Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 10 Mac 2017

JALAN PULANG - BAB 25



            Beberapa hari kemudian pihak polis dapat mengesan di mana Malek berada. Mata merenung, jiwa meraung, air mata pula seperti kering, tidak mahu menangisi apa yang sedang berlaku di hadapan mata.  Renungan dan pandangan yang penuh kebencian di mata jiran tetangga benar-benar mengusik hatinya.  Zakuan dipeluk erat, wajah anak itu dipandang seketika.  Apalah yang Zakuan tahu, hanya memerhati tanpa suara.
            “Puan, saya terpaksa bawa suami puan ke balai untuk siasatan selanjutnya,” beritahu salah seorang anggota polis itu.
            Salmah hanya mengangguk, wajah suaminya yang sudah pun berada di dalam kenderaan peronda polis dipandang seketika. Dia mengeluh berat.  Akhirnya, tupai jatuh juga ke tanah. 
            “Encik, berapa lama suami saya akan ditahan jika didapati bersalah?” tanya Salmah sebelum kereta peronda itu berlalu dari laman rumah pusaka arwah keluarga mertuanya itu.
            “Mungkin 20 tahun,” jawab anggota polis itu perlahan.
            Salmah terlopong mendengarnya.  Terlalu lama, Allah, suaminya tidak akan sempat melihat anak yang berada di dalam rahimnya itu.  Biarlah, bukan penting pun, anak ini tidak perlukan seorang ayah seperti Malek.  Dia memandang kereta peronda polis itu berlalu pergi.  Tiada lambaian selamat tinggal diucapkan, sudah matikan cinta dalam hatinya terhadap suaminya itu?  Berdosakah perbuatannya itu?  Salmah mengeluh berat.  Dia melangkah masuk ke dalam rumah, jiran tetangga mula bercakap sesama sendiri.
            Petang itu dia didatangi oleh keluarga Tuan Harun.  Bukan kata-kata semangat atau meminta dia memohon maaf, bagi pihak suaminya, tetapi kata-kata nista yang mampu membunuh jiwanya.
            “Laki kau memang jantan tak guna!  Kau tengok anak aku ni! Dah seminggu tak makan, tahunya menangis aje! Kau memang tak guna! Kenapa kau biarkan laki kau merompak?” marah Tuan Harun. 
            Wajah anak gadis Tuan Harun yang pucat lesi singgah seketika di matanya.  Apa yang dia boleh buat?  Bukan dia yang menyuruh suaminya merompak?  Selama ini dia tidak pernah mencampuri urusan suaminya di luar.  Manalah dia tahu, rumah siapa yang menjadi mangsa suaminya.
            “Pasal kau nak hidup senang! Aku anak beranak jadi mangsa, kau tahu tak?” jerkah Tuan Harun seperti orang gila.
            Salmah tidak salahkan lelaki itu. Kalaulah dia berada di tempat Tuan Harun, dia juga akan jadi gila! Sekarang pun dia sudah cukup merana dengan perbuatan suaminya.   Ke mana sahaja dia melangkah, ada sahaja kata-kata nista yang singgah di telinga.  Kenapa dia pula yang harus menjadi mangsa penghinaan?  Bukankah suaminya yang punya angkara?  Bertambah berapi-api rasa sakit hati dan benci terhadap Malek, suaminya sendiri.
            “Tuan tidak boleh salahkan saya?  Bukan saya yang suruh suami saya merompak?”  kata Salmah membela diri. 
            “Tapi kau isteri dia! Kau sepatutnya bertanggungjawab!”
            Adakah begitu?  Kesalahan suaminya, dia yang harus tanggung? Salmah mendengus kasar.
            “Maaf tuan!  Saya tiada kena mengena dengan lelaki itu!” kata Salmah mempertahankan dirinya sendiri.  Perutnya terasa senak, dadanya berdebar-debar, jantungnya berdegup kencang. 
            “Baliklah tuan! Bawa anak tuan sekali! Saya tak mampu nak tolong apa-apa!’  Salmah melangkah masuk. Penat sudah, letih sudah.  Segala-galanya serba tidak kena.  Orang boleh mengata, kerana mereka ada mulut, tetapi jiwa dan hatinya yang sakit tiada siapa mampu mengubatinya.
            Salmah tidak pandang ke belakang lagi.  Kata-kata cacian Tuan Harun dan tangisan anak gadis lelaki itu sudah tidak lagi mengusik hatinya.  Jiwanya kosong, hatinya sudah mati, hanya yang ada difikirannya adalah anak lelaki tunggalnya dan anak yang bakal lahir ini.  Perlahan-lahan Salmah mengusap perutnya yang semakin membesar.
            Setiap malam hanya tangisan menjadi teman tidurnya.  Setiap langkahnya sudah semakin sumbang di mata orang kampung, kata-kata hinaan, cacian jiran sekampung begitu memeritkan.  Telinganya sudah mangli mendengar umpat keji mereka. Anaknya turut menjadi mangsa. Zakuan terlalu kecil untuk mengerti.  Dia tidak memikirkan dirinya tetapi anak-anaknya, bagaimana dengan masa depan mereka?
            “Kau pindah ajelah dari sini Salmah,” suruh Pak Su Shauki menasihati.
            Lelaki itu adalah bapa saudara kepada suaminya.  Salmah hanya menunduk memandang lantai, tidak mahu bersuara. Kalau dia keluar dari kampung ini, dia harus ke mana?  Dengan duit yang ada tidak seberapa, ke mana dia harus pergi dengan anak-anaknya?  Dia bukan ada saudara mara, kehidupannya sudah cukup tersiksa sekarang ini, tidak mungkin dia menambahnya lagi dengan keluar dari kampung itu. Biar betapa susah sekalipun, dia akan hadapinya dengan tabah dan sabar. Orang kampung ada mulut, ikut suka merekalah hendak kata apa. Biarpun sakit di hati, lukanya dalam, tetapi fizikalnya masih mampu bertahan.
            “Tak pak su, biarlah saya tinggal di sini, nak ke mana kami?  Saya bukan ada saudara mara, lagipun, rumah ini sudah diwasiatkan kepada suami saya, biarlah saya menjaganya!” jawab Salmah tegas.   Entah berapa baldi air mata di hatinya, di luar nampak tabah, tetapi hatinya selembut tisu, tetap tergugah juga.
            “Salmah!”
            Salmah menggeleng laju tanda menolak. Biarpun terpaksa melawan arus, dia pasrah. 
            “Zakuan ada untuk ibu, kan?”  soal Salmah kepada Zakuan anak sulongnya yang semakin membesar. 
            “Ikut suka kaulah Salmah, jangan kata pak su tak nasihat pula?”  Pak Su Shauki meminta diri setelah gagal untuk menasihati anak saudaranya itu. 
            Salmah menutup pintu, dia sendiri sebenarnya tidak tahu apa yang harus dilakukan.  Pak Seman sudah tidak mahu lagi menerima kuih muihnya kerana ada penduduk kampung yang tidak suka dan ingin memboikot warungnya jika masih lagi menerima kuih muih daripada Salmah.  Dia perlu cari tempat lain untuk menghantar kuih muih air tangannya.  Kalau tidak, dia anak beranak hendak makan apa?  Pertanyaan itu tidak henti-henti bermain di fikirannya.  Seolah-olah dia tidak  bertuhan!  Allah!  Tidak mungkin Allah berlaku kejam kepadanya.    Dia tidak boleh patah semangat. Dia harus kuat demi anak-anak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan