Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 14 September 2015

TANGAN YANG MEMBERI...




KENAPA DIBERI IKAN? KENAPA TIDAK DIBERI PANCING AGAR MEREKA BOLEH MENCARI IKAN SENDIRI?

Setiap pagi dia akan lihat wajah itu menyorok di sebalik bangunan sekolah. Memerhati dan memandang para pelajar yang lalu lalang.  Wajahnya akan berkerut, ada ketika akan tersenyum sendirian.  Pelik melihat budak itu, siapakah dia?  Apa yang dia mahu?  Pelajar sekolah itu juga atau dia ada niat yang tidak baik dengan mana-mana pelajar, pelbagai persoalan bermain di fikiran Aidil, pelajar tahun enam yang sering terserempak dengan budak lelaki tersebut.  Mungkin juga sebaya atau lebih muda daripada dirinya.  Timbul syak wasangka yang tidak baik di hatinya. 
Aidil tersenyum sendiri.  Dia perlu lakukan sesuatu. Kalau budak itu berniat baik, tidak mengapa, bagaimana kalau berniat jahat?  Kebetulan dia sendiri hendak ponteng sekolah, terhendap-hendap ingin melarikan diri terpandang budak yang kotor itu.  Aidil menyengih jahat.  Sesekali kemalasan tiba, keinginan untuk ke sekolah mati di jiwa.  Lebih baik keluar dari situ, memaksa akal bekerja memenuhi ruang yang ada dengan pelajaran yang kadangkala membosankan hatinya.    Tidak belajar pun keluarganya masih mampu menyaranya seorang diri.  Apa dia kisah?  Berbalik kepada budak itu, memang menyakitkan mata.
                “Hoi!” tegur Aidil. 
                Budak lelaki yang berpakaian t-shirt leher bulat berwarna hitam, berseluar jeans yang sudah lusuh itu  menoleh.  Dia cuba melarikan diri.
                Aidil sempat merentap tangan budak itu membuatkan dia terjatuh ke tanah.  Pucat mukanya.  Aidil menyengih dan mendekati budak itu yang kelihatan ketakutan. 
                “Kau buat apa di sini?  Hendak mencuri ya?”  tanya Aidil garang.

                “Tak, tak,” nafi budak itu seraya menggoyangkan tangannya.
                “Kalau tak mencuri, kau buat apa hari-hari di sini?”  tengking Aidil.  Dia sudah mencekak leher t-shirt budak itu.
                “Jangan pukul saya bang!” rayu budak itu memohon simpati.
                “Kalau kau tak nak kena pukul, kau jangan datang sini lagi!” ugut  Aidil.

                “Baik, bang!”  janji budak itu, masih terpancar ketakutan di wajahnya. 
                Aidil mencebik.
                “Berambus,” halau Aidil.
                Budak itu berlalu pergi, sesekali dia menoleh ke belakang memerhati Aidil yang masih memandang tajam ke arahnya.

I

                Di tangannya ada sebatang pensil, sekeping kertas yang sudah penuh dengan contengan. Sesekali dia menyeka air matanya yang gugur membasahi kertas yang telah berkedut seribu.  Berenjut tubuhnya menahan sebak di hati.  Bau hamis di kawasan bawah jambatan yang telah berbulan-bulan menjadi istana hinggapnya langsung tidak mengganggu gugat keinginannya untuk melakarkan sesuatu di atas kertas itu.
                “Kau menangis Haikal? Tidak usahlah menangis, kalau mengalir membanjirkan bumi Malaysia ini sekalipun inilah kehidupan kita,” kata seorang lelaki yang sedang mengemas tempat tidurnya.    Kotak-kotak yang dikutip di kedai berhampiran.  Itulah tempat tidurnya.
                “Kenapa kita tak boleh ada rumah, bang? Kenapa saya mesti jambatan ini menjadi tempat tinggal saya? Kenapa saya tidak boleh bersekolah seperti budak-budak lain?” tanya Haikal sendu.  Matanya tidak mampu dibuka lantaran dipenuhi dengan air mata.
                “Kau tanyalah emak dan ayah kau! Kenapa mereka buang kau?” kata lelaki yang dipanggil abang itu.
                Haikal masih menunduk. Semakin hiba hatinya memikirkan keadaan diri sendiri.  Dia tidak ingat bagaimana terjadi, dan bagaimana dia boleh berada di bawah jambatan itu.  Seingat dia, satu hari dia telah dibawa keluar berjalan oleh sepasang suami isteri, mungkin juga itu emak dan ayahnya, wajah mereka pun dia tidak mampu ingat.  Sudah bertahun-tahun tinggal di jalanan, mereka yang menjadi gelandangan yang tinggal di bawah jambatan itulah emak dan ayahnya.  Nasib baik mereka masih ada hati, sudi menjaga dan mengasuhnya sehinggalah besar begini.  Tetapi, dia tidak bersekolah, setiap hari, setiap masa hatinya merintih, menangis sendiri.
                “Sudahlah, Haikal. Mari kita pergi ambil makanan.  Nanti terpaksa berebut pula dengan gelandangan warga asing. Kita juga yang kebulur,”  ajak abang.
                Haikal mengesat air matanya yang masih mengalir. Menarik nafas panjang agar hilang rasa sedih di hati.  Dia menyimpan pensil dan kertas tadi ke dalam sebuah kotak yang menjadi almari pakaian lusuhnya.  Pakaian yang ada pun ehsan orang.  Sebenarnya dia bukan berasal dari tempat itu.  Sebelum ini dia berasal dari tempat lain, dia di bawa ke situ kerana kononnya mudah cari makan percuma.  Setiap hari ada sahaja yang datang memberi mereka makanan dan minuman.  Rezeki jangan ditolak kata abang kepadanya.  Haikal akur.  Dia akan beratur bersama-sama dengan abang dan beberapa orang jiran sejambatan. 
                “Cantikkan pakaian budak lelaki itu,” kata Haikal, seraya mengambil nasi bungkus dan air teh panas yang siap dibungkus, matanya sempat melirik ke arah seorang budak lelaki yang turut membantu menghulurkan bungkusan nasi. Mata mereka bertentangan. 
                “Itu orang ada emak dan ayah, ada harta, ada tempat tinggal. Kita kena sedar diri, tidak payahlah berangan,” tegur abang sambil menolak Haikal mengambil bungkusan nasi yang disumbang.
                Aidil mengamati wajah budak lelaki yang turut sama beratur mendapatkan makanan daripada keluarganya.  Hari ini giliran mamanya memberi makan kepada gelandangan yang terdapat di Bandar Kuala Lumpur ini. Rasa seperti kenal budak itu, tetapi di mana?  Ligat akal Aidil berfikir. Hah!  Di sekolah.  Rupanya budak lelaki itu pun gelandangan juga?  Aidil menggeleng kesal.  Simpati singgah di hatinya melihat wajah pucat budak itu ketika terpandangkan dirinya.
                “Kau kenapa Haikal?  Pucat mukakau. Kauternampak hantukah?” tanya abang yang sudah pun bersila di tepi satu lorong berhampiran tempat para gelandangan mendapatkan makanan.
                “Tak ada apa-apa.” Putus seleranya untuk menjamah makanan yang baginya cukup enak hari ini.  Nasi goreng kampung.  Sesekali dapat makanan seperti itu bagaikan mendapat syurga dunia bagi gelandangan sepertinya.
                “Kenapa tak makan?  Kau tak lapar ke? Kalau tak nak, bagi sahaja pada abang,” kata abang.
                Haikal tidak menjawab, dia terus menolak bungkusan nasi itu kepada abang.  Dia hanya memerhatikan abang makan dengan penuh selera.  Agaknya hari ini abang belum makan apa-apa, kalau tidak, tak mungkin abang makan dua bungkus sekaligus. Itulah nasib gelandangan sepertinya, makan pun terpaksa dicatu sendiri. Mana ada duit, hendak hiduppun atas belas ehsan orang lain.  Pernah dia terfikir, sampai bila harus begini? Soalan yang sukar untuk dijawab buat diri sendiri.

II
                Langkahnya mati di tepi pagar sekolah itu.  Memerhati para pelajar itu lalu di hadapannya menuju ke sekolah buat hatinya bernyanyi riang.  Seronoknya jika dapat pergi sekolah.  Kenapa dia tiada ayah dan ibu? Kenapa dia tiada rumah? Kenapa dia tidak bersekolah?    Haikal menjengahkan kepala.  Takut-takut terjumpa pelajar yang menegurnya minggu lepas.  Gara-gara teguran itu seminggu dia tidak ke sekolah tersebut.  Kebetulan sekolah itu berada dekat dengan Istana hinggapnya.  Berbunga riang hatinya melihat langkah para pelajar itu memasuki bangunan sekolah.  Terpancar keriangan  di wajahnya. Puas hatinya. Gembira tidak terkata.  Biar keinginan tidak dipenuhi, dapat melihat sahaja sudah cukup baginya. Rasa sebak dibuang jauh-jauh, diketepikan rasa pilu. Air mata yang baru hendak menjengah ditolak laju.
                “Hey!” sapa seseorang. 
                Haikal tidak memandang kiri dan kanan, kakinya laju melangkah ingin meninggalkan tempat itu.
 
                “Jangan lari!”  laung suara itu.  
 
                Langkah Haikal berhenti.  Dia menoleh perlahan-lahan.  Sudah pasti pelajar yang pernah menegurnya dahulu. 
                “Kau nak sekolah ya?” tanya Aidil.
                Haikal menunduk. Berasa malu dengan diri sendiri. Ketrampilan pelajar itu membuatkan dia berasa dirinya kecil sahaja.
                “Mari, aku belanja kau minum,” ajak Aidil.  Dia mengamit memanggil Haikal.
                Haikal masih tidak bergerak. Takut tersemai di hati.  Jangan-jangan budak itu ada niat jahat terhadapnya.  Kalau jahat kenapa dia beri gelandangan makan? Ligat akal Haikal berfikir.
                “Jangan takutlah! Aku bukan nak makan kau!”  kata Aidil bagaikan dapat membaca isi hati Haikal.
                Haikal malu sendiri.  Macamlah diri dia baik sangat. Haikal mengikut langkah  Aidil menuju ke sebuah kedai makan mamak tidak jauh dari sekolah itu.  Sesekali dia memandang ke arah Aidil yang berbaju sekolah, kemas dan bersih.  Sesekali matanya singgah pada tubuh sendiri.  Dia menarik nafas panjang, lelah rasa di hati. Pilu meragut jiwa.
                Pelajar lelaki itu memesan makanan dan minuman untuknya.  Untung hari ini nasibnya, awal-awal lagi dapat makanan percuma. Kalau tidak dia akan makan pagi dengan apa sahaja yang ada.  Biasanya para gelandangan yang ada tidak akan meminggirkannya.  Dia tidak bekerja, kerana tubuhnya yang kurus dan tidak cukup umur.  Terpaksalah dia bergantung hidup dengan para gelandangan yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. 
                Usai makan, pelajar lelaki itu memperkenalkan diri dan bertanya akan namanya.
                “Kau nak sekolah ya?”  tanya Aidil.
                Haikal mengangguk laju.  Itulah keinginannya. 
                “Kau tidak ada keluargakah?” Aidil terus menyoal.
                “Aku tidak punya sesiapa, sejak usiaku lima tahun aku menjadi gelandangan.  Nasib aku baik tidak tertangkap, kerana sering dapat melarikan diri.  Hidupku sebatang kara, bawa diri mengikut langkah kakiku yang kecil ini.  Tak siapa pedulikan aku.  Aku ingin ke sekolah, aku tidak mahu hidup seperti abang, seperti Mak Tom, seperti Pak Ali hidup di bawah jambatan, mengemis dan memjnta-minta.  Aku malu sebenarnya.  Kau ingat, aku tidak ada perasaan?  Aku juga ada keinginan, aku juga ada cita-cita.  Aku ingin belajar dan bekerja.  Aku tidak mahu membesar di bawah jambatan.  Aku ingin ada rumah yang sempurna, pakaian yang bersih biarpun tidak mewah.  Tempat tidur yang selesa biarpun bukan katil yang mahal  harganya atau tilam yang empuk, cukuplah sekadar tidak berbaring  di katil berlantaikan  tanah  dan beralaskan tilam kotak. Aku tidak mahu siang dan malamku sama sahaja.  Hanya tembok dan dinding jambatan menjadi singgahan mata.” Air matanya gugur juga.  Cepat-cepat diseka dengan hujung jari kanannya yang masih berbau rempah nasi kandar yang baharu dijamah tadi.
                Aidil terdiam dan merenung wajah Haikal.  Rupanya budak itu punya harapan dan impian.  Bukan dia seorang yang menjadi anak gelandangan. Ramai, tentu mereka juga berfikir seperti Haikal.  Siapa tahu?  Tiada yang bertanya.
                “Kenapa kau tidak biarkan diri kau tertangkap?  Kau tahukan siapa yang menangkap?  Mereka itu pihak perbandaran, kes seperti kau akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakatlah.  Kau akan ditempatkan di rumah anak yatim, di situ kau boleh bersekolah.  Kenapa mesti melarikan diri?” ujar Aidil. Matanya tidak renggang daripada memandang wajah redup Haikal.
                “Abang pesan, jangan sampai tertangkap.  Nanti mereka hantar ke penjara.  Aku tidak mahu masuk penjara. Kata abang, penjara itu buruk, busuk dan makanan tidak sedap.  Tidak bebas.  Aku takut!” luah Haikal.  Macam-macam cerita yang dia dengar daripada para gelandangan yang ada.  Mereka berusaha agar tidak ditangkap ketika mengemis, atau sedang tidur di bawah jambatan. Ada ketika tengah malam terpaksa mereka melarikan diri, jika ada pihak yang buat operasi menangkap gelandangan yang semakin ramai di luar sana. 
                “Bukan begitulah, budak-budak seperti kau, jika tiada ahli keluarga, mereka akan hantar ke rumah anak yatim.  Kalau kau ada keluarga tentulah dihantar kembali kepada keluargakau.  Usahlah kau bimbang. Pihak berkuasa bukan jahatlah,” nasihat Aidil.
                Haikal terdiam, menunduk.  Salah anggapannya selama ini.  Keluarga?  Dia ada, tentu dia ada keluarga, tetapi tidak tahu siapa keluarganya.
                “Kalau kau hendak  ke sekolah, hendak ada rumah, aku boleh bawa kau ke Pejabat Jabatan Masyarakat, mereka akan bantu kau.  Kau jangan takut.  Selama mana kau nak duduk bawah jambatan? Minta makanan belas ehsan orang?  Usia seperti kau seharusnya ke sekolah,” nasihat Aidil.  Pandai pula dia menasihati orang lain.  Dia sendiri kadangkala culas ke sekolah, lantaran sikap malas yang sesekali menyinggah.  Melihat Haikal membuatkan dirinya berasa bertuah. Dia ada orang tua, kehidupannya serba sempurna. Makan, pakai cukup.  Tiada apa yang kurang. Seharusnya dia menjadi manusia yang bersyukur. 
                “Bolehkah? Mahukah mereka menerima aku?” tanya Haikal. Bimbang tetap ada, risau tetap terlahir di jiwa.
                “Bolehlah, kasihan pula aku tengok kau asyik mengendap di pagar sekolah,”  kata Aidil penuh simpati.  Mungkin kedua orang tuanya boleh membantu.  Bagi dirinya, bukan tidak boleh kedua orang tuanya rajin memberi makan kepada orang-orang gelandangan itu, tetapi sampai bila?  Kenapa mesti  beri mereka ikan? 

             Kenapa tidak diberi pancing agar mereka dapat mencari nafkah buat diri sendiri.  Gelandangan yang ada bukan sahaja dari negara ini, malah orang luar pun ramai.  Terutama peminta sedekah.  Dia yang sering mengikut kedua orang tuanya yang rajin buat kerja amal dapat melihat, mendengar dan memerhati keadaan yang sebenar.  Jika yang tidak waras, penagih dadah, sudah tua, mungkin boleh dimaafkan. Tetapi yang muda, yang masih kuat juga tidak bekerja, kerja mereka mengemis dan meminta-minta.  Bila diajukan kepada orang tuanya, mereka akan jawab, biarkanlah… mereka tidak ada kelulusan, hendak kerja apa?  Bagi Aidil itu hanyalah alasan.  Pendatang tanpa izin yang bekerja di sini, ada kelulusankah? Kenapa mereka boleh hidup, kenapa gelandangan yang ada tidak?  Maksudnya yang mampu bekerja.  Aidil mengeluh sendiri.   Tidak faham dunia kedewasaan.  Dia memandang semula wajah Haikal yang masih duduk setia di hadapannya. Dia akan bantu Haikal, itu azamnya.
                Dia juga berazam untuk mengubah perangainya, tidak mahu malas-malas lagi.  Dia akan belajar bersungguh-sungguh, biar menjadi manusia berguna, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.  Seperti mana yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Biarlah dia menjadi tangan yang memberi… .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan