Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 13 Disember 2016

CATATAN 4 - ASMAH HASHIM



            Masa terus berlalu, hari ke mari, usia semakin tua, waktu muda sudah berlalu pergi, meninggalkan begitu banyak kenangan dan kisah silam yang boleh dijadikan panduan dan iktibar kepada diri sendiri atau kepada orang lain.  Begitu jugalah perjalanan hidup saya.  Berkahwin pada usia remaja, satu perkara yang tidak pernah disangka, 18 tahun sudah bergelar isteri, baharu sahaja selesai SPM, sudah dipinang orang,  orang tua pula tidak membantah,  ada sahaja orang masuk meminang terus diterima tanpa banyak bicara.
            Ya, 30 tahun sudah berlalu, melayari bahtera rumah tangga dengan penuh suka dan duka.  Saya mengenali suami sewaktu kami sama-sama berada di dalam kumpulan teater, saya anak jati Kuala Lumpur, membesar dan bersekolah di bandar metropolitan ini. Suami pula anak jati Kedah tapi membesar di Perlis.  Kami tidak bercinta, berkahwin pun dengan restu keluarga.  Betul, biarpun kenal, tapi tak semestinya kami bercinta.  Dia terus berjumpa orang tua saya untuk meminang saya. Ketika itu arwah abah masih ada.  Pada hari dia bertemu arwah abah, saya bawa teman lelaki saya berjumpa arwah abah. Itu petanda saya hendak menolak keinginan suami.  Rupanya arwah abah saya lebih berkenankan suami saya daripada teman lelaki saya.
            Atas restu keluarga, akhirnya saya menjadi seorang isteri ketika berumur 18 tahun dan meminang anak sulong ketika berumur 19 tahun. Itulah orang tua suruh sambung belajar tak mahu, kan akhirnya dikahwinkan sahaja.  Redha sahajalah.  Jodoh sudah tertulis.  Suami saya bukan seorang yang berkerja besar, biasa-biasa sahaja, mula-mula dia bekerja dengan syarikat bas Sri Jaya sebagai konduktor bas.  Percaya tak, sewaktu kami mula berumah tangga, gajinya hanya RM210 sebulan. 
            Saya pula sedang mencari pekerjaan, akhirnya bekerja dengan sebuah Klinik Pergigian di Damansara Utama.  Selepas bernikah, kami tinggal di Pantai Dalam, arwah abah sudah berpesan, tinggal di rumah dia selepas bernikah seminggu sahaja, selepas itu carilah rumah sewa.  Boleh bayangkan tak?  Dengan sewa bulanan RM160.00, kami berdua harungi kehidupan berumah tangga dengan pelbagai ujian dan rintangan.  Kesusahan dan kepayahan saya dan suami telan perlahan-lahan.  Kami akur dengan ketentuan rezeki yang Allah kurniakan.
            Kadangkala tidak sabar menghadapi hidup yang susah dan sukar. Ada ketika gaji yang diperolehi tidak cukup untuk menampung keperluan hidup kami berdua. Terpaksa  pula meminjam dan berhutang. Ada ketika duit sewa rumah pun kami tidak mampu bayar.  Nasib baik tuan rumah kami baik hati.  Kami bayar hutang yang tertunggak secara ansuran, sehinggalah selesai.  Kami tidak sesekali meminta bantuan emak dan arwah abah.  Tidak mahu menyusahkan mereka, dan suami pula tidak mahu dilihat tidak berkemampuan.
            Teringat saya sewaktu mula masuk rumah sewa, tikar getah pun tak ada di ruang tamu, emak membekalkan saya tiga biji periuk, masih ada sehingga sekarang, empat biji pinggan, dua biji mangkuk, empat biji cawan, sebiji kuali dan beberapa bilah sudu dan garpu.  Dapur pula, bukan dapur gas, tapi dapur minyak tanah.  Allah! Terpaksalah saya belajar menggunakannya, di rumah emak saya pakai dapur gas. 
            Di dapur tiadalah almari dapur, tiada peti sejuk, semuanya serba tiada. Tuan rumah bermurah hati memberi sebuah meja dan tempat letak dapur yang dibuat daripada kayu. Hanya ada set bilik tidur yang dibeli sewaktu kami bernikah.  Pernah suami menangis kerana tidak mampu memberi kemewahan kepada saya, terpaksa hidup susah dengannya.   Saya hanya berkata, yang penting abang sayang saya. 
            Pernah merasa duit di tangan hanya ada RM1.50 sahaja, keesokan harinya baharulah suami dapat gaji.  Dengan duit RM1.50 itulah saya berusaha memikirkan untuk membeli lauk atau barang makanan yang mampu dimakan pada hari itu.  Rupanya kesusahan mengajar kita menjadi kreatif, dengan duit sebanyak itu, saya beli telur dan sayur taugeh yang murah ketika itu.  Dapatlah kami makan nasi berlaukkan telur dan sayur taugeh masak kicap.  Alhamdulillah.
            Biarpun saya dilahirkan di bandar, tetapi saya seorang yang sederhana, saya tidak memerlukan duit untuk beli alat solek atau pencuci muka.  Jadi, saya tidak menyusahkan suami untuk membeli segala keperluan diri.  Setelah hampir setahun berumahtangga, saya bakal melahirkan anak pertama kami, dengan pendapatannya yang tidak seberapa, kami amat berjimat cermat, setiap perkara saya budjet terutapa untuk duit lauk pauk di rumah.  Tidaklah sering makan di luar, selalunya saya akan masak sendiri, biarpun penat balik dari tempat kerja. 
            Selalunya orang yang mengandung anak sulong ini, akan gembira atau mulalah buat persiapan awal untuk menyambut orang baharu. Tapi kami tidak, bercadang hendak melahirkan anak sulong di Perlis sahaja, tapi tidak kesampaian, saya melahirkan anak sulong  tiga minggu awal. Allah! Sebenarnya tiada satu pun barangan bayi kami beli, ingatkan hendak beli di kampungnya, tetapi lain yang dirancang, lain pula yang jadi.  Setelah saya dimasukkan ke hospital dan melahirkan, sehelai lamping pun tiada. Maklumlah tunggu suami dapat gaji, baru beli.


Pada hari saya hendak keluar hospital, suami terpaksa tebalkan muka meminjam duit daripada emak untuk membeli barangan keperluan anak sulong kami.  Dengan tidak tahu apa yang perlu dibeli, dia bertanya sahaja kepada jurujual yang ada.  Dengan duit RM150.  yang dipinjam daripada emak saya, suami pergi sendiri membeli lampin dan baju untuk anak sulong kami.  Bukan tidak mahu beli awal tetapi kekangan kewangan waktu itu memang memeritkan. Pernah saya bergurau dengannya,”Sejak berkahwin dengan abang, Mah merasa duduk rumah papan sampailah ke rumah banglo.  Dari hanya berjalan kaki sampailah punya kenderaan sendiri.”  Dia hanya tersenyum.  Itulah kurniaan Ilahi, jika kita sabar dan tabah.  Tidak semua orang beroleh kesenangan sejak dari awal berumah tangga. 
            Banyak saya belajar tentang hidup daripada kesusahan yang saya dan suami hadapi.  Suami seorang yang cerewet, kuat cemburu tetapi amat bertanggungjawab orangnya.  Dia seorang yang kuat mengongkong.  Saya tidak bebas bergerak, kalau hendak ke mana-mana harus bersam-sama dengannya.  Dalam semua perkara, dia akan perhati dan sudah pasti akan ada batasan yang perlu saya jaga.  
 

Kami hadapi susah senang bersama, hidup berumahtangga tidak hanya bertemu gembira, kita akan jumpa dengan pelbagai masalah yang kadangkala buat kita ingin menyerah kalah.  Dari hanya bekerja sebagai seorang konduktor bas sehinggalah dia bekerja dengan Amanah Saham Nasional sebagai Pegawai Pemasaran, pernah  buka perniagaan  dan ada restoran sendiri dan sehinggalah sekarang, suami menguruskan rumah anak yatim miliknya sendiri, kami masih lagi diuji dan diuji.  Sebagai seorang isteri, saya bukanlah yang terbaik, tetapi dia menyayangi saya sepenuh hati, bukan saya kata, tetapi orang yang melihat dan doktor yang merawat saya ketika sakit pun berkata, “Suami awak sangat sayangkan awak ya.” 

Ya, dia seorang suami, abah dan ketua keluarga yang amat bertanggungjawab. Menjaga  diri saya seperti menatang minyak yang penuh.  Saya belum cukup baik baginya.  Dia menerima diri saya yang sengal ini seadanya.  Menerima baik dan buruk saya.

Buat adik-adik yang belum berumah tangga, jika sudah berkahwin suka sama suka, hargailah rumah tangga yang dibina.  Sewaktu bercinta dan  selepas berumah tangga tidak akan sama.  Tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan amat penting dalam rumah tangga yang kita bina atas dasar kasih sayang dan cinta.  Biar susah dan senang bersama.  Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.  Paling penting, jagalah hubungan dengan Allah, maka semuanya akan berjalan lancar.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia yang berlainan latar belakang, hadapilah  dengan tabah dan sabar.  Percayalah, suami yang telah dikurniakan kepada kita adalah yang terbaik.  Jika dia seorang yang baik, Alhamdulillah, jika sebaliknya, terimalah dengan redha,  Allah ingin menguji keimanan kita.  Jangan sesekali menceritakan hal rumah tangga kita dengan orang lain.  Carilah mereka yang pakar dan mampu memberi nasihat yang baik buat kita, bukan menambah dan memporak perandakan rumah tangga kita lagi. 

Bukan kekayaan yang memberi kita kebahagian, tetapi nilai kasih sayang yang akan kekal sehingga ke syurga. 
Kepada abang-abang, hargailah isteri masing-masing. Sekarang mungkin dia sudah tidak cantik, tetapi fikir-fikirkanlah siapa yang membuatkan pasangan kita semakin tidak menarik? Bukan kitakah? Jangan cari alasan untuk mencari lain, orang yang berada di sisi kita berpuluh tahu, berbelas tahun adalah insan yang terbaik buat kita.  Yang baharu belum tentu mampu jadi terbaik.

Selamat menyambut Ulang tahun Perkahwinan ke -30  buat suami tersayang, semoga rumah tangga kita kekal sehingga ke Jannah, aamin.
             

2 ulasan:

  1. Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke 30...semoga kekal bahagia hingga ke jannah...doakan jodoh saya juga kekal bahagia hingga ke jannah...salam buat keluarga...rindu lama x bertemu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih dik, wa'alaikumsalam. aamin dan terima kasih atas doanya, dan terima kasih juga kerana sudi menyinggah di blog akak ni.

      Padam