Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 10 Oktober 2016

JALAN PULANG - BAB 13 - ASMAH HASHIM



            “Alhamdulillah, kawasan kampung kita dah tadi lagi penagih dadah.  Ayah dan Tok Su yang membanterasnya.  Malah penduduk kampung sama-sama sudi membantu.  Dengar kata, Tok Su nak jadikan kawasan itu mini stadium dari dibiarkan kosong dan bersemak semula.  Bolehlah disewakan pada penduduk kawasan sekitar kalau mereka nak buat apa-apa program,” cerita Zakuan ceria.  Dia mahu ibunya tahu, ayahnya benar-benar sudah berubah.  Sudah mampu membimbing anak-anak muda kampung untuk menjadi baik dan tidak tersalah jalan. 
            “Tak usah puji sangat lelaki itu depan ibu, tak ke mana perginya!” marah Salmah. Dia tidak suka cerita mengenai bekas suaminya dibawa masuk ke dalam rumah. Hatinya bertambah sakit. Jiwanya bertambah kacau.  25 tahun dia cuba melupakan sejarah hitam itu.  25 tahun dia terpaksa menanggung sengsara atas perbuatan kejam lelaki yang pernah menjadi suaminya itu. Umpama mimpi ngeri yang hadir ketika mata terpejam.  Bila mata terbuka, diharapkan mimpi ngeri itu turut hilang. 
            “Ibu janganlah keras hati sangat.  Kita berilah ayah peluang untuk berubah,” pujuk Zakuan. 
            Salmah mendengus kasar. 
            “Aku tak nak! Tak naklah!” jerkah Salmah. Hilang sabarnya.  Dia memegang kerusi yang berada di hadapannya dengan kedua belah tangan.  Apa yang Zakuan tahu akan perasaannya?  Luka dan pedihnya, ditanggung sendiri.  Demi anak-anak dia gagahi meneruskan hidup dengan kehinaan dan kepayahan. Air matanya mengalir, diseka segera.  Tidak ada gunanya menangis nasib diri, perkara sudah terjadi, tidak mungkin akan hilang sengsaranya begitu sahaja.          
            “Ibu!” Zakuan mendekati Salmah, namun ditolak dengan kasar. 
             Salmah  melangkah pergi meninggalkan Zakuan sendiri di dapur.
            “Wan!” panggil seseorang.
            Zakuan menoleh ke arah pintu dapur yang terbuka. 
            Malek menggamit Zakuan keluar.
            Zakuan mengeluh.  Dia membuka pintu dapur dan melangkah keluar, mendekati ayahnya yang sedang membersihkan longkang di belakang rumah.  Wajah tenang ayahnya dipandang seketika. Hiba mencengkam hatinya. Terasa sayu melihat wajah yang telah semakin tua itu. Memang dahulu ayah jahat, kejam tetapi sekarang tidak lagi, ayah sudah berubah, kenapa susah sangat emak dan adiknya nak menerima kehadiran lelaki itu?
            “Ayah,” sapa Zakuan. 
            Malek berhenti membersihkan longkang yang ada sampah sarap itu.  Minggu ini hujan sering turun lebat, dia takut air longkang tidak mengalir dengan baik nanti banjir pula kawasan rumah keluarganya itu.  Dia membersihkan tangan di pili berhampiran dan duduk di bangku yang terdapat di bawah pokok ceri berhadapan dengan  bilik stor yang kini menjadi tempat tinggalnya.
            “Jangan dipaksa ibu Wan terima ayah, biarkan dia.  Hatinya sudah cukup terguris dengan apa yang telah ayah lakukan.  Ayah tak boleh salahkan ibu Wan kalau dia membenci ayah sehingga akhir hayatnya.” Malek menunduk.  Dia mengeluh kesal.  Dia manusia yang tidak punya hati dan perasaan, buat jahat tampa memikirkan kesannya pada keluarga yang ada.  Hanya nafsu dan keinginan hidup mewah dia sanggup buat apa sahaja. Asalkan apa yang dia impikan tercapai.  Dia langsung tidak memikirkan perbuatannya itu telah meragut kebahagian anak isterinya sendiri
            “Maafkan Wan,  ayah.”  Zakuan merenung wajah Malek tidak berkedip.  Dia ingat-ingat segala  yang berlaku pada keluarganya.   Air mata ibunya tidak pernah kering, tidak pernah berhenti mengalir akibat dihina oleh orang kampung.  Bahana perbuatan jahat ayahnya, mereka sekeluarga menerima kesannya.  Hanya sejak akhir-akhir ini sahaja pandangan benci itu semakin suram. Mungkin mereka sudah tidak larat lagi bercerita atau mengumpat hal mereka sekeluarga.  Kadangkala terdengar juga soksek tentang kehadiran ayahnya.  Kisah semalam telah mengubah pandangan orang tentang ayahnya.  Tempat penagihan dadah sudah dapat dihapuskan sepenuhnya.
            “Jangan paksa ibu ya,”  pujuk Malek dengan mata berkaca.  Dia tidak salahkan bekas isterinya itu jika berjuta kali membencinya.  Dia yang membuat onar dan merosakan rasa cinta yang pernah hadir dalam hati bekas isterinya itu.  Biarlah dia terima balasan dosa-dosanya yang lalu. Rasa bersalah masih menebal dalam hati, entahkan bila akan surut dan menyusut.

            Di ruang bilik yang tidak sebesar mana, air matanya masih lagi mengalir. Mengenang kisah 25 tahun dahulu masih terngiang-ngiang di cuping telinganya.  Salmah menahan rasa sakit di hati. Dia tidak sepatutnya berkasar dengan Zakuan, anak itu hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak, sepatutnya dia menggalakkan dan tidak menentang, tetapi jiwanya yang sakit menafikan sekeras-kerasnya kebaikan yang ada dalam diri.
            “Eee, siapa nak beli kuih isteri perompak dan perogol ni! Jijik aku!” kata Mak  Cik Semah dengan muka geli geleman.  Kuih yang ada di atas meja di warung Pak Seman dicampak ke tanah, berguling kuih talam keladi itu menyembah bumi. 
            “Apa Mak Semah buat ni?” Salmah hiba.  Dia memandang sahaja kuih talam keladi itu yang terjelepok di tanah, rosak semuanya.  Sampai  hati jiran sekampungnya itu.  Air matanya berjujuran mengalir.
            “Hey Salmah! Kenapa kau tak berambus saja dari kampung ni?  Buat busuk nama kampung ni saja tahu!  Laki kau tu perompak lepas tu perogol!  Memang patut masuk penjara!”  kata Mak Semah kasar.
            “Sudahlah Kak Semah oi! Laki dia dah kena hukum pun, buat apa ganggu keluarga si Malek tu, kasihan si Nab, penat lelah dia buat kuih itu Kak Semah rosakkan pula,”  ujar Pak Seman sambil menggeleng kesal.
            “Kau pun satu Seman, macam tak ada dah orang kampung  yang mampu buat kuih letak kat warung kau ini.  Yang kau ambil kuih bini si penjenayah ini siapa suruh?  Kau nak suruh aku makan kuih haram?”  bebel Mak Semah tidak puas hati.
            “Hish! Saya ingat nak membantu, nak makan apa si Salmah anak beranak kalau dia tak buat kuih?  Laki dia kan dalam penjara?” Pak Seman mengambil kuih talam keladi air tangan Salmah yang terdapat di meja lain.  Nanti dibuang lagi oleh Mak Semah yang terkenal dengan mulut becok dan beraninya itu.
            “Biarkan dia mati!  Nak buat apa hidup keturunan yang tak membawa faedah?  Merosakkan masa depan orang lain, dah tu rompak pula duit orang ramai!”  bebel Mak Semah.
            “Sudah, sudahlah tu Kak Semah oi!” tegur Pak Seman.
            “Salmah, pergilah kau balik, nanti Pak Seman bayar semua harga kuihnya,”  kata Pak Seman, sedih pula melihat keadaan wanita yang tidak berdosa itu.  Dia hanya menjadi mangsa keadaan.
            “Terima kasih Pak Seman,”  kata Salmah sebelum berlalu pergi.  Wajah gerun Mak Semah langsung tidak disapanya.  Silap haribulan, kena sembur lagi, atau dibaham oleh wanita yang terkenal garangnya itu.
            “Uh! Aku jaja satu kampung tak bagi mereka makan di sini Seman kalau kau ambil kuih isteri perompak tu!”  ugut Mak Semah  dengan muka berkerut.
            “Kenapa pula nak diboikot kedai saya? Kan menutup periuk nasi saya, berdosa Kak Semah.”  Pak Seman mendengus kasar.  Dia membetulkan kopiah putih yang terletak senget di kepalanya.  Sakit pula hatinya dengan jiran sekampungnya yang terlebih ambil tahu itu.
            “Tak baik Kak Semah buat si Salmah macam tu, dia cari rezeki yang halal kak.  Nak besarkan anak-anak dia.  Mereka nak makan apa, kalau Salmah tak buat kuih? Akakkan perempuan juga, fahamilah perasaan sesama perempuan.  Salmah dan anak-anaknya tidak bersalah kak, yang bersalah si Malek tu,”  nasihat Pak Seman.
            Mak Semah mencebik. Dia memandang sahaja langkah perlahan Salmah dan anak-anaknya.  Dasar anak pencuri, entah-entah besar nanti sama jahat seperti bapanya juga, leter Mak Semah dalam hati dan memandang kelibat Salmah dengan penuh kebencian. 
            Salmah mengesat air mata yang mengalir.  Ke mana lagi dia nak hantar kuih-muih yang dibuatnya jika tidak di gerai Pak Seman, dekat sedikit dengan rumah.  Dia bukan pandai naik basikal atau motor untuk hantar di kampung sebelah.  Ada beberapa buah warung di kampung tersebut.  Anaknya yang sulong Zakuan baharu berusia empat  tahun,   Zara masih kecil lagi.  Sejak itu jika ada barang yang hilang di rumah kenduri atau jiran sebelah menyebelah, dialah yang akan dituduh kerana tidak punya duit untuk menyara keluarga sehingga sanggup jadi pencuri. 
            Hina benar dirinya dan anak-anak ketika itu.  Ke mana sahaja mereka pergi, mereka dihina, dicaci, dicerca oleh kawan-kawan dan penduduk kampung yang tidak berhati perut.    Anak-anaknya tidak dibenarkan bermain dengan rakan-rakan sekampung, takut terpengaruh.  Kenduri kendara pun keluarganya tidak dijemput.  Mereka sisihkan dia terus daripada kehidupan penduduk kampung.  Manalah hatinya mampu bertahan?  Anak-anak bermain sendiri sesama mereka. Hanya di dalam kawasan rumah. Makan apa yang ada.  Jangan harap boleh pergi kenduri kendara.  Sesekali sahaja keluarga Haji Shauki datang menitipkan  bantuan. 
            Dia terpaksa berjalan kaki berbatu-batu demi menghantar kuih ke kampung sebelah.  Penduduk kampung benar-benar memboikot warung Pak Seman.  Salmah akur, dia tidak mahu menyusahkan Pak Seman.  Biarlah jauh sekalipun, dia terpaksa.  Demi mencari duit membeli beras agar anak-anaknya tidak kelaparan.  Dalam hati dia menyumpah-yumpah suaminya yang telah ditahan dipenjara selama 25 tahun.  25 tahun jugalah dia terpaksa menanggung sendiri penderitaan lahir dan batin demi anak-anaknya.
            Bukan itu sahaja, dia pernah diludah, ditarik rambut, diajak buat maksiat oleh mereka yang tidak berhati perut, dituduh isteri gersang, dituduh sanggup menyundal di kampung sebelah  untuk membesarkan anak-anak.  Tuduhan yang membunuh kewarasannya sebagai seorang manusia.  Tetapi dia tidak melatah, dia biarkan sahaja penduduk kampung terus mengumpat dan mengata dirinya.  Dia tahu siapa dirinya?   Dia tahu kenapa dia ke kampung seberang bersama sebakul kuih dan nasi lemak bungkus.   Ketika itu, hanya air mata teman berbicara, kepada Allah swt dia mengadu dan berserah.  Anak-anak juga tidak bersekolah di sekolah yang terdapat di dalam kampungnya sendiri, terpaksa dihantar ke kawasan lain yang jauhnya berpuluh batu, setiap hari mereka bertiga terpaksa meredah kepekatan pagi  menuju ke pekan.  Menaiki tangan bas bersama sebakul kuih dan nasi lemak.  Pernah nasi lemak yang dibawa musnah semuanya kerana jatuh ditolak orang lantaran bas yang dinaiki terlalu penuh dan berhimpit-himpit.
            Zakuan ketika bersekolah menengah, bekerja sambilan di kedai runcit berhampiran sekolahnya demi mencari duit saku bagi tambang bas dan belanja untuk diri sendiri.  Salmah hiba melihat keadaan anak lelakinya ketika itu.  Hampir senja baru sampai rumah, tetapi anak itu tidak pernah mengeluh, tetap rajin belajar dan bersungguh-sungguh sehingga terpilih sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan SPM. Begitu juga Zara.   Pahit maung kehidupan mereka ketika kecil dahulu tidak pernah mereka ceritakan langsung kepada sesiapa.  Mereka terus berusaha sendiri, gigih mencari duit untuk menyambung pelajaran mereka ke tempat yang lebih tinggi.  Berkat usaha mereka sendirilah, mereka berjaya hari ini.  Dia hanya mampu memberi semangat dan kata-kata dorongan.  Pekerjaan rencam apa yang tidak dilakukan oleh Zakuan demi membantunya dan adiknya?   Mana mungkin dia menerima kembali lelaki yang hampir menjahanamkan masa depan anak-anaknya jika mereka tidak dapat belajar?  Sejarah semalam yang memeritkan tidak pernah menjadi bualan mereka sekeluarga. Hanya cerita hari ini yang menjadi halwa telinga.  Biar pergi duka nestapa, tidak mahu dikenang lagi. Salmah merebahkan diri di katil dan melelapkan mata, biarlah kenangan silam itu berlalu pergi bagaikan mimpi di siang hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan