Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 28 Mei 2015

BAGAIMANA MENULIS PUISI YANG BAIK -

PERKONGSIAN ~ BAGAIMANA MENULIS PUISI YANG BAIK.
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Genre Puisi)

PENDAHULUAN

PUISI YANG BAIK selalunya dikaitkan dengan kekuatannya mengungkapkan atau menyampaikan mesej yang mempunyai makna atau signifikan yang tersendiri kepada penulis khasnya dan kepada kemanusiaan amnya. Puisi yang baik adalah puisi yang menggunakan bahasa yang puitis serta terkawal bagi memungkinkan isi kandungannya difahami dan dihayati, dan pada masa yang sama kesan estetik dan elemen kesenian dirasai juga oleh pembaca. Puisi yang baik hendaklah jujur dan ikhlas dalam mengupas atau memperkatakan tentang isi atau perkara yang dijadikan persoalan utama oleh penulis, tanpa terlalu memaksa pembaca menerima idea atau pendirian peribadinya. Kespontanan seni dan kesenianlah yang membezakan antara puisi yang baik dengan puisi yang serba sederhana.

KRITERIA PENILAIAN

Puisi yang baik memperkatakan sesuatu yang dapat meningkatkan kesedaran serta kepekaan kemanusiaan dalam kalangan pembaca. Selain merangsang imaginasi dalam kalangan pembaca, puisi yang baik secara bersahaja pula berkemampuan membangkitkan kesedaran, keinsafan dan keinginan untuk berfikir atau merenung sama permasalahan yang diketengahkan oleh penulis. Puisi yang baik berkeupayaan meninggalkan kepuasan emosi dan intelek yang berkekalan.
Dalam kata lain, puisi yang baik memberi makna atau nilai kepada seseorang, tempat atau objek yang dipilih. Puisi yang baik dibangunkan oleh kata-kata, baris dan bait yang dipilih sebegitu rupa hingga wujud kesepaduan isi dan bentuk, mesej dan struktur, dan antara kedua-duanya saling melengkapi. Puisi yang baik berkeupayaan memberi imej atau gambaran serta kesan visual kepada pembaca. Puisi yang baik adalah puisi yang tulis sarat dengan kejujuran dan keikhlasan dalam mengupas permasalahan utamanya dan memberi makna yang tersendiri kepada penulis dan juga pembaca.

PENILAIAN KESELURUHAN

Bagi kumpulan puisi, selain melihat setiap satu puisi dari sudut keindahan seni dan kekuatan makna yang ingin disampaikan oleh penyair dalam kumpulan tersebut, panel mengambil pendekatan untuk menilai 36 buah kumpulan puisi oleh 32 orang penyair itu dari sudut impak atau kesan makna, kesan emosi, kesan psikologi dan kesan intelektualnya secara keseluruhan, sebagai satu pakej yang berupaya mendorong pembaca untuk memikir secara bersama mesej atau persoalan pokok puisi tersebut. Ilmu pengetahuan dan pengalaman sosiobudaya dan pengalaman kesenian baru yang disampaikan oleh penulis serta kematangan pengolahan dan penggunaan bahasa turut dijadikan ukuran utama dalam memperakukan kumpulan puisi itu untuk dipertimbangkan bagi menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011.

Tiga buah kumpulan puisi yang difikirkan sesuai untuk diteliti dan dinilai bersama di peringkat akhir penilaian adalah:

1. Mencari Akar di Ladang Terbakar karya Zam Ismail (YWJ Citra, 2011)
2. Khazanah Segala Rimbun karya Marzuki Ali (Penerbit USM, 2011)
3. Terminus A Quo karya Raihani Mohd. Said (Rumah Buku Rania, 2011)
Panel penilai kategori puisi menggunakan kayu ukur yang telah ditetapkan urus setia di samping pertimbangan-pertimbangan di atas untuk menilai dan memilih puisi eceran untuk diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Puisi eceran bermaksud karya yang disiarkan dalam media iaitu akhbar dan majalah, antologi dan kumpulan (karya yang terbit untuk kali pertamanya). Hasil penelitian ke atas 1,898 buah puisi eceran itu Panel Penilai telah mengenal pasti sebanyak 100 buah puisi yang layak dipertimbangkan bagi penilaian tahap kedua, dan seterusnya mengenal pasti 25 buah puisi untuk dinilai pada peringkat akhir. Daripada 25 buah puisi tersebut Panel Penilai HSPM bagi kategori puisi bersetuju memilih dan memperakukan 10 buah puisi diangkat sebagai yang terbaik untuk diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG KATEGORI KUMPULAN PUISI
Khazanah Segala Rimbun karya Marzuki Ali (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2011)
Kumpulan ini memuatkan sejumlah 168 buah puisi yang berkisar sekitar tema alam flora dan fauna yang bertujuan untuk meningkatkan kepekaan, kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama, terutama dalam kalangan warga kampus USM, terhadap usaha memelihara, melindungi dan menjaga ekosistem alam semula jadi. Tanggungjawab manusia sebagai makhluk Tuhan yang diberi kelebihan akal di samping memiliki juga naluri kemanusiaan dan nilai keinsanan, bukan saja terbatas kepada kecekapan menggunakan khazanah dan kekayaan alam sebagai sumber penting bagi menjamin kelangsungan tamadun manusia, tetapi amat wajar juga kebijaksanaan untuk menjaga dan memulihara alam itu secara sistematis dan berhemah bagi menjamin kelestarian alam sekitar yang segar dan subur.

Selain itu, kumpulan ini juga mengetengahkan persoalan alam sekitar sebagai isu sastera yang setaraf dengan isu politik, di dalam ruang yang mempunyai dua pola, lagaan antara pemusnah dan pembela, kerakusan dan kemurahan hati. Dari satu segi, buku ini adalah satu seruan. Dari segi yang lain pula, ia merakam kepelbagaian flora dan fauna di kampus USM, malah di seluruh Pulau Pinang, dibahagikan kepada empat bahagian atau bab demi memudahkan rungkaian tema.
Penyair bertindak sebagai saksi yang merakam keperihalan alam, dalam sebanyak 168 selingan, yang panjang pendek bari-barisnya berbeza. Sekali gus penyair berubah menjadi seorang ahli botani, mengenal jenis-jenis tumbuhan dan bentuk warna burung-burungan, mencatatkan sikap dan perangai masing-masing.

Pepohon palma, umpamanya, boleh dipuisikan penyair sebagai watak-watak yang mahu dihormati, tidak dipandang hina. Hubungannya dengan tukang kebun adalah rapat sebab ia sudah lama bekerja menjaga bunga, menyiram air, membaja, dan meracun lalang, saling kenal mengenal mengharungi zaman. Pohon palma sama seperti tukang kebun kian hari kian tua, berlalu, membiarkan benih baru hidup subur: metafora manusia berhadapan dengan ancaman dan janjian usia.
Rangkap-rangkap puisi mencerminkan pemerhatian penyair yang tajam, terhadap bintik-bintik embun hinggalah ke sayap helang yang menyongsong lalu. Kumpulan awan direnungnya dari celah-celah hujan yang mengusai, cabang- cabang tanpa daun, ranting-ranting lusuh dan berlumut. Begitu juga akar-akar yang saling mencengkam dan membelit batang-batang pokok sena yang redup, sepanjang laluan dari desa siswa ke perpustakaan. Kesemuanya ini menjadi semacam kolaj yang terlekat tindih menindih, tanpa adanya pemusatan yang perlu diutamakan, sebab semuanya layak diberi fokus.
Kumpulan ini adalah yang kedua yang diinspirasikan oleh alam semula jadi di kampus USM. Buku pertama Sebutir Zamrud di Deru Selat oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh mengolah tema yang sama, dalam dua belas bab, bermula dari bulan Januari hingga bulan Disember. Kehijauan kampus USM yang cantik itu menyediakan bakat-bakat yang sensitif kepada tumbuhan-tumbuhan dan haiwan liar untuk diabadikan. Penyajak menyumbang ke arah tradisi penulisan puisi moden, bermain dengan tema yang amat purba, setua manusia: kebergantungan manusia pada alam.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG KATEGORI PUISI ECERAN
1. “Permainan Mimpi” karya Baha Zain (Dewan Sastera, Januari 2010)
Sajak ini mengajak pembaca untuk melihat mimpi sebagai satu dunia yang tersendiri, seakan saudara kembar kehidupan seharian yang biasa dilalui saban hari. Lantas, sebagai satu dunia kembar, seperti juga pengalaman dalam dunia nyata, setiap mimpi memberi kesan emosi dan sosialnya yang tersendiri – menimbul kan keinsafan dan kesedaran, memberi kepuasan atau meninggalkan keresahan berterusan, dan juga turut membantu meleraikan kekusutan termasuk menyelesaikan masalah.
Ungkapan yang digunakan penyajak merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa akan tetapi menjadi puitis melalui pemilihan beberapa peristiwa yang amat segar, kontemporari dan terkini sebagai mimpi, perwujudan elemen dramatik – seakan sebuah filem kehidupan, yang bergerak dari satu episod ke episod lain.
Contoh ungkapan-ungkapan padat yang berkaitan langsung dengan pemikiran penyair, umpamanya:
Mengapa tidak saban malam datang mimpi?
Tentang kehidupan lain, di dunia lain,
aneh, menggerunkan dan sesekali mengagumkan.
Begitu juga dengan sebuah rangkap lain yang berbunyi:
Mimpi membawa kita mengembara ke dunia yang jauh.
Menyelesaikan kekusutan dan memenuhi keinginan.
Menyusuri zaman remaja yang tak kembali,
tetapi kita tak dapat memaksa mimpi
dengan arahan atau kekuasaan tirani.
Penyajak juga mengaplikasikan unsur personifikasi melalui baris:
Mimpi yang aneh itu akan memilih
bentuk, cara dan waktunya sendiri.
Ternyata, adunan pemikiran dan corak pemakaian bahasa yang impresif walaupun dalam sesetengah keadaan kelihatannya agak sederhana, puisi ini menjadi berkesan melalui pemilihan subjek “mimpi” untuk mengajak pembaca merenung dan memikirkan kewujudannya dalam kehidupan.

2. “Dalam Persekitaran Kata-kata” karya Baha Zain (Dewan Sastera, Februari 2010)
Kesederhanaan pengucapan dalam puisi ini memberi makna yang amat mendalam tentang hubungan hakiki antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan bahasa ibundanya, dan antara manusia dengan alam sekelilingnya. Makna tersirat dalam sajak ini meminta pembaca sebagai pewaris bumi dan sebagai khalifah menghormati anugerah yang telah diberikan.
Penggunaan ungkapan “memindahkan” dalam karya ini membantu meninggalkan impak atau kesan makna kepada pembaca. Sekali gus, membuktikan keindahan bahasa Melayu itu sendiri; kaya dan sarat dengan lapisan-lapisan makna dalam keadaan ia semakin dilupakan. Penyajak menggambarkan keterhirisan rasanya melihat betapa bahasa itu semakin dirosakkan.
Sikap penyajak yang pasrah mengangkat taraf sajak ini ke tahap pembinaan kesedaran yang tinggi. Keyakinan sendiri, menurut penyajak penting, terutamanya ketika menerokai keesaan Ilahi. Pengakuan tentang kekerdilan manusia dibuat secara bersahaja, tetapi meyakinkan kerana mampu mengajak pembaca turut sama merasainya.

3. “Selamat Berpisah, Wahai Dalangku” karya Rosli K. Matari (Dewan Sastera, Mac 2010)
Apakah signifikannya kehadiran Tok Dalang dan wayangnya dalam kehidupan seharian penyajak? Apakah kesan tinggalan wayang mainan tersebut kepada hati dan perasaannya? Apakah pengajaran yang diperoleh daripada persembahan wayang kulit tersebut? Kesan dan impak Tok Dalang dan wayangnya kepada penyajak diungkapkan melalui ingatannya kepada Tok Dalang dan wayangnya yang sekali gus menggamit nostalgianya, ucapnya:
Jika kurenung kembali
Lantera tua ini, meski tidak bercahaya lagi
Aku akan selalu terkenang padamu,
Wahai dalangku.
Penyajak menyedari pengorbanan dan peranan besar yang dimainkan Dalang dalam memaknakan kewujudan atau memberi erti kepada watak-watak dalam wayangnya. Dikatakan oleh penyajak:
Entah berapa lama
Sebahagian hayatmu disuluh cahaya
Untuk kaujelmakan bari hikayat,
Menjujuk segala peri watak ke muka kelir.
Di hadapan kelir itulah, sekian lama
Engkau menggalur taakul dan teladan
Berterap tamsil, meresap ke dalam fikir
Antara kias suluh dan bayang-bayang.
Penyajak melihat bahkan menginsafi kesementaraan ketika memaparkan kehadiran watak-watak dalam wayang Tok Dalang melalui garapan berikut ini:
Tiada bayang, jikalau tiada cahaya
Ada cahaya, ada pelita
Dan wujud makrifat pelita
Kerana bersebalikkan Pencipta.
Manakala, kesementaraan akan kewujudan Tok Dalang pula diungkapkan penyajak sebagai:
Seperti bayang itu,
Engkau pun tidak kekal di sini
Kerana dunia ini sirna,
Tiada sesempurna alam hakiki.
Kekuatan sajak ini terletak pada kebijaksanaan penyajak menggunakan wayang dan Tok Dalang sebagai subjek utama untuk mengingatkan dirinya tentang kesementaraan kewujudan manusia di dunia yang fana ini. Ini disimpulkan dalam rangkap yang berikut ini:
Kautinggalkan juzuk bari
Tabuh tidak terdengar lagi,
Tetapi segala teladan tersimpan itu
Tetap jernih bagai embun dan cermin.
Pemilihan dan penggunaan bahasa didapati dikawal dengan rapi berdasarkan keperluan dan ini menjadikan puisi ini ekonomis dari segi pemakaian bahasa. Bahasanya mampu mengandung emosi kerana dapat meninggalkan kesan nostalgik dan keterharuan dalam hati pembaca:
Selamat berpisah,
Wahai dalangku
Tinggalkanlah aku di sini
Menunggu memaknakan bayang-bayang.
4. “Seluas-luasnya dan Setenang-tenangnya” karya Arbak Othman (Mingguan Malaysia, 13 Jun 2010)
Peluang dan ruang untuk mengenali, memahami dan menghayati cahaya kebenaran selalunya luas dan terbuka. Dengan yang demikian, usaha dan langkah-langkah ke arah menginsafi kekurangan dan kekerdilan diri di sini Ilahi, sentiasa dilaksanakan. Seterusnya, tindakan-tindakan akan menambahbaikkan amalan bagi mendapatkan keredaan-Nya pula. Pemikiran ini menunjangi puisi ini. Petikan berikut memberi gambaran tentangnya:
… aku mesti terus belajar
menjejaki alam fana ini
dan pulang dengan setitik air
meski kau rasakan selautan
tidak padan sekali-kali jadi milikku
atau selama-lamanya.
Aku yang bertambah tua
Terus-menerus merasa
Ia penambah derita
Tidak sedikit pun pernah dewasa.
Sifat keterbukaan penyajak selanjutnya ditunjukkan sebagai benih cahaya di akalku, bukan lautan yang kupinta, cuma setitik air bening dari telaga cinta. Dan, inilah saatnya menghidupkan semula segala, juga taufan yang tidak menggetarkan mimpi dan juga kenyataan. Pengalaman yang dilalui, meskipun merupakan rasa dahaga dari lembah atau bukit seperti jurang diserang arus, membuat kita tergelepar menghirup doa silam, namun kerana kepintaran dan kebijaksanaan pujangga atau ulama sufi maka segala kekurangan itu dapat diatasi. Hal ini dirumuskan penyajak melalui:
Pada ombak yang mula tenang
di perjumpaan sunyi yang menyimpan guruh
sepanjang malam
malam yang tiada lagi mimpi
yang mendengungkan hujan;
dan yang menitis itu
buka lagi setitik air bening
tetapi selautan cahaya
yang membuka terang langit
seluas-luas dan setenang-tenangnya.
Puisi ini relevan kerana idea tentang fitrah manusia dan kemanusiaan, tentang ruang serta peluang yang terbuka untuk manusia menginsafi kekurangan diri di satu pihak, dan merenungi kebesaran Tuhan pada satu pihak yang lain diungkapkan dengan cermat dan berhati-hati. Penggunaan lambang dan imej alam memberi kesegaran kepada “perasaan” dan “emosi kerohanian” yang ingin dijadikan asas untuk memahami dan menghayati kebesaran Ilahi. Kesepaduan semua inilah yang menjadikan sajak ini istimewa.
5. “Ingatan Kepada Kawan XXIV” karya Zaen Kasturi (Mingguan Malaysia, 17 Oktober 2010)
Puisi ini memperkatakan tentang makna kewujudan manusia, perjalanan waktu dan peralihan musim sebagai sesuatu yang wajar berlaku. Walaupun, sesekali mungkin akan diragui kebermaknaan kewujudan itu sebagaimana yang disifatkan sebagai “bayangan yang entah sementara atau nyata di sebalik rendang dan redunya pohon hayat“. Sekiranya difahami hakikat ini – tak kunjung mimpi tanpa tidur yang panjang, tak hadir cinta tanpa hidup yang ditakdirkan, maka hidup yang membawa ke satu arah nyata akan menginsafkan pembaca peri pentingnya kehadiran setiap unsur dalam kehidupan yang saling melengkapi – di mana angin berguling, di mana bunga berpuing, aku akan menjagamu, kau akan menjadi sebahagian daripada riwayatku.
Puisi ini mengungkapkan secara simbolik akan makna persahabatan antara sesama insan – cinta adalah perihal menjaga bukan semata keinginan kuat untuk memilikinya. Manakala, persahabatan juga dilihat sebagai satu pengorbanan – gunung yang menampung seluruh puncak sepi dan derita. Dalam konteks ini penyajak mentafsirkan kehadiran kawan sebagai samudera yang menenggelamkan segenap benci dan angkara, dan bagi penyajak hidup ini justeru bagaikan karang segara, yang akan sering dipukul gelombang.
Penyajak membawa persoalan yang berat tentang kewujudan, persahabatan dan rasa tanggungjawab secara perlambangan. Pemilihan imejan dan lukisan alam yang digunakan mengharmonikan idea dan pemikirannya sehingga terasakan wujud suasana yang akrab dan mesra. Kesimpulan yang dapat diambil ialah bahawa persahabatan itu menjadi indah dan bermakna kerana tanggungjawab berat dan pengorbanan yang perlu difahami serta dilalui bersama.
6. “Suluk Rohaniah II” karya A. Murizu Idham (Tunas Cipta, Disember 2010)
Jalan untuk mencapai kesempurnaan batin lewat amal ibadat dan zikir amatlah mencabar dan penuh dengan cubaan dan dugaan. Lantaran itu, perjalanan untuk mencari dan menemui diri dan kebenaran tidak pernah dianggap mudah. Justeru, insan yang membuat ketetapan dan memilih bagi mengabdikan diri dalam menyusuri titian rohaniah untuk memaknakan kehadiran dan kewujudan diri di sisi Allah sentiasa mendapat sanjungan dan dikagumi. Puisi ini merakamkan dengan keadaan ini – ingatan tentang kembara yang dilalui seorang insan ke arah kesempurnaan rohani, melalui pelbagai bentuk pengalaman peribadi yang mencemaskan atau pun sesekali merimaskan. Ungkap penyajak;
Sesungguhnya kami telah melihat dia rebah di penjuru kehinaan
setelah diragut kepulan masa yang penuh tirani itu. Namun dalam
diam kami mengesan suatu kesedaran bangkit dari jiwa dia untuk kembali mereguk
nilai cinta-Nya. Saat itu semakin hari kami melihat dia mulai fana
dalam nafas duniawi dan mabuk dalam hakiki.
Dalam aspek penggunaan bahasa, ia kelihatan amat biasa. Akan tetapi di sebaliknya, penyajak berusaha mengangkat makna, dan dengan penggunaan ungkapan-ungkapan yang puitis, penyajak mengimbau pengalaman peribadi ketika menyaksikan perjalanan hidup dan pengorbanannya;
Sesekali kami melihat engkau menggiring pergi
sebuah permata cinta amat kudus
mengisi sebuah teratak sukma usang
kami melihat engkau mengutip
serpihan-serpihan kaca nafsi dari cermin peribadi
yang pecah saat datarnya penuh debu-debu duniawi
kami melihat engkau telah membunuh serigala amarah
demi menyambut setitik tinta cinta buat mengguyur
rohani lusuh di ruang syariat.
Dalam pencarian dan perjalanan ini, keinsafan tentang kebenaran dan kecintaan terhadap Ilahi diekspresikan dengan menarik melalui rangkap-rangkap ini, sekali gus meletakkan karya ini sebagai sangat meyakinkan selain meninggalkan pengertian mendalam:
Tuhan, tinggalkan diriku bersama-Mu dalam satu ruang yang
penuh keindahan. Biarlah hanya kita berdua yang setia bercinta.
Engkau – Aku; mengenal di balik pintu syariat
Berkelana di pesisir tarikat; bercinta dalam nafas hakikat,
Bertemu dalam ruang makrifat.
7. “Belajarlah Memahaminya – Gunung Legenda” karya Shapiai Muhammad Ramly (Antologi Puisi Bingkisan Ledang, 2010)
Puisi ini bertemakan kelestarian alam dengan merakamkan kepekaan penyajak tentang daun-daun yang dengan “bahasa diamnya” yang turut memanjatkan doa dan berzikir agar dapat menemui ketenangan dari kesibukan yang serba “menyisih”, mendapat jawapan tentang kebenaran daripada sejarah penuh misteri, dan mendapat petunjuk tentang cara bagaimana menjaga amanah alam dalam “keruh keresahan industri”. Sama ada ketika tidur di kakinya (Gunung Ledang) – mengingati kisah sejarah silam “yang penuh sindiran alam”, atau ketika berada di puncaknya melihat mesranya pohon menyapa dengan kalimat indahnya juntaian embun, atau ketika turun dan merasai juga jari-jari mesra, sungai setia, pohon sabar dan lembah ghairah alam, penyajak menginsafi diri tentang kegagahan dan misteri gunung legenda, dan pentingnya “belajar memahami bahasa gunung legenda ini”.
Puisi ini turut menyinggung persoalan yang sekarang ini banyak diperkatakan – persoalan tentang kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab warga dunia untuk menjaga dan memelihara alam sekitar. Kekinian persoalan ini menjadikan karya ini mudah difahami dan senang dihayati. Kekuatan puisi ini terletak pada kebijaksanaan dalam pemilihan ungkapan yang banyak membantu pembaca untuk memahami dengan lebih mendalam akan mesej yang hendak disampaikan selain penggunaan unsur alam secara natural.
8. “Nota Kecil Saat Menyeberangi Usia II” karya Fahd Radzy (Mingguan Malaysia, 13 Februari 2011)
Dengan menggunakan imejan matari yang meluruhkan sengatnya di gelanggang perjalanan adalah pepisau waktu yang meraut roh kewujudan, karya ini cuba menampilkan peri besarnya kuasa alam dalam membentuk hati nurani dan peribadi seseorang, di samping keupayaannya untuk meningkatkan kesedaran serta keinsafan tentang makna kewujudan serta kerapuhan jasad manusia. Perjalanan hidup yang terbuang dan jejak-jejak yang ditinggalkan hanyalah sebagai gores pasir yang sesekali lenyap digeser angin. Malahan, sesekali kehidupan ini disifatkan seakan lopak yang menakung pengalaman masa silam yang parah, terutama sekali apabila keangkuhan dan kekusutan jiwa mencirikan kewujudannya.
Penyajak berpandangan bahawa seorang musafir tua yang apabila “menyeberangi usia” hanya melihat dirinya sebagai “sekujur jasmani” yang terlupa “perjalanan hakiki” sebagai khalifah Allah, dan hanya mampu membentangkan renyuk perjalanan sebuah peta pudar, darah yang menitis pada halamannya, keliru yang tersangkut pada mata anginnya, dan dosa yang berdebu pada garislipatnya, sesungguhnya adalah seorang individu yang amat tidak signifikan kewujudannya. Hal ini digambarkan melalui baris berikut ini:
dalam segengam pasir aku hanyalah titik nil
dalam sebanjar bukit aku hanyalah titik nil
dalam sepandang gurun aku hanya titik nil
dalam sedepang lautan aku hanyalah titik nil
dalam saujana alam aku hanyalah setitik nil.
Puisi ini boleh disifatkan kuat ideanya kerana boleh mencorakkan kebijaksanaan kepada pembaca khususnya dalam merenungi hakikat kekhalifahan yang disisipkan kemas dalam pelbagai imejan yang dipilihnya.
9. “Tanah Diciptakan Angin” karya S.M. Zakir (Dewan Sastera, Jun 2011)
Puisi 30 baris tanpa noktah ini sarat dengan pemikiran, membacanya sesekali sahaja dilegakan hanya oleh satu sengkang, dua koma, dan empat titik koma, sebenarnya membawa mesej mengenai keingkaran manusia. Keingkaran itu dinyatakan oleh kaum yang pandai menulis menggunakan darah di atas daun lontar, terlalu yakin akan untung nasib yang ditentukan sendiri, kini ditempias pada manusia masa kini yang sudah hilang kepercayaan pada Tuhan.
Penyajak mengaburkan garis pemisah yang mengagihkan masa lampau dan masa kini, sebab yang menyatukan penghuni kedua-dua ruang waktu itu ialah rasa takbur yang berlebih-lebihan di sepanjang zaman. Betapa ruginya mereka yang lupa diri untuk mengakui bahawa dosa dan pahala itu dicatat malaikat yang merakam gerak hati dan gerak badan, tertenggek di atas bahu, saksi setia ke akhir hayat.
Peta purba itu bukannya kiraan mengikut angka tetapi kiraan hakiki yang melampai segala pecahan masa. Peta purba dan peta moden adalah sama, sebagai petunjuk arah, ke kiri atau ke kanan, ke timur atau ke barat, ke utara atau ke selatan, tetapi bukan kepada diri sendiri, ke denyut jantung di dalam dada.
Inilah petaka yang dihadapi oleh manusia sejagat, sesat, angkara ciptaan sendiri. Penyajak mengupas isu ini secara sungguh-sungguh melalui teknik tadi. Dengan kekuatan bahasa yang dipamerkan dan melalui gaya penggarapan yang bersesuaian, kesan makna dan apresiasi menerobos masuk ke persepsi pembacanya.
10. “Suatu Ketika di Kaki Kinabalu” karya S. Iqram (Kumpulan Puisi Siber S. Iqram Ekstasi Cinta, eSastera Enterprise, 2011)
Puisi ini menggunakan watak-watak setempat secara untuk memberi gambaran tentang keindahan, kesyahduan serta kewajaran penghijrahan cinta seorang “aku”. Dari perasaan cinta ketika remaja kepada Suzie kerana keayuan dan kejelitaan seorang gadis pingitan, cinta “aku” yang kini sudah didewasakan oleh perjalanan waktu berpindah kepada rasa rindu dan cinta kepada Tuhan yang Maha Rahim.
Dilihat dari satu sudut yang lain, karya ini memberi gambaran yang romantis tentang perjalanan hidup seorang “aku” yang mencari erti ketakwaan – mensyukuri rahmat dan nikmat pemberian Tuhan – perpindahan daripada kepercayaan yang tradisional sifatnya yang bersifat tercari-cari kepada kepercayaan keagamaan yang abadi.
Ingatan tentang kerinduan ketika alam remaja yang amat nostalgik dirakamkan dengan berkesan oleh penyajak melalui penggunaan bahasa yang puitis serta sarat dengan imejan yang segar seperti berikut:
Engkau hanyalah sumandak pingitan yang pemalu;
Sejelita birumeru Kinabalu di jendela pagi yang kebasahan;
bertahun waktu bergulir dan berganjak;
Bukan mencari jelita Huminodun dari potret memori purba; dan
Kugamit rindu pada zikir angin Kundasang.
Keindahan dan misteri Gunung Kinabalu serta alam sekelilingnya yang dilukis dengan baik turut memberi konteks setempat yang relevan kepada puisi ini. Lihatlah ungkapan indah seperti:
Leluhurmu dari Nunuk Ragang yang diterbangkan oleh dewata;
seperti pesona Huminodun, tak pernah kulupa gemulai tari sumazau; dan
di kaki Kinabalu; dalam dingin dan suci terbungkus kabus.
Penyair didapati berjaya membawa pembaca menghayati makna penghijrahan cinta yang dirasai dan dialami olehnya sebagai satu perjalanan rohani yang dinamik.
KESIMPULAN
Banyak lagi puisi eceran dan kumpulan puisi yang patut diberi pengiktirafan tetapi had yang dikenakan supaya memilih satu buku dan sepuluh puisi berkesudahan dengan senarai yang telah kami ketengahkan ini. Kami berbincang dan berdebat dalam proses memilih, yang kami kendali seadil yang mungkin.
PANEL PENILAI
Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin
Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah
Prof .Dr Zakaria Ali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan