Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 25 Mac 2020

SINOPSIS FILEM AHMAD ALBAB



Filem tahun 1968 yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dibantu oleh  Hashim Hamzah. Dibintangi oleh Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma dibantu oleh  Mariani, Mimiloma, A.R. Tompel, Minah Hashim, M. Suki. Karim Latiff, Tony Azman dan ramai lagi.

SINOPSIS

Di sebuah kampung tinggal seorang Saudagar kaya yang bernama Mas’hud Al Buaya mempunyai tiga orang anak gadis bernama Mastura, Zahara dan Suhara.

Beliau berniat mengahwinkan anak-anaknya dengan lelaki pilihannya.

Pada suatu hari, Mas’hud Al Buaya telah bertemu dengan dua orang kenalannya. Beliau meminang sendiri anak-anak kenalannya untuk dinikahkan dengan dua orang anak gadisnya,

Zahara dan Suhara. Mas’hud sanggup membayar wang hantaran sebanyak 88 dinar dan belanja hangus sebanyak 2000 dinar serba dua untuk setiap anaknya.

Mas’hud  sering mengatakan, kekayaan, kebahagian dan kerukunan rumah tangga bukan datang daripada Allah tetapi daripada dirinya sebagai seorang ayah.

Mastura menafikan kata-kata ayahnya sehingga dia menolak untuk dijodohkan dengan anak orang kaya. Bagi Mastura, kekayaan, kebahagian dan kerukunan rumah tangga adalah di tangan Allah SWT. Sehingga dia mencabar  Mas’hud yakni ayahnya agar mencari orang miskin dan dijodohkan dengannya.

Tanpa diketahui oleh Mas’hud Al Buaya, kedua-dua besannya memberi syarat kepada anak-anak lelaki mereka agar membolot semua harta yang dimiliki oleh anak-anak Mas’hud dalam masa tiga bulan selepas berkahwin.

 Mas’hud yang berasa tercabar telah mengahwinkan  Mastura dengan seorang pengembala kambing yang miskin bernama Syawal. Mastura reda dan tidak membantah kerana dia yakin jodohnya dengan Syawal ditentukan oleh Allah SWT.

Syawal seorang pemuda miskin yang hidup bersama ibunya adalah seorang pemuda yang, buta huruf, jujur dan bertanggungjawab. Walaupun agak terkejut dengan perkahwinan secara tiba-tiba itu, dia tetap gembira dengan jodoh yang diberi apatah lagi dia telah dikahwinkan dengan anak seorang kaya.

Majikan Syawal bernama Saudara Umar sangat gembira mendengar berita pernikahan itu. Malah turut mengadakan majlis meraikan perkahwinan pasangan mempelai tersebut.

Banyak perkara yang tidak diketahui oleh Mas’hud tentang dua orang lagi menantunya. Safar dan Muharam adalah lelaki yang suka berfoya-foya, berjudi, malah tidak bekerja.

Segala perancangan yang disuruh oleh orang tua mereka, langsung tidak dijalankan, malah habis semua barang kemas isteri-isteri mereka digunakan untuk berjoli.

Setelah habis segala barang kemas, duit dan harta isteri-isteri mereka.  Pada mulanya mereka cuba meminjam dengan kedua orang tua mereka, tetapi orang tua mereka menolak mentah-mentah. Demi kelangsungan hidup mereka mula merompak kedai emas untuk tetap hidup mewah.

Syawal pula dinaikan gaji oleh Saudagar Umar. Dengan wang itu, Syawal telah membelikan sebentuk cincin  sebagai hadiah perkahwinan kepada Mastura.

Pada suatu hari, ketiga-tiga menantu Mas’hud telah menerima surat jemputan bagi meraikan majlis ulang tahun kelahiran bapa mertua mereka.  Syarat utama kehadiran mereka harus membawa bersama hadiah.

Sebaik menerima surat tersebut. Muharam dan Safar tidak bermasalah kerana harta rompakan mereka masih banyak dan boleh dijadikan hadiah untuk dipersembahkan kepada bapa mertua mereka.

Sebaliknya Syawal, telah diberhentikan kerja kerana semua kambingnya telah dibeli oleh seorang saudagar yang lain. Semakin pening kepalanya memikirkan hadiah apa yang harus dibawa untuk diberi kepada mertuanya nanti.

Mastura adalah seorang isteri yang sangat bijaksana. Tanah lapang yang ada di laman rumah mertuanya tidak disia-siakan. Dia mula menanam pelbagai jenis sayur-sayuran.

Syawal yang pulang dalam keadaan sedih telah ditenangkan oleh Mastura agar tidak susah hati kerana hasil tanaman mereka sudah besar dan boleh dituai. Syawal gembira atas usaha isterinya itu.

Tiba saat majlis ulang tahun kelahiran Mas’hud Al Buaya, ketiga-tiga anak dan menantunya turut hadir bersama hadiah masing-masing.

Suhara dan suaminya Safar, Zahara dan suaminya Muharam telah memberi hadiah yang istimewa yang sangat disukai oleh Mas’hud sehingga memuji mereka. Beliau berasakan pilihannya adalah tepat dan kerana dialah kedua anak-anaknya itu hidup mewah dan bahagia.

Mastura dan Syawal pula membawa hadiah semangkuk garam dan gula. Mastura pula membawa hadiah berupa sekeping roti gandum tanpa garam dan secawan kopi tanpa gula. Sebaik melihat hadiah tersebut,

Mas’hud terus sahaja mengherdik dan memarahi pasangan tersebut. Dia berasakan Mastura telah tersalah memilih pasangan hidup dan kerana tidak mendengar kata-katanya maka hidup anaknya itu miskin dan susah.

Syawal tidak berkecil hati. Dia pulang dan meneruskan perniagaannya menjual hasil pertaniannya di pasar pagi. Kehidupannya bertambah senang.

Pada suatu hari Saudara Umar dan Mualif telah menawarkan pekerjaan kepada Syawal dan meminta Syawal menjaga kembali kambing-kambing itu.

Pada mulanya Syawal keberatan kerana dia perlu berniaga di pasar pagi, setelah  berbincang dengan isteri dan ibunya mereka telah sepakat membahagikan kerja-kerja yang ada supaya kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Pada suatu hari, seekor anak kampungnya telah tersesat  ke dalam gua. Syawal telah pergi menyelamatkan kambing tersebut.

Terkedu Syawal sebaik sahaja dia memasuki gua tersebut, dia ternampak harta karun di dalam gua tersebut. Sebaik sahaja Syawal cuba menyentuhnya, satu suara bergema, muncul jin bersama keluarganya.
Lalu jin itu berkata bahawa harta tersebut adalah milik AHMAD ALBAB. Syawal kehairanan, siapakah Ahmad Albab?

Atas nasihat jiran tetangganya, Syawal dan Mastura membawa anaknya berjumpa ibu dan ayah mertuanya. Mas'hud telah berjaya mendiamkan anaknya dan diberikan nama Ahmad Albab.

Mastura disahkan mengandung. Setelah cukup bulan, dia selamat melahirkan seorang anak lelaki. Sebaik dilahirkan, anak itu asyik menangis sehingga Mastura, Syawal dan ibunya tidak tahu hendak buat apa.
Sudah dibawa berubat dengan dukun dan pawing, dibawa berjumpa doktor, anak itu tetap menangis sehingga Syawal kemurungan tidak tahu hendak berbuat apa. Akibat anaknya asyik menangis Syawal sampai terlupa hendak memberi nama kepada anaknya itu.

Oleh kerana tidak tahu harus berbuat apa, majikan dan jiran Syawal telah menasihati pasangan itu agar membawa anak itu bertemu dengan bapa mertuanya, Saudagar Mas’hud Al Buaya dengan harapan mertuanya itu mampu membantu memberhentikan tangisan anak itu.

Mas’hud Al Buaya gembira dengan kelahiran cucunya itu tetapi dia turut berasa pelik kenapa anak itu asyik menangis. Pelbagai cara dilakukan sehinggalah dia memberi nama Ahmad Albab kepada cucunya.

Syawal teringat akan Jin yang ditemui di dalam gua pernah menyebut nama tersebut. Lalu dia mengambil anaknya daripada  dakapan ayah mertuanya lalu dibawa ke gua tersebut.

Jin berasa gembira dan memberi upah kepada Syawal berupa harta karun tetapi dengan syarat setiap satu bulan Ahmad Albab harus dibawa  bermain-main dengan anak jin dari kecil sehinggalah anaknya itu besar.

 Syawal seorang yang taat dan jujur, dia menurut sahaja. Sejak itu kehidupan Syawal semakin senang dan mewah. Tetapi dia tidak boros,malah menggunakan hartanya untuk membantu orang lain yang susah.

Satu hari, ipar-ipar Syawal telah ditangkap kerana merompak dipenjarakan. Kakak dan adik Mastura memohon bantuan Mastura agar melepaskan kedua suami mereka dari penjara. Syawal tidak menolak kerana baginya mereka juga ahli keluarganya.

Sebaik sahaja dibebaskan, Safar dan Muharam telah menerima surat jemputan menyambut ulang tahun kelahiran bapa mertua mereka. Kedua pasangan tersebut sangat susah hati kerana mereka sudah tidak punya apa-apa lagi.

Melihat kekayaan dan kesenangan Syawal kedua ipar duai itu bercadang merompak rumah Syawal tanpa perasaan risau atau bimbang merompak harta ahli keluarga sendiri.

Ketika itu Syawal dan Mastura membawa Ahmad Albab bermain-main dengan anak jin di gua. Sebaik pulang, Syawal diberitahu rumahnya hampir dirompak dan nasib baik perompak dapat ditangkap.

Syawal benar-benar terkejut kerana orang yang merompak rumahnya adalah ipar-iparnya sendiri.
Safar dan Muharam menceritakan kenapa mereka terpaksa merompak. Syawal memahami kerana dia tahu, ayah mertuanya sudah pasti inginkan hadiah daripada anak menantunya.

Pada hari majlis ulang tahun Saudagar Mas’hud Al Buaya, Syawal menghadiahkan Safar dan Muharam intan serta berlian untuk diberikan kepada mertua mereka nanti.

Sebaliknya Syawal membawa  sebuah replika masjid supaya ayah mertuanya itu berubah dan bertaubat serta yakin, jodoh pertemuan, ajal dan maut, kekayaan, kebahagian rumah tangga bukan terletak di tangan manusia tetapi   di tangan Allah SWT.

Pada mulanya Mas’hud tetap memandang hina kepada menantunya itu tetapi setelah diberitahu oleh Safar dan Muharam bahawa  hadiah intan dan berlian itu adalah hadiah daripada Syawal juga, membuatkan Mas’hud terkejut dan mula menyayangi Syawal dan insaf.

Dia mengakui kebahagiaan, kekayaan dan kerukunan rumah tangga bukan terletak pada  tangan manusia tetapi datangnya daripada Allah SWT.

PENGAJARAN

Pengajaran yang dapat dipetik daripada filem ini adalah bagaimana seorang manusia wajib yakin bahawa kehidupan manusia ditentukan oleh Allah SWT.

Walaupun mempunyai  kekayaan kalau tidak pandai menjaga atau menguruskannya lama-kelamaan akan habis juga.
Setiap orang harus rajin bekerja, tidak kira susah atau senang.

Orang susah juga boleh menjadi senang jika pandai memanfaatkan ruang dan peluang yang ada.

Asalkan tidak malas.

Seorang yang jujur, bertanggungjawab dan berhati baik akan sentiasa dibalas dengan kebaikan.
Walaupun sudah mempunyai harta, seseorang itu seharusnya hidup dalam keadaan bersederhana dan tidak boros.

Jangan sesekali berniat jahat terhadap orang lain, akhirnya sendiri juga rugi.

Orang jahat akan tetap dibalas akibat kejahatannya.

Sentiasa bersyukur rezeki kurniaan Ilahi. Orang yang bersyukur akan diberi ganjaran lagi.

Orang kaya harus membantu orang miskin.


Kisah masyarakat yang masih membezakan kaya dan miskin. Orang kaya ingin bertambah kaya dengan cuba merampas harta orang lain. Sikap tamak haloba tidak membawa kepada kebahagian tetapi kemusnahan.

Dalam memilih menantu haruslah diselidiki latar belakangnya, bukan dinilai dengan melihat harta kekayaan yang ada.

Dalam filem ini pada pandangan saya, Tan Sri P. Ramlee bahawa manusia harus hidup dengan sabar biarpun ditimpa pelbagai masalah.

Meneliti setiap dialog yang diucapkan oleh para pelakon ada ayat-ayat sinis berupa sindiran kepada masyarakat.

Seorang ayah mertua tidak harus membezakan  menantu tidak kira kaya atau miskin. Sepatutnya dilayan sama rata tidak dibeza-bezakan. Kerana hubungan yang terjalin adalah melalui kasih sayang bukan harta benda.



GAYA PERTUTURAN/PERCAKAPAN

Menggunakan Bahasa Melayu campur loghat Arab.



Perkongsian : Web Wikipedia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan