan ini.  Dia juga yang beritahu, mak cik dan pak cik takkan menolak pinangan ini.  Kalau kami tahu mak cik dan pak cik tak setuju, jangan harap kami nak datang.  Ramai lagi yang menawarkan diri menjadi isteri kedua Ustaz Amir, bukan anak mak cik seorang.  Kawan saya ni dah cukup baik membenarkan anak mak cik yang gatal tu berkahwin dengan suami dia tau.  Jadi tak payah nak tuduh-tuduh!” lengking suara Zaiton  tetapi masih terkawal.  Takut didengari orang di luar.  Untung ruang tamu dan dapur agak jauh.  Kalau tidak pasti kecoh jadinya.  Zaiton menarik nafas lega.  Sudah terhambur kata-kata yang memang disimpan dari tadi.  Cuma menunggu masa untuk menerkam orang sombong macam Hajjah Halimah.  Dia perempuan, sepatutnya dia faham perasaan Ummi Khadeeja.  Bukan marah tidak tentu pasal. 
Ummi Khadeeja  terlopong mendengar  kata-kata Zaiton.  Garang juga sahabatnya itu.  Hajjah Halimah terkebil-kebil mendengar butir bicara Zaiton.  Azilah terduduk.  Takut pula dia.   Silap haribulan boleh makan buku  lima.
“Limah!”  Haji Mansor menjengui kepala disebalik langsir.  Semua mata serentak memandang ke pintu.  Keadaan yang tegang tadi kendur semula.
“Ada apa bang?” Sedikit kasar.  Haji Mansor mendengus.  Dahinya berkerut memandang Hajjah Halimah.  Kurang senang dengan suara kasar Hajjah Halimah tadi.
“Rombongan dah nak balik.  Urusan sudah selesai,” kata Haji Mansor.  Hajjah Halimah mengeluh.  Dia memandang Ummi Khadeeja dan Zaiton silih berganti.   Zaiton mengerutkan dahi, masih tak puas hati lagilah tu.  Eee!  Geramnya aku, kata Zaiton dalam hati.
“Iyalah.”  Hajjah  Halimah mengeluh lagi.  Haji Mansor kembali ke ruang tamu.  Air yang terhidang tidak disentuh langsung oleh Ummi Khadeejah dan Zaiton.  Cincin dan pakaian yang dihadiahkan kepada Syifa' Umaira dibiarkan sahaja di ruang dapur itu.
“Mak cik, kami minta diri dulu ya.  Terima kasihlah dan semoga hubungan yang telah dipersetujui ini terjalin dengan baik.”  Ummi Khadeeja menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Hajjah Halimah.  Huluran tangan tidak disambut.  Ummi Khadeeja menahan sebak.  Azilah juga bertindak sama seperti emaknya.  Mereka membiarkan sahaja tetamu mereka pulang.
Ummi Khadeeja mengesar air mata yang berada di tubir matanya.  Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi.  Zaiton mengusap lembut belakang Ummi Khadeeja menenangkan sahabatnya itu.  Ummi Khadeeja mengangguk perlahan.  Mereka menapak menuju ke kenderaan yang sedang menunggu.  Amir Hudzaifa dan  Haji Salleh sudah pun berada di dalam kereta.  Haji Salleh yang memandu.  Ummi Khadeeja menceriakan wajahnya.  Kata-kata hinaan dan nista Hajjah Halimah ditelan sendiri.  Biarlah hanya dia dan Zaiton sahaja mengetahui.  Tidak perlu perkara itu sampai ke pengetahuan suaminya.  Biarlah suaminya mendengar yang indah-indah sahaja.  Apa yang penting pinangan telah di terima walaupun pedih dia menelan  sahaja kata-kata Hajjah Halimah tadi.
“Alhamdulillah, semuanya dah selesai Ija.  Penerimaan keluarganya pun baik.  Ayahnya baik betul.   Hantaran pun tidak terlalu tinggi.  Macam mana dengan ibu dan kakaknya?  Mereka ramah dengan Ija?”  Umi Khadeeja menoleh ke tempat duduk  belakang.   Hanya mereka berempat di dalam kereta itu.  Dato’ Ibrahim membawa kenderaan sendiri.  Dia hendak ke tempat lain pula. 
“Alhamdulillah bang, semuanya baik dan mereka sambut dengan gembira sekali,”  kata Ummi Khadeeja.  Menyembunyikan apa yang berlaku.  Zaiton mencebik.  Dia menguis lengan  Ummi Khadeeja. Tetapi dibuat endah tak endah oleh Ummi Khadeeja.  Zaiton kecewa.
“Baguslah macam tu.  Abang harap hubungan Ija dan keluarga Syifa’ Umaira boleh jadi seperti keluarga.  Oh ya!   Majlisnya lagi dua bulan.  Akad nikah di Masjid Negeri di Ipoh.  Majlis kendurinya  pula di buat di rumah mereka sendiri,” cerita Amir Hudzaifa tentang perancangan majlis pernikahannya nanti.  Ummi Khadeeja hanya menjadi pendengar.  Dia menangis di dalam hati.  Tidak mungkin dia akan memburukkan keluarga Syifa' Umiara.  Biarlah suaminya tahu sendiri.  Biarlah dia sahaja yang menjerut rasa asalkan suami tercinta boleh senyum bahagia.
Hati, bersabarlah kau dengan dugaan ini kerana ada  yang lebih kau cintai dari suami sendiri, detik hati kecilnya.  Ya  Allah,  sesungguhnya Kau lebih ku sayangi dari segala-galanya.  Ummi Khadeeja menarik nafas panjang.  Dia beristighfar di dalam hati.  Biarlah sakit ku tanggung sendiri. Ummi Khadeeja memejamkan mata.
            Zaiton  yang duduk disebelah mengeluh kasar.  Inilah akibatnya terlalu memikirkan kebahagian orang lain.   Kebahagian diri sendiri diketepikan. Ya Allah,  Kau berilah kekuatan dan kesabaran kepada sahabatku ini dalam  menghadapi ujian ini!’ Doa Zaiton dalam hati.  Zaiton memandang ke arah Ummi Khadeeja yang sedang memejamkan matanya.  Zaiton menggelengkan kepala.  Sungguh kuat kau, Ummi Khadeeja.  Kalau aku tidak mungkin aku sanggup hadapinya, detik  hati kecil Zaiton.  Kenderaan bergerak laju meninggalkan negeri Perak  Darul Ridzuan.  Bahagia di hati Amir Hudzaifa, duka di hati Ummi Khadeeja .

BAB 11
            Wajah Hajjah Halimah merah padam menahan marah.  Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia cekik-cekik Syifa’ Umaira yang duduk membisu di hadapannya. Haji Mansor asyik mengeluh sahaja. Syifa’ Umaira  menundukkan muka tidak berani memandang wajah kedua orang tuanya yang sedang angin satu badan itu.  Mereka nak marah apa lagi pada dia?  Pinangan pun dah diterima?  Dia  mencuri pandang ke dua orang tuanya melalui ekor matanya.
            “Kau sedar tak apa yang kau dah lakukan?  Belajar dahlah separuh jalan, dah tu gatal nak bernikah?”  Tempelak Hajjah Halimah.  Syifa’ Umaira  tetap membisu.  Tidak berani bertentang mata dengan  emaknya .
            “Sudahlah Limah! Pinangan pun kita dah terima.  Awak bising  pun tak ada gunanya. Sudah  jodoh anak kita,  nak buat macam mana?” Balas Haji Mansor.  Kalau ikutkan  marah siapalah tidak  marah.  Anak harapan keluarga tiba-tiba buat perangai.  Berhenti belajar kerana  hendak berkahwin.  Siapa yang tidak geram.
            “Kalau ikut saya,  saya tolak je!  Tapi dek kerana anak bongsu awak ni! Eee…! Geram saya dibuatnya!”  Hajjah Halimah mengangkat tangan hendak memukul Syifa’ Umaira. 
            “Sudah!  Sudah!!”  Jerkah Haji Mansor.  Geram pula hatinya.  Perkara sudah pun terjadi.  Pinangan sudah pun di terima, separuh dari hantaran yang telah ditetapkan juga telah diambil.  Haji Mansur mendengus kasar. Hendak marah pun sudah tiada gunanya.
            “Apa salah emak pada  kau Mai?  Macam ni sekali kau buat pada  mak.  Apa pula  kata saudara mara kita?  Dah gatal nak berlaki sampai laki orang pun kau nak ambil?”  Air mata Hajjah Halimah mula mengalir.  Sedih benar dia dengan apa yang terjadi.  Kenapalah anaknya  yang seorang ini hendak sangat kahwin dengan suami orang.   Apakah sudah tiada lagi lelaki bujang yang boleh dibuat suami.  Bukan tidak ada orang yang mahu. Cuma anaknya  sahaja yang jual mahal. Tolak pinangan lelaki bujang, anak teruna.  Eee! Alih-alih terima pula pinangan suami orang.  Akal ada ke  tidak? Hajjah Halimah mendengus kasar.  Kenapalah hatinya sakit sangat. Dia mengurut dada .  Terasa berat di dadanya. 
            “Bawa bersabar Limah! Nanti anak kita tak ada apa-apa, awak pula yang tumbang!”  Haji Mansor menggelengkan kepala.  Perempuan terlalu ikut emosi.  Haji Mansor memandang wajah Syifa’ Umaira yang tunduk memandang  lantai.  Haji Mansor mengeluh kesal, sesal kemudian tiada gunanya.
            “Maafkan Mai  mak!  Ayah.  Hati  Mai dah cinta, nak buat macam mana?”  kata Syifa’ Umaira perlahan tapi mampu didengari oleh Hajjah Halimah.
            “Budak ni kang…penampar naik ke muka?” Marah Hajjah Halimah.  Panas benar hatinya.  Kecewa dengan sikap Syifa’ Umaira yang ambil mudah soal nikah kahwin.  Hidup berumah tangga hanya jika bersandarkan cinta sahaja tidak cukup, lebih-lebih lagi berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Hajjah Halimah takut Syifa’ Umaira tidak mampu menahan sabar dalam menghadapi liku-liku hidup berumah tangga.
            “Hadis Rasulullah yang bermaksud:  Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang  kamu redha terhadap agama dan akhlaknya, maka terimalah lamaran pernikahannya.  Jika kami tidak melakukannya yang demikian, maka akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar.  Baginda mengucapkannya tiga kali,”(Riwayat Al-Tarmizi)… ayat itu sudah jelaskan ayah. Jadi takkan Mai  nak tolak pinangan orang alim macam Ustaz Amir Hudzaifa?” S yifa’ Umaira mula berani memandang wajah kedua orang tuanya.
            “Eee!  Siap keluar hadis pula!  Kau sedar tak apa yang kau lakukan  ni Mai?  Belajar tak habis dah gatal nak bernikah.  Kalau orang bujang, mak dan ayah tak kisah.  Tapi, ini suami orang!  Isteri  ke dua pula tu!  Mana kau letak akal kau Mai?”  Hajjah Halimah tidak habis-habis marahnya.  Dia mengetap bibir. Geram dia tengok wajah anaknya yang selamba tiada sedikit pun rasa bersalah. 
            “Awak ni Limah, tak penat ke?   Ulang je cerita yang sama.  Saya dah tahu,  anak awak tu pun dah tahu.   Ustaz Amir Hudzaifa suami orang.   Anak awak akan jadi isteri nombor dua! Dia dah suka, biarkan je.  Kalau ada masalah nanti, pandai-pandailah selesai sendiri!”   Haji Mansor angkat kaki.  Malas bersembang lama-lama dengan orang perempuan.   Perkara dah selesai pun.  Pinangan sudah pun di terima.  Tidak  perlu bising-bising lagi.  Lagi di fikir dan dibahaskan tidak akan  ke mana kesudahannya.
            “Mak! tolonglah faham… Mai sendiri yang rela. Mai cuma minta mak dan ayah restu perkahwinan Mai  dan Ustaz Amir Hudzaifa.  Mak redha dengan jodoh Mai  ya. Ini pilihan Mai sendiri.  Mai pasti akan hidup bahagia.  Walaupun terpaksa berkongsi kasih dengan perempuan lain.”  Syifa’ Umaira memegang lembut tangan Hajjah Halimah  yang duduk di sebelahnya.  Dada emaknya masih berombak.  Masih marah lagi.   Syifa’ Umaira  mengeluh.  Hajjah Halimah memandang  wajah anak bongsunya.
            “Mak bukan apa Mai, mak takut kau tak mampu hidup berpoligami, sedangkan perkahwinan yang hanya seorang isteri berbagai masalah yang timbul.  Inikan pula berkongsi dengan perempuan lain.” Hajjah Halimah benar-benar bimbang.
            “Percayalah mak, Mai  akan hidup bahagia.   Lagi pun Ustaz Amir Hudzaifa cinta pertama Mai. Salah ke Mai  berkahwin dengan orang yang  Mai  cintai.  Berilah Mai  peluang untuk membuktikannya mak,” rayu Syifa’ Umaira.  Hajjah Halimah serba-salah.
            “Tak tahulah mak nak cakap apa lagi Mai.  Degil kau ni tak boleh dinasihati. Tak mahu langsung dengar nasihat orang!” Hajjah Halimah  melenting semula. Sebak dada Hajjah Halimah apabila memikirkan perkara  itu.  Sebagai seorang ibu hati mana yang tidak terguris.  Walaupun menteri pilihan Syifa’ Umaira, kalau suami orang hatinya tidak akan  dapat menerimanya.
            Jika itu ketentuan Ilahi untukmu, anakku, sebagai ibu, aku tetap redha. Namun jauh disudut hati kecilku tetap terselit rasa kecewa dan sesal di hati.    Jika kau gembira dengan pilihanmu, anakku.  Aku berduka kerana pendeknya akal fikiranmu.  Namun aku tetap mendoakan kebahagianmu, jika ini jalan yang kau pilih.  Aku tetap mendoakanmu.  Jika ini sudah suratan jodohmu, kata Hajjah Halimah dalam hati.  Air matanya mengalir lagi.
            Ya Allah,  aku halalkan air susu yang diminumnya.  Aku ampunkan segala dosa-dosanya.  Jangan Kau uji anakku dengan ujian yang tidak mampu dia hadapi.   Kau berilah dia  kebahagian hidup di dunia dan akhirat.  Doa seorang ibu.  Hajjah Halimah menyeka air mata dengan hujung bajunya dan berlalu meninggalkan Syifa’ Umaira sendirian di ruang tamu.


BAB 12
            Pertemuan empat mata diadakan di sebuah Restoran berhampiran Bandar Ipoh.  Kebetulan Amir Hudzaifah  ada kuliah di Masjid berdekatan.  Ummi Khadeeja mengambil kesempatan untuk  bertemu dengan Syifa’ Umaira  yang sudah pun pulang ke Malaysia.  Ingin benar dia melihat wajah bakal isteri suaminya dan bakal madunya.  Aduh!  Terasa pedih menyebutnya.  Ummi Khadeeja melihat jam ditangan.  kenapa tak sampai-sampai lagi ni, hati kecilnya berkata.  Matanya liar memerhati  ke luar. Mencari-cari orang yang dinanti-nantikan.
            “Maaf saya terlamba.” Syifa’ Umaira menghulurkan tangan bersalaman dengan Ummi Khadeejah.  Hanya senyuman yang diberi.  Syifa’ Umairah  duduk mengadap Ummi Khadeeja dengan penuh tertib dan sopan.  Ada getar di hati Syifa’ Umairah.  Restoran Secret Recipe menjadi pilihan kerana orang tidak begitu ramai. 
            “Pesanlah minuman dulu.”  Ummi Khadeeja  memandang Syifa’ Umaira  tidak berkelip bersama senyuman yang hambar. Syifa’ Umaira memakai jubah berwarna krim dan kain tudung warna senada.  Tiada secalit alat solek diwajahnya.  Kecantikan asli.  Kulitnya putih bersih seperti yang diberitahu oleh Hajjah Halimah, emak  Syifa’ Umiara.   Hidung bak seludang.  Pipi pauh di layang.  Bibir  merah bak delima mekar.  Ya Allah, cantik ciptaanMu.   Ummi Khadeeja  menarik nafas panjang.  Tiada kata-kata yang dapat diucapkan untuk mengambarkan perasaannya ketika itu.  Berhadapan dengan seorang gadis yang manis dan cantik bakal menjadi madunya.  Kalau ikut hati mahu sahaja di ganyang gadis yang duduk di hadapannya itu.  Ummi Khadeeja  tersenyum dalam hati.
            “Akak dah lama sampai?” Tanya Syifa’ Umaira lembut nadanya, merdua suaranya.  Boleh gila bayang mana-mana lelaki yang melihat wajah Syifa’ Umaira. 
            “Taklah lama sangat,” jawab Ummi Khadeeja berbasi-basi.  Syifa; Umaira melemparkan senyuman manis.  Dalam hati ada getar.  Getar bertemua bakal madu sendiri.  Getar untuk ditemuduga oleh isteri bakal calon suami.  Pelik rasanya, Syifa’ Umaira mengelus perlahan.
            “Awak dah jadi tunang suami saya, macam tak percaya pula ya.  Suatu hari saya akan meminang sendiri bakal isteri suami saya. Cantik pula orangnya.” Ummi  Khadeeja  mengangkat kening dan tersenyum sinis.  Syifa’ Umaira tidak terkata apa-apa.  Baru sekali bertemu muka, hari ini bertentang mata.  Berdebarnya hatiku tidak terkata, kata hati Syifa’ Umaira sendiri.   Ummi Khadeeja  menyedut air fresh oren yang terhidang.  Dia sendiri merasa kaku untuk bercakap dengan Ummi Khadeeja.  Tercari-cari ayat yang sesuai.  Bukan hendak marah atau pun hendak menyoal seperti penyiasat menyoal penjenayah.  Tetapi ingin bertanya dari hati ke hati apakah benar-benar gadis di hadapannya ini ikhlas untuk mengahwini suaminya dan sekaligus menjadi madunya, emak tiri kepada anak-anaknya nanti. 
            “Kita terus kepada pokok  perbincangan.  Pinangan sudah pun dibuat dan diterima oleh keluarga Syifa’ Umaira  dengan baik. Namun akak nak juga bertanya dari hati Syifa’ Umaira, apakah hatimu benar-benar ikhlas untuk menjadi isteri ke dua?”  Ummi Khadeeja merenung gadis di hadapannya.  Semoga ada keikhlasan di wajah itu.
            “Panggil saja saya ‘Mai’, keluarga dan rakan-rakan panggil saya Mai.  Kalau ada ragu di hati akak, saya tak mampu nak berbuat apa-apa, kalau saya tak rela, tak mungkin saya setuju kak.”
            “Akak bukan apa Syifa’…er! Mai, akak tidak mahu ada keterpaksaan dalam hubungan kita bertiga.  Kakak mahu perkahwinan kedua abang Amir kekal selama-lamanya selagi hayat di kandung badan dan kalau boleh biarlah sehingga  ke syurga,”  harapan Ummi Khadeeja.  Syifa’ Umaira mengangguk tanda faham, itu jugalah harapannya.  Harapan  sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga.
            “Insya-Allah kak, saya benar-benar ikhlas.  Kalau tak saya tak berhenti belajar,” ada nada sindiran di situ.  Ummi Khadeeja  mengerutkan dahi.
            “Terasa terpaksa  ke berhenti belajar ke?”  Tanya Ummi Khadeeja meminta kepastian.  Syifa’ Umaira tersenyum.   Kalau tidak kerana  aku suka dengan suami kau, jangan harap aku ikut, detik hati kecil Syifa’ Umaira.
            “Eh! Tak lah, rela kak!”  kata Syifa’ Umairah cuba meyakinkan. Ummi Khadeeja  tersenyum sinis.  Syifa’ Umaira  menyengih.
            “Syarat ke dua dan terakhir,  Mai  wajib duduk di maahad bersama kami.  Tdak boleh berpindah atau duduk asing.  Sebab Abang Amir mengahwini Mai kerana nak bantu akak menguruskan maahad.  Kalau duduk asing tak ada makna perkahwinan ini.  Kami akan sedia rumah untuk Mai, tidak jauh dari rumah akak.  Insya-Allah selesa.”  Ummi Khadeeja  menarik nafas dan berfikir seketika.
            “Dua syarat je kak?  Ingatkan banyak sangat.  Syarat pertama dah saya  tunaikan.  Syarat kedua  Insya-Allah  kak,”  janji Syifa’ Umaira.  Ummi Khadeeja tersenyum sumbing.  Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. 
            “Ustazah Bariah ada beritahu akak, Mai  yang tawarkan diri untuk berkahwin dengan Abang Amir, benar ke?   Kenapa ya ?”  Mata Ummi Khadeeja tertancap di wajah Syifa’ Umaira yang masih lagi tersenyum.  Sungguh manis senyumannya.  Lelaki manalah yang tidak tergoda.
            “Malu saya.  Maafkan saya kerana jatuh hati pada suami akak dalam diam.  Hati dah suka kak, nak buat macam mana?”  Syifa’ Umaira tersipu malu.  Beraninya dia berterus-terang, buatnya Ummi Khadeeja  ganyang dia  di sini tak pasal-pasal jadi berita muka depan akhbar Sinar Harian, detik hati kecil Syifa’ Umaira.
            “Maknanya ni cinta pandang pertamalah?  Mudah ya jatuh cinta?  Suami orang pula tu?” Sindir Ummi Khadeeja.  Syifa’ Umaira tidak terkata apa-apa.  Salah ke dia jatuh cinta?  Dahi Syifa’ Umaira berkerut.
            “Jatuh cinta tak salah Mai, tapi jatuh cinta pada suami orang  itu yang salah.  Untung saya sanggup bermadu dan memang kebetulan suami saya ingin berkahwin lagi.  Kalau tidak bukankah sia-sia cinta awak tu?”
            “Maafkan saya.” Syifa’ Umaira tertunduk.  Benar kata Ummi Khadeeja, tidak sepatutnya dia  melayan perasaannya dan menyintai suami orang.  Sepatutnya dia tidak membiarkan perasaan itu tumbuh meliar dalam hatinya.  Apa hendak katakan lagi, segalanya sudah terjadi.
            “Eh! Jangan terasa pula.  Saya cuma beritahu perkara yang benarkan. Oh ya! Ini ada surat perjanjian.  Maaflah, saya tak pakai janji mulut.  Sebelum terkena, lebih baik  berhati-hati.”  Ummi Khadeeja  menyerahkan dua keping surat kepada Syifa’ Umaira.  Terkebil-kebil gadis itu mengambilnya.  Surat perjanjian?  Matilah aku, detik dalam hati.  Syifa’ Umaira tercari-cari pen dalam beg tangannya.  Ummi Khadeeja menghulurkan pen kepada tunang suaminya itu. 
            “Saya bawa cukup lengkap.  Bila ada surat kenalah ada pen,” kata Ummi Khadeeja lembut.
            “Kenapa ada hitam-putih pula kak?  Macam tak percaya pada saya je?” Soal Syifa’ Umaira.  Ummi Khadeeja  tersenyum sinis.
            “Orang yang saya cintai pun boleh mungkir janji, inikan  pula awak yang baru saya kenal sehari dua.  Maaflah jika saya berlebihan dalam soal ini.  Saya harus juga jaga hak saya sebagai isteri pertama. Bukan senang jadi isteri tua dan tidak mudah menjadi isteri muda,” alunan suara Ummi Khadeeja  gemersik ditelinga Syifa’ Umaira, biar pun lembut namun pedih mendengarnya.
            “Tandatangan di bawah ini ye kak?”  Tanya Syifa’ Umaira.
            “Eh! Bacalah dulu.  Nanti kata saya paksa pula awak tandatangan surat tersebut.  Abang Amir dah tandatangan.   Sekarang giliran awak.  Saya juga sudah tandatangan.  Cuba awak tengok tu di bawah sekali.”  Ummi Khadeeja  menunjukkan tandatangan dia dan suaminya.  Syifa’ Umaira terkedu.  Dia membaca isi perjanjian surat tersebut. Tidak boleh sambung belajar.   Wajib duduk di maahad.  Giliran ditentukan oleh suami.   Syifa’ Umaira  memandang wajah Ummi Khadeeja yang masih bersahaja merenungnya.  Sesekali senyuman terukir dibibir isteri bakal suaminya itu.  Dengan berat hati Syifa’ Umaira menandatangani surat tersebut.  Apa yang penting dia dah Ustaz Amir Hudzaifa berkahwin. Alahai!  Pujaan hati, bersyarat pun bersyaratlah…

BAB 13
            SYIFA’ UMAIRA  mendengus kasar.  Di rumah kedua orang tuanya jarang bercakap dengannya.  Marah masih bersisalah tu.  Sepatah ditanya, sepatah emaknya menjawab.  Ayahnya pula sibuk dengan urusan kenduri-kendaranya.  Emaknya pula tidak mahu membantu apa-apa.  Sedih pun ada.  Syifa’ Umairah mengesat peluh.  Penat dia ke Bandar Ipoh bertemu dengan bakal madunya.  Dia tidak menyangka akan ada surat perjanjian antara dia, Ummi Khadeeja  dan Ustaz Amir Hudzaifa.  Ah! Kalau macam itu, t entulah rancangannya untuk belajar kembali tidak akan kesampaian.  Peduli apa dia, yang penting perkahwinan akan berlangsung dan  berjalan lancar.  Soal belajar balik pandai-pandailah dia nanti.
            Syifa’ Umaira termanggu sendiri.  Dia tidak menyangka orang tuanya akan membantah kehendak hatinya.  Salahkah dia menjadi isteri kedua?  Hinakah berkongsi suami dengan perempuan lain? Setahu  Syifa’ Umaira  Islam tidak pernah melarang seorang lelaki berkahwin lebih dari satu.  Orang yang menjadi pilihannya itu pula bukan calang-calang orang.  Sepatutnya ke dua orang tuanya berbangga kerana dia telah memilih seorang yang berilmu, beriman dan bertakwa, bukankah itu ciri-ciri lelaki yang terbaik untuk dijadikan suami.  Bukan mudah hendak mencari lelaki seperti Ustaz Amir Hudzaifa  yang mempunyai ciri-ciri lelaki pilihan seperti  yang telah ditentukan oleh Islam.
             Dalam hati Syifa’ Umaira berharap sangat segala urusannya akan berjalan lancar.  Semoga ke dua orang tuanya akan berlapang dada.  Menerima dengan hati yang terbuka.  Tiada siapa yang akan sakit hati dan kecewa.  Syifa’ Umaira  merenung gambar Ustaz Amir Hudzaifa yang berada di tangannya dan kini tersimpan baik di dalam beg tangannya.  Dia tersenyum sendiri, siapa sangka orang yang dipuja-puja akan menjadi miliknya.
            Setiap orang yang ditemui  akan menasihati perkara yang sama.  Semua orang melarang dia berkahwin dengan suami orang.  Tiada yang memberi sokongan.  Kenapa buruk sangat ke berpoligami ini? Dalam keadaan seperti ini Syifa’ Umaira  berharap sangat sokongan dari keluarganya.  Mereka harus menghormati keputusannya.  Dia yang  akan berkahwin.  Susah senang biarlah dia sendiri yang menanggungnya.  Syifa’ Umaira  mendengus kasar.
            “Hai! Termenung jauh  nampak?”  Suara lembut menerjah telinganya. Syifa’ Umaira  tersedar dari lamunannya.  Dia menoleh.  Syifa’ Umaira  melemparkan senyuman. Dia  bingkas bangun menyambut tetamu yang datang.
            “Mak su Tijah, maaflah tak perasan tadi.”   Syifa’ Umaira  menarik tangan Mak Su Khatijah, adik bongsu emaknya. Mereka duduk di sofa.  Syifa’ Umaira  tersenyum semula.  Sudah lama dia tidak bertemu emak sauadaranya itu. 
            “Balik Malaysia tak beritahu mak su pun.  Untung mak su teringat nak telefon emak Mai semalam, maklah  yang bagi tahu, Mai  ada di rumah.  Kenapa balik awal?   Cuti ke?”  Khatijah mengusap lembut  lengan anak buah kesayangannya itu.  Dari kecil dialah yang mengasuh Syifa’ Umaira  macam anaknya sendiri.  Kini anak kecil itu sudah bergelar anak gadis, cantik dan manis orangnya.
            “Cuti terus!”  sampuk Hajjah Halimah sambil mendekati adik bongsunya dan bersalaman.  Syifa’ Umaira  mencebik.  Nada marahlah tu, detik hati kecil Syifa’ Umaira  sambil memandang emaknya.
            “Cuti terus?  Tijah tak faham?”  Khatijah kebingungan.   Ke dua  anak beranak tu masam mencuka macam musuh pula.  Selalunya merekalah yang paling mesra, sering bergurau senda.  Syifa’ Umaira mencebik.  Hajjah Halimah mendengus kasar.
            “Kau tanyalah sendiri pada anak buah kau ni.  Elok-elok  belajar boleh masuk Universiti tersohor di dunia. Eh! Senang-senang berhent.”  Hajjah Halimah menjeling tajam.  Hatinya masih lagi sakit dengan keputusan anak bongsunya itu.  Sukar untuk dia menerima apa yang berlaku.
            “Mak!”  Syifa’ Umaira kurang selesa dengan nada suara emaknya.  Masih tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku.  Dia sudah pun bertunang.  Pinangan sudah diterima, kenapa maknya masih tidak berpuas hati.   Khatijah memandang wajah ke dua beranak itu silih berganti.  Dahinya berkerut.
            “Kenapa ni?” Tanya Khatijah.
            “Kau tanya sendiri dengan anak buah kau!  Lagi akak duduk di sini, lagi sakit hati akak dibuatnya.”  Hajjah Halimah bingkas bangun .  Syifa’ Umaira mengeluh kesal.  Kenapalah emaknya masih tidak boleh menerima jodoh itu ketentuan Ilahi.  Sudah jodohnya dengan Ustaz Amir Hudzaifa  dan menjadi isteri kedua.  Dia sendiri tidak menyesal.  Bukan emaknya yang akan berkahwin, tapi dirinya.
            “Kenapa ni Mai?  Mak marah semacam je tu?”  Khatijah meminta kepastian dari anak buahnya.  Syifa’ Umaira mendengus kasar.
            “Mai  nak kahwin mak su.”  Syifa’ Umaira memandang wajah emak saudaranya dengan mata yang berkaca. 
            “Baguslah tu! Tapi kenapa emak marah sangat? Mai  berhenti belajar ke?” Khatijah terus bertanya.  Dia inginkan kepastian.  Mesti ada perkara yang menyakitkan hati kakaknya jika tidak mustahil kakaknya akan marah pada anak bongsu kesayangannya itu.
            “Iya mak su, sudah itu syaratnya.  Mahu tak mahu  kenalah Mai  setuju.” Syifa’ Umaira menundukkan muka. Khatijah terkejut mendengarnya.
            “Kenapa pula?  Takkan bila berkahwin tak boleh belajar?  Ni mak su nak tanya, siapa bakal suami Mai  tu?  Kenapa cetek sangat fikiran sampai nak belajar tak boleh?”
            “Ni… .”  Syifa’ Umaira  menghulurkan gambar  Ustaz Amir Hudzaifa yang masih ditangannya.  Teruja  Khatijah melihatnya.  Kacak dan berkarisma.  Nampak pada wajah macam orang berilmu tapi kenapa tidak membenarkan Syifa’ Umaira menghabiskan pelajarannya?
            “Kacaknya!  Pandai Mai  pilih.   Mak su tengok tak ada cacat celanya. Cuma mak su tak faham kenapa sampai kena berhenti belajar? Dan kenapa pula mak marah-marah?”  Khatijah terus mendesak.  Kebisuan Syifa’ Umaira  tidak membantu menyelesaikan masalah  yang sedang berlaku antara ibu dan anak itu.
            “Anak buah kau  tu  nak kahwin dengan laki orang!!  Macam dah tak lelaki bujang dalam dunia ni, laki orang juga yang diburu!!” tempelak Hajjah Halimah dari dalam bilik.  Terkejut Syifa’ Umaira dan Khatijah mendengar suara Hajjah Halimah. Khatijah memandang wajah Syifa’ Umaira meminta kepastian.  Anak buahnya itu tetap menunduk hanya air mata yang  menitis.
            “Mai?”  Khatijah mengusap belakang Syifa’ Umaira yang semakin kuat tangisannya.  Dari dalam bilik  Hajjah Halimah berleter sehingga tidak tahu butir bicaranya.  Di ruang tamu Syifa’ Umaira menangis.  Khatijah mengeluh.  Apa sebenarnya yang terjadi ni, detik hati kecilnya.
            “Betul ke kata mak?  Syifa’ Umaira nak kahwin dengan suami orang?”  Khatijah menggoncang tubuh Syifa’ Umaira.   Syifa’ Umaira mengangguk lemah.  Khatijah beristighfar.  Dia tersandar di sofa terkejut mendengar berita tersebut.  Sukar pula dia hendak mempercayainya. 
            “Ya Allah,  Mai?”  Hanya itu sahaja yang mampu terucap di bibir Khatijah.  Patutlah kakaknya marah sangat.  Apa lagi yang dapat dia katakan.
            “Salah ke Mai pilih suami orang sebagai suami Mai?  Kalau orang tu beriman dan bertakwa. Mampu berlaku adil dan boleh sayang Mai?”  tanya Syifa’ Umaira dalam sedu sedannya.  Khatijah mengeluh. 
            “Memang tak salah Mai? Cuma jika ada pilihan, baiklah kita mencari pilihan lain,” nasihat Khatijah.
            “Hati Mai  dah sayang dan suka mak su, nak buat macam mana?”  Syifa’ Umaira menyeka air mata dengan hujung bajunya.
            “Tapi kenapa sampai berhenti belajar?  Itu yang mak su tak faham?”
            “Isterinya yang membuat syarat tersebut. Sebab Ustaz Amir Hudzaifa berkahwin kerana nak membantu dia menguruskan maahadnya.”   Syifa’ Umaira menekup mukanya dengan ke dua belah telapak tangannya. 
            “Jadi, Mai setujulah?”  Khatijah meminta kepastian.  Syifa’ Umaira mengangguk.   Khatijah menggelengkan kepala.  Kalau buat ikut nafsu tanpa memikirkan akibatnya inilah jadinya.  Restu orang tua penting dalam membina sebuah rumah tangga.
            “Tolong Mai!… mak su.  Yakinkan emak dan ayah yang pilihan Mai adalah terbaik untuk diri Mai. Dah jodoh Mai, mak su.”  Syifa’ Umaira memegang tangan emak saudaranya.  Dia berharap sangat emak saudaranya dapat membantu menyelesaikan masalahnya dengan orang tuanya.
            “Sabarlah Mai.  Mak su percaya emak dan ayah pasti akan dapat menerimanya suatu hari nanti.   Walaupun bukan sekarang.  Mereka tak sekejam seperti yang Mai  sangkakan.  Tengok, ayah tetap menguruskan soal kenduri-kendara Mai.  Emak tu, biarkanlah.  Lama-lama sejuklah tu. Jangan fikirkan sangat ya,”  nasihat Khatijah.   Hanya itu yang dia mampu buat setakat ini.  Tidak pernah dia menduga anak buah kesayanganya itu akan berkahwin dengan suami orang.  Biar  siapa pun lelaki tersebut, dia telah berjaya mencuri hati anak buahnya itu.   Khatijah tidak mahu menghalang.  Jika itu sudah pilihan Syifa’ Umaira, biarkanlah saja.    Mungkin Syifa’ Umaira sudah fikirkan baik buruknya.   Sebagai orang tua hanya nasihat sahaja yang mampu diberi. 
            Syifa’ Umaira  mengeluh kesal.  Rupanya api kemarahan emaknya  belum juga padam.  Biarlah mereka tidak menerimanya buat masa ini, mungkin bila mereka sudah melihat kegembiraannya pasti mereka akan menerima bakal suaminya dengan baik dan menerima dengan hati terbuka.

BAB 14
            Apa lagi hendak dikatakan.  Jelas terpancar kegembiraan di wajah suaminya.  Tidak perlu menuturkan kata,  tidak perlu bercerita.   Gerak gaya dan bahasa tubuh menjelaskan segala-galanya.  Ah! Sakitnya hati hanya dia merasai.  Sakitnya jiwa hanya dia yang mengerti.  Entah banyak mana air matanya mengalir di kesempatan bila berseorangan.  Tanpa diminta dan dipaksa air matanya akan mengalir sendiri.  Hiba benar hatinya.   Kecewa benar rasanya.  Hati suaminya akan dibahagi dunia.  Kasih sayang suaminya akan dibahagi dua. Cinta suaminya akan dibahagi dua. Mampukah dia menghadapinya?  Hanya masa yang akan menentukannya.  Bersabarlah dengan dugaan yang ada.  Ummi Khadeeja  melipat pakaian yang akan di pakai oleh suaminya ketika majlis pernikahannya nanti.  Lipatan bersama air matanya yang mengalir tiba-tiba.  Ya  Alla,  hati kenapa engkau bersedih lagi, sedangkan engkau sendiri telah mengikhlaskan pernikhaan ini.  janganlah kau berduka lagi.  Janganlah kau bersusah hati.  Engkau tidak sendiri.  Engkau tidak akan sepi kerana Allah sentiasa bersamamu, detik hati kecil Ummi Khadeeja.    Berkali-kali dia menyeka air matanya dari mengalir.   Semakin di tahan semakin sebak dadanya. 
            “Ija  buat apa tu?”  Amir Hudzaifa  melangkah masuk ke dalam bilik.  Ummi Khadeeja cepat-cepat menyeka air mata di pipi dengan hujung bajunya.  Dia menoleh dan melemparkan senyuman manis.  Maniskah lagi senyumanku ni sedangkan hatiku berkecamuk dengan berbagai perasaan.  Mampukah aku berlaku gembira sedangkan hatiku kecewa, bisik hati kecilnya.
            “Siapkan beg pakaian abang.  Baju dan semua keperluan abang sudah Ija masukkan ke dalam beg.  Takut nanti ada pula yang tertinggal.”  Ummi Khadeeja  berwajah manis.  Manis lagi wajah bakal pengantin baru sekali lagi.  Sabarlah hati. 
            “Ija  tak nak ikut sekali ke majlis pernikahan abang?  Kalau abang, nak sangat Ija  ada bersama. Barulah terasa meriahnya,”  lembut Amir Hudzaifa  menuturkan kata.  Ummi Khadeeja  tersenyum sumbing.  Tahukah kau perasaan isterimu kini, wahai suamiku.  Engkau gembira, aku berduka.  Engkau bahagia, aku sengsara.   Aku hanya manusia biasa yang ada hati dan perasaan yang juga tidak buta dan tuli, hatinya terus berbicara.
            “Tak apalah bang.  Biarlah Ija  menunggu di sini sahaja.  Nanti tak selesa pula abang nak berbulan madu,”  ada getar kecewa pada suaranya.  Ummi Khadeeja  terus berlagak biasa.  Jangan sampai ketara nanti timbul lain pula cerita.  Amir Hudzaifa tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas dan teratur.  Inilah padahnya bersuaminya orang yang kacak bergaya.  Mudah sahaja orang jatuh cinta dan mudah pula dia bertukar rasa.  Walaupun bukan semua namun kebanyakannya.  Ummi Khadeeja  mendengus perlahan tidak mahu suaminya salah sangka dan mengetahui yang dia masih berduka.
            “Ija  tak apa-apakan?”  Amir Hudzaifa mencari jawapan pada wajah yang tenang itu.  Tiada riak duka.  Tiada riak kecewa.  Mungkin isterinya itu benar-benar ikhlas dan gembira dengan perkahwinannya nanti.   Amir Hudzaifa  tersenyum bahagia.  Ummi Khadeeja  tersenyum memandang suami tercinta. 
            “Insya-Allah bang, Ija  takapa-apa,” perlahan Ummi Khadeeja menjawabnya.  Biarlah kusimpan duka dihati.  Tak perlu, wahai suamiku engkah mengetahui.  Tangan Ummi Khadeeja  masih tekun bekerja.  Amir Hudzaifa menjadi pemerhati.   Sesekali Amir Hudzaifa  mengeluh.  Dahi Ummi Khadeeja  berkerut.
            “Kenapa bang?  Macam susah hati je?  Takkan nak kahwin masih berserabut fikiran? Ija  dah izinkan, apa pula masalahnya?”  Ummi Khadeeja  menyimpan semua pakaian yang telah dilipat ke dalam beg.
            “Tadi Haji Salleh telefon,  mengadu pasal keluarga Syifa’ Umaira  minta duit lagi untuk  buat kenduri.”  Amir Hudzaifa mengeluh.  Wang hantaran dan mas kahwin sahaja sepuluh ribu ringgit.  Lembu seekor sudah di hadiahkan untuk di jadikan hidangan waktu majlis kenduri di sebelah perempuan. Ini minta lagi.  Amir Hudzaifa menggaru kepala yang sengaja digunting hampir botak.  Dia suka stail itu mudah untuk dijaga.
            “Takkan duit untuk kenduri pun kita kena bagi bang?  Tak pernahlah Ija  dengar perkara macam ni. Setahu Ija, duit hantaran tulah yang dibuat kenduri, bukan begitu bang?”  Ummi Khadeeja  kehairanan.  Kenapa pula keluarga Syifa’ Umaira meminta wang untuk buat  kenduri.  Duit hantaran yang diberi mereka gunakan untuk apa? Macam-macam permintaan keluarga Syifa’ Umaira. 
            “Haji Salleh dah bising-bising suruh abang batalkan pernikahan ini. Cari je perempuan lain katanya.”  Amir Hudzaifa mendengus kasar.  Ummi Khadeeja mengangkat kening memandang wajah suaminya yang masih gelisah.
            “Kalau dah banyak masalah kenapa tidak?  Ramai lagi yang hendak?” Ummi Khadeeja  sengaja menduga.   Amir Hudzaifa  tidak berkutik.  Dia seperti berfikir sesuatu.  Ummi Khadeeja  mencebik.
            “Janji tak boleh dimungkiri Ija.  Kalau setakat duit kenduri seribu dua, tak apalah,”  jawab Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja  tersenyum sinis.  Nampak sangat hatimu dah tertawan, suamiku.  Masalah ada jalan penyelesaiankan?  Bukan penambah masalah.  Ummi Khadeeja  mengeluh perlahan.
            “Iyalah,bang,” jawab  Ummi Khadeeja.  Malas untuk berbicara.  Keputusan yang ada wajib diteruskan juga kerana hati dah suka.  Biar ombak dan badai datang melanda. Selagi dayung ditangan teruskan sahaja.  Selagi tidak karam dilangar badai ,kapal yang sedang belayar teruskan pelayarannya.  Ummi Khadeeja  tersenyum sinis memandang wajah kekasih hati asyik mengeluh dari tadi.  Tidak ada masalah cari masalah, tiada beban cari beban.  Kalau dah jodoh tidak ke mana biar yang menghalang raja atau sultan sekali pun tiada siapa mampu melawan takdirnya Ilahi. Semoga kebahagian itu milik mereka bersama. 
            “Ayah dan emak juga tak nak pergi.”  Amir Hudzaifa melepaskan pandangan ke luar tingkap.  Ada duka  pada kata-katanya. Ada kecewa di dalam hati.
            “Tak apalah bang.   Apa yang penting mereka merestui abang dari jauh.  Lagipun emak dan ayah abang dah tak larat nak berjalan jauh.”  Ummi Khadeeja tersenyum.   Amir Hudzaifa mengangguk perlahan.  Mungkin benar kata Ummi Khadeeja.   Ayah dan emaknya bukan kuat sangat, usia dan semakin lanjut tidak mampu berjalan jauh . Beg yang telah diisi dengan barangan keperluan Amir Hudzaifa  diletak tepi.  Ummi Khadeeja  bingkas bangun.  Dia melangkah ke katil dan menyandar di birai katil.  Amir Hudzaif  masih melayan perasaannya sendiri.  Ummi Khadeeja  memerhati tanpa berkata apa-apa.  Amir Hudzaifa  meraup wajahnya dengan kedua belah tangan.  Dia mengeluh sambil melemparkan senyuman pada Ummi Khadeeja .
            “Ramai yang membantah dari menyokong.” Amir Hudzaifa ketawa.  Ummi Khadeeja  tersenyum.
            “Jika niat abang betul.  Insya-Allah lama-lama masyarakat akan menerima,” jawab ummi Khadeeja.  Amir Hudzaifa mendekati Ummi Khadeeja .  Wajah redup isterinya ditenung seketika.  Dia meletakkan punggung di atas katil.  Tangan Ummi Khadeeka  diraih dalam genggamannya.
            “Terima kasih kerana mengizinkan abang berkahwin lagi… terima kasih kerana menjadi seorang isteri yang taat dan setia,” DahiUmmi Khadeeja  dicium penuh kasih dan sayang.  Terkesima Ummi Khadeeja seketika. Terasa diri di sayangi.  Bertuah rasanya diri dikurniakan suami yang penyayang, lembut dan bertanggungjawab.  Tiada apa yang kurang.  Berilmu dan beriman.  Bak kata orang dunia dan akhirat berada di hadapan mata. 
            Tuduhan yang dilemparkan keluarga Syifa’ Umaira kepadanya tidak memberi kesan sedikit pun.  Kejam sungguh tuduhan dan hinaan yang dilemparkan keluarga Syifa’ Umaira.  Apakah dia bersalah kerana suaminya ingin berkahwin lagi?  Apakah dia penyebab sehingga suaminya mahu  berkahwin lagi.  Kenapa hanya perempuan sahaja dicari kesalahannya.  Tidak adakah poligami berpunca dari lelaki? Ummi Khadeeja  mengeluh  kesal.
            “Kenapa Ija?  Ada masalah lagi ke?”  Tanya Amir Hudzaifa lembut.  Terpancar sifat penyayang dalam diri suaminya itu.  Bertuah kau Syifa’ Umaira, detik hati kecil Ummi Khadeeja.
            “Ija masih bimbang pandangan masyarakat terhadap Ija bang.  Selalu isteri tua di salahkan jika suami bernikah lagi.  Ija harap, Ija  mampu menelan semua tohmahan mereka nanti terhadap Ija.  Apa salahnya abang berkahwin lagi sedangkan Ija sudah setuju.  Ramai isteri sanggup suami mereka  main kayu tiga di belakang dan buat maksiat dari membenarkan suami mereka berkahwin lagi.”   Ummi Khadeja mengeluh kesal.  Perkara halal dipandang  buruk, yang buruk dipandang baik. 
            “Itulah sikap masyarakat hari ini Ija,”  sambung  Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja melintukkan kepala dibahu Amir Hudzaifa.  Amir Hudzaifa memeluk tubuh isterinya erat. 
            “Poligami harus diturut bersama dengan ilmu.  Tanpa ilmu dan iman maka terjadilah penganiayan.  Seperti yang  banyak berlaku di luar sana.   Abang tak salahkan masyarakat jika memandang serong rumah tangga yang berpoligami.  Semuanya kerana sikap mereka yang mengamalkannya  tidak berilmu dan tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan dalam agama kita,” jelas Amir Hudzaifa panjang lebar.
            “Abang tak macam tu kan?  Abang takkan sia-siakan Ija kan?   Ija sedar diri Ija bang, tak secantik dan segebu dulu.  Tak secantik Syifa’ Umaira. Dia memang cantik dan memang sesuai dengan abang.” Ummi Khadeeja menyembamkan mukanya ke tubuh Amir Hudzaifa.  Biarlah dia bermanja sepuas-puasnya dengan Amir Hudzaifa.  Mungkin ini adalah  yang terakhir?  Siapa tahu?
            “Jangan cakap macam tu Ija!  Ija  tetap di hati abang.  Tanpa keizinanmu, abang tidak akan berkahwin .  Biarpun bidadari dari syurga menjadi bakal  isteri abang,” kata Amir Hudzaifa  tegas.  Ummi Khadeeja ketawa, dia memandang wajah suaminya.  Manis sungguh mulutmu berkata bang.
            “Kalau macam tu, abang tak payah pergi nikah. Kita batalkan sahaja majlis ini,” uji Ummi Khadeeja.  Amir Hudzaifa terdiam.  Wajahnya berubah pucat dan tegang.  Ummi Khadeeja tersenyum sinis.  Hatimu telah dimilik bang.  Tak mungkin kau berpatah kembali, berbisik terus hati Ummi Khadeeja.  Tidak mampu mengeluarkan kata-kata biarlah hatinya sahaja berkata-kata, dalam diam dan senyap hanya dia sahaja yang mengetahuinya.
            “Eh! Tak boleh macam tu Ija.  Persiapan semuanya dah  dibuat.  Duit abang pun dah banyak keluar.  Kalau batal hilang semua, apa pun tak dapat!”  Amir Hudzaifa mengerut dahi.  Ummi Khadeeja ketawa sinis.  Lelaki, kau tetap lelaki, suamiku.  Ummi Khadeeja mengelus.
            “Tak berani ke?   Abang dah jatuh sayang pada Syifa’ Umaira  ye?”  usik Ummi Khadeeja.  Amir Hudzaifa tersipu malu.
            “Bakal isteri Ija, takkan tak belajar menyayangi,” jawab Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja tersenyum sumbing.  Tidak mampu aku berbuat apa-apa bang kerana kini hatimu telah dimiliki.  Ummi Khadeeja  melangkah pergi membiarkan  Amir Hudzaifa  sendirian di kamar yang terasa semakin hari semakin sepi.  Bila kau berubah sikap.  Aku akan pergi jauh darimu bang, bergetar hati Ummi Khadeeja.  Sayu dan hiba rasanya.  Hanya air mata peneman setia setiap duka dan laranya.

BAB 15
            Khatijah memandang wajah Syifa’ Umaira yang muram.  Dia menggelengkan kepala.  Simpati sungguh dia dengan anak buahnya yang sorang ni.  Sejak akhir-akhir ini Syifa’ Umaira banyak termenung dan bersendirian.  Wajahnya tidak ceria, senyumannya tidak semanis dulu.  Bagai berat bebanan yang  sedang ditanggung.
            “Nak beli kain tudung ke tidak ni?  Mak su tengok muram je tak bersemangat langsung.  Kalau tak nak beli, baik kita balik je.”  Khatijah mendekati Syifa’ Umaira.  Tangan di kain tapi fikiran entah merawang ke mana.
            “Maaflah mak su.  Menyusahkan mak su je.”  Syifa’ Umaira melemparkan senyuman.  Dia fokus kembali.  Beberapa helai kain kosong telah dipilih  untuk dibuat tudung labuh.  Khatijah  membayar harga kain tersebut.  Syifa’ Umaira pula berjalan-jalan sambil membelek beraneka jenis kain yang terdapat di dalam kedai tersebut.
            “Beli tiga helai je,cukup ke?”  Tanya Khatijah.  Syifa’ Umaira mengangguk lemah.  Seperti orang hilang semangat.  Khatijah menggelengkan kepala.
            “Jom pergi minum,  mak su hauslah.”  Khatijah menarik tangan Syifa’ Umaira menuju ke restoran berhampiran. Syifa’ Umaira mengikut sahaja.   Mereka masuk ke sebuah restoran masakan kampung berhampiran kedai kain di Bandar Ipoh.  Mata Syifa’ Umaira memandang persekitaran restoran. Pelanggan tidak begitu ramai mungkin masih awal.  Belum tiba waktu makan tengahari.  Makanan yang terhidang bersusun kemas di atas rak yang disediakan.
            “ Mai nak makan ke?”  Tanya Khatijah.   Syifa’ Umaira menggelengkan kepala.  Tekaknya tidak  selera  hendak menjamah apa-apa  makanan, hanya air menjadi santapannya.  Mungkin kerisauannya membuatkan dia hilang selera makan.  Setelah memesan minuman kegemaran masing-masing, mereka duduk santai sambil menunggu pesanan mereka tiba.
            “Tinggal beberapa hari saja lagi Mai akan menjadi isteri orang.  Sepatutnya gembira.  Bukan bermuram durja.   Lagi pun Mai kan berkahwin dengan pilihan sendiri? Kenapa perlu ada duka dalam hati?”  Khatijah merenung wajah anak buahnya yang suram dan muram itu.
            “Mak su, kalau Mai batalkan pernikahan Mai dengan Ustaz Amir Hudzaifah, bagaimana?”  Syifa’ Umaira menundukkan wajahnya tidak berani dia bertentang mata dengan emak saudaranya itu.  Tersedak dan terkejut Khatijah mendengarnya.  Dia mengurut dada.  Dia beristighfar berkali-kali.  Waras ke tidak anak buahnya ni, detik hati kecil Khatijah.
            “Kenapa ni? Kenapa pula nak batal?  Semua persiapan dah buat!  Kad dah edar.  Bunga telur dan siap.  Khemah dah tempah.  Jiran tetangga, saudara mara dah dijemput.  Mai jangan main-main?” Khatijah menjegilkan mata.
            “Entahlah! Macam tak bersedialah pula.  Jauh di sudut hati, Mai rasa tak selesa sebab ayah dan emak bukan terima seratus peratus pun perkahwinan Mai ni.   Mai takut tak bahagia nanti tanpa restu orang tua,”  Syifa’ Umaira meluahkan rasa hatinya yang telah disimpan sejak berhari-hari lalu.  Hanya pada mak sunyalah  dia dapat meluahkannya.  Dia tahu mak sunya tidak akan marah dan melenting mendengar  kata-katanya itu.
            “Mai, Mai!  Bila nak buat sesuatu tu fikir dulu  semasak-masaknya.  Jangan ikut nafsu je. Tak sudah-sudah nak menyusahkan emak dan ayah.  Semua persiapan  sudah dibuat.  Ya,Allah!  Cukup-cukuplah Mai.  Mai sendiri yang pilih.  Ingat senang ke nak terima lepas tu minta putus dan batal? Ini melibatkan maruah keluarga Mai.”  Khatijah mendengus kasar.  Geram dia dengan sikap acuh tak acuh Syifa’ Umaira.  Dia tidak mahu anak buahnya membuat keputusan terburu-buru tanpa memikirkan kesan dan akibatnya pada keluarganya dan keluarga bakal suaminya. 
            “Tapi mak su?”   Syifa’ Umaira serba-salah.  Apa guna dia berkahwin sedangkan orang tuanya bagaikan tidak merestui.  Hubungan dengan emaknya juga hambar dan tidak semesra dulu.  Sepatah di tanya sepatah yang dijawab.  Bagaikan orang asing walaupun duduk dibawah satu bumbung. Jiwanya kosong.  Hidupnya sepi tanpa gurau-senda ayah dan emaknya.  Terasa rindu dengan pelukan dan belaian manja tangan orang yang telah melahirkannya ke dunia ini.  Dada Syifa’ Umaira sebak.  Semua ini salah dirinya sendiri.  Kalaulah dia tidak mengikut kata hati pasti hubungannya dengan keluarga masih baik dan dia masih lagi belajar.
            “Sudah terlambat Mai.  Sepatutnya dari dulu Mai berfikir sebelum buat keputusan.  Terlajak perahu, boleh diundur, terlajak kata nak buat macam mana?”   Khatijah mendengus kasar.  Geram pula dia dengan Syifa’ Umaira.  Apa yang ada dalam kepala otak anak buahnya itu dia sendiri tidak tahu.  Dia ingat majlis kenduri kendara, nikah kahwin ni perkara main-main.   Maruah keluarga!  Semuanya melibatkan maruah keluarga.  Nama baik keluarga akan tercemar jika perkara itu berlaku.  Syifa’ Umaira dah mula nak menangis.   Khatijah mengeluh kesal.
            “Jangan nak tumpahkan air mata kat sini? malu orang tengok,”  kata Khatijah separuh berbisik. Syifa’ Umaira menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan.  Dia memandang wajah emak saudaranya dengan penuh harapan.
            “Tak payah buat muka kesian!” Marah Khatijah.  Air yang dipesan tidak disentuh.  Khadijah bingkas bangun, terus menuju ke kaunter dan membayar harga minuman.  Terkulat-kulat Syifa’ Umaira memerhatikan langkah emak saudaranya itu.  Dari kejauhan Khatijah mengamit Syifa’ Umaira yang masih tidak bergerak dari tempat duduknya.  Wajah Khatijah mencuka.  Marah ada, geram pun ada.  Kalau lagi banyak dia bercakap silap haribulan penampar naik ke muka Syifa’ Umaira.
            Langkah Khatijah laju sahaja  berjalan ke kereta yang berada tidak jauh dari restoran tersebut.  Syifa’ Umaira mengikut dari belakang.  Khatijah mencampak bungkusan kain yang dibeli tadi ke dalam perut kereta dan melangkah masuk.  Dia mengomel sendiri.
            “Mak su...!”  Syifa’ Umaira memandang sayu.  Khatijah mendengus kasar.  Wajah Syifa’ Umaira ditenung tajam.  Kereta yang sudah dihidupkan enjin dibiarkan saja, tidak bergerak. 
            “Dengar sini Mai, semua yang terjadi  Mai yang atur sendiri.  Buat keputusan sendiri.  Sebelum ni ramai yang dah nasihat, tapi tak nak dengar.  Mak dan ayah dah larang, tapi kau degil!  Jangan buat kerja bodoh yang boleh memalukan keluarga.   Ustaz Amir Hudzaifa bukan calang-calang orang, ramai yang kenal dia, ramai anak muridnya.   Kalau pernikahan ini terbatal.  Orang tak kata dia salah tau! tapi Mai yang salah.  Nanti orang  akan bersangka buruk dengan  Mai.  Siapa yang nak kahwin dengan Mai masa tu?  Cuba beritahu mak su?  Bertindak biar bijak.  Cinta konon?   Kalau dah cinta kenapa asyik nak ubah fikiran?  Mai ingat perkara ni main-main?  Mak su tak nak dengar.   Sudah!  Kalau emak dan ayah tahu, entah apa lagi yang akan berlaku.  Tinggal beberapa hari saja lagi. Ya, Allah… Mai, jangan harap kami nak faham Mai saja.  Mai kena juga faham perasaan orang tua Mai!!”   Kata Khatijah panjang lebar.  Syifa’ Umaira dah menangis.  Tidak berkesan pun di hati Khatijah.  Sendiri cari penyakit, sendirilah cari ubatnya, bisik hati kecil Khatijah.
            Syifa’ Umaira tidak terkata apa-apa.  Hanya air mata yang berbicara.  Dia tahu dia bersalah, kalau tidak kerana sikap orang tuanya pasti dia tidak akan bertindak seperti ini, berfikir seperti ini.  Kedinginan sikap kedua  mereka membuatkan hatinya sakit.  Jiwanya meronta-ronta mengharapkan mereka.  Mak su Khatijah sendiri sudah mula marah-marah padanya.  Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, mereka tidak bersembang langsung.  Khatijah mencuka.  Syifa’ Umaira asyik melayan perasaan sedihnya.
            Khatijah mengeluh sendiri.  Hati siapa yang tidak simpati.  Tetapi dia tidak mahu melayan perasaan Syifa’ Umaira yang suka berubah-rubah dan tidak tetap pendirian itu.   Kalau dilayan haru-biru jadinya.  Mahu mengamuk  sakan kakak dan abang iparnya.  Anak-anak zaman sekarang, buat sesuatu suka ikut nafsu.  Perasaan orang tua tak penting bagi mereka.  Apa yang penting segala keinginan mereka terpenuhi.  Khatijah memandu berhati-hati,  jalan simpang hendak ke rumah Syifa’ Umaira hanya ada dua lorong. 
            Memilih calon suami bukan calang-calang orang.  Seorang Hafiz, pakar hadis,berilmu dan tawaduk.  Ingat senang nak putus macam tu saja.  Kalau orang keliling tahu tentu jadi bahan cerita.  Sudahlah begitu, suami orang pula tu. Memang kerja gila. Sanggup dimadu gara-gara cinta.  Bila ada masalah bukannya hendak menghadapinya, tetapi mula nak menarik diri. Khatijah memandang  Syifa Umaira dengan ekor matanya.  Dah terlena anak buahnya.  Keletihanlah tu, sebab terlalu banyak menangis.  Khatijah menggelengkan kepala.  Harap-harap kakak dan abang iparnya akan berubah sikap menerima kehadiran bakal suami anak mereka dengan baik.   Restu orang tua penting dalam sebuah rumah tangga.  Redha orang tua maka redhalah Allah.  Kalau ikut hati marah, mahu saja dia sekel-sekel kepala anak buahnya itu.   Kalau ikutkan geram, mahu saja dia tempeleng muka Syifa’ Umaira supaya sedar yang dia berada di dunia nyata dan bukan dunia khayalannya sendiri.
            Syifa’ Umaira termenung sendiri.  Matanya terrpejam tapi akalnya berjalan.  Cuba mencari jalan keluar dari masalah yang sedang dihadapinya.  Mak sunya sendiri dah marah padanya.  Orang tuanya sendiri semakin menjauh darinya.  Dia tiada sesiapa untuk dia mengadu dan meluahkan apa yang dirasa.  Kenapa hatinya begitu berat untuk meneruskan rancangan yang dia sendiri lakukan.  Kenapa hatinya berat untuk menerima pernikahan yang dia sendiri merancangnya.  Mungkin kerana sikap orang tuanya membuatkan dia berfikiran dan merasa begitu.  Ya, Allah… aku ingin redhaMu dan juga reda orang tuaku.  Setitis manik jernih jatuh ke pipi.  Syifa’ Umaira mengeluh lagi melepaskan beban di hati.

BAB 16
            Haji Salleh mundar-mandir di koridor masjid.  Majlis pernikahan cadang diadakan lepas maghrib, ditangguh ke Isyak.  Ini dah lepas Isyak, bayang rombongan pengantin perempuan  masih  tidak kelihatan.  Haji Salleh gelisah.  Apa pula permainan mereka kali ini.  Haji Salleh mengeluh kesal.  Sudah berkali-kali dia sms Ustaz Amir Hudzaifa agar batalkan sahaja pertunangannya dengan Styifa’ Umaira tapi Ustaz  Amir Hudzaifa  tidak mahu.  Perjanjian tidak boleh dimungkiri.  Haji Salleh mendengus kasar.  Rakan-rakan yang turu hadir bersama untuk majlis tersebut sudah mula gelisah.  Sudah hampir jam sepuluh malam, rombongan perempuan masih belum kelihatan.     Di masjid hanya ada adik-beradik Syifa’ Umaira.  Pengantinnya entah di mana.
            Berkali-kali Haji Salleh menelefon Haji Mansor atau Syifa’ Umaira sendiri tetapi tidak berjawab.  Haji Salleh tidak berani menegur Ustaz Amir Hudzaifah yang sudah gelisah.  Apa pula masalah mereka sehingga lambat sampai.  Berbagai perkara bermain difikiran Haji Salleh.  Jangan mereka tidak menghadirkan diri sudahlah, malu Ustaz Amir Hudzaifa nanti, detik hati kecil Haji Salleh.  Dia yang bertanggungjawab menguruskan  perkahwinan Ustaz Amir Hudzaifa. Haji Salleh bingung, kepalanya dah terasa sakit.  Badannya mula berpeluh.   Rimas dia rasakan ketika itu. Ustaz Amir Hudzaifa melambai ke arah Haji Salleh yang seperti cacing kepanasan.  Haji Salleh menghampiri Ustaz Amir Hudzaifa.  Dia duduk tenang mengadap kawan, teman dan sahabatnya itu.  Wajah Ustaz Amir Hudzaifa sudah pucat semacam saja. Risau Haji Salleh melihatnya.
            “Maafkan saya ustaz.  Saya dah telefon banyak kali tapi tak berangkat.”
            “Tak apa Jie,bukan salah awak pun. Kita tunggu lagi setengah jam.  Kalau tak datang juga  baik kita batalkan saja.” Amir Hudzaifa gelisah. Dia merasa malu.  Kawan-kawan yang sama-sama menunggu juga sudah kegelisahan.  Apa sebenarnya terjadi dia sendiri tidak tahu.  Kenapa keluarga Syifa’ Umaira buat dia begini.  Segala kemahuan mereka sudah pun dia turuti.  Duit hantaran, belanja kenduri dan lembu seekor sudah diberi.  Apa yang yang tidak kena?  Dari jam  6.00 petang dia  dan rombongan sudah ada di masjid tersebut.  Sejak dari  tadi lagi belum sebarang minuman dan makanan dijamahnya.  Jamuan akan diadakan lepas majlis akad nikah.  Amir Hudzaifa mengeluh.   Kasihan pada kawan-kawan yang turut datang bersama semata-mata ingin meraikan majlis pernikahannya.
            “Saya cuba telefon sekali lagi ya ustaz?”  Tanya Haji Salleh.  Amir Hudzaifa mengangguk perlahan.  Dia berserah hanya pada Allah.   Jika memang sudah tertulis jodohnya dengan Syifa’ Umaira tiada siapa mampu menghalangnya.
            Haji Salleh melangkah meninggalkan Amir Hudzaifa dengan  beberapa  orang kawan.  Dia mendail nombor telefon Haji Mansor, tetap tiada jawapan.  Dia benar-benar marah dengan sikap keluarga Syifa’ Umaira yang tidak tahu  menghormati Ustaz Amir Hudzaifa.  Selama ini tiada siapa berani bertindak seperti ini pada Ustaz Amir Hudzaifa.  Haji Salleh sendiri tidak faham apa masalah mereka agaknya.  Suasana terasa tegang.  Pihak masjid juga  terpaksa menunggu sehingga apa yang dirancang selesai. Orang yang berada di situ mula berbisik-bisik sesama mereka.  Suasana yang tidak menyenangkan hati  Haji Salleh.
                        Masih terngiang-ngiang ditelinga Haji Salleh kata-kata Haji Mansor apabila meminta duit untuk majlis kenduri di rumahnya.  Pening memang meneningkan kepala.  Kalau ikutkan hati amarahnya mahu sahaja dia mengajak Ustaz Amir Hudzaifa balik saja.  Biarlah tidak menikah hari ini.  Boleh sahaja mencari perempuan lain untuk dijadikan  isteri sahabatnya itu.  Tetapi apabila memikirkan kesannya pada nama baik Ustaz Amir Hudzaifa. Haji Salleh cuba bertahan.  Tahan sabar dan sabar menunggu.
            “Takkan duit kenduri pun kami kena sediakan  Tuan Haji?  Hantaran sepuluh ribu tau? Bukan sikit.  Ini minta tambahan lagi? Lembu kami dah bagi,”  leter Haji Salleh waktu bertemu Haji Mansor di rumahnya untuk menghantar duit hantaran dan lembu yang akan dikorbankan pada hari kenduri nanti. Haji Mansor hanya tersenyum.
            “Anak saya terpaksa berkorban tau Jie.  Berhenti belajar.  Lepas tu jadi isteri kedua pula.  Saya mana ada duit nak buat kenduri-kendara ni.  Duit dah habis tanggung  pelajaran Syifa’Umaira.  Tidak salah rasanya saya minta duit untuk buat kenduri pula.  Kalau nak bagi, bagilah.  Kalau tak nak saya tak boleh nak buat apa.  Kita  buat majlis nikah je.  Kenduri tak payah buat,”  kata Haji Mansor tegas. Haji Salleh menyinga memandang wajah Haji Mansor. 
            “Berapa pula nak kali ni?” Tanya Haji Salleh.  Sudah malas dia hendak bertekak dengan Haji Mansor.  Kalau bertegang urat  pun tiada gunanya,Haji Mansor juga menang. 
            “Tak banyak, lima ribu je…”kata Haji Mansor.  Haji Salleh mengurut dahi.  Mata duitan ke orang tua ni, detik hati kecil Haji Salleh.
            “Lima ribu?  Banyaknya Tuan Haji?”  Haji Salleh terkejut.  Haji Mansor menyengih.  Haji Salleh mengeluh.  Kalau untuk anak dia sendiri dah lama dia batalkan pertunangan yang telah terjalin.  Tidak ada ruginya.  Masih banyak pilihan di luar sana yang masih layak untuk dijadikan isteri.  Tapi apa dayanya Ustaz  Amir Hudzaifa sudah jatuh sayang dengan Syifa’ Umaira. Itu boleh dilihat dari kesungguhan ustaz dalam memenuhi semua permintaan keluarga bakal isterinya. Haji Salleh menulis jumlah yang diminta di atas sekeping cek.  Dia menyerahkannya pada Haji Mansor.  Senyuman masih terukit dibibir bakal mentua  Ustaz Amir Hudzaifa. Haji Salleh pulang dengan menyumpah-nyumpah dalam hati.
            “Jie…macam mana ni?  Jadi ke tidak?  Nasi dah sejuk di bawah tu.  Budak-budak katering dibayar  gaji ikut jam,” tanya salah seorang wakil masjid yang menguruskan  bahagian tempahan makanan.  Haji Salleh mendengus kasar.  Masalah, masalah, rungutnya sendiri.
            “Tak apalah Bang Mid.  Nanti saya bayar gaji budak-budak tu, suruh je mereka tunggu,” kata Haji Salleh. Dia semakin bengang.  Kalau lagi  lima belas minit tidak  tiba juga, baik mereka balik ke Kelantan saja.  Malu? Malulah, peduli apa! Dari menunggu bagaikan buah yang tidak gugur baik berundur sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan