Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 28 Ogos 2013

AKU TURUT BAHAGIA - bahagian terakhir



            Desiran air sungai yang mengalir tidak lagi mengamit  perasaannya.  Sudah berhari-hari di kehilangan selera makan.  Nasi dengan lauk kesukaannya sedikit pun tidak memanggil dirinya untuk menikmati.  Air manis yang diminum terasa tawarnya. Siraman air mandi bagaikan tidak lekat di badan.  Kenapa semuanya terasa sepi dan sunyi.  Kenapa dia merasa kehilangan.  Kehidupan yang dilaluinya  sejak akhir-akhir ini bagaikan tiada serinya.  Terasa malas dan lemah seluruh anggota tubuhnya.  Dia bagaikan telah hilang separuh dari nyawanya.  Amir Hudzaifa merebahkan diri di sofa.  Dia hilang tumpuan pada apa yang dia ingin lakukan.  Ya, ALLAH  kenapa dia begitu lemah.  Amir Hudzaifa memejamkan mata.  Rindunya tidak tertahan lagi.  Dua minggu sudah berlalu.  Terasa bagaikan sudah dua tahun Ummi Khadeeja meninggalkannya.  Pergi jauh bagaikan tidak mahu kembali lagi.  Ketegasan isteri pertamanya untuk keluar dari maahad itu membuatkan dia tidak mampu menghalang.
            “Abang…  Abang ni kenapa?  Sejak kak Ija tak ada, muram je, letih Mai tengok,”  Syifa Umaira mencebik.  Liyana ‘Afifah masih tidur di buaiannya.  Syifa’ Umaira melabuhkan punggung di sofa sebelah suaminya.  Amir Hudzaifa sudah banyak berubah.  Bercakap dengannya ketika perlu sahaja.  Sepatah ditanya, sepatah yang keluar dari mulut suaminya.  Nasi dijamah hanya sesuap dua.  Mandinya pula hanya seketika.  Suaminya bagaikan hilang nyawa dan keinginan.  Semuanya gara-gara madunya keluar dari maahad dan pulang ke kampung halamannya.  Ingatkan dia akan hidup bahagia  apabila madunya keluar dari situ.  Lain yang diharapkan, lain pula jadinya.  Suaminya pula asyik bermuram durja dan berduka cita, bagaikan sudah kematian isteri sahaja sedangkan  kedua-dua isterinya masih bernyawa.  Giliran Syifa’ Umaira pula mengeluh.  Sudahlah cakapnya tidak dilayan.  Jawab pun tidak.  Alahi!  Rimas jadinya.  Syifa’ Umaira menggelengkan kepala.  Dia bingkas bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik.  Kalau sehari dua mungkin dia tidak kisah sangat, biasalah bila berpisah dengan orang  tersayang tetapi kalau sudah berminggu-minggu siapa  boleh tahan.  Syifa’ Umaira mengetap bibir, menahan marah sendiri.  Sakit hati tidak terkata. Bosan mencengkam diri.
            Bahagiakah kini hidupnya?  Tidak juga.  Senangkah hatinya?  Jauh lebih susah.  Gembirakah dia sekarang? Duka pula yang mendatang melihat  kesedihan di wajah suaminya.  Syifa’ Umaira meraup muka dengan kedua belah tangannya.  Apa yang harus dia lakukan.  Anaknya juga suaminya pandang sepi.  Ya, ALLAH apa yang telah aku lakukan, katanya sendiri.
            Amir Hudzaifa seperti tidak percaya apa yang dia dengar  dari mulut Syifa’ Umaira.  Dia mengerutkan dahi memandang wajah isteri mudanya tidak berkelip.  Dia mengamati wajah itu.  Benar-benar ikhlaskah isterinya itu.  Minggu hadapan dia akan  ke Kedah, takkan Syifa’  Umaira ingin turut serta.  Giliran dia bersama dengan Ummi Khadeeja. 
            “Awak  tahu tak, abang ke sana selain ada kuliah dan program yang telah diatur, abang juga balik ke rumah kak Ija.  Giliran abang bersama Kak Ija pula.  Tak cukup lagikah apa yang telah berlaku.  Abang nak hidup aman dan damai Mai.”  Amir Hudzaifa mengeluh.  Syifa’ Umaira menarik tangan  suaminya dan duduk di sofa.  Wajah suaminya ditatap seketika.  Dia menunduk, mendengus lembut.  Dia tersenyum. 
            “Mai nak ikut sebab nak pujuk Kak Ija pulang semula ke sini.  Mai tak sanggup tengok abang macam orang hilang arah sahaja.  Mencuka, muram, sedih sepanjang masa.  Mai pun abang tak pedulikan.  Begitu dalam sekali cinta abang pada Kak Ija.  Sampaikan kehadiran Mai seolah-olah tidak mampu memberi kebahagian dan kegembiraan abang selama dua minggu ini.  Liyana ‘Afifah pun abang tidak pedulikan.  Kami sunyi dan sepi, bang.”  Syifa’ Umaira memandang wajah Amir Hudzaifa yang mengeluh kasar.
            “Mai, iklas?”  tanya Amir Hudzaifa.   Ada was-was di hati.  Tidak mungkin isterinya berubah sekelip mata sahaja.  Ah!  Dia tidak boleh menidakkan kehendak  ILAHI.  Mungkin ALLAH SWT telah membuka pintu hati isteri mudanya untuk berbaik-baik dengan isteri pertamanya.  Tidak mustahil perkara itu terjadi, Kun Fa Ya Kun…  Amir Hudzaifa menarik nafas lega.  Jika itulah yang berlaku, sudah pasti dia adalah manusia yang paling bahagia.
            “Maaf dan ampunkan Mai, selama ini menyusahkan abang dan Kak Ija.  Sepatutnya dari awal lagi Mai tahu bagaimana kehidupan  berpoligami.  Mai bukan sahaja berkongsi abang, malah seluruh kehidupan abang bersama keluarga abang yang satu lagi.  Berilah peluang pada Mai untuk memperbaiki diri.  Mai bukan malaikat.  Mai manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Mai nak jumpa Kak Ija, nak minta maaf dengan dia.  Mai nak bawa dia kembali ke sini semula.  Para pelajar juga bagaikan tidak bermaya seolah-olah mereka kehilangan seorang ‘ibu’.  Mai tidak mampu menjadi ‘ibu’ mereka,” air mata mula mengalir di tubir matanya.  Dadanya sebak menahan duka yang sarat di hatinya.  Sikap dan perubahan suaminya membuatkan dia makan hati, merana sendiri.  Dua minggu sudah cukup menyiksakan dirinya.  Apabila tiba giliran untuk bertemu Kak Ija wajah suaminya kembali ceria.  Seolah-olah kehadirannya tidak memberikan kebahagian pada suaminya.
            Para pelajar pula memandangnya  bagaikan musuh mereka.  Bila dia mendatang mereka menjauhkan diri, tidak suka dengan kehadirannya.  Para pekerja suaminya  juga begitu.  Dia merasa asing di rumah sendiri.  Untuk apa semua itu.  Tiada gunanya.  Dia juga yang merana.  Dari merana sendiri kenapa dia tidak cuba mencari kebahagian.  Bukan sahaja untuk kebahagian dirinya malah kebahagian untuk suaminya juga.  Mampukah dia hidup dengan melihat wajah duka suaminya.  Mampukah dia gembira melihat wajah muram suaminya.  Di malam hari kehadirannya dipandang sepi. Air matanya mengalir laju. Sesalan tidak terucap kerana mengeruhkan kehidupannya sendiri.  Jauh di sudut hati dia berharap madunya akan menerima kembali kehadirannya.  Dia ingin melihat senyuman di bibir suaminya.  Dia ingin mendengar kata-kata berkobar-kobar suaminya mengajak masyarakat kembali kepada ALLAH.  Dia ingin melihat wajah ceria suaminya.  Dia inginkan kasih sayang suaminya.  Air matanya mengalir laju. Kali ini air mata penyesalan kerana terlalu mengikut hawa nafsu, sombong, ego dan cemburu yang keterlaluan.  Dia berdosa pada ALLAH SWT, pada suaminya dan pada madunya juga.  Dia harus memohon maaf pada  suami dan madunya.  Dia wajib memohon ampun pada ALLAH SWT.  Selama ini perangainya bagaikan orang tiada agama.  Dia menyesal. Syifa’ Umaira meraung sambil memeluk anaknya yang tidak mengerti apa-apa itu.
            Ummi Khadeeja tersenyum puas.  Ini agaknya hikmah apabila dia keluar dari maahad. Dia tidak pernah menduga Syifa’ Umaira akan datang menemuinya.  Dia tidak menyangka Syifa’ Umaira akan meminta maaf padanya.  Kenapa tidak dari dahulu sewaktu mereka tinggal di tempat yang sama.  Kenapa menunggu   sehingga dia berpindah keluar.  Ummi Khadeeja mengeluh.  Memang sudah suratan dia dimadukan.  Bukan kebetulan Syifa’ Umaira datang bertemu dengannya.  Mungkin madunya sudah insaf, macam tidak percaya pula.  Harap-harap bukan  kepura-puraan.  Dia berharap madunya benar-benar ikhlas. 
            “Mai,  minta maaf  Kak Ija. Mai tahu, Mai banyak buat salah.  Dua tahun kita bersama tapi tak pernah boleh hidup bahagia.  Sejak akak keluar dari  maahad, abang Amir bagaikan anak kehilangan ibu.  Staf maahad juga bimbang.  Para pelajar kelihatan tidak bersemangat, pandang Mai bagaikan musuh mereka.  Dahulu memang Mai tak kisah mungkin sebab akak ada, tapi bila Mai jadi ‘ibu’ di mahaad menggantikan akak, tentulah tidak selesaikan kau orang tak suka kita.  Maahad sunyi, hilang serinya.  Kak, pulanglah kembali ke maahad.  Mai rela beralah agar semuanya kembali ke asal.”  Syifa’  Umaira menunduk.  Tiupan angin sawah menampar pipinya.  Ummi Khadeeja menarik nafas panjang dan melepaskannya  perlahan.
            “Ini bukan muslihat Mai, kan?  Tak mungkin dalam dua minggu kau berubah.  Akak bukan tak nak percaya, tapi sukar pula hendak percaya,”  kata Ummi Khadeeja sinis.  Syifa’ Umaira menarik tangan Ummi Khadeeja.  Dia tidak salahkan madunya itu.  Memang salahnya.  Madunya telah berusaha  untuk mereka hidup rukun damai tetapi sikap degil dan cemburunya telah membutakan hati dan matanya.  Kenapa dia berubah hanya ALLAH SWT jua yang tahu.
            “Mai tak salahlah  Kak Ija kalau tak percaya dengan perubahan diri ini.  Malah Mai sendiri tidak percaya yang Mai boleh berubah.  Hilang rasa ego dan sombong diri lantaran melihat kedukaan di wajah Abang Amir sepanjang ketiadaan Kak Ija,”  kata Syifa’ Umaira.  Air mata diseka dengan hujung baju.
            “Selama ini kau selalu buat Abang Amir berduka, tak pula kau terasa hati?  Kenapa baru sekarang?”  soal Ummi Khadeeja.  Matanya tajam menjunam ke wajah Syifa’ Umaira. 
            “Mungkin ketika itu Mai belum ada anak lagi kak.  Mungkin ketika  itu perasaan cemburu terlalu kuat berada dalam diri, ketika itu setiap hari Mai boleh nampak akak, Abang Amir  boleh nampak bayang akak, walaupun marah, duka, sedih tapi akak tetap ada, sekilas pandang sudah kelihatan.  Bila akak keluar, semuanya berubah.  Rumah  Kak Ija dipandang sepi, sunyi. Entahlah kak sukar untuk Mai terangkan.  Cuma Mai harap akak baliklah semula ke Maahad.  Susah senang kita bersama.  Mai mohon kak,”  Syifa’ Umaira  melutut.  Ummi Khadeeja terkejut dengan tindakan madunya itu. Dia menahan Syifa’ Umaira dari terut melutut di hadapannya.
            “Kenapa? Kenapa tidak dari dulu?”  Ummi Khadeeja memandang wajah Syifa’ Umaira.  Pipi madunya basah dek air mata.
            “Entahlah kak!  Mai sendiri tiada jawapannya.  Memang Mai bencikan akak.  Mak tak sanggup berkongsi kasih  Abang Amir dengan akak.  Sehingga sekarang pun tiada sedikit pun rasa kasih itu.  Mai gembira akak  keluar dari maahad.  Tetapi kegembiraan itu hanya seketika.  Tiba-tiba hati rasa kosong, hambar dan bagaikan kehilangan sesuatu.  Mungkin Mai perlukan masa untuk menerima akak dan perkahwinan ini tetapi Mai rayu, pulanglah ke maahad semula.  Ceriakan  kembali keadaan di maahad yang sepi bagaikan dilanggar todak,”  Syifa’ Umaira duduk di pangkin.  Dia memandang sawah yang terbentang luas itu. Tenang dan damai. Dia inginkan kedamaian dan ketenangan itu.  Dia memandang wajah madunya semula.
            “Mai, duduklah di sana. Akak gembira di sini.  Sesekali pasti akak akan pulang ke sana. Jangan bimbang.  Akak gembira kau sudah berubah, menerima akak sebagai madu kau.  Itu sudah cukup bagi akak.  Gembira dan bahagiakanlah Abang Amir di sana.  Akak juga akan membahagiakan Abang Amir di sini. Percayalah.  Inilah jalan terbaik untuk kita semua.  Bak kata orang, jauh bau bunga, dekat bau tahi, walaupun  peribahasa ini digunakan untuk menantu dan mentua, tak salah kita gunakan,”  Ummi Khadeeja tersenyum.  Syifa’ Umaira turut tersenyum.
            “Jadi, akak tak nak pulang ke maahad?”  tanya Syifa’ Umaira. 
            “Tak, biarlah akak di sini, Mai jaga di sana.  Akak tak apa-apa.  Kita jadi kawan ya?”  Ummi Khadeeja memegang tangan Syifa’ Umaira erat.  Laju sahaja anggukkan Syifa’ Umaira.
            “Kita berkawan ya kak.  Mai akan cuba menyukai akak,”  Syifa’ Umaira melemparkan senyuman. Ummi Khadeeja turut tersenyum.
            “Demi Abang Amir,”  Ummi Khadeeja melepaskan pandangan ke arah lain.  Demi suaminya.  Dia mengetap bibir.  Inilah kurnian ILAHI.  Baik buruk dia terima seadanya.  Semoga bahagia yang menanti.
            Amir Hudzaifa menarik nafas lega.  Air mata gembira diseka dengan hujung jari.  Kedua-dua orang isterinya saling berpelukan, saling bermaafan.  Sebak dadanya.  Gembira hatinya tidak terkata.  Sudah selayaknya dia melakukan sujud syukur atas kurniaan ILAHI padanya.  Dia tidak pernah  menyangka mereka akhirnya akan berbaik-baik.  Inilah  yang dia inginkan selama ini.  Kebahagian di dunia dan akhirat.  Keluarganya bersatu hati.  Hatinya juga senang malah dapatlah dia berdakwah dengan hati yang tenang.  Kebahagian bukan pada wang ringgit, kebahagian yang sebenar adalah ketenangan di hati, ketenteraman di jiwa.  Keimanan yang tiada henti pada Yang ESA.  Ya, ALLAH aku bersyukur atas kurniaanMU…  amin.  Amir Hudzaifa tersenyum puas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan