Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 29 September 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 2 - ASMAH HASHIM.



Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Badan terasa sengal dan letih. Seharian bekerja membuatkan tubuhku cepat berasa penat.  Faktor usia? Mungkin tidak, masih terlalu muda.  Sebaik pintu utama dibuka, dahiku berkerut seribu.  Subhana-ALLAH! Apa sudah jadi dengan rumahku?  Kenapa bersepah?  Kenapa tidak berkemas.  Aku mendengus kasar.  Badan yang letih, minda yang serabut, bertambah serabut ketika melihat keadaan rumah yang bersepah seperti itu.  Ya ALLAH! Mana perginya isteriku?  Apa yang dia buat sepanjang berada di rumah?  Tidak mungkin hanya duduk bersembang dengan jiran tetangga sehingga lupa mengemas dan membersihkan rumah. Permainan anak-anak merata tempat.  Tiada seorang pun di rumah, mereka ke mana?
            “Liya! Liya!” jeritku, kemarahan menembak ke hati.  Aku pantang rumah bersepah.  Sudahku beritahu dan sebagai seorang isteri, aku pasti dia tahu.  Tidak pernah rumah berada dalam keadaan seperti itu. Apa yang telah mengganggu masa isteriku?  Adakah menjaga anak seorang pun tidak dapat diuruskan? Kenapa harus ikut perasaan malas? Tidak tahukah menjaga kebersihan itu tuntutan dalam agama?  Aku mengeluh kesal.  Mataku masih tidak terlepas pandang melihat keadaan ruang tamu yang bersepah dengan alat permainan dan makanan.  Kusyen berterabur di lantai.  Langsir tidak diselak.  Bagaimana cahaja hendak masuk?  Aku terus membebel dalam hati. Langkah diatus semakin laju menuju ke dapur pula. Hampir terjojol mataku melihat singki yang masih penuh dengan pinggan mangkuk bekas sarapan pagi tadi.  Semakin berapi-api pula peraaan marah yang menghenyak dalam hatiku. 
            Aku mengetap bibir.  Bayang isteriku masih  tidak kelihatan.  Keluhan demi keluhan terlahir di bibirku.  Perasaan geram, marah berombak-ombak dalam dada. Panggilanku tidak bersahut.  Dia ke mana?  Aku melangkah keluar rumah.  Tercangak-cangak mengintai ke dalam rumah jiran sebelah.  Isteriku sering berada di rumah jiran sebelah.  Kali ini dia ke mana? Ke mana? Marahku dalam hati.
            Bukan tidak sayang isteri, tetapi kasih sayang yang diberi bukan menjadi tiket untuk bermalas dan sehingga lupa akan tanggungjawab.  Bukan suruh buat kerja berat, hanya menguruskan rumah tangga.  Memang benar, tanggungjawab menguruskan rumah tangga terpikul di bahu seorang suami, jika aku mampu menyediakan pembantu rumah, aku harus menyediakan seorang pembantu rumah.  Tugas seorang isteri adalah melayan suaminya sahaja.  Apakan daya, aku  tidak mampu menyediakan keperluan itu.  Aku berharap, isteriku akan melakukan kerja-kerja rumah dengan baik, menjaga makan pakaiku dengan sempurna. Tidak minta lebih pun.
            “Cari apa dan siapa Man?” tanya jiran sebelah.
            Aku hanya menyengih.  Tidak menjawab pertanyaan jiranku itu.  Kak Bedah, ramah dan baik orangnya. Sudah seperti keluarga sendiri.  Hidup berjiran, begitulah sepatutnya.  Keluarga, nun jauh di kampung. Jiran sebelah menyebelahlah saudara terdekat jika ingin meminta bantuan.  Aku menggeleng laju.  Sekali lagi langkahku atur masuk ke dalam rumah. Terasa tebal mukaku. Tidak mungkin aku memberitahu, isteri dan anakku sudah menghilangkan diri.
            Pelbagai persoalan bermain difikiranku.  Memikirkan sikap dan tindakan isteriku tersayang.  Semakin penat dan letih jadinya. Semakin semak dan bercelaru fikiranku.  Nanti kau! Detik hati kecilku.  Marah! Memanglah aku marah.  Tiada minuman petang, rumah bersepah.  Dari ruang tamu sehinggalah ke dapur.  Siapa tidak marah? Aku mengeluh berat.  Berdenyut kepalaku.
            Aku bergegas ke bilik yang terletak di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.   Daun pintu kutolak kasar, menggambarkan perasaan marahku yang membuak-buak.  Berasa tercabar dengan apa yang berlaku. Nasib baik hanya aku yang pulang, bagaimana jika aku ada membawa tetamu? Apa kata mereka ketika melihat keadaan rumahku yang bersepah itu. Malu! Tentulah aku akan malu. Orang boleh cakap, aku tidak pandai mengajar isteri.  Isteriku tidak tahu menguruskan rumah tangga.  Siapa yang bertanggungjawab? Bukankah aku?
            “Abang!” sapa Liya yang berbaring di atas katil.
            Aku mengerutkan dahi, mendekati isteriku yang terbaring lemah.  Anak di sebelah nyenyak tidurnya.  Aku mengeluh berat lagi.
            “Sayang kenapa?” tanyaku perlahan. 
            “Liya demam, maaflah tak sempat nak mengemas rumah, hari ini, Liya hanya tidur dan uruskan Aiman sahaja,” cerita Liya.
            Aku menepuk dahi. Berasa bersalah, aku tersalah anggap, aku berperasangka buruk terhadap isteriku sendiri.  Tidak sepatutnya aku melakukan kesalahan seperti itu.  Sepatutnya aku cari isteriku sampai ketemu, bertanya dan baharulah buat kesimpulan.  Ya ALLAH, isteriku demam rupanya. 
            “Kita ke klinik ya? Kenapa tidak telefon abang?” tanyaku.
            “Ingatkan selepas tidur, rasa nak demam itu akan lega.  Rupanya tidak, malah semakin teruk,” ujar Liya. 
            Wajahnya pucat lesi.  Ya ALLAH! Aku berdosa kepadanya.
            “Maafkan abang sayang!” ucapku, lalu mencium dahinya.  Aduhai isteriku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan