Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 21 Januari 2015

ULASAN PERGI BERSAMA JANJI

PERGI BERSAMA JANJI
AZILAH WAHAB
ALAF 21
2015
518  muka surat
RM21.00

    Raudah Maryam dan Halim pasangan yang  hidup bahagia, ada segala-galanya.   Anak kembar berlainan jantina.  Mereka hidup penuh dengan rasa kasih dan sayang.  Rapat dan sentiasa bersama, sehinggalah anak gadis mereka,  Marissa Norhanis, yang baharu sahaja lepas mengambil peperiksaan SPM jatuh hati dengan seorang lelaki Zafran sehingga sanggup meninggalkan keluarga demi rasa cinta terhadap lelaki itu yang tidak berbelah bahagi, mereka berkahwin di Sempadan Thailand tanpa restu keluarga.  Marissa merasakan Zafran adalah lelaki yang terbaik untuk dirinya.  Raudah Maryam dan Halim benar-benar kecewa dengan keputusan anak gadis mereka.   Marissa dihalau dari rumah sebaik sahaja sah menjadi isteri Zafran. Gadis itu langsung tidak berasa kesal dan merasakan pilihannya adalah tepat.  Dia akan membuktikan bantahan kedua orang tuanya adalah salah.  Baginya Zafran adalah seorang suami yang romantik, bertanggungjawab dan baik. 

    Kusangka panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.  Tiba-tiba perangai Zafran berubah, tidak lagi selembut dahulu, sering marah-marah sejak mengetahui Marissa sedang mengandungkan anak mereka.  Zafran berasa kurang selesa melihat keadaan Marissa yang sering muntah-muntah sehingga lelaki itu sanggup meminta isterinya menggugurkan kandungan.  Hancur luluh hati  Marissa, namun dipendamkan dalam hati.  Keadaan rumah tangga mereka mula kacau bilau apabila sumber kewangan mereka semakin runcing.  Zafran tiada pendapatan sejak ‘perniagaan’nya di katakana telah gulung tikar.  Marissa mempercayai sepenuhnya kata-kata Zafran sedikit pun tiada syak wasangka di hatinya.  Kalau sudah cinta, semuanya indah belaka.  Namun tidak lama, kehilangan Zafran secara tiba-tiba telah membuatkan hati dan perasaan Marissa remuk.  Hanya air mata  yang berbicara.  Duit di tangan tiada, sewa rumah, segala bil semuanya tertunggak.  Marissa tidak tahu di mana Zafran berada.  Dia tidak kenal kawan-kawan Zafran dan dia tidak tahu di mana tempat kerja Zafran.

    Suatu hari seorang wanita bernama Zurin datang mencari Marissa.  Wanita itu telah menceritakan kepada Marissa siapa Zafran yang sebenar.  Mahu gila jadinya.  Sukar untuk Marissa mempercayainya.  Hatinya berteka-teki, benarkah apa yang diceritakan oleh Zurin kepadanya?  Dia tidak tahu sama ada harus percaya kepada Zurin atau Zafran lelaki yang amat dicintainya.    Kehidupan tidak semuanya pahit, tetap ada keindahan jika sentiasa bersabar dengan dugaan yang mendatang.  Masa berlalu, Marissa sendirian menghadapi kehidupan sehingga dia selamat melahirkan seorang anak lelaki.  Zafran tetap tidak pulang.  Akhirnya Marissa redha.

    Siapa Zurin?  Apa yang diceritakan oleh Zurin tentang Zafran kepada Marissa?  Adakah Marissa akan kembali kepada keluarganya setelah ditinggalkan oleh Zafran dengan seribu duka?  Masih adakah kasih sayang  Marissa terhadap Zafran setelah apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu terhadap dirinya?  Persoalan demi persoalan pasti bermain dibenak kita.  Konflik yang mampu menggugat rasa dan hati.

Apa yang berlaku seterusnya?  Sebuah kisah yang penuh tauladan.  Perkahwinan tanpa restu jarang bertemu bahagia.  Kepada gadis-gadis di luar sana, dengarlah nasihat orang tua sebelum diri terjerat, menyesal kemudian tiada gunanya.   Cinta tidak selalunya bawa bahagia.  Kepada orang tua, jika anak sudah suka sama suka, dan pemuda itu seorang yang baik, budiman dan beriman.  Terimalah hubungan itu agar anak-anak boleh hidup bahagia sehingga ke akhirnya.  Karya garapan Azilah Wahab tidak pernah menghampakan. Kisah kekeluargaan, hubungan kasih sayang yang menyentuh hati. Karya menarik buat hati tertarik. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan