Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 11 Julai 2019

PENDIDIKAN AWAL ANAK - Asmah Hashim

Wahai ibu, didiklah anak-anakmu menjadi manusia yang baik. Mereka amanah buatmu. Usah dipersia-siakan anugerah daripada Allah swt.
Wahai ibu, sakit melahirkan tidak tertanggung. Sesungguhnya kekuatan itu datangnya daripada Allah swt. Darah yang tumpah, usah dipersiakan. Bajailah anak-anakmu roh Islam, biar mereka tahu hakikat kehidupan di dunia ini untuk apa.
Wahai ibu, anak-anak cermin dirimu. Adakah kau suka dituduh tidak pandai mendidik ya? Lihatlah mereka, bagaimana cara hidup mereka? Solat kah? Pandai mengaji kah? Taatkah kepadamu? Sudah kau ajar agar mereka taat juga kepada Allah swt?
Wahai ibu, jangan hanya tahu melahirkan, tapi kau biarkan anak-anakmu tidak beradab dan berakhlak. Jangan kau biarkan mereka leka dan lalai bergelumang dengan keseronokan dunia sehingga tiada ruang untuk beribadat kepada Allah Yang Esa.
Wahai ibu, kau tentu tak mahu kuburmu sempit dan gelap lantaran tidak ada anak yang soleh mendoakan kesejahteraanmu di alam barzakh. Jangan kau hanya tahu takut tiada anak yang akan menjagamu ketika tua tetapi takutlah kalau-kalau kau dibiarkan kelaparan di dalam kubur kerana tiada doa daripada anak-anakmu.
Wahai ibu, biar mereka menangis sekarang. Jangan kau menangis di kemudian hari kerana kecewa dengan diri sendiri apabila anak-anakmu yang kau lahirkan dari rahimmu menjadi manusia durjana.
Wahai ibu, berubahlah, jadilah ibu yang mithali. Jadilah ibu yang menjaga amanah ini sebaik mungkin. Jadikanlah anak-anakmu, anak-anak yang beriman, soleh, beramal dan bertakwa. Sesungguhnya kau akan dituntut oleh Allah swt bagaimana cara kau mendidik amanahnya yang diserahkan kepadamu.
Ingatlah, hidup ini singkat sahaja. Kepada Allah swt kita akan kembali. Jadilah ibu yang mampu membentuk generasi terbaik, beradad, berakhlak, beriman dan bertakwa. Kita penentu melahirkan generasi gemilang, terbilang di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan