Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 30 Disember 2016

JALAN PULANG - BAB 22 -ASMAH HASHIM



Salmah memandang laman rumah yang terjaga rapi.  Dia mengeluh berat, pandangannya dilepaskan jauh ke hadapan, pandangan yang kosong dengan mata yang berkaca.  Fikirannya menerawang jauh, memikirkan masa depan anak-anak dan dirinya juga.  Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menutup buku cerita lama yang telah menghancurkan seluruh hati dan jiwanya. 
            Wajah lelaki yang pernah menjadi kekasih hati dan teman tidurnya bertayangan di ruang mata. Soalan dan jawapan yang tidak ditemui terus berlegar di  hati, kenapa lelaki itu berani kembali ke kampungnya itu?  Kenapa? Salmah mengeluh lagi.  Dia memejamkan mata, setitis air jernih mengalir  perlahan di pipinya yang semakin dipenuhi garis-garis kedutan. Kenangan lama muncul kembali.  Menarik hatinya yang walang semakin terhiris.

25 tahun yang lalu…


            Daun pintu ditolak kasar membuatkan Salmah yang sedang menidurkan Zakuan terkejut.  Dia cepat-cepat membetulkan baju tidurnya yang terselak kerana menyusukan Zakuan yang baru berusia tiga bulan.  Rambutnya yang panjang cepat-cepat diikat tinggi.  Dia bergegas keluar ke ruang tamu.  Pintu utama tertutup rapat, siapa yang membuka pintu tadi?  Salmah ke dapur.  Seorang lelaki sedang duduk di kerusi sambil meneguk sebotol air. 
            “Abang!” sapa Salmah perlahan.
            Lelaki yang hanya bert-shirt lusuh dan berseluar jeans menoleh.  Rambutnya kusut masai.
            Salmah mendekati lelaki itu.
            “Abang nak makan?” tanya Salmah perlahan dan penuh hormat.
            Pandangan tajam lelaki itu menikam matanya.  Dia menunduk.
            “Aku ketuk pintu sampai nak pecah, kau tak dengar ke?” tanya lelaki itu. Mukanya masam mencuka.
            “Saya tidurkan Zakuan,” jawab Salmah.  Dia terus melangkah ke meja makan. Makanan sudah siap terhidang. Dia hanya memandang wajah suaminya melalui ekor mata.  Sejak berkahwin hanya seminggu dua sahaja suaminya itu bercakap lembut dengannya, selebih itu hanya tengkingan dan herdikan yang diterima.  Salmah terpaksa bertahan, demi anak yang dikandungkannya ketika itu. Kini, anak itu sudah pun selamat dilahirkan. 
            “Aku dah makan, tak payah susah-susah masakkan untuk aku! Kalau aku nak makan, aku bagitahu,” ujar lelaki itu.
            “Abang dah seminggu tak balik? Abang ke mana?” soal Salmah perlahan.
            “Kau nak tahu buat apa?  Itu aku punya hal!” marah lelaki itu.
            Salmah menunduk, itulah suaminya, Malek, garang macam harimau lapar, bila ditanya, sudah makan.  Tidak pernah bercakap lembut, hanya tahu marah sahaja, apakah makan daging singa di luar sana?  Sempat pula Salmah bergurau di dalam hati.
            “Sayakan isteri abang, perlulah saya tahu ke mana abang pergi,” jelas Salmah.
            “Kau jangan ambil tahu hal aku!  Aku tak suka!” tempelak Malek. Langsung tidak dipandang wajah Salmah.  Dia mencapai tuala terus menghilang ke dalam bilik air.   
            Salmah mengetap bibir, menahan rasa hiba yang meragut hati.  Dia menggeleng kekesalan, sampai bila harus begini? Ada suami, bagaikan tiada, tidak pernah mahu beramah mesra, hanya tahu marah sahaja.  Bukan dia tiada hati dan perasaan, sering terguris, sering berkecil hati, namun tidak pernah dipeduli. Pandai-pandailah sendiri.
            Nasib baik anaknya minum susu badan, jika tidak hendak diberi minum dengan apa, sudahlah duit jarang ditinggalkan, balik rumah pun dalam seminggu hanya sehari dua. Selepas itu menghilangkan diri entah ke mana. Kalau tahu tempat kerjanya, mudahlah dicari, ini dia tidak tahu suaminya berada di mana.  Untung baik rumah tempat berteduh adalah rumah pusaka arwah orang tua suaminya.  Kalau tidak sudah tentu lama dihalau keluar.
            Salmah menunggu dengan sabar, Malek keluar dari bilik air. Wajah Zakuan yang tenang ditenung lama, entah apalah nasib anaknya itu, hidup seperti orang tidak berayah, sejak dilahirkan sekalipun Malek tidak pernah menyentuh anak itu, jauh sekali hendak menciumnya.  Seolah-olah anak itu bukan anak Malek, suaminya itu.  Salmah mengeluh kesal.
            Usai membersihkan diri, Malek terus bersiap dan bersedia untuk pergi lagi.  Dia bersiul-siul sambil menyarung baju, seluar dan menyikat rambutnya.  Masih tidak memandang Zakuan atau Salmah.
            “Abang,” panggil Salmah perlahan.  Sebenarnya dia malas hendak bergaduh, tetapi melihat sikap Malek yang acuh tak acuh itu buat hatinya bernanah pilu.  
            “Kau nak apa?”  herdik Malek.  Dipandang Salmah sekali imbas.  Menjeling tajam.
            “Benci sangat ke abang pada saya dan Zakuan?” tegur Salmah.  Dia tidak tahan lagi.
            “Memang aku benci kau! Ada masalah?”  marah Malek. 
            “Kalau bencikan saya, lepaskanlah saya, usah buat saya begini, apa salah saya?”  tanya  Salmah.
            Malek menyengih. 
            “Kau tempat pemuas nafsu aku sajalah! Selagi aku perlukan kau, kau jangan nak gatal-gatal pergi dari sini!”  kata Malek selamba.
            Salmah terkedu, hati berbunga sayang selama ini terhadap satu-satunya lelaki yang mengisi ruang hatinya. Kenapa itu jawapan yang diberi?  Zakuan di sisi dipeluk segera, apalah nasib kau wahai anak, detik hati kecilnya. Jika sudah benci di hati, kenapa dirinya masih disimpan lagi? Hidup tak ubah seperti pelacur yang beri perkhidmatan biarpun halal, tiada kasih sayang, hanya nafsu semata-mata.  Berjuraian air mata mengalir di pipi Salmah, menahan sendu dan duka yang semakin menebal di hati.
            “Menangis, menangis, menangis sajalah yang kau tahu!” tempik Malek.
            Salmah diam membisu., membiarkan Malek  naik angin sendiri.  Usah dilawan, nanti buruk padahnya, demi Zakuan ditelan duka yang bersarang.  Tidak mungkin membiarkan anak itu tidak berayah.
            “Aku nak keluar! Nanti tahulah aku balik!”  Malek mencebik dan berlalu pergi.  Tanpa pamitan sayang, tanpa ciuman pemergiaan.  Ah! hidup berumah tangga agaknya beginikah ia, sengsara sepanjang masa?  Salmah menangis pilu di sisi anak yang tidak mengerti apa-apa. Hanya tahu melihat sesekali melakarkan senyuman buat ibu yang sengsara hatinya.
            Seminggu menghilang, kemudian kembali lagi, wajah tidak pernah ceria, hanya kelat menjelma.  Salmah tidak lalu melihatnya.  Dibiarkan Malek dengan gaya dan kehendaknya.  Dilayan bila perlu, kosong hatinya, hilang sudah rasa sayang yang selama ini duduk diperdu hatinya.  Entah ke mana menghilang?  Bukan disengajakan lantaran sikap suami yang tidak pernah mahu menyemai dan menyiram rasa cinta agar terus subur tumbuhnya.  Yang ada, hanyalah rasa tanggungjawab sahaja selagi bergelar isteri.  Duit tidak pernah cukup untuk keperluan sendiri, tidak berani meminta, jika tidak diberi, pandai-pandailah dia hendak hidup berdua dengan anak yang tidak berdosa. Usah meminta-minta kepada lelaki yang tidak tahu menghargai dia sebagai seorang isteri.  Usah jadi pengemis kepada suami sendiri.  Itulah azamnya di dalam hati.  Salmah menahan duka, lukanya semakin hari semakin parah, tidak mungkin dapat sembuh dengan begitu mudah.
            Dalam sendu dan duka, dua tahun dia bertahan, sehinggalah dia mengandung semula.  Kenapalah subur sangat? Dia tidak memerlukan seorang anak lagi, yang ada sudah cukup terasa perit melaluinya.  Zakuan tidak pernah berasa mempunyai pakaian baharu, semuanya pemberian jiran sekampung.  Dia tidak berani, dan tidak akan berani meminta dengan  Malek yang pemarah dan perongos itu. Susah senang biarlah dia sendiri melaluinya.  Malek bukan pedulipun
            Makankah dia, minumkah dia, langsung tidak bertanya.  Balik hanya ingin melepaskan hawa nafsunya sahaja, kemudian pergi semula. Mengandungkan anak kedua, alahannya teruk pula.  Di hadapan Malek dia berwajah selamba, tidak mahu Malek tahu dia mengandung lagi.  Sudah pasti kemarahan yang akan dilemparkan, bukan kasih sayang atau kata-kata kegembiraan menyambut kehadiran orang baharu.  Ah! sengsara sendiri.   Sedangkan Zakuan tidak pernah ditanya khabarnya, apatah lagi anak yang berada di rahimnya itu.
            Kenapalah dia bodoh, masih menunggu? Kalau tidak kerana ugutan Malek sudah lama dia membawa kaki, pergi jauh dari rumah neraka ini.  Demi Zakuan dan anak yang di dalam rahimnya, dia bersabar, kepada Allah siang dan malam dia berdoa agar dilepaskan dari beban ini. Tidak tahu bilakah akan berlaku?  Air matanya mengalir kesekian kali, tidak pernah kering menangisi hidup sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan