Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 30 September 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 3 - ASMAH HASHIM



            Beli barang lagi?  Siapa nak bayar? Itulah yang meledak dalam fikiranku.  Ingin sahaja menghalang keinginan isteri tercinta. Melihat kegembiraannya buat hatiku rasa bersalah.  Tidak dilarang, duitku terbang.  Jika dilarang, pasti ada hati yang terguris luka.  Serba salah jadinya.  Terujanya dia.  Senyuman yang terlukis membuatkan hatiku pula terasa sayunya.  Tidak sanggup menghalang kegembiraanya.  Tidak sangguh menghampakan keinginannya.  Tetapi, bagaimana aku mampu membayarnya? Bukan murah, ribuan ringgit.  Mana aku nak cekau duit sebanyak itu dalam masa sehari?  Uh! Aku hanya eksekutif biasa di sebuah syarikat.  Gajiku biasa-biasa sahaja. Hari ini dapat, esok berbaki entah berapa sen sahaja.  Longokan bil-bil yang perluku bayar ada ketika buat tubuhku seram sejuk menghadapinya.
            “Macam mana bang?” tanyanya gembira. 
            Aku pula rasa tidak selesa.  Hendak mengaku, takut memikirkan jumlah duit yang tidak cukup dalam poket.  Kenapalah aku menempah masalah, mengikut ajakannya hendak ke kedai Seng Heng pagi tadi.  Kalaulah aku beri alasan, tentu aku tidak terjebak begini.
            “Televisyen kitakan masih baik lagi?  Peti sejuk pula cuma kecil sahaja.  Biarlah dulu,” kataku bagi menyelamatkan diri.
            “Ala… anak kita semakin membesar, peti sejuk terlalu kecil untuk menampung keperluan di rumah.  Televisyen pun semakin pudar warnanya,”  ujar Liya.
            Aku terpana seketika.  Apa perkataan yang sesuai untuk aku gunakan bagi menghalang keinginan isteri tercinta.  Aduh! Wahai isteri, fahamilah suamimu ini, kataku dalam hati.  Hendak berterus-terang terasa beratnya. Kalau tidak cakap terasa sakitnya. Sakit apa lagi, sakit poket yang kurang isinya.
            Aku cepat-cepat berjalan ke arah lain, buat-buat sibuk memilih dan membelek jenama lain pula. Konon, hendak mencari yang paling canggih.  Pandai aku berlakon untuk mengurangkan rasa tekanan yang sedang menghimpit hati.  Ya ALLAH! Ya ALLAH, tolonglah aku! Jeritku dalam hati.  Berpeluh badanku.  Terasa panas dalam badan. Hendak demam agaknya. Demam duit tidak ada. Boleh buat lagu lagaknya.  Dalam seram, masih mampu tersenyum.  Senyum dalam seram, bolehlah agaknya.
            Aku melihat isteriku melambai laju. Hendak apa pula?  Dia sudah menempahkah? Alahai, janganlah sayang, bisik hatiku lagi.  Berat langkah kakiku, bagai ada gam yang melekat.  Terpaku seketika.  Terasa semak dadaku.  Hendak pergi ke tidak? Aku buat-buat tidak nampak.  Semakin jauh aku melangkah.  Buat-buat tidak nampak lambaian laju isteri tercinta. 
            “Abang!”
            Satu tamparan hinggap di bahuku.  Aku menoleh. Kerutan wajah isteriku jelas terpancar. 
            “Jomlah balik!” ajaknya.
            Aku tersenyum, tidak jadi belilah agaknya.  Kalau isteriku membeli pasti meminta duit denganku.  Aku menarik nafas lega dan mengikut langkah lajunya keluar dari ruang kedai elettrik yang melaut luasnya.  Boleh  berpinar mata melihat pelbagai jenis barangan eletrik yang mampu membuat hati sesiapa sahaja bergegar. Terpikat dan buat hati terlajak  untuk membelinya.
            Dalam kereta aku dan dia membisu. Seperti tiada apa yang ingin kami bualkan.  Terasa sunyi dan kosong.  Aku melayan perasaan sendiri seraya memandu dengan berhati-hati. Malang tidak berbau.  Isteri tercinta sibuk melayan anak kecil kami.  Disusukan, dibelai, dicubit dan diajak bergurau. 
            Sampai di rumah, semua barang dapur di letakkan di tempatnya.  Aku pula ke ruang tamu. Penat juga keluar di hujung minggu. Biarpun hanya keluar membeli barangan dapur dan mencuci mata di kedai eletrik. Setakat mencuci mata sahaja, itulah harapanku
            “Abang, Liya nak ke atas dulu ya, nak tidurkan Aiman” beritahu Liya.
            Aku tidak memandangnya, hanya mengangguk.
            Bunyi loceng pintu membuatkan aku segera bangun.  Siapa pula yang datang?  Aku menapak ke pintu.  Seorang lelaki  berbangsa Cina berdiri di hadapanku sambil membelek sekeping surat.
            “Ada apa?” tanyaku kehairanan.
            “Hantar baranglah bang,”  jawab lelaki Cina itu serius.
            “Barang apa?” tanyaku agak kasar.
            “Tadikan itu puan ada pesan televisyen dan peti sejuk. Mana mahu letak?”
            “Peti sejuk? Televisyen?  Awak silap rumah agaknya?”  kataku lagi.
            “Kenapa bang?” tanya isteriku dan datang menghampiri.
            “Ini, ada orang hantar barang. Sayang ada beli ke? Abang tak bayar apa-apa pun?” kataku lagi.
            “Memang sayang ada beli, dah bayar pun. Takkan mereka tidak hantar?” kata isteriku dengan senyuman manisnya yang buat aku sering jatuh cinta.
            “Sayang dah bayar?”  soalku kehairanan.  Banyaknya duit isteriku?  Mana dia dapat?  Uh! Jangan buat yang bukan-bukan! Fikirku sendiri.
            “Sayang dapat duit kutulah, campur duit lebihan belanja harian yang abang bagi, itu sebab sayang beli televisyen dan peti sejuk yang baharu,” jelas Liya dengan mata yang bersinar.
            Aku memandang sahaja pekerja syarikat Seng Heng membawa peti sejuk dan televisyen baharu melangkah masuk ke dalam rumah.  Wajah ceria isteriku juga membuatkan hatiku rasa bersalah.  Terasa bersalah, kerana bukan aku yang membayar. Terasa bersalah kerana menganggap isteriku hanya tahu  menghabiskan duit. Duit dapur pun disimpan?  Memang hebat isteriku.  Main kutu?  Aku kagum dengan caranya, aku pula yang berasa malu.  Aduhai isteriku!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan