Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 8 November 2018

DEMI RAKYAT - Cerpen






            Sekali kaki melangkah, biar diterjah lopak, belukar atau belantara, namun berganjak tidak sama sekali.  Itulah azam di hati ketika mula-mula dia dimemasuki arena perjuangan bangsa dalam sebuah parti politik yang amat dikagumi oleh seluruh rakyat negara ini.  Biarpun ramai berkata, bergelumang dengan ahli politik seperti bercampur dengan najis khinzir yang wajib disamak sebelum ingin berhenti sepenuhnya.  Kata-kata sindiran yang langsung tidak mengusi sanubarinya.  Langkah kaki sudah ditetapkan.  Niat sudah tekad membulat di dalam hati.

           
            Ramai juga berkata, siapa nak kaya, jadilah orang politik. Boleh bina empayar dan harta.  Keluhan dilepaskan.  Dengan nada yang sama, biarpun suara berlainan, berjuang dalam parti politik adalah perkara yang sia-sia, kata mereka lagi.  Kalau masih berkuasa, engkau dipuja.  Jika sudah kalah, ditendang seperti kain buruk yang tidak berguna lagi.  Benarkah? YB Shamsul mengeluh perlahan.  Cuba menenangkan dirinya yang sedang berkecamuk sejak hari-hari kejatuhan parti politik tempat dia bersandar tumbang menyembah bumi.  Hati rakyat sudah berubah?  Betulkah?
            Dalam gelanggang politik dia bukan orang biasa. Sebagai Ketua cawangan di sebuah daerah yang besar di Negeri Selangor ini, dia amat dikenali oleh ramai orang.  Daripada tukang sapu sehingga ahli perniagaan yang bertaraf lima bintang.  Begitu juga di dalam parti yang dianggotainya. Ramai ahli-ahli parti amat menghormatinya sebagai seorang yang rajin dan ikhlas bekerja.  Bukan mengejar pangkat dan harta. Apatah lagi dia juga seorang ahli perniagaan yang terkenal dan punya harta yang melimpah ruah, tujuh keturunan tidak habis makan.  Terbukti dia masuk politik bukan kerana ingin mengkayakan diri atau mengejar pangkat dalam parti mahupun kerajaan yang memerintah. Tapi, semua itu tidak orang pandang.  Nama sahaja YB pasti yang akan beranggapan dia penipu dan hanya pandai menabur janji seperti semua wakil rakya yang ada. Menyebut perkataan ikhlas memang mudah. Ikhlaskah dia ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sewaktu nama dijulang?
            Sekarang, dia bukan sesiapa.  Tiada pangkat dalam kerajaan, tiada pangkat untuk membantu rakyat.  Harta?  Wang ringgit?  Dia ada.  Kenapa perlu susah hati?  Bantulah jika ingin membantu.  Buatlah kerja takkan tunggu orang memuji?  Atau wartawan datang bersama deretan kamera, menayangkan cerita dalam media eletronik dan media cetak?  Ah!   Pening memikirkannya. Ditambah kata kawan-kawan seangkatan.  Masyarakat kawasannya sudah ‘buang’ dia, buat apa lagi berkhidmat untuk mereka?  Ada benarnya!   Kalau mereka menghargai baktinya selama ini, sepatutnya dia menang dalam pilihanraya.  Ada pangkat dan kuasa, lebih mudah bekerja dan membantu masyarakat di kawasannya.
 
            “Usahlah abang berfikir lagi, buat apa bekerja untuk masyarakat di kawasan abang itu.  Mereka sudah ada wakil rakyat baharu.  Biarkan mereka merayu pula dengan wakil rakyat tersebut.  Abang tumpukanlah masa pada perniagaan abang semula.  Tak perlu susah hati kerana orang lain.” Kata isteri kepadanya malam tadi.
            Shamsul mengeluh.   Kata-kata perangsangkah itu?  Ya Allah!   ‘Ujian buat diriku dalam mengejar erti keikhlasan yang sering aku tutur dan laungkan kepada masyarakatku selama ini, detik hati kecil Shamsul.  Jiwanya memberontak sendiri.  Jalan keluar yang dicari terlalu bersempang siur.  Mahu pilih yang mana satu?  Ikut kehendak hati sendiri atau nasihat orang-orang di sekelilingnya?
            Kalau ikutkan hati, ingin dibiarkan sahaja masyarakat yang pernah diwakilinya itu. Biar mereka susah. Biar mereka turun naik pejabat kerajaan meminta bantuan.  Tidak perlu melalui dirinya.  Tidak usah datang merayu di kaki tangga rumahnya.  Usah meminta-minta.  Berusahalah sendiri.  Pandai-pandailah hendak hidup, bisik hati kecilnya. Uh!  Itu kata-kata orang kecewa, orang yang tidak ikhlas berbakti kepada masyarakat.  Adakah dia ingin jadi seperti itu?  Melupakan masyarakat yang pernah diwakilinya.  Pernah makan setalam bersama mereka.  Pernah melihat kesusahan dan keperitan hidup mereka. 


            Eh! Bukankah wakil rakyat baharu ada?  Kenapa dia perlu menyibuk?  YB Shamsul mengeluh perlahan.  Sofa empuk berkain baldu  menjadi tilam meletak punggungnya yang berisi terasa keras dan tajam.  Ruang bilik kerjanya yang nyaman terasa bahangnya.  Ini semua kesan akibat kekalahannya dalam pilihanraya yang lalu.  Jiwanya jadi tidak tenteram, tidurnya tidak lena. Makannya tidak kenyang.  Minumnya tidak menghilangkan dahaga.  Semuanya jadi serba tidak kena. Terbiasa didatangi masyarakat persekitaran tempat tinggalnya seawal seusai solat subuh.  Kini, tiada lagi. 
            YB Shamsul bingkas bangun dan kembali ke meja kerjanya.  Hatinya resah.  Kesibukan seharian yang dirasakan sebelum ini, sudah menghilang pergi. Hanya kesibukan urusan syarikatnya sahaja.   Tiada kehadiran masyarakat di tempatnya yang memeriahkan pejabatnya.  Setiap hari ada sahaja yang datang, bersama pelbagai borang dan meminta bantuan daripadanya.. Dia berasa dihargai, diperlukan dan dihormati.  Dia rindukan saat-saat itu.  Bukan tentang duit atau pangkat.  Dia tidak perlukan semuanya itu.
            Dalam perniagaan juga dia perlu bersaing.  Sama seperti dalam politik.  Siapa bijak dan berdaya saing pasti akan menang. Siapa kuat, pasti akan berjaya.  Perniagaan yang diwarisi daripada orang tuanya bukan setakat di Malaysia, tetapi sudah ada cawangan di beberapa buah negara.  Dia menjalankan perniagaan Pelancongan dan Pakej Umrah dan Haji.  Selain itu dia juga ada menjalankan perniagaan Kontraktor seperti membina rumah, jalanraya dan pelbagai lagi yang bersangkutan. Sesuai sangatlah dia menjadi wakil rakyat.  Berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang perniagaan, YB Shamsul mampu menguruskan syarikat dengan baik berkat tunjukajar arwah ayahnya.  Perniagaannya berjalan lancar dibantu oleh pekerja-pekerja yang jujur dan rajin.  Itu sebab dia boleh menumpukan perhatiannya sebagai wakil rakyat. 
            YB Shamsul pulang ke rumah dengan jiwa yang kosong.  Satu waktu dahulu, biarpun penat melayan kehendak masyarakat di bawah kawasannya, hatinya ceria.  Allah!   Penat memikirkannya. Tidak faham dengan kehendak masyarakat di kawasannya.  Apa yang dia tidak lakukan untuk mereka? Kenapa mereka membuang dirinya?  Kekecewaan terus bernyanyi di hati.  Terasa perit dan lukanya terlalu dalam.  Malu!  Dia benar-benar malu dibuang seperti kain buruk.  Langsung tidak dihargai. 
            Sepanjang laluan ke rumah YB Shamsul memandang kiri dan kanan kawasan yang pernah menjadi tempatnya berbakti.  Masih seperti dahulu.  Masih sibuk.  Kenderaan bertali arus.  Rumah kedai kiri dan kanan masih dibuka.  Tetapi terasa sunyi. Tiada lagi rasa bangga di hatinya setiap kali melalui kawasan tersebut.  Tidak sama, wajah orang lain yang terpampang di papan tanda. Bukan lagi mukanya.  Cepat sungguh dia dilupakan. 
            Kenangan yang tidak akan dilupakan.  Pagi-pagi lagi beberapa orang penduduk kampung sudah pun berada di hadapan rumah banglonya.  Ya, dia penduduk asal Kampung Limau Purut, salah satu kawasan dalam daerah yang diwakilinya.  Bangga sungguh mereka ketika dia dipilih sebagai wakil rakyat kawasan tersebut dan dengan begitu mudah dia memenanginya.  Dia akan membantu dengan penuh rela. Tidak berasa terbeban. 
            “YB, nak minta tolong tandatangan borang memohon biasiswa untuk anak saya.”
            “YB, bil air dan elektrik  rumah saya sudah tertunggak dua bulan, minta tolong.”
            “YB, saya nak buat pinjaman untuk berniaga, mohon luluskan.”
Itulah yang didengari setiap hari.  Sambil mengangguk setuju, dia akan cuba membantu selagi daya.  Sebagai YB, peruntukan ada untuk kawasannya berkhidmat.  Tidaklah keluar duit dari saku sendiri.   Kalau dia pandai cari penaja atau yang sudi menderma atau bersedekah, lagi mudah kerjanya.  Tidak perlu guna pakai duit peruntukan yang ada.  Sewaktu musim perayaan rumahnya penuh dengan pelbagai jenis biskut dan hadiah yang diberi oleh orang kampung atau masyarakat di daerahnya.  Jenuh nak makan.  Dia juga akan menyumbang lembu untuk korban di masjid-masjid yang terdapat di kawasannya.  Kenduri-kendara, jika dijemput dia berusaha untuk menghadirkan diri.  Biar tak makan, tak mengapa.  Asalkan hadirkan diri.  Itu sahaja sudah cukup membuatkan penduduk kampung bercerita berminggu-minggu. Mereka berasa bangga YB datang ke rumah.
 
            Perasmian  Hari Guru, dia turut hadirkan diri.  Ada bala bencana di kawasannya, dia akan segera  datang.  Bantuan akan segera diberi. Jarang  benar dia mengetepikan mereka.  Tidak pernah sesekali. Jadual utama yang sering dicatat dalam diari hariannya adalah masalah penduduk di kawasannya.  Tapi kenapa?  Kenapa dia dilupakan?  Kenapa dia kalah kali ini setelah berpenggal-penggal menjadi YB kawasan tersebut.
Soalan yang berat berlegar-legar sejak dia dijatuhkan daripada kerusi yang disandang sebelum ini. Tangan asyik mendarat di atas dahi, pening memikirkannya.   Apakah kesilapan yang telah dilakukannya?  Sehingga ke hari ini dia masih mencari dan memahami tindakan pengundi-pengundi di kawasannya.
            YB Shamsul berhenti di sebuah kedai makan yang selalu disingahinya ketika masih menjadi wakil rakyat di kawasan itu.  Dia suka mee udang yang terdapat di kedai makan tersebut.  Kereta di parkir tepi kedai tersebut.  Dia melangkah masuk dan duduk di meja menghadap jalan besar.  Pelanggan tidak ramai. Sebaik melihat kelibatnya, mereka datang mendekatinya. Bersalaman dan bertanya khabar.  Oh! Masih ada orang mengenali dirinya?   Mereka bersembang seketika.  Ada juga yang mengucapkan takziah, terasa dia pula yang meninggal.  Hanya senyuman yang mampu diberi biarpun tawar. 
            “YB baharu baguskah?” tanya YB Shamsul dengan wajah yang cuba ditenangkan.
            “Baguslah YB.” Jawab salah seorang pelanggan di situ.
            YB Shamsul tersenyum lagi.  Terasa juga hatinya.  Dia tidak baguskah?  Setelah memesan mee udang dan teh Tarik, YB Shamsul terus menjamahnya.  Terasa kurang enak di tekak, bukan kerana tidak sedap tetapi fikirannya yang berserabut membuatkan makanan yang dijamah terasa kurang enaknya.  Terdengar juga mereka bercerita akan rancangan YB terbaharu mereka untuk membangunkan kawasan itu.  Kedai papan itu akan diganti dengan kedai batu?  Lama juga nak siap itu.  Bolehlah mereka menunggu dan tentu sewanya akan mahal, mahukah mereka?  Dia juga pernah terfikirkan perkara yang sama, tetapi memikirkan kos membina rumah kedai dua tingkat dan sewa yang akan dikenakan oleh pelabur menyebabkan dia membatalkan niatnya.  Takut perniagaan yang ada tidak mampu membayarnya.
            Sebaik sahaja menghabiskan suapan terakhir, seseorang menepuk bahunya dari belakang.  YB Shamsul menoleh.  Dia terkejut.  Namun, sempat YB Shamsul melemparkan senyuman.  Kehadirannya bersama pengiring.  Sudah bergelar YB tentulah ramai pengikutnya, detik hati kecil YB Shamsul.
            “Apa khabar YB?”  tanya YB Jais yang baharu sahaja mengambil alih kuasa di kawasan YB Shamsul.
            “Baik YB!” jawab YB Shamsul.
            Mereka bersembang.  YB Shamsul mendengar dengan penuh teliti.  Parti lawan berada di hadapannya.  Orang yang mengalahkannya.  Orang yang telah merampas kawasan tempat dia berkhidmat selama ini.  Eh!  Dia tidak marah.  Sesiapa sahaja berhak bertanding.  Kalau menang, itu rezeki namanya.  Bertenang, dia sudah cukup matang.  Sesiapa pun yang berkhidmat untuk masyarakat perlu disokong.  Bukan menabur fitnah, bukan memboikot, hati YB Shamsul terus berbisik.
            Hampir sejam dia duduk menghadap wakil rakyat baharu itu.  Pelbagai cadangan dan perancangan diceritakan. Banyak juga idea wakil rakyat baharu ini.  Masih muda, bersemangat dan kuat.  Berbeza dirinya yang semakin tua, biarpun bersemangat.  Masyarakat di tempatnya ingin orang muda agaknya. Tentu banyak idea untuk membangunkan daerah yang diwakilinya.  Dia hanya mantan YB daerah tersebut.  Tidak perlulah berkecil hati.  Tidak perlulah dia berasa hati.   Rakyat yang memilih, bukan salah YB Jais.
            “YB, marilah kita berganding bahu membantu penduduk di sini dan daerah yang pernah YB wakili. Bantu saya.  YB lebih kenal kawasan ini berbanding saya.  Ramai juga penduduk yang masih sukakan YB.  Janganlah jauhkan diri. Biarpun kita berlainan parti, tapi kita rakyat negara ini, satu bangsa dan satu agama.  Bukan masuk parti saya, tapi bekerjasama membangunkan daerah ini,”  ajak YB Jais bersungguh-sungguh.
            “Saya orang tua, tak banyak idea, itu sebab ditolak oleh pengundi kawasan saya,”  jawab YB Shamsul.
            “Ditolak bukan kerana kurangnya idea, tapi rezeki saya  nak jadi YB di sini,”  luah YB Jais.
            “YB, saya ikhlas dan bersungguh ini.  Biarlah apa orang nak kata.  Mari kita berganding bahu.  Perbaiki keadaan di daerah ini.  Sekarang sudah baik, kita jadikan lebih bagus lagi.  Bekerja berkumpulan lebih baik daripada bekerja seorang diri,” pujuk YB Jais lagi.
            “Nantilah saya fikirkan.  Nanti apa pula kata orang kuat parti saya,”  kata YB Shamsul.  Ya, apa pula kata ahli-ahli parti yang dia turut menjadi ahli dan diwakilinya.  Apa pula kata barisan tertinggi parti jika melihat dia sibuk bekerja bersama-sama dengan parti lawan. Nanti mereka fikir, dia melompat parti.  Hish!  Susah juga ini.

            YB Shamsul pulang ke rumah dengan tambahan subjek yang harus difikirkannya.  Membantu wakil rakyat baharu itu?  Bolehkah?  Partinya akan restukah?  Barisan Majlis Tertinggi akan merestuikah?  Jangan-jangan mereka akan fikir dia sudah berpaling tadah.  Uh!  Serba salah jadinya.  Bukankah dia masih boleh berbakti, walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat.  Kenapa pula dia tidak boleh membantu wakil rakyat baharu sedangkan mereka sama-sama inginkan kebaikan buat daerah yang pernah diwakili.
            Ah! Serabut! Serabut! Detik hati kecilnya.  Berkerut wajahnya. 
            YB Shamsul melangkah masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat yang sudah lama didiaminya.  Di bina di atas tanah setengah ekar. Di dalam kawasan kampung.  Nyaman dan selesa tinggal di situ.  Berbeza tinggal di bandar yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit dan kesibukan kenderaan bertali arus tidak kira siang atau malam.  Penghawa dingin sudah siap terpasang.  Tentu isterinya berada di rumah.  YB Shamsul terus melabuhkan pungguhnya di sofa.  Berehat seketika. Kepalanya berdenyut-denyut.  Asyik fikir apa orang kata, sehingga dia terlupa niat sebenarnya menyertai parti politik dan bertanding sebagai wakil rakyat.  Tanpa jawatan pun dia masih boleh berkhidmat.  Tanpa parti politik pun dia masih boleh membantu rakyat dan masyarakat di kawasannya.  Bukankah dia melakukannya kerana ikhlas?  Ah! Pedulikan apa yang bakal dikatakan  oleh anggota Majlis Tertinggi partinya.  Siapa yang lebih berkuasa?  Ahli politikkah, atau rakyat?  Rakyat sudah membuktikan mereka berkuasa dengan mudah menolaknya setelah sekian lama bergelar Yang Berhormat atau sepatutnya Yang Berkhidmat.  Ya!  Dia sudah bertekad, dia akan terus berkhidmat biarpun tanpa pangkat atau menjadi ahli politik.  Biarlah dia berkhidmat untuk rakyat dan masyarakat di kawasannya dengan wangnya sendiri. Biarlah dia bekerja sama dengan YB Jais. Tiada salahnya. Tiada dosapun.  Apa yang penting masa hadapan rakyat dan masyarakat di kawasannya.  Itulah azamnya. Ya tidak akan berganjak lagi! YB Shamsul tersenyum gembira.  Kepalanya sudah kurang berdenyut. Hatinya semakin tenang. 


NERACA NISA' - BAB 1


Hujan yang turun lebat di luar bangunan asrama Rumah Kebajikan Permai tidak selebat hujan di hatinya yang sedang galau. Tanah yang gersang, rerumput kekuningan, dedaun kering berterbangan beberapa minggu yang lalu, kini basah, pepohon akan kembali menghijau seperti semangat anak-anak yatim jagaannya dan suami yang tidak pernah kering kontang. 
            Lidah mereka sentiasa dibasahi dengan kalimah Allah dan zikrullah yang tidak pernah terputus mengalir keluar dari bibir mongel itu. Batinnya akan gersang, umpama bendang yang tidak ada airnya, merekah, bertaburan debu kehampaan menghiasi sanubarinya. Kilat sambar-menyambar tidak ubah seperti perasaannya ketika itu akibat fitnah yang membakar hatinya yang sedang walang.
            Raungan atap dihentam cucuran air hujan berlawanan suara gemersik anak-anak yatim yang sedang menghafal al-Quran, melontarkan kalimah Allah memenuhi setiap aliran dinding dan kawasan rumah kebajikan itu. Dengan linangan air mata yang mengalir seperti hujan yang sudah lama tidak membasahi bumi tercinta, hati dan nalurinya seperti ditikam dengan belati yang tajam. Berdenyut jantungnya menahan bisa dan debaran yang mengamuk, menggoncang dan melemaskan seluruh jiwanya.  Terkapar dirinya bagaikan dia yang berada di sepuntung nyawa, bukan sebaliknya, suaminya, Harris.
            Tanpa sedar, Nisa’ mengesak seorang diri di dalam kamar, duduk berteleku di atas sejadah dengan telekung masih di tubuh. Pelbagai perkara membadai benaknya. Seram sejuk roh dan sekujur tubuh, bukan kerana sejuknya cuaca tetapi sejuk oleh rasa takut dan resah memikirkan pandangan tidak adil manusia di luar sana. 
            Sesungguhnya, apa yang berlaku benar-benar mencabar dirinya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu kepada tiga orang anak kandung dan puluhan orang anak-anak yatim di Rumah Kebajikan Permai serta sebagai seorang usahawan.
            Betapa tidak, lelaki itu sudah berpuluh tahun melalui alam perkahwinan dengannya, dan dia sudah faham benar akan hati budi, sikap, segala usaha, masanya yang dicurahkan untuk menjaga anak-anak yatim ini. Suaminya tidak sehina dan sebusuk manusia yang sanggup membuang anak tidak sah taraf atau mereka yang mempergunakan anak-anak yatim untuk kepentingan diri sendiri.
            Tidak mungkin suaminya, Harris, melakukan perkara tersebut. Itu bukan sikap dan akhlak suaminya. Adakah orang yang membataskan pergaulannya dengan kaum hawa di luar sana sanggup melakukan perkara tersebut? Sudah terlalu tuakah dirinya untuk melayan keperluan batin seorang lelaki bergelar suami? Nisa’, enam tahun muda daripada usia suaminya, Harris. Usia suaminya baharu mencecah awal 50-an, seorang yang amat penyayang, amat pengasih. Jauh lebih baik cara penjagaan anak-anak berbanding dirinya sendiri sebagai seorang ibu.
            Tuduhan apakah ini? Dunia menyaksikan fitnah paling dahsyat yang melanda seluruh keluarganya, seluruh penghuni Rumah Kebajikan Permai kelolaan suaminya ini. Manusia jenis apakah mereka yang tergamak membuat tuduhan tanpa menyelidiki akan kesahihannya terlebih dahulu?
            Sudah hilangkah sikap kemanusiaan mereka sehingga sanggup menuduh suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap anak didiknya sendiri! Kejam! Desis hatinya. Embun di matanya berterusan mengalir, titisannya membasahi pipi yang masih menggebu. Terasa letih tubuhnya, hilang selera makan semenjak suaminya dibawa pergi. Walaupun diserang kantuk, tetapi tersengkang luas mata memikirkan nasib suaminya yang sudah pun disumbat ke dalam lokap gara-gara tuduhan seorang pelajar perempuan yang pernah tinggal di Rumah Kebajikan Permai itu.
            Isy! Pelajar perempuan itu baru berusia 12 tahun, tetapi sudah pandai mereka cerita. Layak jadi penulis skrip, malah keluarganya tidak segan-segan mereka tuduhan terhadap orang yang berbakti kepada mereka, sedangkan anak itu dijaga bagaikan ketulan emas yang perlu dijaga agar tidak dicuri orang. Diberi perhatian dan kasih sayang sama rasa, sama rata seperti yang diberikan kepada anak sendiri. 
            Hembusan nafasnya mendengus kuat, seperti melepaskan rasa berat bebanan yang sedang ditanggungnya. Terasa seperti digantung di atas pokok balak yang tinggi melangit hanya menunggu waktu tali disentak untuk menjerut nyawanya ke alam yang seperti berantakan oleh gempa bumi yang kuat.
            Dahsyat sungguh sikap manusia hari ini, budi yang diberi, racun yang dibalasnya. Manakah rasa perikemanusiaan mereka? Bagaimana jika, oleh fitnah yang melulu itu, suaminya disabitkan kesalahan? Menurut kata pihak polis yang menahan suaminya, kononnya seorang budak tidak akan pandai mereka-reka cerita, apatah lagi menipu. Benarkah? Boleh percayakah? 
            Bagaimana jika anak itu dihasut atau dipengaruhi oleh orang yang pernah menjadi penyumbang di Rumah Kebajikan Permai itu? Jika benar, kenapa harus ada dendam? Sedangkan, rumah kebajikan itu tidak mengambil apa-apa pun hak penyumbang tersebut. Malah, tanah yang dijanjikan untuk diwakafkan kepada rumah kebajikan juga diambil kembali. Sedangkan, janji itu diucapkan di dalam masjid yang menjadi saksi perjanjian mulut antara penyumbang dan suaminya. Adakah itu angkara mereka?

Selasa, 6 November 2018

CINTA REMAJA




            Pernah jatuh cinta?  Sudah tentu, setiap daripada kita pasti pernah jatuh cinta ketika usia meningkat remaja.  Ada yang mengatakan, perubahan hormon seorang remaja bermula ketika usia 10 tahun, ketika ini, perasaan ingin mengenali manusia berjantina lain sudah ada.  Namun, masih terbatas kerana rasa malu yang masih menebal dalam diri.  Biarpun hati suka kepada seseorang, rasa suka itu disimpan dalam hati. 
            Semakin mereka meningkat remaja, 13-16 tahun, ketika inilah jiwa mereka berperang dengan diri sendiri.  Mula sudah mencari ruang dan peluang untuk cinta dan mencintai.  Kejadian-kejadian rogol dan perlakuan bebas lelaki dan perempuan mudah berlaku jika tidak dibendung dan disekat dengan cara yang betul.  Bagaimana?  Ibu ayah risau tak? 
            Setiap daripada kita punya cara pendidikan dan mendidik dengan cara yang berbeza.  Ada ibu ayah yang tidak kisah pun anak-anak ada teman lelaki atau perempuan.  Ada juga ibu ayah yang mengawal pergaulan anak-anak agar tidak terjebak dalam masalah.  Hari ini, pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah perkara biasa  Di sekolah lagi anak-anak remaja ini sudah berani bermain cinta.
            Saya juga pernah jatuh cinta, bukan sekali, tetapi berkali-kali.  Kadangkala saya terfikir, lelaki A yang saya kenali, adalah pasangan saya sehingga akhir hayat, tidak berapa lama berkawan, tiba-tiba hubungan terputus.  Bertemu lelaki B, sangkaan tetap sama, masa dan ruang yang diambil untuk mengenal hati budi, kononnya, berakhir juga dengan perpisahan.  Ironinya, tidak seorang pun lelaki yang saya kononnya suka atau cinta, menjadi imam saya. 
            Apabila mempunyai anak perempuan, dan anak-anak terlibat dengan cinta, baik lelaki dan perempuan, sebagai ibu yang mempunyai pengalam yang sama dengan mereka, tentulah saya akan cuba yang terbaik untuk menasihati mereka.  Tidak semua cinta pertama akan membawa bahagia sehingga ke jinjang prelamin.  Apatah lagi di usia yang masih muda dan mentah.  Saya dan suami masih berpegang dan yakin, setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini ada jodoh mereka masing-masing.  Tidak perlu tergesa-gesa mencari, jodoh itu pasti akan datang sendiri.  Jika belum bertemu jodoh, usah risau, kerana Allah swt telah menentukan pasangan kita masing-masing.
            Pengalaman banyak mengajar saya untuk mendekati dan menasihati anak-anak perempua  saya erti cinta yang sebenar.  Anak kedua pernah suka seseorang, oleh kerana kami membataskan pergaulannya, perasaan itu pernah diluahkan tetapi masih terjaga adab dan akhlak. Dengan cara lembut dan bajk saya dan suami menasihatinya agar tidak terbawa-bawa perasaan cinta itu sehingga menganggu pelajaran.  Sayangi diri sendiri, barulah boleh kita sayangi orang lain.  Jika benar lelaki itu jodoh kita, pasti dia akan hadir dan menjadi imammu.  Saya tidak pernah marah jika anak perempuan saya suka kepada seorang lelaki, itu adalah normal bagi seorang perempuan.  Tetapi, sebagai seorang Islam, Melayu dan berpendidikan agama, pastinya ada batasan yang perlu dan wajib dijaga.  Dalam semua perkara, cinta atau tidak, maruah dan harga diri wajib dijaga dan diutamankan. 
            Anak bongsu saya paling berani, menulis surat cinta sehingga tertangkap oleh ustazahnya.  Pecahlah rahsia kenapa sering sakit kepala. Sedang asyik menghafal al-Quran, dalam hati ada seseorang, tidak boleh focus, sakit kepala menyerang.  Saya tidak marah, kerana adalah perkara biasa, seorang remaja seusia anak bongsu saya akan jatuh cinta kepada manusia yang berlainan jantina.  Cuma, bagaimana cara saya mengatasi masalahnya dan menyelami hati seorang remaja seperti anak saya.
1)      Saya menasihatinya, bahawa tidak salah jatuh cinta.  Ini normal, biasa sebagai seorang manusia sudah tentulah akan suka kepada lawan jantinanya.  Tetapi, tidak sesuai jatuh cinta dalam usia yang muda dan masih belajar.  Sebaiknya dalam usia yang muda, sepatutnya pelajaranlah yang paling dicintai.

2)      Saya menyuruh dia bertaubat, banyakkan berzikir, bawa bertenang, lupakan cinta yang ada di hati, perlahan-lahan buang. Kerana jika benar lelaki yang disukainya itu adalah jodohnya tidak akan ke mana-mana. Pasti akan kembali kepadanya juga.  Paling penting, cintai Allah dan Rasul terlebih dahulu, sebelum menerima cinta seorang bernama lelaki dalam usia yang terlalu muda.


3)      Sebagai seorang yang beragama Islam, maruah dan akhlak yang baik adalah utama.  Cinta akan datang selagi ada ruang dan peluang.  Tidak boleh berjumpa, ada batasan  dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Tidak ada seorang lelaki di dunia ini akan memilih seorang perempuan yang rendah akhlak dan murah harga dirinya.

4)      Lelaki yang baik adalah untuk seorang perempua  yang baik.  Mungkin pada pandangan seorang remaja yang cetek, kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya adalah yang terbaik.  Saya terangkan, salah jika dia berfikir begitu.  Masih banyak waktu, masih panjang masa untuk memilih.  Bukan dia yang pilih, tetapi Allah swt yang akan memilih untuknya.  Siapakah lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya.  Jika dia menjadi seorang muslimat yang baik, taat kedua orang tua, menjaga hubungannya dengan Allah swt dan sayang akan Rasulullaah saw, Allah akan hadirkan seorang lelaki yang terbaik dalam hidupnya. Jadi, kenapa perlu tergesa-gesa menyerahkan hati kepada seorang lelaki yamg tidak lagi dipastikan bahawa dia adalah jodohmu.

 Biar siapa pun anak kita, aliran apa yang dipelajari, naluri usia remaja suka dan ingin bercinta tetap ada.  Bezanya, adalah cara pergaulan dan bagaimana cinta yang ada di hati mereka itu direalisasikan. 
            Bagi anak-anak yang belajar dalam bidang agama, rasa cinta dilahirkan dengan cara yang terbatas, diam-diam suka, jika berbalas, surat cinta bertukar tangan. Kecuali, mereka berjumpa secara rahsia tanpa pengetahuan orang tua.  Remaja yang sedang dilamun cinta, mudah menipu.

  Bagi anak-anak remaja yang terlepas bebas dan aliran Kebangsaan, rasa cinta boleh diluahkan dengan mudah, kerana tiada keterbatasan dalam pergaulan, boleh bertemu dan  berbual mesra, jika tidak dibendung takut-takut menjadi perkara yang tidak baik pula.Ketika inilah, kedua orang tua memainkan peranan untuk menasihati  mereka agar tidak terburu-buru jatuh cinta. 
            Sebagai ibu ayah, kadangkala kita tidak boleh menjadi penghalang, tetapi jadilah kawan yang boleh menasihati mereka, mendekati dan memujuk serta terangkan bahawa jodoh untuk mereka akan hadir juga.  Terangkan juga kepada mereka, bahawasanya lelaki yang baik tidak akan sesekali menyentuh mereka selagi belum ada ijab dan Kabul.
            Ya, ada orang berfikir, jodoh perlu dicari.  Bagi saya tidak, jodoh adalah ketentuan Ilahi.  Kadang-kadang yang mencari tidak juga jumpa-jumpa.  Tetapi yang menunggu dan menanti dengan penuh yakin, bahawa jodohnya telah ditetapkan oleh Allah swt  selalu mendapat jodoh yang terbaik. 
            Dekatilah anak remaja kita.  Perhatikan perubahan diri mereka, perasaan mereka, sebaik sahaja usia mereka menjangkau 10-16 tahun.  Seringlah bertanya.  Seringlah bercerita bahayanya bercinta di usia remaja.  Kepada yang mempunyai anak remaja lelaki, nasihatilah mereka agar tidak menyentuh anak perempuan orang.  Begitu juga yang mempunyai anak perempuan remaja berceritalah agar mereka tahu menjaga keterbatasan dalam pergaulan.  Sudah pasti kita tidak mahu rasa cinta ini memusnahkan masa depan mereka. Tentunya kita tidak mahu rasa cinta ini menjadi penyebab lahirnya anak yang tidak sah taraf. 

            Baik atau buruknya bercinta ketika usia remaja,  sebagai ibu ayah, kitalah penentunya.

#ghostwriter

Isnin, 5 November 2018

SINOPSIS - NERACA NISA'



Hati siapa yang tidak berduka apabila orang yang disayangi ditahan oleh pihak polis atas kesalahan yang tidak dilakukannya.  Sebagai seorang isteri pasti Nisa' benar-benar rasa tercabar, apatah lagi yang menuduh adalah seorang budak perempuan yang dijaga seperti anak sendiri.

Nisa' terpaksa berhadapan dengan fitnah yang melanda suaminya.  Dia tidak mengalah, dan benar-benar yakin suaminya tidak bersalah.  Dengan bantuan sepupu suaminta, Munirah, mereka berdua berjuang menyelamatkan maruah dan harga diri suami Nisa'.

Nisa' terpaksa mengambil alih menguruskan rumah anak yatim yang diusahakan bersama suaminya.  Sepanjang ketiadaan suaminya yang ditahan dilokap, Nisa'lah yang menguruskan segalanya. 

Dalam masa yang sama Nisa' terpaksa berhadapan dengan ahli lembaga pengurus rumah anak yatim itu yang mempunyai niat tidak baik untuk merampas kuasa.  Bagaimana Nisa' menghadapinya?  Berjayakah dia menyelamatkan keadaan? Berjayakah dia melepaskan suaminya dari tohmahan dan fitnah yang dihadapinya? 

Kepada yang berminat boleh dapatkan buku ini di pasaran sekarang!

Terbitan DBP ( Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM20.00

****

Sabtu, 19 Mei 2018

MUHASABAH DIRI

Melihat kejatuhan lain kita begitu seronok sekali. Ketika Allah mengaibkan hamba-Nya, kita berasakan 'Inilah balasan kepada orang yang khianat.' Tidak habis-habis isunya dibawa keluar. Memang tidak dinafikan, kalaulah saya berada di tempat hamba Allah ini, saya pasti tidak akan mampu melihat kelibat manusia di luar sana.
Malu adalah separuh daripada iman. Orang yang beriman, tinggi rasa malunya. Apa yang terbentang dan didedahkan bagi saya begitu mengaibkan. Begitu memalukan. Apatah lagi dilakukan oleh seorang anak Melayu dan beragama Islam.
Orang yang malu, tidak akan mencuri. Orang yang tahu malu tidak akan berbuat dosa. Orang yang tahu malu tidak akan berani berbuat onar di muka bumi ini, apatah lagi jika berasa malu dengan Allah swt.
Apabila kita hilang perasaan malu, kita sanggup lakukan apa saja. Kita lupa harga diri, kita lupa siapa kita dan tanggungjawab yang tergalas di bahu.
Jangan sorakkan mereka yang sedang diuji. Kita nampak buruk di mata kita, tetapi itulah kasih sayang Allah swt terhadap hamba-hamba-Nya. Ujian bukan musibah, tetapi sebagai peringatan buat kita semua. Dugaan bukan masalah, tetapi untuk menguatkan keimanan kita kepada Allah swt.
Hati siapa yang tidak marah, geram dan sakit hati. Melihat kemewahan yang dimiliki sedangkan rakyat berhempas pulas macam nak mati mencari rezeki. Kalau ikutkan hati amarah, inginku maki, inginku keji, kuhina manusia yang tidak punya hati ini. Tapi, selesaikan masalah kita hari ini?
Negara ada undang-undang, biarlah pihak yang berwajib menentukannya. usah kita seronok menyorak dan menghina. Hidup kita sendiri belum tahu hujung pangkalnya. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, hidup kita antara azan dan iqamat sahaja. Diazankan ketika lahir, dan diqamatkan ketika meninggal. Hanya itu tempuh kehidupan kita di dunia ini.
Usah seronok berkongsi cerita tentang mereka, hamba-hamba Allah yang masih diberi peluang untuk bertaubat dan insaf dengan apa yang telah mereka lakukan. Kita? Adakah kita insaf terhadap dosa-dosa kita sendiri? Selidik diri tak? Muhasabah diri tak? Jika kita sendiri masih solat tidak cukup, mengaji tidak tahu, kadang-kadang tahajud, kadang-kadang terkejut, adakah kita masih ingin mentertawakan orang-orang yang sedang diuji Allah swt dengan kasih sayang-Nya?
Sipendosa tetap dengan dosanya. Kita yang seronok menambah dosa, kenapa masih teruskannya? Hati marah? Geram? Itu sebab terluah di dada Fb kita? Sebagai hamba Allah swt yang baik hati, kita berdoalah agar mereka yang terlibat bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, serta memulangkan kembali segala yang telah mereka ambil daripada rakyat.
Kita harus ingat, mereka pernah baca Bismillah ketika hendak menyuap rezeki ke mulut, mereka pernah solat biarpun jarang-jarang. Adakah pintu taubat tiada untuk mereka? Selagi nyawa tidak sampai di halkum, pintu taubat terbuka luas. Allah swt sayangkan semua hamba-hamba-Nya. Tidak diturunkan sesuatu ujian itu tanpa sebab. Pasti ada hikmah di sebalknya.
Marilah kita kembali bersatu, rapatkan ukhwah sesama kita. Berubahlah menjadi Melayu yang dahulu, penuh adab, berakhlak dan bersopan santun. Berbudi bahasa, berpekerti mulia. Itulah bangsaku, bangsa yang lembut budi bahasanya.

#pilihanrayasudahberakhir
#usahmenambahdosa
#kembalilahbekerja