Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 31 Oktober 2015

SUDAH PANDAI?




            Hujung minggu itu aku dan suami pulang ke kampung.  Ada kenduri kahwin di rumah bapa saudaraku. Anak sulongnya berkahwin.  Mana boleh tidak pulang, kalau tidak pasti pak long aku tu berleter tujuh hari tujuh malam. Mahu pecah gegendang telingaku.  Dari dibiar pecah dan terbakar, aku ajak suamiku balik, terpaksalah guna cuti yang ada.  Kebetulan anak-anak juga sedang cuti sekolah.
            Kalau sudah namanya kenduri di kampung, amalan rewang dan bekerjasama tidak pernah hilang.  Riuh rendah rumah pak long dengan kehadiran jiran sekampung.  Tidak termasuk adik beradik dan saudara mara.  Memang meriahlah.
            “Anak mak long yang bongsu dah habis SPM, kan? Sekarang dia buat apa?” tanyaku sambil tangan mengupas bawang.  Pedih juga mataku, tidak pasal-pasal berair.
            “Mana ada ambil! Berhenti waktu tingkatan empat lagi.  Tak minat belajar katanya,” adu mak long seraya memandang wajah anak lelaki bongsunya yang sedang duduk santai sambil main telefon tangannya.
            Mataku turut memandang ke arah pemuda harapan bangsa itu. 
         “Sayangnya! Kenapa pula dia tak minat mak long?  Teruk sangat ke pelajaran sekarang?” soalku.
           “Entahlah, mak long suruh dia belajar semula, dia tak nak.  Katanya buang masa sahaja, sebab tak minat. Malas mak long nak paksa,” luah mak long.
         “Dia dah kerja ke?” Aku memandang wajah kusut mak long, mungkin sebab letih menguruskan hal kenduri kendara ditambah dengan perangai anak lelaki bongsunya itu.
           “Tak, siapa nak bagi kerja?  Mana ada kelulusan?  Nak kerja apa? Umur pula muda lagi, tanam anggurlah kat rumah,”  bebel mak long.
         “Hish, mana boleh macam tu mak long, dia anak lelaki, nak jadi ketua keluarga.  Kalau dibiarkan macam itu, tak ubah hidup dan nasibnya nanti.
          “Kau nasihatkanlah dia, mak long dah tak sanggup!”  kata mak long sambil mengangkat tangan tanda menyerah.
         Hish, tak baik berputus asa dengan anak. Selagi ada kudrat dan tenaga, jangan berhenti mengharap dan berdoa.  Aku mengeluh, susah betul anak-anak generasi hari ini.  Kita dulu takut kalau tak ke sekolah, kata arwah abah, orang yang tak nak sekolah sama dengan lembu. Uh! Tak naklah jadi lembu, itu sebab tak pernah culas ke sekolah.  Melainkan demam atau ada hal yang tidak boleh dielakkan.  Anak hari ini, kita cakaplah apa pun, buat tak tahu sahaja. Macam bercakap dengan dinding batu. 
         “Pergilah cakap dengan dia! Risau mak long fikirkan masa depan dia,” pinta mak long dengan wajah penuh mengharap.
            Aku mengeluh berat.  Kenapalah asyik perlu jadi penasihat tidak bertauliah ini. Mak long tak tahu, kalau aku menasihat, boleh pecah gegendang telinga  sesiapa sahaja.Nak pergi ke tidak ini?  Aduh! Susah betullah.  Tengok wajah sepupuku itu pun buat hati sendiri bengang.  Orang lain sibuk dengan pelbagai urusan kenduri-kendara, dia boleh duduk goyang kaki sambil main telefon bimbit.  Pakai telefon punyalah canggih.  Macam sudah bergaji besar.  Tentu pak long yang belikan.  Ikut sangat kehendak anak sendiri yang memang pemalas dan tidak boleh diharap  itu.
            “Pergilah!” suruh mak long sekali lagi. 
           “Yalah, yalah!”  kataku, lantas bangun berdiri dan  berjalan ke arah adik sepupuku yang duduk santai bersendirian, macam tiada orang lain di sekelilingnya.
           Aku terus duduk di sebelahnya. Dia pula hanya memandangku sekali imbas dan melihat  telefon bimbitnya semula. Memang tak tahu hormati orang tua ke?  Kalau anak aku buat macam itu, sudah kuketuk kepalanya. 
           Kau fikir, kau siapa?  Besar kepala ya?  Aku ini kakak sepupu kau, hormatlah sikit, berhentilah tengok telefon itu.  Tengok aku ini, pernah tengok dan nampak aku ke? Bebelanku bermula.  Cantik telefon?  Tentu mahal? Siapa beli? Ayah? Sudah kerja?  Mengganggur? Tak nak sekolah?  Sudah pandai ya?  Nak jadi lembu ke?  Jangan nak jegilkan mata! Duduk situ diam-diam!  Aku menarik tangannya sebab dia sudah mula hendak melangkah pergi.
            Kau tak sekolah, kenapa?  Malas?  Kau tahu tak, orang yang tak ada ilmu selamanya akan dipandang bodoh!  Kau nak jadi budak bodoh ke?  Mak dan ayah kau jaga, belai, beri kasih sayang sejak dalam kandungan lagi, bila besar mereka harap kau jadi manusia berguna, berpelajaran, ada cita-cita, ada impian.  Bukan duduk rumah goyang kaki, besarkan badan!
            Masa mereka hidup, bolehlah layan kehendah dan keinginan kau, kalau mereka tutup mata, kau ingat ada orang akan kutip kau?  Sudahlah malas tak berpelajaran. Kau nak kerja apa?  Apa sahaja kerja sekarang ini, semuanya nak SPM, tak nak belajar sampai ke universiti, cukuplah sekadar ada SPM! Jangan nak degil! Jangan nak berlagak! Kena fikir 10 tahun dari sekarang. Kau waktu itu ada di mana? Sedang buat apa? Entah-entah sedang jadi gelandangan, tiada rumah, tiada keluarga, sebab orang malas ini, semua orang benci, orang meluat! Faham tak!?
            Kau ingat  abang dan kakak-kakak kau tak sakit mata tengok badan kau yang membulat macam tong dram terbaring seperti ular sawa kekenyangan.  Tangan pula tak henti-henti menekan telefon bimbit.  Kalau kau guna telefon itu untuk mencari info atau perkara yang bermanfaat tak apa juga! Ini buang masa, buang duit! Mak dan ayah kau juga yang menjadi mangsa untuk membajar top-up telefon kau!
            Kalau tak nak belajar, pergilah kerja! Jangan duduk goyang kaki macam putera raja. Kau ingat, kau siapa? Anak raja?  Tuan besar?  Mak dan ayah kau orang gaji? Pembantu rumah?  Hey… Kalau  kau anak aku, aku tembak dengan senapang patah! Hidup menyusahkan orang lain.  Memburukkan nama bangsa dan agama. Malukan mak dan ayah!  Memanglah muka kau muka tak malu, orang kutuk kau kata anak pemalas pun kau tak rasa apa-apa. Kau bangga digelar seperti itu agaknya.
            Ilmu perlu, bukan suruh jadi pandai, tetapi jadi bijak, jadi orang berilmu. Orang yang disegani adalah mereka yang tinggi ilmunya, bijak bertindak. Macam mana kau nak jadi bijak, kalau tak sekolah? Kau ingat boleh belajar sendiri?  Memanglah boleh tapi kau akan sesat jika belajar tanpa seorang guru.  Jangan sia-siakan usia muda kaulah!  Orang lain berlumba-lumba nak muda sebab nak terus nikmati kehidupan di dunia, kejar kejayaan, orang tua berlumba-lumba nak belajar, kau yang muda malas nak cari ilmu! Bosanlah, buang masalah!  Yang kau buat ini, tak buang masa ke?  Ini dipanggil apa? Memenuhi masa lapang?
            Nanti bila kau dah dewasa, keperluan kau sudah bertambah, kau ingat ada orang akan sediakan semua keperluan kau ke?  Kau ingat ada ke anak gadis yang akan suka dengan orang pemalas, tak sekolah seperti kau?  Cerminlah diri dulu, jangan ingat hidup di dunia ini hanya makan tidur dan bersuka ria sahaja.  Kita ada tanggungjawab yang tergalas di bahu.  Kau anak lelaki, kau bakal jadi ketua keluarga, kalau kau tidak ada ilmu apa yang akan kau ajar pada anak-anak kau nanti?  Kalau tidak berilmu, sekurang-kurangnya kau rajin bekerja, kau berusaha untuk membuktikan orang yang malas sekolah seperti kau pun boleh berjaya.  Tapi, nak berjaya macam mana, kalau asyik makan tidur sahaja!
            Satu kerja pun kau tak buat, umur muda lagi sudah nak hidup bersenang lenang tanpa berbuat apa-apa. Nanti kawan-kawan kau berjaya dalam kehidupan mereka, kau tidak jadi apa-apa hanya menjadi pengemis kepada kedua orang tua.  Selama mana kau nak hidup menyusahkan mereka?  Sedarlah diri, kembalilah ke sekolah.  Jangan fikir keadaan kau sekarang, kau kena fikirkan masa hadapan kau.  Fikirlah dengan tenang.  Ilmu penting, pelajaran penting.  Kembalilah ke alam remaja, kembalilah ke sekolah. Cuba tengok wajah kedua orang tua kau, kalau kau di tempat mereka, apa agaknya kau rasa jika anak kau nanti berperangai sama dengan kau, malas sekolah! Waktu itu kau nak marah pada siapa?  Kau sendiri malas, jangan haraplah anak-anak kau akan rajin belajar.  Nak dapat yang baik, kenalah jadi contoh yang baik kepada orang lain juga.  Ini tidak, kau menjadi contoh yang tak baik kepada orang lain.  Aku malas nak berleter panjang lebar. Kalau kau tak faham juga, aku tak tahulah.  Kau tahu tak, Islam pun menggalakan kita rajin belajar.  Kalau tak belajar, manakan  datang ilmu dan pengetahuan kita mengenai Islam. Ayat yang pertama turun pun berkisah tentang ‘BACA’. Baca bermakna belajar.  Faham tak!

           Kau ikut kawan-kawan kau yang malas belajar, kaki ponteng sekolah.  Kalau kau susah, agak-agak kau mereka akan tolong tak? Kau kenalah cari sendiri.   Kau ingat kawan-kawan kau akan bantu kau? Kalau mereka sendiri malas macam mana nak beri semangat pada kau? Carilah kawan yang mampu beri kau semangat untuk berjaya dalam hidup.  Jangan tersalah memilih, nanti sendiri yang rugi.  Sebelum terlambat, kembalilah ke pangkal jalan.
            Aku memandang wajahnya yang sudah bertukar muram. Telefon bimbit sudah dilepaskan dan diletak ke tepi.  Dia memandangku, matanya berair.  Takkan sedih sangat? Fikirku dalam hati. 
            Dia bingkas bangun dan berjalan menuju ke arah mak longku. Dia memeluk mak longku dan memohon maaf.  Wah! Hebatnya nasihatku.  Boleh mengubah orang dalam sekelip mata.  Bukan aku yang mengubahnya tetapi ALLAH yang telah mendengar doa mak longku yang tidak henti-henti untuk anak bongsunya itu.   Aku menarik nafas lega.  Kuharap tidak ada lagi saudara maraku yang malas belajar.  Aku melepaskan keluhan berat dan perasaanku berasa lega.

          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan