Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 16 Mac 2019

GAMBAR KENANGAN LAWATAN KE BRUNEI 2019








SANTUNI ORANG TUA- ASMAH HASHIM

Pagi ini aku ke biliknya agak lewat untuk tengok sama ada dia sudah bersarapan atau belum. Sebaik terlihat kelibatku, emak terus bertanya.
"Ada kain buruk tak? Mak muntah lepas minum air," katanya dengan wajah sugul.
Kulihat di lantai, air berwarna kuning bertakung di celahan jari jemari kakinya.
"Kenapa warna kuning? Mak kencing ke?" Aduh! Aku hampir nak marah. Cepat-cepat aku beristighfar. Aku berhadapan dengan syurga suamiku.
"Tak! Muntah! Mak muntah!" katanya bertegas.
Aku keluar dari bilik dan masuk semula dengan dua helai kain buruk. Kuletakkan di kakinya.
Di atas meja tempat letaknya botol air dan gelas kudekati. Aku memeriksa gelas yang tertangkup, tiada kesan air di dalamnya. Kering seperti belum digunakan lagi.
"Mak kencing ya?" tanyaku sekali lagi.
Dia tetap nafikan.
"Tak apalah, biar Mah bersihkan. Mak pergi mandi, tukar baju," suruhku.
"Dah mandi, aku dah mandi. Tak nak mandi, sejuk. Aku bukan kencing. Aku muntah!" katanya agak kasar, seperti nak marah.
Aku terlihat kain batik yang dipakai basah juga.
"Kain mak tu pun basah, pergi ganti ya mak," sekali lagi aku memerintah.
"Tak nak! Aku nak salin baju aje," masih berdegil.
"Mak, janganlah degil. Mak kencing tu, takkan nak pakai baju yang kena kencing? Nanti abang bising pula kalau mak degil macam ni, " hampir hilang kesabaranku.
"Aku tak kencing! Aku muntahlah!" suaranya semakin keras.
Aku tidak mahu bertekak lagi dengannya. Wajahnya mula menyinga memandangku.
Aku berlalu keluar dari bilik. Kupanggil anaknya. Kami sama-sama masuk semula ke dalam bilik
"Mak," sapa suamiku.
"Mak kencing ni," kata suamiku. Dia mendekati emaknya.
"Aku muntah!" masih mempertahankan kata-katanya.
"Tak kisah lah, muntah ke? Kencing ke? Tapi mak kena bangun, Mah nak bersihkan tilam dan lantai ni," suruh suamiku.
Emak tetap bertegas tidak mahu bangun dan mandi. Allahu Akbar! Semoga aku dan suami mampu bersabar.
Suamiku terus bertegas dan memaksa emak bangun dan mandi. Pakaiannya sudah dikotori oleh air kencingnya sendiri.
Akhirnya dia akur setelah aku bertekad nak bawa dia masuk bilik air yang berada dekat dengan bilik.
Suamiku kembali membuat kerjanya semula. Ada tugas yang menanti buatku. Patutlah Allah kurangkan kerjaku di dapur, rupanya ada tugas lain yang diberikan. Aturan Allah selalu yang terbaik. Aku redha. Terima kasih Allah.
Aku sering terfikir mampukah aku mengguruskan najis mertuaku satu hari nanti ketika dia tidak lagi berdaya mengguruskan diri sendiri kerana aku seorang yang penggeli. Semoga aku mampu.
Setelah emak masuk ke dalam bilik air. Aku mula mengemas katilnya dan mop seluruh bilik yang sudah mula berbau.
Usai emak mandi. Dia masuk semula ke dalam bilik yang sudah siap berkemas.
"Nak pakai pampers dulu," katanya lalu duduk di atas katilnya.
Kami sudah beli tilam khas untuknya, agar mudah dicuci jika terkena najis.
Kuhulurkan pampers yang berbentuk seluar kepadanya. Kutunggu dia memakainya.
"Meh Mah bantu mak pakai," kataku lalu mendekatinya. Emak malu ala.
"Malu apa mak! Mah ni anak mak juga tau, tak perlu ada rasa malu," kataku tegas. Aku membantu emak memakai pampers tersebut dengan betul. Kalau bocor, aku juga yang kena bersihkan.
Setelah siapkan emak, aku masuk ke dalam bilik air untuk ambil kain yang terkena air kencing tadi. Allahu Akbar! Emak sudah rendam dalam baldi yang penuh dengan air. Tak terkata apa-apa, aku buang air tersebut dan ingin memerah kain tersebut. Sekali lagi lidahku kelu. Ada najis melekat di kain. Allahuakbar! Emak turut buang air besar.
"Wa, mak tok buang air besar juga!" kataku kepada menantuku.
"Mak nak buat macam mana tu?" tanya menantu perempuanku.
"Tak apalah, nak buat macam mana, mak kena bersihkan dulu, sebelum masuk dalam mesin basuh," jawabku sambil bawa baldi berisi kain ke bilik air.
Semoga aku mampu bersabar menjaga syurga suamiku ini. Emak sudah tidak boleh makan dengan sempurna, seolah2 Allah sudah tarik rezekinya. Setiap ujian ada hikmahnya.
Semoga emak kuat dan tabah. Biarpun emak selalu kata mulutku jahat, ada aku kisah? Selagi emak berada di rumah kami, kami buatlah sebaik mungkin
Wahai emak-emak semua, jangan sesekali mengata menantu kerana kita tidak tahu menantu yang mana akan jaga kita setelah kita tidak berdaya.

SUSAH ATAU SENANG? BUKAN PILIHAN- ASMAH HASHIM

Tiada siapa di dunia ingin dilahirkan hidup susah. Kita bukan boleh memilih, ada kala kita terpilih untuk bagaimanakah kehidupan yang bakal kita tempohi.
Begitu jugalah siapakah orang tua kita. Orang tua kita juga tidak semua bertuah dikurniakan orang tua yang mewah, sederhana atau susah hidup mereka.
Sewaktu kecil tidak pernah kita tahu akan kesusahan kedua orang tua kita. Apa yang kita tahu adalah meminta, memenuhi keinginan diri sendiri. Tidak peduli bagaimana mereka mendapatkannya.
Kita dijaga seperti raja, dipenuhi segala keperluan atas nama kasih ayah ibu kepada kita. Tidak pernah mereka berkeluh kesah berapa susahnya mereka menjaga kita.
Mereka juga tidak meminta balasan. Cuma, berharap satu hari nanti kita mampu menjaga mereka ketika mereka tidak lagi berdaya untuk bergerak kuat seperti ketika usia muda mereka.
Tidak akan pernah mampu kita membalas segala jasa mereka biarpun kita taburkan segala kekayaan di dunia ini.
Tapi, oleh kerana kita susah kononnya miskin tergamak kita mengeluarkan perkataan,
"Aku bukan tak nak jaga emak, tapi sebiji beras pun tidak ada kat rumah aku. Aku miskin tahu tak. Kalau aku kaya, aku boleh bela emak."
Adakah orang tua kita akan berkata seperti itu kepada kita yang telah terpilih menjadi anak mereka? Mereka senangkah ketika ditakdirkan memiliki kita? Kayakah orang tua kita?
Tidak kira susah senang, kaya atau miskin, kita juga tidak boleh memilih untuk tidak menjaga mereka. Beruntunglah jika mereka ada anak lain yang sudi menjaga mereka. Bagaimana jika hanya kita satu-satunya anak mereka?
Allah swt takkan sia2kan mereka yang berkhidmat kepada kedua orang tua kita.
Jadilah anak yang mampu membuat kedua orang tua kita tersenyuman sehingga ke syurga.

ULASAN NOVEL PULANG - ASMAH HASHIM

PULANG.
Lily Haslina Nasir.
Karya Seni.
512 muka surat.
****/5 bintang.
Kisah benar sebuah keluarga yang terpisah kerana tuntutan dunia. Kisah Othman dan Che Tom yang mengusik hati. Sebuah karya yang diadaptasi dari filem ke sebuah novel.
Ditulis oleh seorang penulis yang berpengalaman dan sudah terbukti hasil penulisannya tidak pernah menghampakan.
Othman seorang suami yang baik, bertanggungjawab dan setia sanggup merantau meninggalkan keluarga demi mencari rezeki buat keluarganya. Othman sanggup meredah lautan dalam untuk mencari kekayaan dunia. Pelbagai dugaan dan cabaran yang terpaksa di hadapinya sepanjang bekerja sebagai kelasi kapal. Hampir nyawanya terkorban di laut. Malah dia kehilangan wang yang dikumpul di laut.
Che Tom sanggup dan rela berkorban asalkan tujuan dan niat suaminya terkabul biarpun hatinya terluka parah menanggung rindu yang tidak pernah kunjung padam. Malah sanggup ke Hong Kong untuk mencari suami tercinta. Nyaris dia dijadikan pelacur.
Kisah cinta suami isteri yang setia sehingga ke akhir hayat. Cuma, tidak diceritakan adakah Che Tom berkahwin atau tidak dengan Cikgu Hassan.
Pengajaran yang boleh diambil dari kisah ini adalah kekayaan yang dicari tidak semestinya menjadi milik sendiri kerana hidup kita ada yang mengatur. Biar bagaimana hebat sekalipun usaha kita, jika sudah ditakdirkan bukan rezeki takkan mungkin menjadi hak kita.
Namun, tidaklah boleh hanya hidup berpeluk tubuh tanpa berusaha dalam mencari kesenangan hidup. Sikap degil Othman akhirnya memisahkan dia daripada keluarganya.
Tidak salah mencari rezeki jauh di negara asing. Tetapi pulanglah demi keluarga tercinta.
Gaya bahasa yang menarik biarpun tidak seindah novel penulis ini yang pernah saya baca sebelum ini. Namun, tetap tidak menghampakan. Tetap buat hati sebak membaca kisah cinta yang menyayat hati. Perlukisan watak, latar tempat umpama melihat filem itu sendiri. Boleh bayangkan wajah pelakon dan lantonan dailog mereka.
Bagaimanakah kisah seterusnya? Mampukah Othman kembali kepada keluarganya? Terleraikah rindu Che Tom dan Omar? Berjayakah pencarian Ahmad untuk memenuhi hajat nenek kesayangannya? Jawapan hanya ada dalam novel ini.
Karya yang berjaya di panggung. Syabas buat semua team yang terlibat sehingga berjaya mengadaptasi karya ini dalam bentuk novel. Tahniah buat penulis novel ini

Jumaat, 15 Februari 2019

ANAK KURANG AJAR, SALAH SIAPA?








Pagi tadi kami didatangi seorang lelaki yang kelihatan agak tergesa-gesa. Gelisah dan wajahnya kelihatan berserabut.

Kami sambut dengan baik dan bertanya apa masalahnya. Ingatkan ingin menjemput makan kenduri, rupanya ada masalah peribadi. Berkaitan dengan anak gadisnya.

Menurut lelaki berumur dalam lingkungan lewat atau awal 50-an, dia dan isterinya sudah lama bercerai. Anak perempuannya tinggal dengan bekas isteri. Sekarang ini, anak itu sudah berumur 20 tahun dan baru saja dibuang dari kolej kerana ada hubungan bebas dengan teman lelaki.
Balik ke rumah emaknya, dia mula mengamuk, memaki emaknya babi dan ugut ingin membunuh emaknya. Lelaki itu sudah tidak tahu nak buat apa untuk nak didik anaknya jadi baik. Mereka terpaksa kurung dia sebab takut dia lari dengan teman lelakinya.

Lelaki itu datang bertemu kami untuk minta kami cuba didik anak dia. Aduhai, umur anak sudah 20 tahun, sudah jadi buluh. Apa lagi yang mampu dilakukan?

Didiklah anak ketika masih rebung, bukan tunggu sehingga sudah besar panjang. Usah dibiar tingkah laku mereka yang nampak liar dan nakal. Kalau dibiarkan, padahnya kita juga yang tanggung.
Kami tak dapat membantu atau menerima si anak tadi, kerana sudah terlewat untuk dibentuk. Ibu dan ayah kenalah banyak berdoa dan meminta petunjuk agar anak itu berubah tingkahlakunya.
Rebung kalau lembut mudah dibentuk.

Kalau buluh, kita cuba patahkan akan libas muka kita semula.
Fikir-fikirkanlah akan kisah di atas. Usah tunggu anak sudah remaja baru nak ajar tentang adab dan akhlak. Tetapi mulakan lah sejak kecil lagi seawal anak itu sudah faham arahan. Ibu ayah jangan lupa berdoa dan sedekahkan surah Fatihah untuk anak-anak setiap malam. Semoga perjalanan hidup mereka mendapat petunjuk daripada Allah swt. Wallahu' alam.
#muhasabahdiri

ULASAN DR. M: APA HABAQ ORANG MUDA?



Dr. M: Apa Habaq Orang Muda.
Cheedet dan Mat Rodi
Nubook Press.
2016
*****
Buku ini tertulis ungkapan Yabhg Tun Dr. Mahathir dan diulas oleh Sdr. Radzi Tajuddin.
Kandungan isi buku ini adalah ungkapan Tun M, dari keratan akhbar ataupun ucapan beliau dalam satu majlis. Hal-hal bersangkutan ekonomi sehinggalah tentang hubungan sesama rakyat. Membaca penulisan beliau membuatkan kita berfikir, betapa sayangnya Tun M kepada negara dan bangsanya sendiri, namun tidak mengenepikan bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Ulasan dan kupasan oleh Tuan Mat Rodi juga membuatkan kita memahami jiwa Tun M dan ke arah mana Malaysia ingin di  bawa. 

#Malaysiamembaca
#TunM

ANAK DAN IBU.







Dailog seorang anak dengan ibunya:

Anak: Mak tahu tak, seorang ibu boleh jaga 10 orang anak, tapi 10 orang anak tak mampu jaga seorang ibu, kenapa?

Ibu: Kenapa?

Anak: Anak-anak kalau mak masak ikan goreng saja pun takkan bantah, kerana taat seorang anak. Tapi seorang ibu tinggal di rumah anak A buat perangai lain, pergi rumah anak B lain pula perangainya, pergi rumah C macam itu juga. Semua tak kena di matanya, jadi siapa yang mampu jaga ibu tadi?

Ibu: (terdiam)

P/s:Jadi seorang ibu sentiasalah bertolak ansur dengan anak2. Usah menjadikan mereka anak derhaka kerana sikap seorang ibu yang cerewet tahap gaban.
Menjadi seorang anak, sentiasalah bersabar biarpun hatimu berasa nak terbakar dengan sikap ibu. Terutama menantu-menantu, bertabahlah.
Bukan senang nak dapat syurga.

Beruntunglah mereka yang mendapat ibu dan mertua yang baik dan boleh dijadikan kawan dan sahabat baik.

#muhasabahdiri