Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 3 Oktober 2016

JALAN PULANG - BAB 12 - ASMAH HASHIM



Buncit mengusap perutnya yang memang buncit sesuai dengan gelarannya. Dia mendengus kasar.  Dia menghentak kerusi yang berada di hadapannya dengan kuat, hampir patah kerusi tersebut.  Dadanya berombak, menahan marah dan geram.  Dia memandang wajah orang-orangnya yang seramai lima orang itu seorang demi seorang.  Macam mana tempat sarang penagihan dadah di Kampung Seberang boleh musnah?  Kawasan itu pula sudah terang benderang. Tiada lagi semak samun.  Siapa punya kerja?  Ini sudah lawan taukey! Dia membebel sendiri. Habis disepak terajang apa sahaja yang ada di hadapannya.
            “Siapa punya kerja ni Buntal?” tanya Buncit pada orang bawahannya yang kurus kering, diharap dengan letak nama Buntal, badan lelaki itu akan gemuk dan bulat macam dia. Kalau sudah menagih mana boleh mahu gemuk?  Bisik hati kecilnya. Dia mendengus kasar.
            “Tak tahu bos, kami baru nak pergi siasat!  Minggu ini satu barang pun tak laku di kawasan kampung itu.  Semua penagih sudah ditangkap,”  beritahu Buntal.  Dia yang menjadi pembekal di situ turut terkena tempiasnya.  Habislah pendapatannya bulan itu.
            “Kita cari tempat lainlah bos, jangan-jangan pihak polis masih  intip kita lagi,” sampuk Man Cengal yang duduk bersila di  atas sofa sambil bermain-main dengan daun terup.  Tubuhnya berketak-ketak, kaki pukul Kumpulan Naga Hitam itu. Angkat besi beratus kilo.  Boleh lawan 10 orang sekali hadap, begitulah kekuatannya.  Siapa ada berani berlawan dengan Man Cengal, rata-rata kumpulan pengedar dadah daerah itu tahu akan kekuatan Man Cengal, itu sebab dipanggil  Cengal kerana sama kuat dengan kayu Cengal yang kukuh menjadi pasak bumi itu.  Itulah kekuatan Buncit. 
            “Kau ingat senang!? Kumpulan pengedar bukan kita saja tau!  Banyak, setiap kampung di daerah ini sudah ada kaki.  Mana aku nak cari kawasan lain lagi?  Nak langgar kawasan Mat Siam dan Gagak Hitam?  Silap haribulan perut buncit aku ni kempis tau!” marah Buncit dengan mata terbeliak.  Dia mengetap bibir.  Bukan mudah nak masuk kampung cari penagih baru, kalau penagih yang ada pun sudah kantoi, mana ada jalan? Nak cari kawasan baru, semua sudah dikuasai oleh kumpulan pengedar yang lain.  Boleh putus kepala kalau kumpulan dia ganggu kawasan-kawasan tersebut. Uh! Memang menyusahkan!
            “Apa kata kita ugut ketua kampung, Haji Shauki, dia sudah berani main kasar,”  kata Buntal.
            “Ugut?  Kau ingat Tuan Haji itu mahu layan ugutan kita?” Buncit mendengus kasar. Dia mengeluh lagi.  Dia perlu siasat sebab siapa markas penagihan dadah yang menjadi kubu kuatnya musnah.  Siapa punya angkara?  Haji Shauki tidak seberani itu.  Sudah lama kumpulannya bertapak di Kampung Seberang.  Haji Shauki hanya berani menjeling sahaja ke arahnya, kalau mereka terserempak di kawasan kampung.  Pihak polis juga tidak dapat menjejaki dirinya, kerana ada sahaja kaki yang memberitahu jika pihak polis menunggu kehadirannya.  Kali ini kenapa tiada siapa yang memberitahunya? Memang pelik?
            “Habis tu bos? Nak buat macam mana?” tanya Man Cengal.
            “Kau dengan Buntal pergi masuk kampung. Selidiki apa yang sedang berlaku,” arah  Buncit dengan wajah masih masam kelat.  Dia rugi besar minggu itu. 
            “Baik bos!”  Man Cengal bingkas bangun.   Dia terus melangkah keluar meninggalkan rumah teres dua tingkat  yang menjadi kubu Kumpulan Naga Hitam itu.
            Buntal mengekori di belakang.
            Kampung Seberang…
            Buntal dan Man Cengal berhenti di sebuah gerai yang terletak di dalam kawasan Kampung Seberang.  Ada beberapa orang tua dan pemuda sedang bermain dam sambil menikmati kopi dan teh tarik. Mereka menoleh sekali imbas apabila terpandangkan Man Cengal dan Buntal.
            “Bang, kopi dua!” laung Man Cengal pada tuan punya kedai. 
            Tidak sampai lima minit, minuman yang dipesan pun sampai.  Di atas meja ada nasi lemak bungkus, kacang goreng dan beberapa jenis kuih-muih.  Buntal terus mengambil sebungkus nasi.  Sejak pagi tadi dia belum menjamah apa-apa makanan, tidak sempat, ada mesyuarat tergempar.   Mata merek liar memerhati keadaan sekeliling.  Pandangan mereka turut jatuh pada kumpulan yang sedang bermain dam.
            “Bang, dengar kata, kawasan semak yang jadi tempat penagihan dadah sudah dibersihkan, mereka nak buat tempat apa tu?” tanya Man Cengal berbasi-basi
            “Oh kawasan maksiat tu?  Memang dah hancur. Nasib baiklah.  Kalau tidak  kampung ni masih lagi menjadi tempat penagihan dadah dan mengedar!  Habis semua diangkat oleh polis.  Padan dengan muka!” kata salah seorang lelaki yang agak berumur dalam kumpulan itu.
            Bernanah telinga  Man Cengal mendengarnya.
            ‘Kawasan maksiat’? Dia mencebik.
            “Siapa yang buat laporan polis?” tanya Buntal pula.
            “Haji  Shauki dan anak buahnya, Malek,”  sambung lelaki itu lagi.
            “Ooo, baguslah! Bersih sikit kampung ni,” kata Man Cengal berpura-pura suka.  Dalam hati mengelegak.  Siapa Malek?  Tidak pernah dengar pun sebelum ini. 
            “Malek tu tinggal di mana?  Nak kami berkenalan dengan orang yang baik seperti dia,” kata Buntal.
            Kumpulan lelaki seramai empat orang itu menoleh serentak.
            “Kau orang berdua bukan penduduk kampung ini, kan?” kata salah seorang lagi lelaki  dalam kumpulan itu.
            Man Cengal dan Buntal menyengih.
            “Kami memang bukan penduduk kampung ni, tapi kami ada kawan di sini, saja datang ziarah,” kata Man Cengal.
            “Siapa kawan kau?”  kata lelaki yang dipanggil pak cik oleh Man Cengal tadi.
            “Pak cik tak kenal kalau saya cakap pun,”  jawab Man Cengal, mula terasa tidak selesa.
            “Mana boleh aku tak kenal?  Aku tinggal sini sejak lahir tau, anak siapa, rumah kat mana, semuanya aku tahu!” kata lelaki itu lagi.
            “Tak apalah pak cik, kami minta diri dulu.” Man  Cengal mencampak duit RM10.00 di atas meja dan menarik tangan Buntal meninggalkan warung itu.    
            “Man, takkan nak balik dah? Kan bos suruh kita siasat?”  Buntal mengerling ke arah kumpulan yang masih memandang  mereka.
            “Kau nak kena serang?” tanya Man Cengal.  Bukan dia takut, tetapi tidak mahu buat kecoh, kawasan itu masih menjadi kawasan panas.  Kereta peronda polis dua tiga kali lalu di hadapan warung tersebut.  Kalau mereka buat kecoh takut ada yang terpaksa tidur dalam lokap.
            “Malek?  Kita kena cari siapa Malek?”  kata Man Cengal dan terus menghidupkan enjin kereta. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan