Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 4 Ogos 2014

ULASAN RINDU AWAK 200 % - karya LIYANA ZAHIM



RINDU AWAK 200%
LIYANA ZAHIM
ALAF 21
2013
RM23.00
M/S – 593

Bertuahnya badan dapat seorang lelaki yang penyabar dan setia di sisi.  Berkahwin bukan atas dasar suka sama suka tetapi pilihan keluarga.  Sikap sombong dan ego Armel Aisya memang menjekelkan.  Tampak kurang ajar dan tidak menghormati ibu sendiri lantaran ibu yang sentiasa membantah setiap apa sahaja yang ingin dia lakukan.  Sanggup pula belajar keluar negara atas usaha sendiri.  Bila dipaksa berkahwin berbagai alasan diberi. 
Namun keegoannya mengatasi segalanya.  Dia sanggup dan bersetuju berkahwin dengan pilihan orang tuanya semata-mata ingin membalas dendam dan menunjukkan kepada bekas kekasihnya Raizil yang hanya tahu mempermainkan cintanya.   Buat ramai orang keliru lantaran main tarik tali yang dilakukan oleh Armel Aisya.  Akhirnya mereka berkahwin juga.  Bahagiakan Armel dengan perkahwinan yang dirancang olehnya sendiri.  Rancanganlah walaupun direstui keluarga.  Hanya hatinya sahaja yang tidak rela  kerana bersebab.  Perkahwinan yang  rela dalam paksa.

 Zill Faezrul merapat dan menutup hati pada cinta setelah kehilangan tunang tersayang.  Namun kehendak orang tua tidak mampu ditolak setelah mendapat petunjuk.  Dia bersetuju walaupun dia tahu benar hati gadis yang akan dikahwininya nanti tidak menerimanya seadanya.  Cuba menjadi seorang suami yang setia, baik dan bertanggungjawab, biarpun perangai isteri ya, ALLAH mahu sahaja dikerat-kerat dan dibuat sup.  Sudahlah tidur bilik asing-asing.  Cakap pula ikut sedap mulut sahaja.  Tanpa memikirkan perasaannya.  Dia masih berlembut kerana mengharapkan isterinya itu akan berubah dan menerima dirinya seadanya.

Armel meroyan lagi apabila suami yang dikahwini asyik menghilangkan diri.  Pergi ke mana?  Hati tidak rela, namun kehilangan  setiap masa ditanya juga.  Tidak tahu suaminya kerja apa?  Kerja dua tiga hari, tidak bekerja  lebih banyak dari bekerja.  Membuatkan perasaannya berdolak dalik tertanya-tanya sendiri.  Hendak bertanya ego mengatasi diri.

Sengaja dia merahsiakan pekerjaannya.  Dia mahu isterinya menerima diri seadanya.  Tidak mahu isterinya memandang kedudukan dan pangkatnya, tetapi menerima dirinya sepenuh hati.  Biarlah bagaimana sikap Armel, dia akan setia menunggu sehingga isterinya itu menerima dirinya.
Raizil cuba menawan semula hati Armel, kebetulan mereka bekerja di tempat yang sama.  Armel  yang kecewa dengan sikap  suaminya melayan kembali bekas kekasihnya yang disangka berlaku baik dengannya.

Irene rakan sekerja Faezrul juga menaruh hati kepada lelaki itu.  Mampukah cinta itu berbalas?   Ingin tahu apa kisahnya?  Sudah tengok dikaca tv?  Tertarik?  Hendak tahu penyudahnya?  Apa lagi pergilah beli!

Khamis, 24 Julai 2014

Ulasan Gadisku Rabbita- Nina Rose



GADISKU RABBITA
NINA ROSE
ALAF 21
2014
RM23.00

Hakimi seorang pemuda yang suka berfoya-foya di luar rumah. Salah satu minatnya clubbing bersama rakan-rakannya.   Tidak berminat bekerja sedangkan keluarganya mempunyai syarikat sendiri.  

Ila Nadirah tinggal bersama ibu saudaranya setelah orang tuanya  menghilangkan diri.    Berpindah ke rumah baharu mempertemukan dia dengan Andrew dan Hakim yang merupakan jiran setamannya.  Sikap Ila yang happy go luck dan seperti melompat-lompat umpama arnab membuatkan Hakim menggelar gadis itu Rabbita. 

Sikap dan perwatakan Ila membuatkan Hakim dan Andrew menyimpan perasaan terhadap gadis tersebut.  Ila menyimpan sedikit rasa di hati terhadap Andrew.  Hakim pula main-main tarik tali, begitu juga dirinya.  Kerana Ila, Hakim berubah menjadi insan yang bertanggungjawab.  Dalam diam cinta berputih di hati.

Hakim sendiri menghadapi masalah dengan kehidupan dalam keluarganya.  Ayahnya beristeri 4 dan terpaksa berhadapan dengan ibu tirinya yang suka meroyan tidak tentu pasal.  Adik tirinya yang sengal dan menyakitkan hati. Hubungannya yang kurang baik dengan ayahnya menambah sakit di jiwa.

Mampukah hatai Ila bersatu dengan Andrew?  Adakah cinta  Ila untuk Hakimi?   Pulihkah kembali hubungan Hakim dan ayahnya?  Kalau sudah cinta kenapa tidak dinyatakan sahaja, bila ego menempek takut terpaksa tunggu sampai ke tua.  Itulah Hakim dan Ila…

Karya pertama penulis Nina Rose,tidak menghampakan dan jalan ceritanya menarik. Tercipta konflik yang menarik dan pengakhiran yang tidak mengecewakan.

Karya Bulan Ogos 2014


Gambar kenangan



Tandatangan buku terbaharu TOLONG CARI SUAMIKU! yang sudah pun berada di pasaran.

Ulasan Cinta 3 Suku - Herna Diana



CINTA  3 SUKU
HERNA DIANA
ALAF 21
2010 ( 13 kali cetakan)
RM19.90
Mengisahkan Iman anak angkat yang terpaksa hidup sendiri setelah kematian kedua orang tua angkatnya.  Membaca kaki sehingga bertemu dengan Suhaila yang menjaganya seperti adik sendiri.  Kebetulan Suhaila juga anak yatim piatu.  Iman berusaha mencari keluarganya yang sebenar.

Pelanggaran yang tidak disengajakan dengan Arie mempertemukan Iman dengan Doktor Razif yang terus jatuh terpaut dengan keletahan Iman dan dia terus menjadikan Iman adik angkatnya.  Namun cerita Suhaila membuatkan dia ingin mengenali siapa Iman.
Dalam perkelahian Arie dan Iman akhirnya mereka menjadi kawan baik.  Kebetulan Arie adalah rakan sekampung Dr. Razif.  Cinta pula berbunga di hati Suhaila dan Dr. Razif. 

Hubungan Arie dan Iman pada mulanya sebagai musuh akhirnya akrab.  Mereka menjadi sahabat baik. Gelagat Iman menawan hati Arie dan senang dengan gadis itu.  Hubungan mereka berdua dicemburui oleh Julia teman wanita Arie. 

Permintaan Tok Wan Arie memang memeranjatkan.   Mahukah Arie menerimanya?  Bagaimana dengan Iman dan keluarganya?  Bertemukah mereka kembali?  Apa hubungan Dr. Razif dan Iman?  Kalau hendak tahu jom dapatkan karya terbaik ini.

Tahniah Herna Diana.  13 kali ulang cetak bukan sesuatu yang biasa, malah luar biasa.  Karya ini menarik dari segi gaya bahasanya yang santai dan mampu buat kita tersenyum sendiri.  Karya Herna Diana memang gila-gila.  Kepada yang belum membacanya, jom dapatkan segera.

Sabtu, 12 Julai 2014

ULASAN MR LONDON MS LANGKAWI- HERNA DIANA

MR LONDON, MS LANGKAWI (ISBN 978 983 124 894 2)
HERNA DIANA
ALAF 21
RM21.00

Mengisahkan tentang Liyana atau Nana anak yatim piatu tinggal bersama tok dan tok wannya di sebuah kampung di sebuah pulau. Pulau mana? Ala… yang ada patung Helang besaq tu... cuba ingat? Hah! LANGKAWIah… seorang gadis yang periang, suka menyakat dan yang penting lawyer ops! Bukan peguam tulah… loyar buruk! Seorang gadis yang suka membantu orang lain. Dalam riang dia menyimpan duka di hati apabila bapa saudaranya sendiri sering mengata dia anak sial. Namun Nana cuba melupakan hal tersebut. Walaupun dalam hati tetap terhiris luka.

Aidid, seorang yang berpelajara. Bertahun-tahun tinggal di London, sepupu Nana dihantar pulang oleh kedua orang tuanya. Kedua orang tuanya bercadang berpindah kembali ke Malaysia. Aidid berkeras dan tidak mahu tinggal di negara kelahiran orang tuanya itu. Dia berasakan Malaysia bukanlah sebuah negara yang maju. Dia yakin dia tidak akan lama tinggal di Malaysia.
Pertemuan dua insan yang mempunyai perwatakan yang berbeza ini akhirnya membuahkan rasa kasih diantara mereka. Mereka bersatu dalam keterpaksaan, seperti biasa keterpaksaan itu melahirkan rasa kasih dan sayang di hati. Dalam saat cinta mekar dan mula tumbuh di hati masing-masing. Perkahwinan yang pada mulanya mendapat restu kedua orang tua tiba-tiba dilanda badai lantaran ibu Aidid meminta Nana meninggalkan suaminya sendiri.

Kenapa? Apa yang telah meracun ibu Aidid sehingga mengubah keputusan yang dia sendiri buat? Mahukan Nana meninggalkan suaminya? Adakah cinta yang sudah mula berputik akan bersatu semula? Kalau hendak tahu jom dapatkan karya ini.

Wah! Pertama kali membaca karya penulis ini. Menarik! Buat hati tertarik. Gaya bahasa yang loyak buruk, poyo, selamba dan bersahaja pasti membuatkan anda tidak kering gusi. Bahasa loghat utara yang diguna sebagai dialog juga mampu membuat anda ketawa seorang diri. Latar tempat yang menarik di Langkawi, jangan lupa menghayatinya. Watak-watak yang hidup dengan cara tersendiri. Tahniah penulis kerana buat akak ketawa sampai keluar air mata.

Petikan dari Novel TOLONG CARI SUAMIKU!




Bila pula arwah suaminya tukar wasiat tersebut? Takkan sebelum meninggal? Hisy, bila? Katrina mengetap bibir. Rasa mahu digigit lidahnya biar putus. Janji sudah dibuat dengan kedua-dua orang tuanya untuk memberi beberapa ratusan ribu ringgit. Dalam keadaan begini bukan ratusan ribu, ratusan ringgitpun belum tentu.
“Puan hajah... Puan Katrina. Inilah yang telah ditulis oleh arwah sebelum dia menemui ajal pada hari yang sama. Harap puan hajah dan Katrina terima dengan hati yang terbuka. Kerja saya sudah selesai. Puan Mastura tolong tandatangan di sini tanda penyerahan harta ini kepada puan sebagai pemegang amanah kepada Maria, anak puan yang merupakan waris tunggal harta-harta ini,” kata Haji Arshad.
Mastura terdiam. Segala keputusan arwah suaminya pasti disanggah oleh kedua-dua insan yang berada di hadapannya. Api kebencian sedang marak menyala di mata masing-masing. Kalau mereka harimau atau binatang buas sudah pasti dia dan Maria ditelan hidup-hidup tidak tunggu lagi. Biar lenyap di muka bumi.
“Dia tidak berhak dapat harta ini!” jerkah Halijah.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa, puan hajah. Tidak boleh ada pemindahan. Kalau itu berlaku, semua orang tidak akan dapat apa-apa. Itulah yang telah tertulis di dalam wasiat ini,” terang Haji Arshad.
“Apa dah kau buat, Ashraf?!” jerit Halijah seperti orang hilang akal. Wajah Mastura ditenung dengan kejam. “Apa yang kau bagi anak aku makan, hah?! Sampai semua harta dia beri kepada kau dan anak kau aje?” Melengking suaranya bagaikan halilintar memecah bumi. Kalah kilat jika terdengar pancaran suara Halijah itu.
“Mas mana ada buat apa-apa?” Mastura membela diri. Dia tidak akan mendiamkan diri jika dihina. Bukan dia gila harta. Bukan dia mengemis dengan suaminya. Itu adalah hak Maria, anaknya.
“Berani kau jawab, ya?!” Halijah mengangkat tangan, namun pantas ditahan oleh Haji Arshad.
“Puan Hajah Halijah! Mastura menantu awak. Mulai sekarang dialah yang menguruskan segala ke
perluan puan. Lagi satu, puan tidak boleh menghalau dia dari rumah ini. Kalau dia keluar dari rumah ini, puan dan Katrina tidak akan dapat apa-apa,” terang Haji Arshad. Kecewa dengan sikap wanita yang sudah berumur itu.
“Semua ini tipu! Bohong!” Macam orang hilang akal, Halijah tidak tentu arah. Bagaimana mungkin semua hartanya jatuh ke tangan menantu yang dibencinya itu? Kenapa Ashraf sekejam itu, sanggup menyerahkan harta kepada isteri tuanya? Dia dan Katrina gigit jari?
Dia mundar-mandir mencari jalan. Wajah Haji Arshad dipandang dengan berang. Kalau Gunung Berapi Kelud meledak hebat, lebih hebat letusan hatinya ketika itu.
“Puan hajah,wasiat ini ditulis sendiri oleh arwah. Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Tugas saya sudah selesai. Saya mohon diri dahulu. Jika ada sebarang masalah datanglah ke pejabat.” Haji Arshad menunduk hormat. Beg bimbit dicapai terus berlalu keluar. Tidak mahu berlama, nanti lain jadinya. Biarlah mereka mengamuk sesama sendiri. Kerjanya hanya menyampaikan kehendak pelanggannya. Walaupun sudah lama menjadi peguam keluarga itu, sikap wanita itu tidak pernah berubah. Suka mengarah dan memberontak. Menyerang tanpa berfikir diri itu sudah cukup tua untuk mengamuk bagaikan orang muda.
Halijah mengetap bibir. Wajah Mastura yang duduk di hadapannya terasa bagaikan kecil sahaja. Mahu sahaja dia menerpa dan bergomol dengan menantunya itu.
“Ibu! Apa Abang Ashraf dah buat? Semua harta diserahkan kepada Mastura! Apa semuanya ni? Sia-sia aje kahwin dengan Abang Ashraf, habuk aje yang tinggal!” amuk Katrina.
“Suti!” panggil Mastura.
“Ya, puan?” Suti berlari anak mendekati majikannya.
“Bawa Maria masuk bilik. Buka televisyen untuknya,” arah Mastura.
Suti akur. Dia mendukung Maria dan masuk ke dalam bilik. Dia keluar semula untuk menjalankan kerja di dapur.
Mastura memandang wajah kedua-dua insan yang menjadi teman serumahnya itu. Teman serumah? Mahu tergelak pun ada. Seorang madu dan seorang lagi ibu mertua.  Entah apa ujian yang bakal dihadapinya nanti. Kenapalah arwah meninggalkan semua harta di bawah seliannya? Boleh pusing kepala 360 darjah. Duit simpanan dan saham syarikat yang diletakkan atas namanya sejak dia berkahwin dengan arwah suami sudah jauh lebih daripada cukup. Aduhai, bagaimana dia hendak menghadapi dua insan yang sedang memandangnya bagaikan singa lapar? Bila-bila masa sahaja mereka akan menerkam. Dirinya bagaikan mangsa sahaja di mata mereka.