Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 10 Disember 2019

PENGALAMANKU - ASMAH HASHIM.


Pertama kali terlibat membantu anak-anak yatim adalah ketika saya bekerja dengan ABIM KEDAH, berjawatan Setiausaha Kerja HELWA, merangkap Pembantu Tadbir, Sekretariat ABIM KEDAH.

Bersama dengan barisan pimpinan Helwa negeri, kami menganjurkan program Kembali Ke Sekolah dengan memberi bantuan pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis.

Saya yang menyediakan semua perancangan, surat menyurat dan bersama Naib Pengerusi Helwa ketika itu Puan Rohana, isteri kepada YDP Abim Kedah ketika itu, Tuan Haji Ahmad Kassim, kami menjelajah sekolah sekitar Kota Setar untuk mencari anak-anak yatim asnaf yang boleh diberi bantuan tersebut.

Kami juga mula menghantar surat kepada waris-waris pelajar SRI Alor Setar untuk mendapatkan sumbangan serta badan-bafan dan syarikat-syarikat yang ada di sekitar Alor Setar.

Alhamdulillah, projek tersebut berjaya dan saya berjaya membuatkan majikan kagum dengan kemampuan saya dan anggota AJK Helwa ketika itu.

Pindah ke Kuala Lumpur semula, saya diberi peluang sekali lagi oleh badan NGO ini, bertugas di sebuah rumah anak yatim dibawah kelolaan ahli ABIM juga. Dua tahun bertugas mengurus, memasak dan menjaga kewangan rumah anak yatim itu benar-benar memberi peluang saya berkhidmat dengan bersungguh-sungguh.

Sekarang, membantu suami menguruskan rumah anak yatim tahfiz, biarpun tidak terlibat secara langsung, kerana tugas saya hanya memasak untuk mereka. Berbeza ketika saya bekerja dengan orang lain dahulu.

Biarpun hanya tukang masak untuk anak-anak yatim, saya akan pastikan mereka dapat menikmati makanan yang enak dan disukai oleh mereka.

Saya yakin rezeki anak-anak yatim ini pasti ada. Allah swt tidak akan mensia-siakan mereka. Allah tidak akan berlaku kejam kepada anak-anak yang tidak berayah ini.

Anak-anak yatim jagaan kami ini sentiasa dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Sebut sahaja teringin atau terdetik ingin makan apa, pasti Allah kurniakan. Kerana Allah memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki.

Apa amalan anak-anak ini? Mereka berqiamullai setiap hari, puasa Isnin dan Khamis. Solat awal waktu. Makanan yang terhidang di dalam talam dihabiskan semuanya, kecuali tulang. Sewaktu menjamu selera, mereka diajar mengikut adab yang betul ketika menjamah rezeki. Mereka diajar agar tidak membazir.

Ajarlah anak-anak menghargai rezeki, jangan membazir dan membuang makanan yang tidak habis. Kerana keberkatan rezeki terletak di situ. Allah akan memberi rezeki kepada yang tahu bersyukur.

Antara tanda-tanda bersyukur, kita tak membuang makanan yang ada dalam pinggan.

Jadilah hamba yang menghargai kurniaan Ilahi.

Sarapan pagi anak-anak hari ini, nasi goreng ikan sardin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan