Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 27 Mac 2020

COVID- 19 - BAB 1


            Baju dilipat satu persatu,dimasukkan ke dalam beg beroda yang dibentang di atas katil. Passport antarabangsa bersama tiket penerbangannya terletak  kemas di atas meja sisi, bertarikh 1 Januari 2020.

Dia akan  bertolak selepas asar waktu Malaysia. Kira-kira enam jam lagi. Setelah mengemas dan menyusun pakaiannya dengan kemas ke dalam beg, Taufiq menuju ke bilik air.

Beberapa minit kemudian dia keluar dengan rambut yang sedikit basah setelah dikeringkan menggunakan tuala milik hotel tersebut. T-shirt berleher bulat berwarna putih dan jaket kulit berwarna hitam, dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam.

 Setelah menyiapkan diri dan memastikan semua keperluan untuk dia meninggalkan negara tembok China itu selesai, Taufiq mengangkat dan menarik keluar beg pakaiannya menuju ke lobi hotel. Bilik ditutup rapat.

Kelmarin, bersama tiga orang bekas rakan satu universiti ketika dia belajar di Amerika Syarikat menemani dia berjalan-jalan di bandar Wuhan sambil menikmati keindahan dan kemodenan bandaraya terbesar di tengah Negara China itu. Penduduknya padat. Pembangunan bandar itu juga pesat dan menjadi tumpuan pedagang dari dalam dan luar negara.

Taufiq  datang ke daerah itu kerana ada kursus IT, majikannya menghantar dia mendalami satu produk baharu yang bakal berada di pasaran. Syarikat tempatnya juga telah mengadakan kerjasama dengan satu syarikat IT di negara tembok besar ini.

Seminggu dia berada di negara yang padat penduduknya itu. Setelah tiga kawannya berbangsa Cina mengetahui kehadirannya di negara komunis itu, mereka terus menghubunginya dan mereka memutuskan untuk bertemu.

Mereka membawanya singgah makan di sebuah restoran makanan halal yang menyajikan mee tarik. Dia memilih mee tarik yang dimasak secara goreng dan sarat dengan sayur-sayuran. Tidak ada sebarang lauk selain rasa pedas dan  kicap manis yang enak di tekaknya.

Usai menikmati makanan popular di daerah itu, tiga kenalannya itu membawanya singgah di sebuah pasar yang terkenal dengan pelbagai jenis makanan binatang eksotik.  Mereka ada urusan kerja di situ. Dia tidak dapat menolak.

 Biarpun pada mulanya bercadang hendak menunggu di dalam kereta, tetapi memandangkan pertama kali dia datang ke pasar, tentulah dia ingin melihat apa yang ada terjual di pasar tersebut.

 Terkedu Taufiq melihat beraneka jenis binatang terjual di situ. Di tambah dengan keadaan pasar yang kotor dan seperti tidak terurus, baunya juga sangat memualkan isi perut. Hampir sahaja dia memuntahkan semua makanan yang telah tersimpan kemas di dalam ususnya.

Sebelum kembali ke hotel, Taufiq dibawa membeli hadiah untuk ahli keluarganya di sebuah pusat membeli-belah terbesar di bandar tersebut. Taufiq membeli kain sutera China buat isteri tersayang. Harganya tidak terlalu mahal.

 Bukan selalu dia  memberi hadiah yang berkualiti dan jarang ditemui di negara sendiri buat keluar tersayang. Begitu juga untuk dua orang anaknya. Bolehlah mereka sedondon di pagi Hari Raya nanti. Taufiq melakarkan senyuman.

. Hampir tengah malam baharulah dia pulang ke hotel.

Taufiq ke lapangan terbang Tienhe dihantar oleh salah seorang daripada kenalannya. Mereka berpelukan dan saling berjanji akan bertemu lagi. Kenalannya itu tidak menunggu sehingga dia menaiki kapal terbang. 
Sebaik sahaja kakinya menjejaki lapangan terbang itu dia terus mendaftar masuk. Dia berbaris panjang, begitu ramai manusia di dalam bangunan lapangan terbang itu. Ada  yang berkumpulan, tidak kurang berjalan bersama keluarga. Taufiq leka memerhati, seronok melihat gelagat manusia. 
 Beg pakaiannya dimasukan ke  dalam kargo.

Dia lebih selesa berlenggang tanpa membawa apa-apa beg di tangan. Hembusan nafasnya sedikit kasar kerana kepenatan berjalan agak laju tadi. Sementara menunggu waktu berlepas, dia berehat di kerusi yang disediakan oleh pihak lapangan terbang sambil membaca whatsapp yang masuk. Semua kerusi yang ada di kawasan menunggu itu penuh.

Di sebelahnya seorang lelaki  berbangsa Cina bersin berkali-kali tanpa menutup mulut, membuatkan Taufiq berasa tidak selesa, berkali-kali dia menggerakkan tubuhnya ke arah lain sebaik sahaja lelaki itu bersin.

Tidak sopan langsung, detik hati kecilnya. Dia terlihat lelaki itu membersihkan hingusnya menggunakan  tisu, kemudian tisu itu dibiarkan di atas kerusi dan lelaki itu berlalu pergi. Hish! Pengotor  betui, bisik hatinya lagi. Kerusi itu dibiarkan kosong.

Tidak berapa lama kemudian datang seorang tukang sapu, dengan menggunakan tangan dia terus mengutip tisu tadi. Taufiq hanya mampu menggeleng kesal. Sepatutnya petugas tadi gunakan penyapu atau sarung tangan untuk mengutip benda kotor seperti tisu itu.

Sebaik sahaja kerusi itu kosong, datang seorang perempuan berbangsa Eropah duduk di kerusi tersebut.  Taufiq melakarkan senyuman, dan senyumannya berbalas. Namun, mereka tetap tidak berbual. Buat hal masing-masing.

Perjalanan lima jam yang dilalui berasa cukup panjang. Biar bagaimana cantiknya negara orang lain, tanah air sendiri jauh lebih indah dan tetap di hati apatah lagi di sinilah adanya semangat dan jiwanya.

Taufiq menarik beg pakaiannya keluar dari tempat pemeriksaan di Lapangan terbang Antarabang Kuala Lumpur, sebelum bertolak dia sudah menghantar pesanan ringkas kepada isteri  tersayang. Sudah tentulah dia mengharapkan mereka menunggunya di saat itu.
Langkahnya semakin  laju, bergetar jantungnya, tidak sabar ingin bertemu dengan insan-insan tersayang, sebaik sahaja dia keluar dari pintu pendaratan, terdengar jeritan memanggil namanya, sepantas kilat Taufiq menoleh ke arah suara itu.

 Isteri tercinta dan dua orang anaknya melambai ke arahnya dengan wajah ceria mereka. Seperti berlari anak, Taufiq menarik beg rodanya. Tidak lagi memperdulikan orang ramai yang turut berada di kawasan itu menunggu teman atau keluarga masing-masing.

Sebaik sahaja berada di hadapan isteri dan anak-anaknya, Taufiq terus memeluk mereka. Hilang rasa rindu yang dipendam selama seminggu ini. Hampir sahaja dia melanggar seorang lelaki berbangsa Arab, dia menghulurkan tangan memohon maaf.

Lelaki Arab itu segera memaafkan Taufiq, mungkin dia faham orang yang sedang  kerinduan tidak akan memperdulikan orang di sekelilingnya.

Taufiq dan keluarganya bergerak keluar dari kawasan lapangan terbang, menuju ke rumah mereka yang terletak di Selayang.

BAGAIMANA COVID - 19 MEREBAK?

(Lelaki bersin - Taufiq - Tukang Sapu - Perempuan Eropah - Dalam Pesawat - Keluarga Taufiq)?

(cerita ini hanyalah rekaan sahaja, tiada mengena dengan yang hidup ataupun mati.)

Tiada ulasan:

Catat Komen