Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 12 Disember 2016

JALAN PULANG - BAB 21 - ASMAH HASHIM



Suara orang bercakap-cakap di ruang tamu rumah Haji Shauki mengamit rasa ingin tahu Malek, siapakah yang datang, ditambah dengan xsebuah  kenderaan yang jarang dilihat beada  di laman rumah  kampung setingkat itu. Rumah batu  sepenuhnya, berpagar, bercat warna tanah, dihiasi dengan pelbagai pokok renek dan bunga di laman rumahnya.  Halaman rumah yang bersih, pasu-pasu bunga tersusun kemas. 
            Malek membuka mulut ingin memberi salam, namun terkunci mulutnya ketika mendengar…
            Haji Shauki mengetap bibir. Menahan rasa marah dan sabar bertindih-tindih agar tidak meletup.  Kata-kata anak-anaknya begitu mengusik hati tuanya.  Kenapa cetik sangat fikiran anak-anaknya yang berpelajaran tinggi itu?  Kenapa begitu sekali mereka memandang hina pada sepupu mereka sendiri, Malek?  Ya, Malek dahulu jahat, perompak,, pencuri dan perogol, tetapi itu dulu, sekarang lelaki itu sudah jauh berubah, ingin berubah.  Apa salahnya memberi dia peluang?  Sedangkan Allah membuka pintu taubat untuk hamba-hamba-Nya yang mahu pulang ke pangkal jalan, kenapa kita sebagai manusia tidak terbuka hati untuk menerima mereka yang ingin kembali menjadi baik?
            “Ayah saja nak susahkan diri!  Kalau jadi apa-apa di rumah ini, macam mana?  Entah-entah dia sengaja buat baik sebab nak rompak ayah,”  kata Shahir, anak sulong Haji Shauki.  Wajahnya serius sahaja, dengan raut muka yang tidak ubah seperti wajah Haji Shauki memandang tajam ke arah ayahnya sendiri.
            “Kenapa Shahir cakap macam itu?  Malek itukan, sepupu Shahir juga?”  tempelak Haji Shauki, kurang senang dengan kata-kata anak sulongnya itu.
            “Sepupu jenis apa macam itu?  Penjenayah! Tak sudi saya nak mengaku dia saudara saya, tak kenal lagi bagus!” marah Shahir. Dia menjeling.
            “Shahir!” tempik Hajah Rokiah. 
            “Mak pun nak bela penjenayah itu?”  tegur Shahir, biarpun suaranya bernada rendah, tetap berasa sindirannya itu.
            Hajah Rokiah menggeleng kepala.
            “Allah meletakkan takdir manusia mengikut kemampuan masing-masing.  Jika dia tersalah langkah, kita bawa dia kembali ke jalan yang benar, kita didik dan ajar dia perkara yang betul, bukan menghina atau memandang sinis pada dia,”  marah Hajah Rokiah.
            “Kalau orang biasa makan najis, tak dapat, hidu pun jadilah!” kata Shahir berfalsafah.
            “Ayah kesal dengan kau Shahir!  Tak sepatutnya kau cakap seperti itu, dia anak saudara ayah.  Ayah tahu dia jahat, 25 tahun dia dihukum penjara, sudah  mendapat balasan yang sepatutnya diterima, dia kehilangan segala-galanya, sampailah sekarang.  Kita, mungkin bernasib baik menjadi manusia yang berjaya di dunia, di akhirat belum tentu.  Buruk-buruk dia, dia tetap hamba Allah, dia tetap diberi peluang untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, siapa kita nak menentukan dia jahat selama-lamanya?” kata Haji Shauki, matanya redup memandang wajah anak sulongnya yang pandai agama, diberi pendidikan agama secukupnya. Bakal mendapat gelaran doktor kerana sedang belajar diperingkat Phd, tetapi kenapa cetek sangat pemikirannya.  Adakah kerana terlalu tinggi belajar tentang teori sehinggakan praktikal kehidupannya tidak sampai ke otak. 
            “Uh! Ayah memang macam itu, mudah sangat kasihat dekat orang lain!” Shahir masih tidak berpuas hati. 
            “Saya tak sukalah si Malek itu berada di rumah ini, nanti apa pula kata orang-orang kampung?  Ayah itu ketua kampung dan seorang imam, kenalah jaga status dan kedudukan ayah sebagai pemimpin kampung ini!”  Shahir memeluk tubuh, dahinya berkerut menahan rasa benci terhadap sepupunya, Malek.
            “Shahir!” tempik Haji Shauki.
            “Selagi Malek ada di sini, saya takkan balik ke rumah ini.  Saya tak nak anak-anak saya berbaik dengan penjenayah seperti dia!” kata Shahir lagi.
            Hajah Rokiah menggeleng kekesalan. 
            Haji Shauki mengeluh berat.
            “Saya ingat nak tidur sini, tak sangka pula si Malek itu menumpang kat rumah ini,” kata Shahir lagi.
            “Saya minta maaf ayah, emak,  saya tak mampu nak terima anak saudara ayah itu.  Kalau dia sudah tidak duduk sini lagi, barulah saya balik,” kata Shahir, lalu bersalaman dengan kedua orang tuanya.  Dia menarik tangan anak-anaknya yang seramai lima orang itu.  Isterinya yang sedari tadi tidak berkutik hanya mampu memandang dengan wajah kekesalan.
            Haji Shauki tidak mampu berkata apa-apa, hanya membiarkan anak sulongnya itu berlalu pergi.              Diluah mati emak, ditelan mati bakap, apa yang harus dia lakukan.  Kedua-dua mereka adalah darah dagingnya sendiri. 
            Hajah Rokiah memandang dengan kehampaan.  Dia terus berlalu ke dapur.  Itulah tempat orang perempuan melepaskan rasa lelah di hati.
            Malek yang mendengar setiap butir bicara sepupunya itu terdiam, tidak berkutik. Hanya memandang sahaja langkah sepupunya itu berlalu pergi.  Dia mengeluh perlahan.  Sudah diduga perkara seperti itu pasti berlaku.  Dia tidak menyalahkan sepupunya itu.  Itulah dirinya, seorang penjenayah dan banduan.  Dosa lama sentiasa mengekori.  Dia benar-benar serba-salah, apa yang harus dia lakukan?  Dia tiak mahu disebabkan dirinya anak beranak itu bergauh pula. 
            Malek menarik nafas panjang.   Wajah diceriakan seperti tiada apa yang berlaku.  Dia tidak mahu bapa saudaranya itu tahu yang dia telah mendengar setiap butir bicara anak dan ayah itu.  Dia berdehem, memberi salam dan melangkah masuk ke dalam rumah.
            Haji Shauki masih berada di ruang tamu, termenung jauh.
            “Pak su, jauh termenung?”  soal Malek, cuba berlagak mesra, sedangkan hatinya sedang bergejolak hebat.
            “Erk… Malek?  Bila sampai?” soalan dijawab dengan soalan. Haji Shauki mengelabah. Otaknya terus berfikir laju, adakah Malek mendengar kata-kata anaknya tadi?   Dia mengeluh.     “Baru  saja pak su,” jawab Malek tetap tenang.  Wajah  Haji Shauki yang kelihatan serba salah itu ditatap seketika. 
            “Tadi nampak kereta Shahir kat simpang depan tu, dia balik sini ke pak su?” tanya Malek.  Wajahnya tetap selamba. Hatinya yang menangis hiba.  Sekali buat jahat, selamanya orang ingat.  Biarpun dosa yang telah dilakukan sudah diterima balasannya di dunia.
            “Ha ah! dia balik sekejap,”  jawab Haji Shauki agak tergagap.
            “Begini pak su, saya dah dapat bilik sewa di tempat kerja saya tu, sewa dengan kawan-kawan sekerja, saya harap pak su tak kisah jika saya keluar dari rumah ini dan duduk bersama mereka,” ujar Malek. Mana ada bilik? Mana ada kawan?  Dia sendirian hidup terbuang. 
            “Hish! Takkan nak menyewa dengan kawan-kawan?   Duduk sajalah di sini.” Haji Shauki tidak membenarkan.  Dia mahu Malek berada di hadapan matanya.  Dia mahu memantau anak saudaranya itu.  Adakah Malek mendengar perbualan dia dan Shahir tadi, sehingga membuat keputusan untuk berpindah?
            “Berilah saya peluang untuk berdikari pak su, saya bukan budak-budak, tahulah saya jaga diri,” pinta Malek dengan nada perlahan. 
            “Tapi Malek?”  Haji Shauki serba salah.
            “Izinkan saya pak su!” rayu Malek.
            Haji Shauki menunduk.  Jika itu sudah kehendak anak saudaranya itu, dia akur.
            Malek menguntum senyuman.  Dia lelaki, tidur di manapun boleh.
            Haji Shauki memandang wajah anak buahnya, dahinya berkerut, benarkah anak saudaranya itu sudah dapat bilik sewa?  Atau dia sudah mendengar segala kata-kata Shahir tadi.  Keluhan terlepas keluar dari bibirnya. Menahan rasa sendu di hati.  Simpati menerja tiba terhadap anak saudaranya itu. Biarpun sudah kembali ke pangkal jalan, tetapi susah benar masyarakat hendak menerima kehadiran lelaki itu kembali, terutama keluarga sendiri.  Berat  mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Semoga anak buahnya itu kuat dan tidak sesekali kembali ke jalan yang salah.
            Malek bingkas bangun dan menuju ke biliknya.  Dia mengeluh perlahan, terasa sebak dadanya, ke mana pergi orang tidak suka,  biarpun cuba berlaku baik, namun pandangan mata manusia tidak pernah lekang dari kisah kehidupannya yang lalu.  Ya Allah! Terlalu besar harga yang perlu aku bayar kembali, keluhnya sendiri.  Dia mencapai beg kanvas yang tidak sebesar mana, cukup untuk mengisi beberapa helai pakaiannya serta beberapa barang keperluan lain. 
            Dia masih tidak tahu harus ke mana?  Mungkin buat sementara mencari hotel murah untuk bermalam, atau bertanya kepada kawan-kawan di tempat kerjanya nanti.  Kes anaknya juga masih tidak selesai, masih dalam siasatan polis.  Dia perlu cari dalang yang membuat aniaya kepada anaknya.  Wajah bekas isterinya yang memandangnya dengan kebencian sering bermain di matanya. Bilakah wanita itu akan memaafkan segala dosa-dosanya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan