Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 29 Oktober 2014

SIAPA BERSALAH?


Pak Mail hanya mampu melepaskan keluhan.  Hancur sudah impiannya.  Tidak mampu berkata apa-apa.  Malu dengan jiran sekampung.  Malu dengan dirinya sendiri.  Hilang sudah rasa bangga dalam diri.  Rasa kesal yang menebal dalam hati tidak mampu dibuang pergi.  Kenapa semua ini terjadi? Di mana kata janji manis yang pernah melengkar di bibir?    Sudah lupakah semua kata manis yang pernah terluah di bibir mongel  itu? 

Air mata pun tidak mahu mengalir lagi.  Agaknya sudah puas menangis sebelum ini, sehingga tidak mampu terbit lagi.  Dia memandang tanah sekangkang kera itu dengan mata berkaca.  Hanya tanah itu sahaja yang dia ada. Harta warisan daripada orang tuanya.  Kini tanah itu sudah tiada lagi.   Dia sudah gadaikan dengan harapan akan dapat ditebut semula.  Bukannya lama hanya beberapa tahun.  Nanti jika anaknya itu sudah bekerja, bolehlah ditebus semula.  Itulah harapannya. 
Kini harapan itu hanya tinggal harapan.  Tidak mampu berbuat apa-apa lagi.  Perjuangan yang sia-sia, itulah yang mampu dia katakan.  Bukan menyalahkan anaknya tetapi di mana fikirannya yang sihat  ketika pertama kali melangkah ke puncak menara gading?  Di mana sudah ditinggalkan harapan kedua orang tua ini? 
“Sudah, sudahlah termenung bang, bawalah naik ke rumah, mandi dan solat,”  tegur Mak Timah yang baru sahaja selesai memasak untuk makan tengahari.  Hanya lauk kampung yang pasti membuka selera.
“Kenapa dia buat kita macam ini, Timah?  Apa salah kita?  Apa lebihnya orang itu?”  tanya Pak Mail sambil matanya menyorot wajah tua isterinya. 
“Sabarlah bang, anak kita itu masih muda.   Jiwa orang muda memang begitu,”  kata Mak Timah, memujuk.
“Orang muda perlukan tunjuk ajar mereka yang lebih tua, kalau yang tua mengajar yang salah, maka salahlah jadinya.  Saya tak kata berpolitik itu tidak baik, tapi tunggulah masanya.  Habiskan belajar dahulu!  Kenapa sukar benar dia hendak memahaminya?  Sudah berkali-kali saya ingat, tugas seorang pelajar adalah belajar!  Itu sahaja, bukan mencampuri urusan yang tidak-tidak, bukan urusan dia pun!  Dia mampu buat apa?  Selain terpekik- terlolong di tepi jalan!  Akhirnya siapa yang rugi?  Kita juga yang rugi?  Tanah tergadai, semata-mata ingin melihat dia berjaya, saya ingatkan bila dia sudah habis belajar, sudah bekerja, bolehlah bayar sedikit demi sedikit untuk tebus semual tanah itu…”  Pak Mail mengeluh keras.  Kehampaan semakin menjadi-jadi.  Geram pun ada.  Mahu sahaja dia mengetup kepala anaknya yang tidak mendengar kata itu.  Cakap orang sudi pula diikut dan didengar.
“Nanti kita pergi lawat dia, ya bang?” ajak Mak Timah.
“Untuk apa?  Untuk menyakitkan hati saya?”  Pak Mail mendengus kasar. Marah benar dia dengan sikap anak tunggalnya itu.  Sudahlah anak seorang, ingatkan boleh tumpang senang, ini tidak, menyusahkan sahaja.
Orang politik apa tahu masalah orang kampung seperti dia?  Mereka hanya tahu mempengaruhi anak-anak muda seperti anaknya.  Ditabur dengan pelbagai gula-gula, garam dan cuka, disuruh makan sampai kenyang, sedap atau tidak disuruh juga telan.  Kalau mati sekalipun apa mereka peduli?  Bukan anak mereka.  Kalau tidak berjaya, apa mereka susah?  Bukan anak mereka.  Apa yang mereka fikirkan adalah kejayaan untuk diri sendiri.  Kalau benar hati mereka baik,mereka pandulah anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh, senangkan hati orang tua yang telah berjasa melahir, membesar dan memberi pelajaran.  Balas jasa orang tua kembali, bukan suruh berdemontrasi!  Suruh masuk politik!  Bukan suruh menyusahkan orang lain!   Kalau ikutkan hati  marahnya mahu sahaja dia bertemu pemimpin yang bertanggungjawab menyusahkan hidup anaknya. Tapi bila difikirkan kembali, anaknyalah yang salah, terpengaruh dengan perkara yang bukan urusannya.  Urusannya adalah belajar!  Kenapa tidak mahu memahami? 

“Masuklah bang,” rayu Mak Timah. Dia tahu benar suaminya kecewa.  Setiap petang mereka akan bersembang di anjung rumah sambil menikmati angin petang melihat bendang yang luas saujana mata memandang itu.  Ditemani dengan secangkir kopi dan sepiring kuih-muih yang dibuat Mak Timah.  Mereka akan berbual tentang masa hadapan anak tunggal mereka. Harapan dan ingin melihat Bujang berjaya.
“Entahlah Timah, sukar benar hati saya hendak sejuk, semakin difikir, semakin bernanah perasaan saya ini,”  Pak Mail menunduk, duka di dalam siapa  yang tahu.  Anaknya juga tidak tahu, isterinya sendiri tidak boleh menyelami impiannya di hati. 
“Bawalah bersabar, ini ujian untuk kita,” kata Mak Timah cuba meyakinkan agar suaminya dapat menerima takdir yang berlaku.
“Ujian, ujian juga, kalau ujian datang dari kealpaan manusia dan kebodohan diri sendiri, siapa yang tidak marah, Timah!”  Agak tinggi nada suaranya ditambah dengan hati yang sedang berduka, bertambah-tambahlah kecewa.
“Apa kita nak buat lagi bang, nasi sudah menjadi bubur, bubur hangit pula itu!,”  Mak Timah pula mengeluh.
“Kalau bubur masih boleh dimakan, ini nasi basi, siapa hendak rasa dan  jamah?” Pak Mail mengeluh kesal.  Sesalan yang tidak mahu diucap dengan kata-kata.  Di mana otak anaknya ketika itu?  Di mana letaknya diri mereka di dalam hati anaknya itu?  Semakin difikir, semakin menebal rasa marah di hati.  Dia bukan orang senang?  Dia juga bukan ramai anak?  Hanya itu sahajalah satu-satu zuriat kurniaan ILAHI, apa masalah orang politik, sehingga anaknya yang masih mentah tentang hidup disuruh lakukan itu dan ini?  Di mana akal mereka yang matang dan dewasa?  Perjuangan apa yang mereka ingin tegakkan?  Individu atau Negara?  Kalau Negara tunggulah sehingga anaknya itu habis belajar, ajak masuk parti, berjuanglah untuk rakyat dan Negara.  Bukan sekarang! Ketika mereka masih mencari ilmu, masih perlu mengisi dada yang kosong dengan ilmu yang bermanfaat.  Dia yang tidak bersekolah tinggi masih boleh berfikir dengan waras, dia yang tidak perlu masuk universiti atau mempunyai PHD juga boleh  membezakan mana perlu didahulukan.
“Bila kita nak tengok anak kita di penjara, bang?” tanya Mak Timah, nada sedih terpancar keluar dari mulutnya. 
“Tengok anak yang tidak mengenang kita sebagai orang tuanya?  Untuk apa?  Biarlah pemimpin yang dia perjuangkan itu melawat dan menziarahi dia, kita ini siapa?  Kita orang tua yang tidak berguna, tidak perlu dibela dan dikenang. Biar saya bekerja di bendang sehingga ke akhir hayat, biar reput  tulang belulang!” jawab Pak Mail, nada marah dan duka mengalir keluar.  Luahan rasa seorang tua sepertinya yang mengharapkan anaknya pulang ke sisi dengan membawa segulung ijazah untuk mengubah nasib diri.  Mencari pelajaran dan ilmu itulah yang wajib bagi anaknya, bukan suruh mmemperjuangkan nasib orang lain yang belum tentu betulnya.  Kalau pemimpin itu manusia yang baik, dia tidak akan mempengaruhi anaknya melakukan perkara itu.  Malah sepatutnya menasihati anaknya agar belajar dan belajar, menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan Negara. Kalau hendak berpolitik ada waktunya, ada masanya, akan tiba juga waktu dan masa itu.  Kenapa sukar untuk ditanam di minda mereka? 
Rakyat yang nasib sepertinya yang harus dibela, bukan dengan wang ringgit atau hanya rasa simpati tetapi semangat untuk memajukan diri, tunjuk ajar bagaimana hendak menjadi petani moden yang berjaya, menambah hasil tanaman, memperbaiki mutu tanaman.  Banyak lagi rakyat di luar sana yang memerlukan perhatian, bukan  mempertahankan pemimpin yang hanya tahu mempergunakan anaknya.  Kini anaknya di penjara, siapa yang membantu?  Mana dia pemimpin yang konon katanya memperjuangkan nasib anak bangsa? Mana dia pemimpin yang kononnya berbuat itu dan ini untuk Negara?   Kenapa anaknya tidak dibela?  Sudahlah dibuang dari universiti, siapa yang harus menanggungnya?  Siapa yang harus membantu?  Ke mana perginya orang-orang politik yang anaknya perjuangkan itu?  Ke mana mereka? Kalaulah dia mampu berjuang, menghunus senjata melawan musuh Negara yang bercambah di luar sana.  Kalaulah dia mampu berjuang, akan dibawa bala tentera menjaga kesucian agamanya.  Kalaulah dia boleh berjuang akan dibela nasib rakyat yang susah dan miskin di kampung-kampung dan memperbaiki mutu ekonomi mereka. 

“Bang, itu anak kita!”  Mak Timah kurang senang dengan sikap suaminya.  Marah bagaimana sekalipun, tidak mampu mengubah apa-apa.  Semoga anaknya insaf dan sedar diri.  Matlamat utama masuk ke universiti adalah belajar, belajar, belajar. Dia mengeluh lagi.
“Anak yang tidak mengenang kita!  Untuk apa?  Saya marah, Timah! Marah!”  Pak Mail menghentak penumbuk di lantai pangkin yang menjadi tempat duduk mereka.
“Saya tahu…  tapi apa nak buat lagi, anak kita tak boleh dah sambung belajar di mana-mana, dah jadi kes polis, dia pergi bakar gambar Perdana Menteri! Malah ugut bunuh lagi!  Apa kita nak buat, bang!”  Air mata akhirnya mengalir juga, sudah puas ditahannya.
“Sudah! Jangan disebut lagi.  Sakit benar hati saya!”  Pak Mail mengenggam penumbuk.  Bergetar dadanya.  Berdegup kencang jantungnya. 

“Mana akal anak kita?  Mana rasa belas kasihnya kepada kita?    Mana diletaknya harapan kita sebagai orang tua dia?   Mana perginya janji-janji dia hendak menyenangkan kita di waktu tulang belulang kita mereput di tubuh?  Mana, mana, mana!”  jerit Pak Mail geram bercambah-cambah, tumbuh meliar di tangkai hati.
“Abang!”  Mak Timah lemah menyandar tubuhnya di sisi Pak Mail.  Dia turut berasa sedih.  Hatinya turut hancur bagaikan dihentak ke batu, berderai.
“Biarlah dia di dalam itu, biar dia fikirkan nasib dirinya, perjuangan yang bodoh dan sia-sia.  Saya nak tengok sampai mana pemimpin yang dia perjuangkan itu membantu dia,membantu kita ini!  Saya nak tengok!”  jerkah Pak Mail, bagaikan   pemimpin itu ada di hadapannya.  Bagaikan anaknya mendengar setiap tutur katanya.  Hatinya dipahat duka, hatinya yang disimbah racun yang berbisa.    Diakah yang bersalah, kerana tidak mengajar anaknya agar jangan mencampuri urusan orang lain?  Diakah yang bersalah kerana tidak mengajar anaknya agar tidak  melakukan perjuangan yang sia-sia?  Diakah yang bersalah?

Selasa, 28 Oktober 2014

KIASAN ULAMAK- Ustazah Tiyah Rahman

HEBAT KIASAN ULAMAK..
📌WAJIB UNTUK DIBACA INI📌
Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu...
Pak Kiyai: Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?
Pemuda: Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.
Pak Kiyai: Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?
Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.
Pemuda: Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama?
Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut: “Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah
al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain” Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ?
Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”
Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah??
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi
pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya.
Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,
Pak Kiyai: Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?
Pemuda: Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.
Pak Kiyai: Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu, wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?
Pemuda: Benar sekali Pak Kiyai .
Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.
Pak Kiyai: Silakan minum Abdullah. Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.
Pak Kiyai terus bertanya: Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?
Pemuda: Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya
Pak Kiyai: Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya.
Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan oleh para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.
Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?
Pemuda: Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai: Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.
Pak Kiyai: Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?
Pemuda: Sudah tentu Pak Kiyai.
Pak Kiyai: Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan.
Maka persoalannya, pemahaman siapa yg ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?
Pemuda: Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.
Pak Kiyai: Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan?
Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yg mengambil selain daripada keduanya.
Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penguasaannya.
Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.
Hatta Imam Syafie rah. yg bebangsa arab sendiri pun tinggal di perkampungan bani Huzail selama lebih kurang 10 thn semata2 ingin belajar b.arab mereka yg hampir dgn fusha...
Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketika mana beliau sedang menaiki keldai, berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?
Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut.
Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab: “Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu
berkata “Wahai Imam, bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak
terus menjawabnya?”
Al-Imam al-Syafiee menjawab: “Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”
Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah.
Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah.
Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya: “Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”
Maka kata al-Imam Malik: “Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana utk menyelesaikannya”
Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.
Mereka sungguh mudah membidaahkan perkara2 khilaf dan menolak pandangan2 ulama2 muktabar terdahulu dgn alasan yg pelbagai..
Pemuda: MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .
Pak Kiyai: Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.
Semoga jadi pedoman kepada kita semua.

MELANCONG KE LANGKAWI.


 Tempat makan yang murah dan sedap.  Tapi hanya nasi ayamlah.

 Makam Mahsuri, macam-macam ada...















Perjalanan ke Kuala Perlis dengan bas persiaran Sani Ekspress berjalan lancar.  Alhamdulillah dibawah perlindungan ALLAH SWT.  Kami sampai di Kuala Perlis jam 6.30 pagi.  Kami singgah bersolat  subuh di Masjid Al-Hussin di Jeti Kuala Perlis.  Usai solat kami bersarapan pagi di sebuah  restoran berhampiran Jeti Kuala Perlis.  Kus semangat, harga makanan jauh lebih mahal dari Kuala Lumpur.  Adakah pihak restoran mengambil kesempatan atas kebanjiran manusia di kawasan itu.  Mahu cepat kaya kalau begitu harganya.  Janganlah mengambil kesempatan di atas keramaian pengunjung di kawasan tersebut.  Harga makanan jauh berbeza jika di beli di kawasan beberapa kilometer dari situ.  Suamiku berasal di situ, tentulah kami al-maklum dengan harga makanan yang dijual.  Kalau singgah makan, bertanyakan harga lebih baik dari terkejut sehingga tidak terkata.  Sebenarnya percutian kami ada beberapa individu dan syarikat yang taja.  Rezeki anak-anak yatim ini.  Semoga mereka seronok dalam keletihan.
Usai sarapan, kami ke motel milik tuan punya restoran.  Memang terbaiklah, di kawasan itu sahaja beliau memiliki restoran, motel dan kedai runcit.  Perniagaan yang berjayalah kiranya itu.   Jam 9.30 pagi baru kami bertolak menaiki bot ke Langkawi.  Tiket pergi dan balik ditaja oleh sebuah syarikat di Langkawi, terima kasih kepada pihak syarikat tersebut yang sudi menyumbang.  Kami bawa anak-anak yatim jagaan kami bercuti di Langkawi.  Mereka tidak pernah menjejakkan kaki di Pulau Lagenda ini.  Sudah 10 tahun aku tidak menjejakkan kaki ke pulau ini.  Mungkin sudah banyak perubahan yang berlaku.  Manusia tetap ramai, kebanyakkan pelajar sekolah, maklumlah sudah akhir tahun.  Percutian yang amat bermakna buat mereka kerana pergi bersama kawan-kawan, ada kelainannya.  Semoga anak-anak jagaan kami terhibur dan suka berada di pulau yang penuh bersejarah ini.
Jam 9.30 pagi kami menaiki bot ke pulau bersejarah itu.  Semakin cantik dan semakin menarik.  Semakin membangun.  Sudah 10  tahun kami tidak menjejakkan kaki ke Pulau itu.  Kali terakhir adalah sewaktu berlakunya tsunami.  Kami ingatkan jika bertolak ketika bukan musim sekolah atau bukan hujung minggu, orang tidaklah ramai, rupanya ada juga orang yang berfikir seperti kami. Pengunjung tetap ramai. 

Kami sampai dalam pukul 12.30 tengahari.  Kami menyewa sebuah van dan sebuah kereta Avanza.  Alhamdulillah mendapat harga yang berpatutan.  Kami menginap di Hotel Haji Ismail Grup.  Siapa sangka dari sebuah kedai kayu kini beliau mampu mempunyai kompleks perniagaannya sendiri.  Termasuklah hotel.  Siapa kata anak Melayu tidak boleh berjaya dalam perniagaan.  Perlu kuat dan tidak kenal putus asa.  Anak-anak Langkawi juga boleh tumpang mencari rezeki di situ.  Hotelnya bersih, cantik dan selesa.  Kalau di sesetengah tempat, katil tambahan mereka akan bagi tilam sahaja, ini tidak mereka bawa katil pasang siap.  Harganya juga berpatutan.  Di sebelahnya Kompleks Haji Ismail Grup, bolehlah membeli belah, beraneka jenis coklat dan pinggan mangkuk. 

Selepas mendaftar masuk, solat  jamak, kami keluar untuk makan tengahari.  Destinasinya tidak jauh.  Hmmm…  Restoran Nasi Ayam Haji Pak Ya.  Ramai pengunjungnya.  Penuh pula itu.  Tentu sedap.  Nasi, semangkuk sup, ayam goreng yang diletak kical dan hirisan kobis.  Biasa sahaja, kan?  Namun sedap.  Harganya pun tidaklah terlalu mahal.  Kira berpatutan, sama seperti di mana-mana tempat sekalipun.  Apa yang penting kenyang.

Tempat pertama lawatan kami adalah tempat membuat minyak gamat.    Warisan Seri Lagenda. Tentulah ada demontrasi celup tangan dalam minyak.  Anak-anak yang lain dipersilakan.  Aku layan duduk diam-diam, nanti kepenatan.  Dahulu hanya jumpa minyak gamat sahaja, sekarang ini sudah beraneka jenis produk mereka hasilkan, Kopi gamat dan air sirap gamat pun ada.  Hebat, kan?

Kemudian kami berjalan-jalan di Pantai Chenang, Ya ALLAH dahulu hanya  ada hotel-hotel murah atau motel tetapi sekarang semuanya sudah berubah.  Pelbagai jenis kedai terdapat di situ. Memanglah meriah.  Sekadar lalu sahaja.  Akhirnya kami ambil keputusan  ke Makam Mahsuri.  Masuk RM10.00 untuk dewasa, separuh harga untuk kanak-kanak.  Mahal?  Taklah… mahal.  Berbaloi dengan persembahan yang dipersembahkan kepada pengunjung.  Dahulu hanya ada rumah, makan Mahsuri dan Telaga Mahsuri, sekarang ada pelbagai jenis rumah dan persembahan muzik tradisional seperti Gamelan dan Cak lempong serta Muzium Mahsuri.  Ada rumah Tok Penghulu juga, di dalamnya ada  gambar keturunan ketujuh Mahsuri.  Pendek kata, menariklah juga.  Berbaloilah bayar RM10.00 itu.  Keluar sahaja  bolehlah menikmati kuih karas yang murah dan cucur peneram bersama segelas air kelapa.  Bayar sendiri.  Habis lawatan pertama kami di Langkawi.  Balik berehat, malam nanti keluar makan pula. Ke mana?  Cari yang murah-murah sahaja, asalkan kenyang.  Cari makan di Langkawi ini jangan main-main tak kena gaya, kena sembelih.  Pastikan google dahulu ya.  Takut nanti terkejutlah pula.  Apa yang pasti ada juga tempat makan yang murah dan berpatutan.