Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 6 November 2018

CINTA REMAJA




            Pernah jatuh cinta?  Sudah tentu, setiap daripada kita pasti pernah jatuh cinta ketika usia meningkat remaja.  Ada yang mengatakan, perubahan hormon seorang remaja bermula ketika usia 10 tahun, ketika ini, perasaan ingin mengenali manusia berjantina lain sudah ada.  Namun, masih terbatas kerana rasa malu yang masih menebal dalam diri.  Biarpun hati suka kepada seseorang, rasa suka itu disimpan dalam hati. 
            Semakin mereka meningkat remaja, 13-16 tahun, ketika inilah jiwa mereka berperang dengan diri sendiri.  Mula sudah mencari ruang dan peluang untuk cinta dan mencintai.  Kejadian-kejadian rogol dan perlakuan bebas lelaki dan perempuan mudah berlaku jika tidak dibendung dan disekat dengan cara yang betul.  Bagaimana?  Ibu ayah risau tak? 
            Setiap daripada kita punya cara pendidikan dan mendidik dengan cara yang berbeza.  Ada ibu ayah yang tidak kisah pun anak-anak ada teman lelaki atau perempuan.  Ada juga ibu ayah yang mengawal pergaulan anak-anak agar tidak terjebak dalam masalah.  Hari ini, pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah perkara biasa  Di sekolah lagi anak-anak remaja ini sudah berani bermain cinta.
            Saya juga pernah jatuh cinta, bukan sekali, tetapi berkali-kali.  Kadangkala saya terfikir, lelaki A yang saya kenali, adalah pasangan saya sehingga akhir hayat, tidak berapa lama berkawan, tiba-tiba hubungan terputus.  Bertemu lelaki B, sangkaan tetap sama, masa dan ruang yang diambil untuk mengenal hati budi, kononnya, berakhir juga dengan perpisahan.  Ironinya, tidak seorang pun lelaki yang saya kononnya suka atau cinta, menjadi imam saya. 
            Apabila mempunyai anak perempuan, dan anak-anak terlibat dengan cinta, baik lelaki dan perempuan, sebagai ibu yang mempunyai pengalam yang sama dengan mereka, tentulah saya akan cuba yang terbaik untuk menasihati mereka.  Tidak semua cinta pertama akan membawa bahagia sehingga ke jinjang prelamin.  Apatah lagi di usia yang masih muda dan mentah.  Saya dan suami masih berpegang dan yakin, setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini ada jodoh mereka masing-masing.  Tidak perlu tergesa-gesa mencari, jodoh itu pasti akan datang sendiri.  Jika belum bertemu jodoh, usah risau, kerana Allah swt telah menentukan pasangan kita masing-masing.
            Pengalaman banyak mengajar saya untuk mendekati dan menasihati anak-anak perempua  saya erti cinta yang sebenar.  Anak kedua pernah suka seseorang, oleh kerana kami membataskan pergaulannya, perasaan itu pernah diluahkan tetapi masih terjaga adab dan akhlak. Dengan cara lembut dan bajk saya dan suami menasihatinya agar tidak terbawa-bawa perasaan cinta itu sehingga menganggu pelajaran.  Sayangi diri sendiri, barulah boleh kita sayangi orang lain.  Jika benar lelaki itu jodoh kita, pasti dia akan hadir dan menjadi imammu.  Saya tidak pernah marah jika anak perempuan saya suka kepada seorang lelaki, itu adalah normal bagi seorang perempuan.  Tetapi, sebagai seorang Islam, Melayu dan berpendidikan agama, pastinya ada batasan yang perlu dan wajib dijaga.  Dalam semua perkara, cinta atau tidak, maruah dan harga diri wajib dijaga dan diutamankan. 
            Anak bongsu saya paling berani, menulis surat cinta sehingga tertangkap oleh ustazahnya.  Pecahlah rahsia kenapa sering sakit kepala. Sedang asyik menghafal al-Quran, dalam hati ada seseorang, tidak boleh focus, sakit kepala menyerang.  Saya tidak marah, kerana adalah perkara biasa, seorang remaja seusia anak bongsu saya akan jatuh cinta kepada manusia yang berlainan jantina.  Cuma, bagaimana cara saya mengatasi masalahnya dan menyelami hati seorang remaja seperti anak saya.
1)      Saya menasihatinya, bahawa tidak salah jatuh cinta.  Ini normal, biasa sebagai seorang manusia sudah tentulah akan suka kepada lawan jantinanya.  Tetapi, tidak sesuai jatuh cinta dalam usia yang muda dan masih belajar.  Sebaiknya dalam usia yang muda, sepatutnya pelajaranlah yang paling dicintai.

2)      Saya menyuruh dia bertaubat, banyakkan berzikir, bawa bertenang, lupakan cinta yang ada di hati, perlahan-lahan buang. Kerana jika benar lelaki yang disukainya itu adalah jodohnya tidak akan ke mana-mana. Pasti akan kembali kepadanya juga.  Paling penting, cintai Allah dan Rasul terlebih dahulu, sebelum menerima cinta seorang bernama lelaki dalam usia yang terlalu muda.


3)      Sebagai seorang yang beragama Islam, maruah dan akhlak yang baik adalah utama.  Cinta akan datang selagi ada ruang dan peluang.  Tidak boleh berjumpa, ada batasan  dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Tidak ada seorang lelaki di dunia ini akan memilih seorang perempuan yang rendah akhlak dan murah harga dirinya.

4)      Lelaki yang baik adalah untuk seorang perempua  yang baik.  Mungkin pada pandangan seorang remaja yang cetek, kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya adalah yang terbaik.  Saya terangkan, salah jika dia berfikir begitu.  Masih banyak waktu, masih panjang masa untuk memilih.  Bukan dia yang pilih, tetapi Allah swt yang akan memilih untuknya.  Siapakah lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya.  Jika dia menjadi seorang muslimat yang baik, taat kedua orang tua, menjaga hubungannya dengan Allah swt dan sayang akan Rasulullaah saw, Allah akan hadirkan seorang lelaki yang terbaik dalam hidupnya. Jadi, kenapa perlu tergesa-gesa menyerahkan hati kepada seorang lelaki yamg tidak lagi dipastikan bahawa dia adalah jodohmu.

 Biar siapa pun anak kita, aliran apa yang dipelajari, naluri usia remaja suka dan ingin bercinta tetap ada.  Bezanya, adalah cara pergaulan dan bagaimana cinta yang ada di hati mereka itu direalisasikan. 
            Bagi anak-anak yang belajar dalam bidang agama, rasa cinta dilahirkan dengan cara yang terbatas, diam-diam suka, jika berbalas, surat cinta bertukar tangan. Kecuali, mereka berjumpa secara rahsia tanpa pengetahuan orang tua.  Remaja yang sedang dilamun cinta, mudah menipu.

  Bagi anak-anak remaja yang terlepas bebas dan aliran Kebangsaan, rasa cinta boleh diluahkan dengan mudah, kerana tiada keterbatasan dalam pergaulan, boleh bertemu dan  berbual mesra, jika tidak dibendung takut-takut menjadi perkara yang tidak baik pula.Ketika inilah, kedua orang tua memainkan peranan untuk menasihati  mereka agar tidak terburu-buru jatuh cinta. 
            Sebagai ibu ayah, kadangkala kita tidak boleh menjadi penghalang, tetapi jadilah kawan yang boleh menasihati mereka, mendekati dan memujuk serta terangkan bahawa jodoh untuk mereka akan hadir juga.  Terangkan juga kepada mereka, bahawasanya lelaki yang baik tidak akan sesekali menyentuh mereka selagi belum ada ijab dan Kabul.
            Ya, ada orang berfikir, jodoh perlu dicari.  Bagi saya tidak, jodoh adalah ketentuan Ilahi.  Kadang-kadang yang mencari tidak juga jumpa-jumpa.  Tetapi yang menunggu dan menanti dengan penuh yakin, bahawa jodohnya telah ditetapkan oleh Allah swt  selalu mendapat jodoh yang terbaik. 
            Dekatilah anak remaja kita.  Perhatikan perubahan diri mereka, perasaan mereka, sebaik sahaja usia mereka menjangkau 10-16 tahun.  Seringlah bertanya.  Seringlah bercerita bahayanya bercinta di usia remaja.  Kepada yang mempunyai anak remaja lelaki, nasihatilah mereka agar tidak menyentuh anak perempuan orang.  Begitu juga yang mempunyai anak perempuan remaja berceritalah agar mereka tahu menjaga keterbatasan dalam pergaulan.  Sudah pasti kita tidak mahu rasa cinta ini memusnahkan masa depan mereka. Tentunya kita tidak mahu rasa cinta ini menjadi penyebab lahirnya anak yang tidak sah taraf. 

            Baik atau buruknya bercinta ketika usia remaja,  sebagai ibu ayah, kitalah penentunya.

#ghostwriter

Isnin, 5 November 2018

SINOPSIS - NERACA NISA'



Hati siapa yang tidak berduka apabila orang yang disayangi ditahan oleh pihak polis atas kesalahan yang tidak dilakukannya.  Sebagai seorang isteri pasti Nisa' benar-benar rasa tercabar, apatah lagi yang menuduh adalah seorang budak perempuan yang dijaga seperti anak sendiri.

Nisa' terpaksa berhadapan dengan fitnah yang melanda suaminya.  Dia tidak mengalah, dan benar-benar yakin suaminya tidak bersalah.  Dengan bantuan sepupu suaminta, Munirah, mereka berdua berjuang menyelamatkan maruah dan harga diri suami Nisa'.

Nisa' terpaksa mengambil alih menguruskan rumah anak yatim yang diusahakan bersama suaminya.  Sepanjang ketiadaan suaminya yang ditahan dilokap, Nisa'lah yang menguruskan segalanya. 

Dalam masa yang sama Nisa' terpaksa berhadapan dengan ahli lembaga pengurus rumah anak yatim itu yang mempunyai niat tidak baik untuk merampas kuasa.  Bagaimana Nisa' menghadapinya?  Berjayakah dia menyelamatkan keadaan? Berjayakah dia melepaskan suaminya dari tohmahan dan fitnah yang dihadapinya? 

Kepada yang berminat boleh dapatkan buku ini di pasaran sekarang!

Terbitan DBP ( Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM20.00

****

Sabtu, 19 Mei 2018

MUHASABAH DIRI

Melihat kejatuhan lain kita begitu seronok sekali. Ketika Allah mengaibkan hamba-Nya, kita berasakan 'Inilah balasan kepada orang yang khianat.' Tidak habis-habis isunya dibawa keluar. Memang tidak dinafikan, kalaulah saya berada di tempat hamba Allah ini, saya pasti tidak akan mampu melihat kelibat manusia di luar sana.
Malu adalah separuh daripada iman. Orang yang beriman, tinggi rasa malunya. Apa yang terbentang dan didedahkan bagi saya begitu mengaibkan. Begitu memalukan. Apatah lagi dilakukan oleh seorang anak Melayu dan beragama Islam.
Orang yang malu, tidak akan mencuri. Orang yang tahu malu tidak akan berbuat dosa. Orang yang tahu malu tidak akan berani berbuat onar di muka bumi ini, apatah lagi jika berasa malu dengan Allah swt.
Apabila kita hilang perasaan malu, kita sanggup lakukan apa saja. Kita lupa harga diri, kita lupa siapa kita dan tanggungjawab yang tergalas di bahu.
Jangan sorakkan mereka yang sedang diuji. Kita nampak buruk di mata kita, tetapi itulah kasih sayang Allah swt terhadap hamba-hamba-Nya. Ujian bukan musibah, tetapi sebagai peringatan buat kita semua. Dugaan bukan masalah, tetapi untuk menguatkan keimanan kita kepada Allah swt.
Hati siapa yang tidak marah, geram dan sakit hati. Melihat kemewahan yang dimiliki sedangkan rakyat berhempas pulas macam nak mati mencari rezeki. Kalau ikutkan hati amarah, inginku maki, inginku keji, kuhina manusia yang tidak punya hati ini. Tapi, selesaikan masalah kita hari ini?
Negara ada undang-undang, biarlah pihak yang berwajib menentukannya. usah kita seronok menyorak dan menghina. Hidup kita sendiri belum tahu hujung pangkalnya. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, hidup kita antara azan dan iqamat sahaja. Diazankan ketika lahir, dan diqamatkan ketika meninggal. Hanya itu tempuh kehidupan kita di dunia ini.
Usah seronok berkongsi cerita tentang mereka, hamba-hamba Allah yang masih diberi peluang untuk bertaubat dan insaf dengan apa yang telah mereka lakukan. Kita? Adakah kita insaf terhadap dosa-dosa kita sendiri? Selidik diri tak? Muhasabah diri tak? Jika kita sendiri masih solat tidak cukup, mengaji tidak tahu, kadang-kadang tahajud, kadang-kadang terkejut, adakah kita masih ingin mentertawakan orang-orang yang sedang diuji Allah swt dengan kasih sayang-Nya?
Sipendosa tetap dengan dosanya. Kita yang seronok menambah dosa, kenapa masih teruskannya? Hati marah? Geram? Itu sebab terluah di dada Fb kita? Sebagai hamba Allah swt yang baik hati, kita berdoalah agar mereka yang terlibat bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, serta memulangkan kembali segala yang telah mereka ambil daripada rakyat.
Kita harus ingat, mereka pernah baca Bismillah ketika hendak menyuap rezeki ke mulut, mereka pernah solat biarpun jarang-jarang. Adakah pintu taubat tiada untuk mereka? Selagi nyawa tidak sampai di halkum, pintu taubat terbuka luas. Allah swt sayangkan semua hamba-hamba-Nya. Tidak diturunkan sesuatu ujian itu tanpa sebab. Pasti ada hikmah di sebalknya.
Marilah kita kembali bersatu, rapatkan ukhwah sesama kita. Berubahlah menjadi Melayu yang dahulu, penuh adab, berakhlak dan bersopan santun. Berbudi bahasa, berpekerti mulia. Itulah bangsaku, bangsa yang lembut budi bahasanya.

#pilihanrayasudahberakhir
#usahmenambahdosa
#kembalilahbekerja

Jumaat, 20 April 2018

Buku Terkini - UP TO YOU - BONDA NOR

Zaman kanak-kanak dan remaja yang manis. Barangkali ia bagaikan bebas daripada sebarang masalah. Iyalah, entah apa yang seorang kanak-kanak atau remaja perlu risaukan!
Bukannya kena fikir tentang bil elektrik atau sebarang komitmen bayaran bulanan.
Bukannya perlu fikir tentang menjaga hati ibu mentua atau menguruskan konflik dengan ipar duai.
Bukannya perlu fikir tentang masalah di pejabat atau masalah negara. Semua perkara itu tidak menjadi beban kepada mereka!

Namun pengalaman kita sendiri membuktikan sesuatu. Sungguh, ia tidak semudah itu!
Bagaikan pokok yang baru mahu bertunas, waktu ini adalah waktu paling mencabar. ‘Nyawa’ masih belum kuat, jiwa untuk hidup juga masih belum bersemangat. Bila-bila masa saja boleh ‘mati’ jika gagal dilindungi.


Sungguh! Pelbagai konflik juga boleh berlaku di usia kanak-kanak dan remaja. Seperti seorang bayi yang boleh menangis kerana ujian lapar, demikian juga kanak-kanak dan remaja yang kadang teruji dengan sesuatu musibah atau situasi yang tidak mampu dijangka. Masalah mereka jangan diremehkan begitu saja!


Inilah yang cuba saya ketengahkan menerusi naskhah kali ini. Antologi UP TO YOU adalah himpunan tulisan 19 orang penulis termasuk nama-nama besar seperti Tuan Web Sutera, Cikgu Wan Zayuhisham Wan Yusoff, Tuan Iwan Reaz, Datin Nazrin Aneeza, Tuan Ashrafi Harumin dan Puan Asmah Hashim.

Ia ditulis dalam bentuk cerpen dengan mengadaptasi kisah-kisah benar yang berlaku dalam masyarakat.

Fokus penulisannya bermula pada sisi kesilapan dan pemberontakan. Kemudian fokusnya beralih pada natijah dan ibrah. Subhanallah, sangat banyak yang boleh kita jadikan pengajaran!
Mengapa saya bersungguh mahu mengusahakan projek penulisan UP TO YOU? Kerana saya tahu kanak-kanak dan remaja sangat memerlukan bahan bacaan yang baik untuk membantu mereka membesar dengan corak pemikiran yang baik.

Mereka perlu dibimbing secara ‘sejuk’ dan bersahaja, sesuai dengan cuaca panas yang sering melanda jiwa mereka.

Demikian juga untuk orang dewasa. Membaca kisah-kisah seperti ini bagai mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dan remaja sendiri.

Benar. Kita juga pernah berada di titik kehidupan yang sama. Pernah memberontak dan salah faham seperti mereka.

Maka gunakanlah pengalaman tersebut sebagai satu alat untuk mengendalikan kanak-kanak dan remaja dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah dengan cara itu, banyak masalah dapat diselesaikan dengan cara yang lebih berhikmah.

Nantikan UP TO YOU sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan bermula minggu depan.

Selamat mengembara ke alam kanak-kanak dan remaja. Selamat mengutip ibrah demi ibrah yang dikongsikan bersama. Semoga bermanfaat buat semua.

Selasa, 17 April 2018

BUKU TERBAHARU - ANTOLOGI CERPEN - GALERI ILMU




Alhamdulillah, akhirnya ada jugalah buku tahun ini sempena PBAKL 2018. Terubat juga hati apabila novel dewasa yang saya harapkan keluar sewaktu PBAKL tidak kesampaian, masih belum siap editing. Aturan Allah, saya redha.
Biarpun hanya sebuah cerpen. Ini, sudah cukup menggembirakan saya sebagai seorang penulis. Dengan bimbingan Bonda Nor, akhirnya berjaya sebuah cerpen motivasi yang mampu memberi sedikit kesedaran agar tidak melakukan biarpun dosa sebesar zarah. Dosa yang dilakukan walaupun terampunkan pasti ada pembalasan untuk menghapuskannya.
Jangan lupa dapatkan buku ini ketika PBAKL 2018 di reurai Galeri Ilmu. Buku yang mampu mengubah minda menjadi Lebih baik lagi.
Tahniah buat semua penulis yang terlibat. Terima kasih Bonda Nor dan Galeri Ilmu kerana memberi peluang kepada penulis kecil ini.
Semoga ada peluang untuk berkolaborasi lagi.
#galeriilmu
#pbakl2018
#bukubaharu
#bondanor

KARYA BAHARU


Saya hampir putus asa. Idea ke laut. Tidak faham apa maksud sajak Allahyarham Usman Awang ini. Puas google untuk cari makna, apa ceritanya? Terasa ingin tarik diri. Berminggu-minggu berfikir. Akhirnya, saya tulis juga, bertawakal sahaja. Ada rezeki, adalah.

Allahu! Sesungguhnya rezeki saya masih ada dalam dunia penulisan yang semakin mencabar ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yayasan Sasterawan Negara Dato Usman Awang, para penilaia yang amat saya hormati, dan urusetia yang telah memilih cerpen saya.

Tahniah buat semua penulis yang telah terpilih. Tahniah kepada Siti Rozilah Novelis juga.

#yayasanusmanawang
#sajak

ULASAN BUKU - ENSIKLOPEDIA SEJARAH DAN BUDAYA MELAYU

Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
1999
723 muka surat.

Baca novel tidak sama seperti baca buku ilmiah seperti Ensiklopedia ini. Ada LIMA jilid. Baru habis satu jilid, berbulan-bulan membacanya.

Banyak info yang boleh kita perolehi membaca buku ini, dibahagikan mengikut abjad A-Z. Biodata individu-individu yang terkenal, berjasa pada negara.

Adat-adat perkahwinan, adat-adat pertabalan, alat- alat kebesaran setiap negeri yang kurang kita ambil berat, semua maklumat ada dalam buku ini.

Adat berendoi, berkunyit, beralin,berayun, semuanya ada. Rugi kalau tak beli. Sesuai dijadikan bahan rujukan.

Kisah-kisah dan sejarah negeri, negara disekitar Tanah Melayu juga ada maklumat di dalam buku ini seperti Bengkalis, Bangkahulu.

Buku yang terlalu banyak info di dalamnya. Tak tahu nak habaq, kena beli dan baca sendiri. Oleh kerana bukunya agak lebar dan besar, sukar untuk di bawa baca dalam MRT, LRT atau di tiang hentian bas. Nanti orang tengok kita berasa pelik pula. Kalau tak kisah, dipersilakan baca di mana saja.

#membacajambatanilmu
#marimembaca
#budayakanamalanmembaca